Nutrisi

10 Makanan Untuk Melancarkan Darah

Pinterest LinkedIn Tumblr

Masalah darah tidak lancar atau masalah kitaran darah adalah antara masalah yang biasa terjadi. Selain ubat-ubatan, terdapat juga makanan yang boleh dimakan untuk melancarkan darah. Artikel ini menyenaraikan beberapa makanan untuk melancarkan darah yang mudah didapati.

Masalah darah tidak lancar boleh disebabkan oleh beberapa punca atau penyakit. Antaranya ialah kencing manis (diabetes), merokok, obesiti dan penyakit arteri periferal [1, 2, 3, 4].

Selain itu, makanan untuk melancarkan darah ini juga bermanfaat kepada para atlet atau ahli sukan yang ingin meningkatkan prestasi dan mempercepatkan pemulihan.

makanan untuk melancarkan darah

Berikut adalah 10 makanan untuk melancarkan darah berdasarkan kajian yang telah dijalankan.

1. Ginkgo Biloba

Ginkgo biloba adalah tumbuhan purba yang berasal dari China yang mempunyai kebaikan untuk meningkatkan aliran darah ke pelbagai bahagian tubuh.

Ginkgo biloba ini boleh didapati di pasaran dalam bentuk makanan tambahan (supplement).

Kesan Ginkgo biloba terhadap aliran darah dibuktikan dalam satu kajian yang dijalankan terhadap pesakit jantung. Terdapat peningkatan aliran darah yang pantas ke banyak bahagian badan. Ia disebabkan peningkatan kadar nitrik oksida iaitu sebatian yang bertanggungjawab mengembangkan saluran darah [5].

Kesan yang sama turut dapat dilihat dalam kalangan warga tua yang mengambil ekstrak Ginkgo biloba ini [6].

Walaupun pengambilan makanan tambahan Ginkgo biloba ini secara umumnya adalah selamat,namun ia mungkin mendatangkan kesan sampingan terhadap sesetengah orang.

Loya, muntah, sakit perut, sakit kepala, pening atau ruam adalah antara kesan sampingan yang mungkin berlaku.

Ginkgo juga mungkin berinteraksi dengan ubat-ubat berikut:

  • Ubat pencair darah.
  • Ubat antidepresi.
  • Ubat NSAID seperti ibuprofen dan Tylenol.

Dapatkan nasihat doktor sebelum anda mengambil makanan tambahan Ginkgo biloba ini.

2. Pegaga

Pegaga atau turut dikenali sebagai ulam pegaga adalah tumbuhan herba yang turut boleh membantu melancarkan aliran darah.

Dalam satu ulasan sistematik terhadap 8 kajian merumuskan bahawa ekstrak pegaga mempunyai kesan positif terhadap penyakit kelemahan vena kronik (chronic venous insufficiency) iaitu dengan mengurangkan tanda dan simptom penyakit ini [7].

Penyakit kelemahan vena kronik ialah keadaan apabila salur darah (vena) mengalami masalah untuk menghantar darah daripada anggota badan kembali ke jantung. Kesannya, ia menyebabkan darah terkumpul di bahagian kaki anda.

Dalam kajian klinikal yang dijalankan terhadap 94 pesakit kelemahan vena turut mendapati ekstrak pegaga boleh mengurangkan simptom-simptom berkaitan kelemahan vena ini [8].

3. Biji Anggur

Jika anda tidak menyukai biji anggur, mungkin ini boleh mengubah persepsi anda.

Ekstrak biji anggur dipercayai mampu memulihkan mereka yang mempunyai masalah salur darah. Contohnya seperti penyakit kelemahan vena. Salah satu simptom kelemahan vena ialah bengkak di kaki atau buku lali.

Kajian oleh pengkaji di Jepun mendapati ekstrak biji anggur boleh membantu mengurangkan bengkak di kaki wanita sihat akibat duduk yang terlalu lama. Kandungan proanthocyanidin dalam biji anggur dipercayai memainkan peranan penting dalam penyembuhan ini [9].

Biji anggur ini boleh didapati dalam bentuk makanan tambahan (supplement) di pasaran.

4. Buah Delima

Buah delima adalah antara buah yang kaya dengan antioksidan seperti polifenol.

