Nutrisi

20 Makanan Terbaik Untuk Kesihatan Kulit

Pinterest LinkedIn Tumblr

Mempunyai kulit yang sihat dan cantik sudah semestinya menjadi idaman setiap orang. Untuk mencapai matlamat ini, diet yang sihat juga penting. Artikel ini menyenaraikan makanan terbaik untuk kesihatan kulit.

Pemakanan yang berkhasiat adalah amat penting untuk kesihatan badan serta organ-organ. Begitu juga dengan kulit. Kulit ialah organ terbesar manusia.

Walaupun kulit bertindak sebagai pertahan bagi badan, kulit juga turut akan mengalami kerosakan jika tidak dijaga dengan baik. Salah satu cara menjaga kesihatan kulit ialah melalui pemakanan yang sihat.

Oleh itu, kami kongsikan beberapa makanan terbaik yang berkhasiat dan baik untuk kesihatan kulit anda.

makanan terbaik untuk kesihatan kulit

1. Tomato

Buah tomato adalah makanan yang popular untuk kesihatan kulit.

Buah ini mengandungi antioksidan yang dikenali sebagai likopena (lycopene). Sebiji buah tomato seberat 125 gram mengandungi 3220 mikrogram likopena.

Likopena ini lebih tinggi dalam buah tomato yang masak (warna merah).

Dalam satu kajian yang dijalankan oleh pengkaji Jerman, likopena didapati boleh melindungi kulit daripada kerosakan akibat sinaran UV atau selar matahari (sunburn) [1].

Pes tomato juga turut mengandungi khasiat likopena ini. Ini berdasarkan kajian klinikal terhadap mereka yang makan 40 gram pes tomato yang mengandungi 16 mg likopena setiap hari. Kumpulan ini mengalami 40% kurang selaran matahari berbanding mereka yang tidak makan pes tomato [2].

Selain itu, tomato juga turut mengandungi vitamin C yang baik untuk kesihatan kulit.

2. Rock melon

Pilihan makanan yang seterusnya ialah buah Rock melon atau Tembikai wangi.

Buah Rock melon ini mengandungi vitamin C dan A yang baik untuk kesihatan.

Sepotong rock melon bersaiz sederhana seberat 70 gram mengandungi:

  • 7.63 miligram vitamin C
  • 162 mikrogram vitamin A

Selain bertindak sebagai antioksidan, vitamin C turut berfungsi sebagai penggalak pembentukan kolagen, mengurangkan selar matahari, melambatkan penuaan kulit, mencegah kulit kering, mengurangkan kedutan kulit dan mempercepatkan penyembuhan luka [3].

Vitamin A juga penting untuk kesihatan kulit. Terdapat dua jenis vitamin A iaitu retinoid dan karotenoid. Kedua-dua jenis vitamin A ini akan ditukarkan kepada retinol oleh hati.

Menurut kajian yang diterbitkan pada 2010 melaporkan bahawa vitamin A boleh membantu mengurangkan kedutan kulit dan meningkatkan penghasilan kolagen [4].

3. Kacip Fatimah

Kacip fatimah yang biasanya digunakan untuk kekuatan dalaman wanita sebenarnya turut berkhasiat untuk kulit.

Ekstrak Kacip fatimah boleh melindungi kulit daripada radikal bebas yang terhasil akibat daripada sinaran UV-B. Pembentukan kolagen yang berkurang akibat sinaran UV-B ini juga turut kembali kepada normal setelah dirawat dengan Kacip fatimah.

Khasiat ini dipercayai disebabkan kandungan flavonoid dan asid fenolik dalam tumbuhan ini [5, 6].

4. Ikan

Ikan terutamanya ikan yang berlemak seperti ikan kembung, ikan tenggiri, ikan sardin dan ikan bilis adalah sumber makanan yang kaya dengan asid lemak Omega-3.

Asid lemak Omega-3 ini terdiri daripada DHA dan EPA. Omega-3 ini penting untuk melembapkan kulit dan mengekalkan ketebalan kulit.

Kajian terhadap haiwan mendapati DHA atau gabungan DHA dan EPA boleh mempercepatkan penyembuhan luka [7].

EPA pula membantu mengawal penghasilan minyak pada kulit bagi mengekalkan penghidratan kulit serta mencegah jerawat. Ia juga didapati boleh melambatkan penuaan kulit [8].

