Motivasi

Cara Mengawal Marah dan Doa Ketika Marah

Pinterest LinkedIn Tumblr

Setiap orang pasti pernah berasa marah. Cuma yang membezakannya adalah punca yang menyebabkan kemarahan dan bagaimana mengawal rasa marah tersebut. Kehidupan yang semakin menghimpit, tekanan ditempat kerja, masalah pasangan dan keluarga, kawan-kawan yang tidak baik, semuanya boleh menjadi pencetus kepada kemarahan seseorang itu.

Malah, lebih membimbangkan sifat pemarah yang ada dalam diri seseorang itu membawa kepada masalah yang lebih besar seperti pertengkaran, permusuhan dan lebih membimbangkan adalah pembunuhan.

Selain itu, marah ini boleh merebak kepada masalah emosi dan tekanan perasaan jika tidak dikawal atau diuruskan dengan baik.

Dalam agama Islam, marah terbahagi kepada dua iaitu marah yang dipuji dan marah yang dikeji.

Marah yang dipuji itu adalah apabila seseorang itu marah kerana mempertahankan kebenaran dan perkara yang hak. Contohnya, marah apabila melihat kemungkaran dan marah apabila agama dan Rasulullah s.a.w dihina. Tetapi cara menyalurkan marah tersebut haruslah betul dan kena pada tempatnya dengan tujuan yang baik.

Marah yang dikeji pula ialah marah yang mempertahankan perkara yang salah dan marah yang bermegah-megah dengan pangkat, harta, ilmu , nama dan juga membesarkan diri.

mengawal marah

Cara Mengawal Kemarahan

Terdapat pelbagai cara yang boleh dilakukan bagi mengawal kemarahan. Dalam islam sendiri telah diajar bagaimana untuk mengawal marah.

Beberapa perkara yang boleh dilakukan untuk mengawal dan mencegah kemarahan adalah seperti berikut:

1. Membaca Ta’awuz dan doa

Membaca Ta’awuz iaitu Auzubillahi Minasyaiton Nirrajim dan doa yang disertakan dibahagian “Doa Ketika Marah”.

2. Melakukan perkara berikut

Jika seseorang itu marah dalam keadaan berdiri, maka duduklah. Jika seseorang itu marah dalam keadaan duduk,maka berbaringlah dan mendiamkan diri.

3. Berwuduk

Apabila seseorang itu sedang marah. Maka, sebaik-baiknya berwuduklah kerana marah itu daripada syaitan dan syaitan itu adalah dari api. Air dapat memadamkan api.

Selain itu, air wuduk juga boleh menyejukkan anggota badan dan muka yang tengah panas dan marah itu.

4. Berfikir tentang keburukan marah

Sebelum membenarkan rasa marah itu datang dalam diri, berfikirlah sejenak akan keburukan marah dan kesannya kepada diri kita dan orang lain.

Sentiasa mengingati bahawa marah boleh membawa kepada permusuhan dan dendam.

5. Beredar ke tempat lain

Cepat-cepat beredar ke tempat lain apabila tempat asal kita berada menyebabkan rasa marah dalam diri kita.

Contohnya, tercetusnya pertengkaran dalam rumah, maka keluarlah seketika seperti ke masjid atau ke kawasan lapang yang menghijau untuk menenangkan diri.

6. Memikirkan ganjaran di akhirat kelak

Mereka yang meninggalkan marah dan pertengkaran akan beroleh ganjaran yang hebat di akhirat kelak walaupun dia di pihak yang benar.

Hal ini sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w dalam sebuah hadis yang bermaksud:

Aku menjamin dengan sebuah istana di pinggir syurga bagi orang yang meninggalkan pertengkaran, meskipun dia di pihak yang benar, sebuah istana di tengah syurga bagi orang yang meninggalkan pendustaan meskipun ia bergurau, sebuah istana di atas syurga bagi orang yang memperbaiki akhlaknya.

(Riwayat Imam Abu daud)

7. Tukarkan marah kepada lawak jenaka

Kadang-kadang marah itu boleh dielakkan dengan mengubah arahnya kepada lawak jenaka atau melihat babak atau cerita lawak jenaka.

Sedikit sebanyak, lawak ini boleh meredakan hati yang panas dan mengalih perhatian daripada perasaan marah atau keinginan untuk bertengkar.

8. Berdiam diri dan bertafakur

Berdiam diri dan bertafakur dengan memikirkan kisah-kisah teladan tentang baik buruknya sifat marah, keutamaan menahan dan mengawal marah, memberi maaf dan berlemah lembut juga boleh diamalkan untuk mengawal kemarahan.

Doa Ketika Marah

ِأَعُوْذُ بِاللهِ مِنَ الشَّيْطَانِ الرَّجِيم

اَللَّهُمَّ رِبَّ النَّبِيِّ مُحَمَّد اغْفِرْلِى ذَنْبِي وَأَذْهَبَ غَيْظَ قَلْبِى وَأَجِرْنِى مِن مُضِلاَّتِ الْفِتَنِ

Maksudnya:

Aku berlindung diri dengan Allah dari syaitan yang terkutuk. Wahai TuhanKu, Tuhan Nabi Muhammad, ampunilah dosaku, hilangkanlah kemarahan hatiku dan lepaskanlah aku dari fitnah-fitnah yang menyesatkan.”

Kesimpulannya

Sesungguhnya menjauhkan diri daripada sifat marah itu boleh mengelakkan berlakunya perkara-perkara buruk seperti pertengkaran, pergaduhan, dendam, dengki, dan sikap saling bermusuhan.

Oleh itu, jauhi sifat marah dengan mengawal marah dan mencegah marah dari terus menguasai diri kita. Semoga kita sentiasa beroleh rahmat dan hidayah daripada Allah s.w.t.

Write A Comment