Nutrisi

10 Makanan Perlu Dielakkan Semasa Mengandung

Pinterest LinkedIn Tumblr

Mengandung ialah satu fasa yang sensitif dan penting dalam kehidupan seorang wanita. Terdapat makanan yang perlu dielakkan semasa mengandung bagi mengelakkan berlakunya keracunan atau ketoksikan.

Maka penjagaan rapi amat penting bagi memastikan kesihatan ibu serta anak dalam kandungan sentiasa terpelihara. Pemakanan adalah satu aspek yang mempunyai impak yang besar kepada kesihatan dan harus diberi perhatian yang serius.

Sesetengah makanan mungkin harus diambil pada kadar sedikit, berkala, jarang-jarang dan mungkin juga yang harus dielakkan terus.

Berikut ialah makanan dan minuman yang perlu dielakkan atau dikurangkan semasa mengandung:

1. Makanan Laut Yang Tinggi Kandungan Merkuri

makanan dan minuman yang perlu dielakkan semasa mengandung

Merkuri atau raksa adalah bahan yang sangat toksik. Bahan kimia ini kebiasaannya dijumpai dalam air tercemar (1).

Pada kuantiti yang tinggi, merkuri ini akan menjadi toksik kepada sistem imun, sistem saraf, dan buah pinggang. ia juga boleh menyebabkan masalah perkembangan yang serius dalam kalangan kanak-kanak (2).

Ibu mengandung disarankan untuk menghadkan pengambilan makanan laut seperti ikan dan haiwan bercengkerang yang tinggi kandungan merkuri kepada tidak lebih daripada 1-2 hidangan sebulan (3, 4).

Antara makanan laut yang berpotensi mengandungi merkuri yang tinggi:

  • Ikan Yu
  • Ikan Todak
  • Ikan Tenggiri Papan (King Mackerel)
  • Ikan Tuna
  • Kerang-kerangan (kepah, kerang, dll.)

Walau bagaimanapun, harus diingat tidak semua makanan laut tinggi kandungan merkuri. Hanya sesetengahnya sahaja.

Kajian-kajian yang dijalankan menunjukkan ikan di perairan Malaysia masih selamat dimakan (5, 6, 7).

Namun, pada April 2019, pakar mendapati Pantai Barat Semenanjung Malaysia tercemar dengan logam berat seperti plumbum, arsenik dan merkuri. Maka makanan laut terutamanya haiwan bercengkerang di kawasan ini berisiko mengandungi kandungan merkuri yang tinggi (8).

2. Makanan Laut Mentah atau Kurang Masak

Ikan mentah dan kerang-kerangan mentah boleh menyebabkan jangkitan. Jangkitan ini boleh disebabkan oleh bakteria, virus dan parasit seperti norovirus, Vibrio, Salmonella dan Listeria (9 , 10).

Ibu mengandung terdedah kepada jangkitan bakteria Listeria. Bakteria ini boleh dijumpai dalam tanah, air tercemar atau tumbuhan. Bakteria ini turut wujud dalam perut ikan , udang dan ketam (11).

Ikan mentah juga boleh dijangkiti semasa pemprosesan termasuklah salai atau pengeringan.

Bakteria ini boleh menjangkiti janin atau kandungan melalui plasenta. Jangkitan ini boleh menyebabkan keguguran, kelahiran pramatang dan lahir mati (kelahiran janin yang tidak bernyawa).

Oleh itu, ibu mengandung disarankan untuk mengelak dari mengambil makan dari ikan mentah atau kerang-kerangan seperti sushi.

3. Telur Mentah

Ibu mengandung juga tidak digalakkan makan telur yang mentah atau kurang masak kecuali yang telah dipasteur.

Telur mentah berpotensi untuk dicemari oleh bakteria Salmonella (12).

Tanda-tanda jangkitan Salmonella yang biasa dialami oleh ibu ialah demam, muntah, loya, cirit-birit, dan kejang perut (13).

Antara makanan buatan sendiri yang mengandungi telur mentah ialah:

  • mayonis
  • kustard
  • icing kek
  • ais krim

4. Daging Mentah dan Kurang Masak

daging mentah

Daging mentah atau kurang masak juga berpotensi untuk dijangkiti bakteria dan parasit seperti E.Coli, Listeria, Toxoplasma dan Salmonella (14, 15,16).

Parasit seperti Toxoplasma boleh menjadi satu ancaman kepada bayi dalam kandungan. Parasit ini boleh menyebabkan lahir mati atau penyakit berkaitan otak (17).

5. Organ Haiwan

Organ haiwan seperti hati ayam dan lembu adalah sumber nutrien yang baik.