Selain ikan air masin, ikan air tawar seperti ikan haruan juga boleh membantu menambah baik masalah atau penyakit kulit.

Ikan haruan mengandungi decosahexaenoic acid (DHA) yang mampu merawat kulit. Asid lemak perlu (essential fatty acid) ini penting untuk mengurangkan keradangan pada kulit [9].

5. Buah Anggur

Buah anggur juga adalah salah satu makanan terbaik untuk kesihatan kulit.

Selain mengandungi vitamin C, A dan E, buah anggur juga mengandung antioksidan yang dikenali sebagai resveratrol. Resveratrol ini mempunyai manfaat untuk kulit seperti mengurangkan tanda-tanda penuaan kulit.

Ini berdasarkan kajian yang mendapati ekstrak anggur yang digunakan dalam krim penuaan menunjukkan kesan antipenuaan terhadap kesemua peserta wanita yang mengambil bahagian dalam satu ujian klinikal [10].

6. Timun Batang

Timun batang boleh membantu melindungi kulit daripada kerosakan dan boleh bertindak sebagai pelembap dan pemutih kulit dengan menyekat enzim tirosinase. Tirosinase ialah enzim yang berperanan dalam menghasilkan melanin.

Timun batang juga boleh merawat kedutan kulit dan selaran matahari (sunburn) [11].

7. Buah Pelaga

Buah pelaga yang digunakan sebagai rempah ratus turut mempunyai kebaikan kepada kesihatan kulit kita.

Buah pelaga berpotensi untuk digunakan untuk mencegah kanser kulit. Ini berdasarkan kajian terhadap haiwan yang menghidap kanser kulit yang disebabkan secara kimia [12].

8. Kunyit

Kunyit yang selalunya digunakan dalam masakan juga berpotensi dalam kesihatan kulit.

Kunyit mengandungi sebatian polifenol yang dikenali sebagai kurkumin. Kajian awal mendapati kurkumin ini boleh digunakan untuk merawat penyakit kulit seperti Psoriasis [13].

Satu ulasan lain turut melaporkan bukti awal yang menunjukkan kunyit mempunyai khasiat perawatan terhadap masalah atau penyakit kulit [14].

9. Pegaga

Ulam pegaga juga berkhasiat untuk kulit.

Berdasarkan kajian, pegaga didapati boleh mempercepatkan penyembuhan luka, meningkatkan pembentukan kolagen, menghalang keradangan dan menebalkan kulit di bahagian luka [15, 16, 17, 18].

10. Madu Kelulut

Makanan terbaik untuk kulit yang berikutnya ialah madu kelulut.

Ini berdasarkan kajian yang dijalankan oleh pengkaji dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang mendapati bahawa madu kelulut mempunyai keupayaan untuk menyembuhkan luka dan turut bersifat pelembap semulajadi [19].

11. Strawberi

Buah strawberi mengandungi asid elagik sebagai salah satu antioksidan dalam buah ini.

Antioksidan ini mempunyai khasiat yang baik untuk kulit. Kajian melaporkan bahawa asid elagik berkesan untuk merawat kedutan dan keradangan kulit akibat daripada sinaran UV yang kronik [20].

12. Buah Delima

Kanser kulit boleh terjadi akibat kulit yang terdedah terlalu lama pada sinaran matahari. Sinaran UV-B adalah antara penyebab berlakunya kanser kulit.

Buah delima tidak kira dalam bentuk ekstrak, jus atau minyak didapati berupaya untuk mencegah daripada berlakunya kanser kulit yang disebabkan oleh sinaran UV-B [21, 22, 23].

13. Buah Tin

Buah tin juga turut mempunyai khasiat untuk kesihatan kulit.

Ekstrak buah ini didapati boleh mengurangkan melanin kulit, mengurangkan kehilangan air di lapisan kulit dan mengurangkan sebum kulit. Ini menjadi petanda bahawa ekstrak buah tin ini berpotensi digunakan untuk merawat hiperpigmentasi, jerawat, jeragat dan kedutan kulit [24].

Walau bagaimanapun, ekstrak buah ini digunakan dalam krim sapuan dan bukannya dalam bentuk makanan atau produk makanan.

14. Teh Hijau

Teh hijau juga boleh membantu mengekalkan kesihatan kulit anda dengan melindungi kulit daripada penuaan dan kerosakan.

