Nutrisi

7 Makanan Untuk Mencegah Kanser Prostat

Pinterest LinkedIn Tumblr

Pemakanan boleh memainkan peranan penting kepada kesihatan badan dan juga dalam pencegahan kanser. Artikel kali ini menyenaraikan 7 makanan untuk mencegah kanser prostat yang mudah didapati di kedai atau pasar raya.

Kanser prostat adalah antara kanser yang paling kerap dialami oleh kaum lelaki. Di Malaysia, daripada tahun 2011-2016, kanser prostat berada ditangga ke-3 tertinggi dihidapi oleh kaum lelaki.

Oleh itu, adalah penting untuk mencegah kanser ini daripada terjadi bermula dengan kaedah yang paling mudah iaitu pemakanan.

makanan untuk mencegah kanser prostat

Berikut adalah senarai makanan yang boleh mencegah dan membantu dalam perawatan kanser prostat.

1. Tomato

Tomato adalah salah satu makanan untuk mencegah kanser prostat. Tidak kiralah tomato yang besar atau tomato ceri, kedua-duanya mengandungi antioksidan yang dikenali sebagai likopena (lycopene).

Terdapat kira-kira 15mg likopena dalam 100g tomato yang berwarna merah gelap. Manakala, sos tomato pula mengandungi 17mg atau lebih likopena dalam 100g sos ini. Pes tomato pula mengandungi 55mg likopena dalam 100g pes ini.

Kajian makmal melaporkan bahawa likopena ini mempunyai keupayaan untuk melawan sel-sel kanser prostat dengan menghentikan perkembangan sel dan membunuh sel-sel tersebut.

Kajian klinikal terhadap 32 orang pesakit kanser prostat juga menunjukkan kesan likopena yang memberangsangkan. Selepas 3 minggu pengambilan 30 mg likopena setiap hari, kajian ini mendapati terdapat peningkatan peratusan sel-sel kanser yang mati sebanyak hampir 2% dan tahap kematian sel terancang juga turut meningkat [1].

Bagaimana untuk mendapatkan kebaikan tomato ini?

Lelaki sihat atau lelaki yang berisiko tinggi menghidap kanser prostat boleh menambah tomato dalam diet melalui pelbagai cara.

Antara cara yang mudah ialah dengan makan makanan yang mengandungi pes tomato atau sos tomato. Atau menambah dua bahan ini dalam menu diet harian anda.

Selain itu, anda boleh menikmati makanan yang sedap seperti spageti Bolognese dalam masa yang sama mendapat manfaat daripada tomato.

Anda juga boleh menambah potongan-potongan tomato segar ke dalam sandwic atau salad sebagai kudapan atau sarapan pagi.

2. Anggur

Anggur hitam dan merah adalah dua jenis anggur yang kaya dengan sebatian polifenol yang dikenali sebagai Resveratrol. Resveratrol merupakan salah satu antioksidan yang memainkan peranan penting dalam kebaikan dan khasiat buah anggur.

Resveratrol ini mempunyai kepekatan paling tinggi di kulit anggur hitam dan merah iaitu 50-100 mikrogram/gram.

Resveratrol ini didapati mempunyai aktiviti antitumor yang signifikan terhadap sel-sel kanser prostat dengan meningkatkan kematian sel terancang dan menghentikan perkembangan sel-sel kanser.

Selain bertindak sebagai antioksidan, kajian-kajian makmal dan terhadap haiwan mendapati Resveratrol bersifat antikanser yang boleh mencetuskan kematian sel terancang, menghalang perkembangan sel-sel kanser dan mencegah kanser bagi mereka yang berisiko tinggi [1,2,3,4].

Bagaimana untuk mendapatkan kebaikan anggur ini?

Buah anggur boleh dimakan segar, digabungkan dengan salad atau dicampurkan bersama-sama empingan oat. Pilih anggur yang berwarna hitam atau merah. Anggur jenis ini juga dikenali sebagai wine grapes.

Pastikan anda tidak membuang kulitnya ketika makan buah ini kerana Resveratrol banyak terkandung pada kulitnya.

Sekiranya anggur tersebut mempunyai biji, anda boleh memakan biji anggur tersebut kerana biji anggur mempunyai khasiat yang tersendiri.

Selain itu, Resveratrol juga boleh didapati dalam bentuk suplemen (makanan tambahan). Anda boleh mendapatkan suplemen Resveratrol secara atas talian.

3. Teh Hijau

Makanan untuk mencegah kanser prostat yang seterusnya pula ialah teh hijau. Teh hijau mempunyai banyak manfaat kepada kesihatan dan telah digunakan sejak dahulu lagi terutamanya di negara-negara Asia.