Pengambilan buah delima tidak kira dalam bentuk mentah, jus atau makanan tambahan (supplement) boleh meningkatkan aliran darah dan kandungan oksigen dalam tisu badan.

Kajian terhadap 19 orang lelaki dan wanita aktif mendapati kumpulan yang menerima 1000mg ekstrak delima 30 minit sebelum bersenam menunjukkan peningkatan aliran dadah, diameter salur darah dan prestasi [10].

5. Bawang Putih

Bawang putih yang banyak digunakan dalam masakan kita juga boleh membantu melancarkan darah.

Kandungan sulfur termasuklah alisin dalam bawang putih berperanan penting dalam meningkatkan aliran darah dan mengendurkan salur darah.

Dalam kajian terhadap pesakit jantung arteri koronari, mereka yang mengambil tablet serbuk bawang putih yang mengandungi 1200mg alisin 2 kali sehari selama 3 bulan mengalami peningkatan dari segi aliran darah [11].

6. Kunyit

Kunyit juga adalah makanan yang boleh dimakan untuk melancarkan darah.

Kandungan sebatian aktif dalam kunyit iaitu kurkumin boleh membantu meningkatkan penghasilan nitrik oksida, mengurangkan keradangan dan mengurangkan tekanan pengoksidaan.

Kurkumin ini juga didapati boleh meningkatkan aliran darah di lengan dan lengan atas dalam kalangan mereka yang mengambil makanan tambahan mengandungi 2,000mg kurkumin setiap hari [12].

7. Tomato

Tomato juga boleh membantu melancarkan darah.

Selain kandungan likopena yang baik untuk kulit dan prostat, tomato juga boleh membantu masalah aliran darah dengan mengurangkan aktiviti enzim penukaran angiotensin (ACE) [13].

Dalam satu analisis dan ulasan sistematik yang melibatkan 21 kajian, pengambilan tomato menunjukkan penambahbaikan terhadap fungsi endotelial [14].

Sel-sel endotelial bertanggungjawab menghasilkan bahan yang boleh mengawal pengenduran dan pengucupan salur darah.

8. Halia

Halia yang biasanya digunakan dalam masakan harian kita juga sebenarnya turut mempunyai khasiat terhadap aliran darah.

Perubatan tradisional India dan Cina menggunakan halia untuk merendahkan tekanan darah dan meningkatkan kitaran darah [15].

Kajian terhadap haiwan mendapati ekstrak halia boleh menyebabkan pengenduran pada arteri koronari. Kesan ini adalah disebabkan kemampuan ekstrak halia ini untuk menghentikan penghasilan nitrik oksida aberan (nitrik oksida yang menyimpang dari tugas asalnya) [16].

9. Minyak Ikan

Ikan berlemak ialah kumpulan ikan yang mengandungi asid lemak Omega-3 atau turut dikenali sebagai minyak ikan.

Ikan kembung, ikan tenggiri, ikan sardin, ikan bilis dan ikan haruan adalah antara ikan yang tinggi dengan kandungan asid lemak Omega-3.

Asid lemak Omega-3 atau ringkasnya Omega-3 adalah lemak yang baik untuk kitaran darah kerana lemak ini mengalakkan penghasilan nitrik oksida. Nitrik oksida ini boleh mengendurkan salur darah dan meningkatkan aliran darah [17].

Satu kajian terhadap 10 lelaki muda selama 4 minggu mendapati pengambilan minyak ikan sebanyak 4.2 gram sehari boleh meningkatkan aliran darah di bahagian kaki [18].

10. Kayu Manis

Kayu manis ialah rempah yang turut mempunyai banyak khasiat kepada kesihatan manusia.

Salah satu daripadanya ialah meningkatkan pengaliran darah.

Terdapat kajian yang melaporkan bahawa kayu manis boleh merendahkan tekanan darah sistolik dan diastolik melalui pengenduran salur darah [19].

Pengkaji percaya kesan pengurangan ketegangan dinding salur darah oleh kayu manis ini adalah disebabkan penghasilan nitrik oksida.

Di samping itu juga, dalam satu analisis terhadap 9 kajian turut mendapati kayu manis boleh mengurangkan tekanan darah sistolik dan diastolik. Kesan ini dilihat bagi mereka yang mengambil dos 2 g atau kurang sehari selama lebih 8 minggu [20].

