Nutrisi

12 Makanan Terbaik Untuk Kesihatan Otak & Memori

Pinterest LinkedIn Tumblr

Memiliki otak yang sihat dan cerdas harus menjadi keutamaan setiap insan. Manusia yang hebat juga mempunyai IQ dan otak yang hebat. Tetapi, harus diketahui juga bahawa kesihatan otak dan memori boleh merosot. Oleh itu, di sini kami kongsikan makanan terbaik untuk kesihatan otak yang boleh membantu mengatasi masalah kemerosotan atau penyakit berkaitan otak.

Jika komputer mempunyai CPU (central processing unit), maka begitu jugalah badan manusia yang mempunyai otak. Otak berfungsi sebagai pusat kawalan yang mengawal pergerakan, pemikiran, pernafasan, degupan jantung dan lain-lain lagi.

Peningkatan usia dan penyakit adalah antara faktor yang menyebabkan penurunan kepada kesihatan otak. Penyakit demensia, Alzheimer dan Parkinson adalah antara penyakit yang berkaitan dengan otak.

Pemakanan yang sihat adalah salah satu kunci untuk mengembalikan prestasi otak dan memori ketahap terbaiknya.

makanan terbaik untuk kesihatan otak

Berikut adalah senarai antara 15 makanan terbaik untuk kesihatan otak dan memori anda berdasarkan kajian.

1. Ginseng

Ginseng adalah tumbuhan herba yang popular dalam perubatan tradisional Cina.

Ginseng mempunyai kebaikan terhadap kesihatan otak.

Berdasarkan kajian, ginseng Asia didapati boleh meningkatkan prestasi mental dan mengurangkan kelesuan mental. Selain itu, ginseng Amerika juga boleh meningkatkan memori kerja iaitu memori yang terlibat dalam membuat keputusan dan tingkah laku [1,2].

Walaupun ginseng ini mempunyai banyak khasiat, namun pengambilannya tidak disarankan kepada wanita mengandung atau ibu menyusu.

2. Anggur

Buah anggur turut mempunyai khasiat terhadap kesihatan otak dan memori.

Satu kajian yang dijalankan terhadap golongan berumur yang mengalami kemerosotan ingatan didapati pengambilan jus anggur selama 3 bulan menunjukkan perkembangan positif [3].

Manakala bagi golongan muda yang sihat pula, jus anggur boleh menambah baik memori dan emosi selepas 20 minit meminum jus tersebut [4].

3. Ginkgo biloba

Makanan terbaik untuk kesihatan otak yang seterusnya ialah Ginkgo biloba.

Ginkgo biloba didapati boleh mengurangkan simptom-simptom demensia [5].

Demensia ialah penyakit yang disebabkan gangguan keupayaan kognitif yang mengakibatkan kemerosotan daya ingatan, daya berfikir, daya merancang dan penjagaan kendiri.

Para saintis percaya bahawa Ginkgo biloba ini boleh meningkatkan fungsi kognitif kerana kebolehannya melancarkan pengaliran darah di otak dan melindungi otak dari kerosakan neuronal.

Walau bagaimanapun, Ginkgo biloba tidak mempunyai kesan positif terhadap fungsi kongnitif individu yang sihat.

4. Buah Bidara

Buah bidara mengandungi kandungan antioksidan yang baik untuk kesihatan otak.

Kajian terhadap buah bidara mendapati buah ini boleh melindungi neuron daripada kerosakan iskemik iaitu aliran darah yang tidak mencukupi ke otak. Kesan perlindungan ini dipercayai akibat daripada kesan antioksidan dalam buah bidara ini [6].

Dalam kajian terhadap haiwan, ekstrak buah bidara juga didapati mempunyai “kesan membaiki” terhadap kecelaruan memori dan tingkah laku yang disebabkan luka di salah satu bahagian otak. Pengkaji percaya buah ini mungkin bermanfaat dalam merawat pesakit yang menghidap penyakit Alzheimer [7].

5. Pegaga

Seterusnya, Pegaga juga turut berkhasiat terhadap kesihatan otak. Kebaikan ini dapat dilihat melalui keupayaannya untuk meningkatkan fungsi kognitif.

Kognitif ialah proses mental untuk mentafsir, mempelajari dan memahami sesuatu.

Dalam kajian yang dijalankan terhadap pesakit strok, pegaga dilihat lebih berkesan daripada asid folik dalam meningkatkan daya ingatan [8].

Kajian klinikal lain yang dijalankan terhadap 28 warga tua yang sihat mendapati ekstrak pegaga boleh meningkatkan daya ingatan dan emosi bagi warga tua yang sihat [9].