Teh hijau mengandungi antioksidan yang dikenali sebagai katekin (catechin).

Antioksidan ini adalah sebatian yang memainkan peranan utama dalam melindungi kulit daripada kerosakan akibat sinar UV dan meningkatkan kualiti kulit [25,26].

15-20. Makanan Terbaik Berdasarkan Kandungan Vitamin C dan Antioksidan

Vitamin C merupakan vitamin yang mempunyai kepekatan tinggi di kulit yang normal. Kulit yang terdedah terlalu lama kepada sinaran UV atau pencemaran boleh menyebabkan vitamin C ini berkurangan [3].

Selain vitamin C, vitamin E dan beta-karotena juga penting untuk kesihatan kulit.

Seperti vitamin C, vitamin E juga adalah antioksidan. Vitamin E boleh melindungi kulit daripada kerosakan pengoksidaan.

Begitu juga dengan beta-karotena. Beta-karotena juga adalah antioksidan yang boleh meningkatkan pertahanan kulit terhadap sinaran UV dan mengekalkan kesihatan kulit [27].

15. Jambu Batu

Jambu batu adalah buah-buahan tempatan yang sangat tinggi dengan vitamin C. Bahkan, kandungan vitamin C dalam Jambu batu lebih tinggi daripada oren.

Bagi 100 gram buah jambu batu terdapat:

  • 228 miligram vitamin C
  • 0.73 miligram vitamin E
  • 374 mikrogram beta-karotena

16. Buah Markisa

Buah markisa mengandungi antioksidan seperti vitamin C dan beta-karotena yang baik untuk kesihatan kulit dan wajah.

100 gram buah markisa mengandungi:

  • 30 miligram vitamin C
  • 743 mikrogram beta-karotena

17. Buah Mangga

Buah mangga juga tidak tercicir dari senarai makanan terbaik untuk kesihatan kulit ini.

Setiap 100 gram buah mangga mengandungi:

  • 36.4 miligram vitamin C
  • 0.9 miligram vitamin E
  • 640 mikrogram beta-karotena

18. Buah Nangka

Buah nangka juga turut menjadi sumber yang baik untuk mendapatkan vitamin C.

Bagi setiap 100 gram buah nangka terdapat kira-kira:

  • 14 miligram vitamin C
  • 0.34 miligram vitamin E
  • 61 mikrogram beta-karotena

19. Limau Nipis

Buah limau nipis adalah buah sitrus yang kaya dengan vitamin C.

Setiap 100 gram limau nipis terdapat kira-kira:

  • 29 miligram vitamin C
  • 0.22 miligram vitamin E
  • 30 mikrogram beta-karotene

20. Buah Oren

Mungkin tidak perlu dikenalkan lagi. Buah oren sememangnya terkenal sebagai sumber vitamin C dan turut menjadi ikon kepada vitamin C.

Bagi setiap 100 gram buah oren, terdapat:

  • 53 miligram vitamin C
  • 0.18 miligram vitamin E
  • 71 mikrogram beta-karotena

Makanan yang Boleh Merosakkan Kulit

Di sebalik makanan yang sihat untuk kulit, terdapat juga makanan yang boleh merosakkan kulit. Antaranya ialah:

  • Makanan yang diproses atau karbohidrat bertapis.
  • Gula putih (gula tambahan)
  • Lemak tidak sihat seperti lemak trans

Rumusan

Senarai 20 makanan terbaik ini adalah antara makanan yang berkhasiat untuk kesihatan kulit. Makanan ini juga mudah untuk diamalkan dalam diet harian. Sifat makanan ini adalah untuk mencegah dan mengurangkan risiko berlakunya penyakit berkaitan kulit.

Selain itu, makanan-makanan ini juga baik untuk kesihatan badan secara keseluruhannya.

Oleh itu, tambah makanan ini dalam diet harian anda untuk mendapatkan manfaatnya.