Terdapat kajian-kajian yang mendapati terdapat sebatian-sebatian dalam teh hijau yang dapat mengurangkan risiko kanser prostat kepada peminumnya.

Sebatian-sebatian yang dikenali sebagai katekin (catechin), EGCG (epigallocatechin-3-gallate) dan epikatekin (epicatechin) ini didapati boleh mencetuskan kematian sel terancang kepada sel-sel kanser, mempengaruhi tumbesaran tumor serta mempengaruhi isyarat hormon [5,6].

Bagaimana untuk mendapatkan kebaikan teh hijau ini?

Anda boleh menggantikan minuman kopi anda pada setiap pagi dengan teh hijau.

Teh hijau ini boleh diminum tidak kira sama ada secara panas atau sejuk. Untuk memaksimumkan kebaikannnya elakkan mencampur gula atau mengurangkan kandungan gula dalam minuman teh hijau anda.

4. Kunyit

Kunyit mungkin tidak asing lagi bagi masyarakat di Malaysia. Kunyit banyak dimanfaatkan dalam masakan masyarakat Melayu atau India.

Kunyit mengandungi sebatian aktif yang dikenali sebagai kurkumin (curcumin). Kurkumin ini mempunyai banyak khasiatnya untuk kesihatan kita. Salah satunya adalah sebagai makanan untuk mencegah kanser prostat.

Kajian-kajian makmal mendapati kurkumin ini boleh mencegah tumbesaran sel-sel kanser prostat dengan meningkatkan kematian sel terancang dan memendekkan kelangsungan hidup sel.

Kajian terhadap manusia pula mendapati kurkumin boleh membantu mengurangkan atau merendahkan kadar Prostate-specific Antigen (PSA) dalam kalangan pesakit kanser prostat [7,8].

PSA ialah bahan yang dihasilkan oleh kelenjar prostat. Sekiranya kandungan PSA ini tinggi berbanding biasa, ia menunjukkan prostat anda mengalami keradangan, jangkitan atau kanser.

Bagaimana untuk mendapatkan kebaikan kunyit ini?

Selain digunakan dalam masakan, kunyit juga boleh dijadikan minuman dengan cara mencampurkan serbuk kunyi dengan air suam atau air panas.

Oleh kerana kunyit ini sedikit sukar untuk diserap dan mudah disingkirkan dari badan, ia dikelaskan sebagai mempunyai ketersediaan bio (bioavailability) yang rendah. Cara untuk mengatasinya ialah dengan mengabungkan kunyit dengan lada hitam.

Lada hitam boleh meningkatkan ketersediaan bio bagi kunyit sebanyak 2000%.

5. Buah Delima

Buah delima boleh dimakan segar atau dibuat jus. Buah delima juga turut mempunyai banyak khasiatnya untuk kesihatan.

Selain kaya dengan vitamin C, buah delima mengandungi sebatian polifenol yang dikenali sebagai Ellagitannins. Ellagitannins termasuklah Punicalagin apabila dicerna akan menghasilkan asid elagik. Punicalagin ialah sebahagian daripada keluarga Ellagitannins.

Jus delima dan ekstrak delima dilaporkan boleh membantu menghalang tumbesaran sel serta meningkatkan kematian sel terancang terhadap sel-sel kanser prostat. Ia dikaitkan dengan kandungan Ellagitannins, Punicalagin, asid elagik dan juga sebatian polifenol yang lain [9,10].

Namun, banyak kajian terhadap manusia masih diperlukan.

Bagaimana untuk mendapatkan kebaikan delima ini?

Selain dimakan segar, jus delima dan ekstrak delima adalah dua pilihan yang baik untuk mendapatkan manfaat yang maksimum daripada buah ini.

Jus delima yang asli kini sudah mudah didapati. Ada dijual di pasar raya dan ada juga dijual di pasar malam. Pastikan jus ini tiada campuran gula.

Sekiranya jus ini terlalu pekat, anda boleh mencairkannya dengan air kosong.

6. Kubis Bunga

Kubis bunga adalah sayuran cruciferous daripada keluarga Brassicaceae. Selain kubis bunga, sayur brokoli, kubis, bok choy dan juga kubis daun (kale) juga adalah daripada keluarga Brassicaceae.

Walaupun pengkaji masih tidak mempunyai bukti yang jelas akan perkaitan pemakanan sayuran cruciferous dengan kanser prostat. Namun beberapa kajian kes terkawal mendapati mereka yang makan banyak sayur-sayuran cruciferous mempunyai risiko kanser prostat lebih rendah [11,12].