6. Buah Epal

Buah epal juga adalah antara makanan terbaik yang berkhasiat untuk kesihatan otak.

Kebaikan ini disumbang oleh kandungan antioksidannya iaitu kuersetin.

Berdasarkan kajian, kuersetin didapati boleh membantu mengurangkan kematian sel yang disebabkan oleh pengoksidaan dan radang neuron [10].

Kajian terhadap haiwan mendapati jus epal boleh membantu memelihara asetilkolina iaitu pengantar impuls dari sel saraf ke otot,kelenjar atau sel saraf lain. Asetilkolina ini boleh berkurang selari dengan peningkatan usia dan tekanan pengoksidaan. Kadar asetilkolina yang rendah juga dikaitkan dengan penyakit Alzheimer [11].

7. Buah Strawberi

Buah strawberi adalah satu buah dalam kumpulan beri yang mengandungi flavonoid yang dikenali sebagai antosianidin.

Satu kajian epidemiologi mendapati buah strawberi boleh melambatkan penuaan kognitif sehingga 2.5 tahun. Kajian ini turut merumuskan bahawa pengambilan antosianidin dan flavonoid boleh memperlahankan kemorosotan kognitif [12].

8. Teh Hijau

Jika anda pengemar teh, anda harus mencuba teh hijau. Ini kerana teh hijau boleh meningkatkan fungsi otak.

Teh hijau mengandungi beberapa komponen utama seperti L-theanine, katekin (catechin) dan kafein.

Satu ulasan terhadap teh hijau melaporkan bahawa teh hijau boleh mengurangkan keresahan, bermanfaat kepada daya ingatan dan tumpuan serta fungsi otak. Kesan positif terhadap kognitif ini adalah hasil gabungan L-theanine dan kafein [13].

9. Lada Hitam

Selain menjadi penambah rasa, lada hitam juga turut mempunyai kebaikan terhadap kesihatan otak.

Ini berdasarkan dapatan kajian terhadap haiwan yang mendapati lada hitam boleh meningkatkan memori. Kesan farmakologi ini disumbang oleh kandungan sebatian yang dikenali sebagai “chavicine” [14].

Kajian lain turut mencadangkan lada hitam sebagai makanan yang berkesan dalam mencegah penyakit Alzheimer. Ini kerana lada hitam didapati boleh mengurangkan pembentukan plak amiloid dan meningkatkan memori [15].

Kajian-kajian lanjut yang melibatkan manusia masih diperlukan untuk menyokong dapatan yang ditemui ini.

10. Saffron

Saffron juga turut berkhasiat kepada kesihatan otak.

Saffron mengandungi sebatian antioksidan yang dikenali sebagai krosin (crocin).

Kajian menunjukkan krosin mempamerkan aktiviti perlindungan pelbagai fungsi di dalam otak. Sebatian ini boleh digunakan sebagai makanan tambahan atau ubat untuk mencegah atau mengubati penyakit Alzheimer [16].

Kajian klinikal yang dijalankan terhadap penghidap Alzheimer ringan hingga sederhana mendapati saffron mempunyai keberkesanan yang sama dengan ubat Alzheimer iaitu Donepezil [17].

11. Kurma

Buah kurma juga mempunyai khasiat kepada kesihatan otak.

Buah kurma dilaporkan boleh melindungi otak iaitu di bahagian hipokampus. Hipokompus ialah bahagian otak yang mengawal selia emosi, motivasi, pembelajaran dan memori.

Rawatan awal terhadap haiwan menggunakan ekstrak buah kurma pada dos 250 mg/kg mengurangkan kematian neuron di hipokampus dengan ketara [18].

12. Brokoli

Brokoli adalah sayur yang mempunyai profil nutrisi yang baik.

Berdasarkan kajian, pengambilan sayur-sayuran seperti brokoli boleh melambatkan kemerosotan kognitif yang berlaku selari dengan penuaan [19].

Selain itu, brokoli juga kaya dengan kandungan vitamin K. Vitamin ini penting untuk menghasilkan “sphingolipid“, iaitu lemak yang padat dalam sel-sel otak [20].

Terdapat juga kajian yang mengaitkan pengambilan vitamin K dengan memori yang lebih baik dalam kalangan warga tua [21].

Rumusan

Senarai makanan terbaik yang untuk kesihatan otak dan memori ini ialah antara banyak makanan lagi yang mempunyai kesan yang baik untuk otak.