Rujukan
Rujukan
  1. Stahl, W., et al. (2006). Lycopene-rich products and dietary photoprotectionPhotochemical & photobiological sciences.
  2. Stahl, W., et al. (2001). Dietary tomato paste protects against ultraviolet light-induced erythema in humansThe Journal of nutrition.
  3. Pullar, J. M., et al. (2017). The Roles of Vitamin C in Skin HealthNutrients.
  4. Kim B. H. (2010). Safety Evaluation and Anti-wrinkle Effects of Retinoids on SkinToxicological research.
  5. Chua, L. S., et al. (2011). Flavonoids and phenolic acids from Labisia pumila (Kacip Fatimah)Food chemistry.
  6. Choi, H. K., et al. (2010). Labisia pumila extract protects skin cells from photoaging caused by UVB irradiationJournal of bioscience and bioengineering.
  7. Huang, T. H., et al. (2018). Cosmetic and Therapeutic Applications of Fish Oil’s Fatty Acids on the SkinMarine drugs.
  8. Spencer, E. H.,et al. (2009). Diet and acne: a review of the evidenceInternational journal of dermatology.
  9. Mohd, S. M., & Abdul Manan, M. J. (2012). Therapeutic potential of the haruan (Channa striatus): from food to medicinal usesMalaysian journal of nutrition.
  10. Moyano-Mendez, J. R., et al.(2014). Enhanced antioxidant effect of trans-resveratrol: potential of binary systems with polyethylene glycol and cyclodextrinDrug development and industrial pharmacy.
Rujukan point 6-10
  1. Murad, H. (n.d.). Evaluating The Potential Benefits of Cucumbers for Improved Health and Skin Care. JARLIFE.
  2. Qiblawi, S., et al. (2012). Chemopreventive effects of cardamom (Elettaria cardamomum L.) on chemically induced skin carcinogenesis in Swiss albino miceJournal of medicinal food.
  3. Nardo, V. D.,et al. (2018). Use of Curcumin in PsoriasisOpen access Macedonian journal of medical sciences.
  4. Vaughn, A. R.,et al. (2016). Effects of Turmeric (Curcuma longa) on Skin Health: A Systematic Review of the Clinical EvidencePhytotherapy research : PTR.
  5. Sunilkumar. et al. (1998). Evaluation of topical formulations of aqueous extract of Centella asiatica on open wounds in ratsIndian journal of experimental biology.
  6. Poizot, A. et al. (1978). [Modification of the kinetics of healing after iterative exeresis in the rat. Action of a triterpenoid and its derivatives on the duration of healing]. Comptes rendus hebdomadaires des seances de l’Academie des sciences. Serie D: Sciences naturelles.
  7. Rosen, H. et al. (1967). Effect of asiaticoside on wound healing in the ratProceedings of the Society for Experimental Biology and Medicine.
  8. Incandela, L., et al. (2001). Total triterpenic fraction of Centella asiatica in chronic venous insufficiency and in high-perfusion microangiopathyAngiology.
  9. Abd Jalil, M. A.,et al. (2017). Stingless Bee Honey, the Natural Wound Healer: A ReviewSkin pharmacology and physiology.
Rujukan point 10-20
  1. Bae, J. Y., et al. (2010). Dietary compound ellagic acid alleviates skin wrinkle and inflammation induced by UV-B irradiationExperimental dermatology.
  2. Afaq, F., et al. (2005). Pomegranate fruit extract modulates UV-B-mediated phosphorylation of mitogen-activated protein kinases and activation of nuclear factor kappa B in normal human epidermal keratinocytes paragraph signPhotochemistry and photobiology.
  3. Afaq, F., et al. (2010). Oral feeding of pomegranate fruit extract inhibits early biomarkers of UVB radiation-induced carcinogenesis in SKH-1 hairless mouse epidermisPhotochemistry and photobiology.
  4. Hora, J. J. et al. (2003). Chemopreventive effects of pomegranate seed oil on skin tumor development in CD1 miceJournal of medicinal food.
  5. Khan, H.,et al. (2014). Effects of Cream Containing Ficus carica L. Fruit Extract on Skin Parameters: In vivo EvaluationIndian journal of pharmaceutical sciences.
  6. Katiyar, S. K. et al. (2001). Green tea polyphenolic antioxidants and skin photoprotection (Review)International journal of oncology.
  7. Heinrich, U., et al. (2011). Green tea polyphenols provide photoprotection, increase microcirculation, and modulate skin properties of womenThe Journal of nutrition.
  8. Wilhelm Stahl et al. (2012). β-Carotene and other carotenoids in protection from sunlight. The American Journal of Clinical Nutrition.
  • Rujukan nutrisi: USDA

Write A Comment