Bagaimana untuk mendapatkan kebaikan sayur ini?

Kubis bunga boleh digoreng atau dicampurkan dalam tomyam. Manakala, brokoli dan lain-lain juga turut boleh dipanggang, goreng atau direbus.

Amalkan pemakanan sayur setiap hari dengan mengamalkan diet pinggan sihat.

7. Kacang Soya

Kacang soya sama ada dalam bentuk susu soya atau tauhu mempunyai potensi khasiat yang besar terhadap mereka yang berisiko tinggi menghidap kanser prostat.

Kacang soya mengandungi sebatian bioaktif yang dikenali sebagai isoflavin. Terdapat kajian yang mengaitkan isoflavin kacang soya dengan pengurangan risiko terhadap kanser prostat [13].

Terdapat juga kajian yang dilakukan dengan cara mengabungkan isoflavin soya dengan kurkumin. Kajian ini mendapati tahap PSA pesakit yang dibekalkan isoflavin dan kurkumin ini menurun berbanding kumpulan kawalan [14].

Bagaimana untuk mendapatkan kebaikan kacang soya ini?

Susu soya atau tauhu adalah makanan atau minum yang mudah untuk didapati.

Anda boleh mencuba dengan menambah tauhu dalam masakan sayur-sayuran atau boleh mencuba pelbagai resepi melibatkan tauhu.

Manakala bagi susu soya pula, minum susu soya yang kurang atau tidak ditambah gula untuk mengelakkan kesan buruk daripada gula tersebut.

Rumusan

Makanan boleh menjadi satu sumber atau kaedah dalam pencegahan dan perawatan kanser. Pemilihan makanan adalah amat penting bagi mengelakkan kita terjebak dengan penyakit kanser seperti kanser prostat ini.

Tomato, anggur, delima, kacang soya dan sayur-sayuran adalah makanan yang boleh diamalkan untuk mencegah kanser prostat.

Sekiranya anda telah menghidap dan sedang menjalani rawatan kanser prostat, dapatkan nasihat doktor sebelum mengubah diet atau mengambil suplemen yang berkaitan bagi mengelakkan tindak balas negatif.

Rujukan
Rujukan
  1. Livingstone, T. L. et al. (2019). Plant Bioactives and the Prevention of Prostate Cancer: Evidence from Human StudiesNutrients.
  2. Salehi, B., et al. (2018). Resveratrol: A Double-Edged Sword in Health BenefitsBiomedicines.
  3. Stewart, J. R., et al. (2003). Resveratrol: a candidate nutritional substance for prostate cancer preventionThe Journal of nutrition.
  4. Harper, C. E., et al. (2007). Resveratrol suppresses prostate cancer progression in transgenic mice. Carcinogenesis.
  5. Miyata, Y., et al. (2019). Anti-Cancer Effects of Green Tea Polyphenols Against Prostate CancerMolecules .
  6. Guo, Y., et al. (2017). Green tea and the risk of prostate cancer: A systematic review and meta-analysisMedicine.
  7. Choi, Y. H., et al. (2019). A randomized, double-blind, placebo-controlled trial to evaluate the role of curcumin in prostate cancer patients with intermittent androgen deprivation. The Prostate.
  8. Hejazi, J., et al. (2016). Effect of Curcumin Supplementation During Radiotherapy on Oxidative Status of Patients with Prostate Cancer: A Double Blinded, Randomized, Placebo-Controlled StudyNutrition and cancer.
  9. Wang, L., et al. (2014). Pomegranate and its components as alternative treatment for prostate cancerInternational journal of molecular sciences.
  10. Adaramoye, O., et al. (2017). Punicalagin, a polyphenol from pomegranate fruit, induces growth inhibition and apoptosis in human PC-3 and LNCaP cellsChemico-biological interactions.
  11. Jain, M. G., et al. (1999). Plant foods, antioxidants, and prostate cancer risk: findings from case-control studies in CanadaNutrition and cancer.
  12. Kolonel, L. N., et al. (2000). Vegetables, fruits, legumes and prostate cancer: a multiethnic case-control studyCancer epidemiology, biomarkers & prevention : a publication of the American Association for Cancer Research.
  13. Mahmoud, A. M., et al. (2014). Soy isoflavones and prostate cancer: a review of molecular mechanisms. The Journal of steroid biochemistry and molecular biology.
  14. Ide, H., et al. (2010). Combined inhibitory effects of soy isoflavones and curcumin on the production of prostate-specific antigenThe Prostate.

Write A Comment