Kebiasaannya, peningkatan usia menjadi antara faktor utama kepada kemerosotan kognitif dan memori seseorang itu. Selain aktiviti fizikal dan gaya hidup yang sihat, diet yang sihat juga penting untuk mengekalkan kesihatan otak.

Selain ginseng dan ginkgo biloba, makanan-makanan lain pada asasnya selamat dan tidak mempunyai kesan sampingan kepada pemakannya.

Makanan-makanan ini juga bukan sahaja baik untuk kesihatan otak tetapi juga turut menyumbang kepada kesihatan badan secara keseluruhannya.

Rujukan
Rujukan
  1. Reay, J. L., et al. (2005). Single doses of Panax ginseng (G115) reduce blood glucose levels and improve cognitive performance during sustained mental activityJournal of psychopharmacology (Oxford, England).
  2. Scholey, A., et al. (2010). Effects of American ginseng (Panax quinquefolius) on neurocognitive function: an acute, randomised, double-blind, placebo-controlled, crossover studyPsychopharmacology.
  3. Krikorian, R., et al. (2010). Concord grape juice supplementation improves memory function in older adults with mild cognitive impairmentThe British journal of nutrition.
  4. Haskell-Ramsay, C. F., et al. (2017). Cognitive and mood improvements following acute supplementation with purple grape juice in healthy young adultsEuropean journal of nutrition.
  5. Savaskan, E., et al. (2018). Treatment effects of Ginkgo biloba extract EGb 761® on the spectrum of behavioral and psychological symptoms of dementia: meta-analysis of randomized controlled trialsInternational psychogeriatrics.
  6. Yoo, K. Y., et al. (2010). Zizyphus attenuates ischemic damage in the gerbil hippocampus via its antioxidant effectJournal of medicinal food.
  7. Rabiei, Z., et al. (2014). Effects of Zizyphus jujube extract on memory and learning impairment induced by bilateral electric lesions of the nucleus Basalis of Meynert in ratNeurochemical research.
  8. Farhana, K. M., et al. (2016). Effectiveness of Gotu Kola Extract 750 mg and 1000 mg Compared with Folic Acid 3 mg in Improving Vascular Cognitive Impairment after StrokeEvidence-based complementary and alternative medicine : eCAM.
  9. Wattanathorn, J., et al. (2008). Positive modulation of cognition and mood in the healthy elderly volunteer following the administration of Centella asiaticaJournal of ethnopharmacology.
  10. Bureau, G., et al.. (2008). Resveratrol and quercetin, two natural polyphenols, reduce apoptotic neuronal cell death induced by neuroinflammationJournal of neuroscience research.
  11. Chan, A., et al. (2006). Apple juice concentrate maintains acetylcholine levels following dietary compromiseJournal of Alzheimer’s disease : JAD.
Rujukan point 7-12
  1. Devore, E. E., et al.. (2012). Dietary intakes of berries and flavonoids in relation to cognitive declineAnnals of neurology.
  2. Edele M., et al.(2017). Green tea effects on cognition, mood and human brain function: A systematic review. Phytomedicine.
  3. Iqbal, G., et al. (2016). Memory Enhancing Effect of Black Pepper in the AlCl3 Induced Neurotoxicity Mouse Model is Mediated Through Its Active Component ChavicineCurrent pharmaceutical biotechnology.
  4. Subedee, L., et al. (2015). Preventive role of Indian black pepper in animal models of Alzheimer’s diseaseJournal of clinical and diagnostic research : JCDR.
  5. Finley, J. W., et al. (2017). A Perspective on Crocus sativus L. (Saffron) Constituent Crocin: A Potent Water-Soluble Antioxidant and Potential Therapy for Alzheimer’s DiseaseJournal of agricultural and food chemistry.
  6. Akhondzadeh, S., et al. (2010). A 22-week, multicenter, randomized, double-blind controlled trial of Crocus sativus in the treatment of mild-to-moderate Alzheimer’s diseasePsychopharmacology.
  7. Praveen K. Vayalil .(2012). Date Fruits (Phoenix dactylifera Linn): An Emerging Medicinal Food. Critical Reviews in Food Science and Nutrition.
  8. Morris, M. C., et al. (2006). Associations of vegetable and fruit consumption with age-related cognitive changeNeurology.
  9. Ferland G. (2012). Vitamin K and the nervous system: an overview of its actionsAdvances in nutrition.
  10. Soutif-Veillon, A., et al. (2016). Increased dietary vitamin K intake is associated with less severe subjective memory complaint among older adultsMaturitas.

2 Comments

Write A Comment