Contohnya, seperti zat besi, vitamin A, vitamin B12 dan tembaga.

Namun, pengambilan vitamin A yang terlalu banyak adalah tidak digalakkan bagi ibu mengandung. Begitu juga tembaga (copper) yang terlalu tinggi.

Vitamin A dan tembaga yang terlalu tinggi boleh menyebabkan ketoksikan seterusnya membawa kepada kecacatan kepada bayi dan ketoksikan hati (18, 19).

6. Buah-buahan dan Sayur-sayuran yang Tidak Dibasuh

Buah-buahan dan sayur-sayuran yang tidak dibasuh atau dibasuh tidak sempurna berpotensi dicemari oleh bakteria dan parasit.

Contohnya seperti Toxoplasma, E.Coli, Salmonella dan Listeria.

Pencemaran boleh berlaku semasa penghasilan, penuaian, pemprosesan, simpanan, pengangkutan atau runcit (20).

Parasit yang sangat bahaya dikenali sebagai Toxoplasma. Kebanyakan mereka yang terkena parasit ini tidak menunjukkan sebarang tanda atau tanda yang sangat ringan seperti demam.

Bayi yang dijangkiti semasa dalam kandungan juga tidak menunjukkan tanda semasa dilahirkan. Namun, tanda seperti buta atau ketidakbolehan intelek akan terbentuk apabila mereka membesar (21).

Oleh itu, pastikan buah-buahan dan sayur-sayuran dibasuh dengan bersih, dibuang kulit atau dimasak sebelum dimakan.

7. Susu, Keju dan Jus Buah Yang Tidak Diposteurkan

Susu dan keju yang tidak diposteurkan boleh mengandungi bakteria berbahaya seperti E.Coli, Salmonella, dan Campylobacter.

Posteur ialah proses memanaskan cecair atau makanan pepejal untuk memusnahkan mikroorganisma yang berbahaya untuk untuk mengehadkan kadar penapaian bahan yang berkenaan.

Jus buah juga berpotensi untuk turut tercemar dengan bakteria sekiranya tidak diposteurkan.

Jangkitan bakteria-bakteria ini sangat berbahaya sehingga boleh meragut nyawa bayi dalam kandungan (22).

8. Arak

Minuman seperti arak juga perlu dielakkan semasa mengandung.

Arak boleh meningkatkan risiko keguguran, kelahiran pramatang dan lahir mati (stillbirth). Arak ini juga boleh merencatkan perkembangan otak bayi (23, 24, 25).

Selain itu, arak yang diambil oleh ibu mengandung juga boleh menyebabkan merencatkan perkembangan kanak-kanak, kerencatan mental, gangguan tingkah laku dan keabnormalan bawaan (26).

Ini adalah salah satu hikmah pengharaman arak dalam Islam.

9. Kafein

kafein boleh dijumpai dalam minuman seperti kopi, teh, minuman ringan dan juga coklat (koko).

Ibu mengandung dinasihati untuk menghadkan pengambilan minuman atau makanan berkafein di bawah 200mg sehari (29).

Kafein tidak baik untuk ibu mengandung kerana senang diserap dan disalurkan ke dalam plasenta dan janin.

Janin atau bayi dalam kandungan tidak mempunyai enzim yang boleh menghuraikan kafein. Ini akan menyebabkan peningkatan paras bahan ini (27).

Pengambilan kafein yang tinggi semasa mengandung akan menyebabkan kebantutan perkembangan janin dan meningkatkan risiko kelahiran kurang berat (28, 29).

10. Makanan Ringan

Makanan ringan juga tidak baik untuk ibu mengandung.

Ibu mengandung memerlukan pemakanan yang sihat dan bernutrisi bagi memenuhi keperluan diri dan anaknya.

Makanan ringan kebanyakannya tidak bernutrisi, tinggi kalori, tinggi gula dan garam serta lemak.

Pemakanan seperti ini boleh mengakibatkan masalah kencing manis (diabetes), sakit jantung dan darah tinggi.

Bagi ibu mengandung, makanan seperti ini boleh meningkatkan risiko diabetes semasa mengandung dan komplikasi semasa mengandung atau semasa bersalin. Golongan ini juga berisiko tinggi mempunyai kelahiran bayi yang mempunyai berat badan berlebihan (30).

Kesimpulan

Senarai makanan dan minuman ini perlu dielakkan atau dikurangkan semasa mengandung. Penjagaan makanan dan minuman yang baik dapat menjamin kesihatan ibu serta anak yang dikandung.

Write A Comment