Rumusan

Selain ubat-ubatan, terdapat juga cara semulajadi yang boleh dilakukan untuk menambah baik aliran atau kitaran darah.

Kandungan antioksidan, vitamin, nitrik oksida dan bahan lain yang terkandung dalam makanan-makanan ini boleh mendatangkan kesan positif terhadap aliran darah dalam badan kita.

Selain penyakit kelemahan vena, masalah aliran dan kitaran darah juga turut boleh menyebabkan masalah lain seperti tekanan darah tinggi.

Oleh itu, pengamalan makanan yang sihat dan baik untuk aliran darah penting sebagai langkah pencegahan kepada masalah ini.

Rujukan
Rujukan
  1. An, Y., et al. (2018). Blood flow characteristics of diabetic patients with complications detected by optical measurementBiomedical engineering online.
  2. Li, G., et al. (2017). The association between smoking and blood pressure in men: a cross-sectional studyBMC public health.
  3. Acree, L. S., et al. (2007). The influence of obesity on calf blood flow and vascular reactivity in older adultsDynamic medicine : DM.
  4. Olin, J. W., et al. (2010). Peripheral artery disease: current insight into the disease and its diagnosis and managementMayo Clinic proceedings.
  5. Wu, Y. Z., et al. (2008). Ginkgo biloba extract improves coronary artery circulation in patients with coronary artery disease: contribution of plasma nitric oxide and endothelin-1Phytotherapy research : PTR.
  6. Wu, Y., et al. (2008). Ginkgo biloba extract improves coronary blood flow in healthy elderly adults: role of endothelium-dependent vasodilationPhytomedicine : international journal of phytotherapy and phytopharmacology.
  7. Chong, N. J., et al. (2013). A Systematic Review of the Efficacy of Centella asiatica for Improvement of the Signs and Symptoms of Chronic Venous InsufficiencyEvidence-based complementary and alternative medicine : eCAM.
  8. Pointel, J. P., et al.. (1987). Titrated extract of Centella asiatica (TECA) in the treatment of venous insufficiency of the lower limbsAngiology.
  9. Sano, A., et al. (2013). Proanthocyanidin-rich grape seed extract reduces leg swelling in healthy women during prolonged sittingJournal of the science of food and agriculture.
  10. Trexler, E. T., et al. (2014). Effects of pomegranate extract on blood flow and running time to exhaustionApplied physiology, nutrition, and metabolism = Physiologie appliquee, nutrition et metabolisme.
Rujukan point 5-10
  1. Mahdavi-Roshan, M., et al.(2017). Effects of garlic on brachial endothelial function and capacity of plasma to mediate cholesterol efflux in patients with coronary artery diseaseAnatolian journal of cardiology.
  2. Santos-Parker, J. R., et al. (2017). Curcumin supplementation improves vascular endothelial function in healthy middle-aged and older adults by increasing nitric oxide bioavailability and reducing oxidative stressAging.
  3. Shidfar, F.,et al. (2011). The effects of tomato consumption on serum glucose, apolipoprotein B, apolipoprotein A-I, homocysteine and blood pressure in type 2 diabetic patientsInternational journal of food sciences and nutrition.
  4. Cheng, H. M., et al. (2017). Tomato and lycopene supplementation and cardiovascular risk factors: A systematic review and meta-analysisAtherosclerosis.
  5. Prasad, S., & Tyagi, A. K. (2015). Ginger and its constituents: role in prevention and treatment of gastrointestinal cancerGastroenterology research and practice.
  6. Wu, H. C., et al. (2018). Relaxant and vasoprotective effects of ginger extracts on porcine coronary arteriesInternational journal of molecular medicine.
  7. Mohebi-Nejad, A., & Bikdeli, B. (2014). Omega-3 supplements and cardiovascular diseasesTanaffos.
  8. Pearson, S. J., et al. (2014). Fish oil supplementation, resting blood flow and markers of cellular metabolism during incremental exerciseInternational journal for vitamin and nutrition research.
  9. Kawatra, P., & Rajagopalan, R. (2015). Cinnamon: Mystic powers of a minute ingredientPharmacognosy research.
  10. Hadi, A., et al. (2020). The effect of cinnamon supplementation on blood pressure in adults: A systematic review and meta-analysis of randomized controlled trialsClinical nutrition ESPEN.

Write A Comment