Doa tenangkan hati dan rasa dukacita adalah satu kaedah perubatan jiwa bagi mereka yang menghadapi masalah atau musibah dalam kehidupan. Bagi umat Islam, doa adalah satu cara untuk memohon bantuan dan pertolongan daripada Allah s.w.t. Doa juga melambangkan perhambaan kita kepada-Nya.

Mutakhir ini masalah tekanan perasaan, kemurungan, keresahan dan stres semakin menjadi-jadi dalam masyarakat. Sehinggakan, masalah-masalah perasaan dan mental ini dikelaskan sebagai satu penyakit.

Sememangnya tidak dinafikan, kehidupan masa kini semakin menekan. Taraf hidup yang tinggi, masalah kewangan, keluarga, tempat kerja dan orang sekeliling sering berlaku.

Sekiranya semua masalah ini tidak dikendalikan dengan baik, ia boleh membawa kepada masalah kemurungan, tekanan perasaan bahkan sehingga boleh membawa kepada bunuh diri.

Dalam Islam, umatnya diajar supaya meletakkan kebergantungan kepada Allah s.w.t, Tuhan sekalian alam. Mintalah pertolongan dari Allah s.w.t untuk memberikan kita jalan keluar kepada masalah yang dihadapi.

Amalan berdoa merupakan satu cara untuk menenangkan hati. Hati yang tenang akan melahirkan pemikiran yang waras. Pemikiran yang waras akan memandu kita untuk membuat keputusan dan pilihan yang betul.

Berikut dikongsikan beberapa doa berkaitan yang boleh diamalkan sekirannya jiwa tidak tenteram, mengalami kesusahan, atau rasa dukacita atau kesedihan.

1) Doa untuk Tenangkan Hati

ِبِسْـمِ اللهِ الرَّحْمَـنِ الرَّحِيـم

doa tenangkan hati

Maksudnya:

Dengan Allah, aku berlindung diri daripada kalimah Allah yang sempurna daripada kemurkaan-Nya, seksaan-Nya dan kejahatan para hamba-Nya daripada bisikan-bisikan syaitan dan jangan sampai mereka menggangguku.

Daripada al-Walid bin al-Walid r.a. bahawa beliau telah mengadukan halnya kepada Rasulullah s.a.w:

Wahai Rasulullah, aku sering berasa tidak tenteram.”

Maka Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud:

Apabila engkau hendak tidur, bacalah doa ini (doa di atas), nescaya mereka tidak dapat membahayakanmu atau mendekatimu sekalipun.”

(Rujukan Kitab Al-Azkar karangan Imam Nawawi)

2) Doa Mengelakkan Daripada Kesedihan

ِبِسْـمِ اللهِ الرَّحْمَـنِ الرَّحِيـم

doa hilangkan kesedihan dan tenangkan hati

Maksudnya:

Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari rundungan sedih dan duka, aku berlindung kepada-Mu dari sifat lemah dan malas, aku berlindung kepada-Mu dari sifat pengecut dan bakhil, dan aku berlindung kepada-Mu dari bebanan hutang dan penindasan orang.

Daripada Abu Said al-Khudri r.a katanya:

Rasulullah SAW telah masuki masjid. Tiba-tiba terdapat seorang sahabat bernama Abu Umamah r.a sedang duduk di sana.

Beliau bertanya: “Wahai Abu Umamah, kenapa aku melihat kau sedang duduk di dalam masjid sedangkan bukan luar waktu solat?

Abu Umamah menjawab: “Dukacita dan hutang menyelubungiku wahai Rasulullah!

Rasulullah menjawab: “Mahukah kamu aku ajarkan kepada kamu satu doa jika kamu membacanya Allah akan menghilangkan rasa dukacitamu dan melangsaikan hutangmu.

Abu Umamah menjawab: “Sudah tentu, wahai Rasulullah.

Maka Baginda bersabda: “Ucapkanlah pada tiba waktu pada pagi dan petang bacaan ini (bacaan di atas).”

Abu Umamah RA berkata: “Setelah membaca doa tersebut, Allah menghilangkan kedukaanku dan melunaskan hutangku.”

Hadis Riwayat Abu Daud (4/353) (rujukan)

3) Doa Apabila Ditimpa Kesusahan atau Kesukaran

ِبِسْـمِ اللهِ الرَّحْمَـنِ الرَّحِيـم

Maksudnya:

Ya Allah, tiadalah yang mudah melainkan yang Engkau jadikannya mudah dan Engkaulah yang menjadikan kesukaran itu mudah bila sahaja Engkau kehendaki.

(Berdasarkan Hadis Riwayat Ibnu Hibban dan Ibnu Sunni)


Selain itu, harus diingati bahawa musibah atau masalah itu adalah ujian dari Allah untuk menjadikan kita seorang yang lebih sabar dan beriman kepada-Nya.

Allah juga menyuruh kita berdoa sekiranya ditimpa musibah dan masalah sepertimana firman-Nya dalam Surah Al-Baqarah, ayat 155-156 yang bermaksud:

Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. Dan berilah khabar gembira kepada orang yang sabar; (Iaitu) orang yang apabila ditimpa oleh sesuatu kesusahan, “Sesungguhnya kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah kami kembali.

Allah juga berfirman bahawa setiap kesukaran itu disertai kemudahan sepertimana dalam surah Al-Insyiraah ayat 5 hingga 6 yang bermaksud:

Oleh itu, maka (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. (Sekali lagi ditegaskan): bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan.

Oleh itu, berpegang teguhlah kepada ayat-ayat Allah dan percayalah dengan kesabaran, usaha dan tawakkal, setiap permasalahan dan musibah yang kita alami pasti ada jalan keluar dan penamatnya.

Amalkan doa-doa tenangkan hati ini sebagai tanda tawakkal kita kepada Allah setelah segala usaha yang kita lakukan.


Wallahu a’lam

Write A Comment