Nutrisi

10 Makanan Menguatkan Tenaga Batin Lelaki

Pinterest LinkedIn Tumblr

Lemah tenaga batin atau kemahuan seks yang kurang mungkin sudah menjadi kelaziman bagi lelaki generasi kini. Masalah ini disumbang oleh banyak faktor termasuklah gaya hidup dan pemakanan. Oleh itu, kali ini kami kongsikan makanan yang boleh membantu menguatkan tenaga batin lelaki.

Kaum lelaki seharusnya mengelak daripada mengambil pil-pil “kuat” yang sesetengahnya boleh membahayakan kesihatan kerana mengandungi racun berjadual.

Sebaliknya, apa yang harus dilakukan ialah mengubah cara pemakanan dan makan makanan yang boleh membantu meningkatkan tenaga batin anda.

Sistem peredaran yang sihat adalah salah satu kunci penting untuk kesihatan seksual lelaki dan perempuan. Sistem peredaran darah yang lancar penting untuk fungsi ereksi zakar lelaki.

Mati pucuk adalah satu mimpi ngeri buat semua lelaki. Menurut Dr. McKinlay, masalah mati pucuk atau lemah tenaga batin kemungkinan akan meningkat daripada seramai 150 juta orang pada tahun 1995 kepada 322 juta orang pada tahun 2025.

tiram-makanan untuk menguatkan tenaga batin lelaki

Berikut adalah 10 makanan untuk menguatkan tenaga batin lelaki berdasarkan kajian-kajian.

1. Ginseng

Ginseng adalah herba yang popular digunakan oleh masyrakat Cina dalam perubatan tradisional. Ginseng juga digunakan untuk meningkatkan pretasi seks.

Khasiat ginseng ini dibuktikan dalam kajian klinikal yang melibatkan 45 orang lelaki yang mempunyai masalah mati pucuk yang sederhana hingga teruk.

Pesakit yang menerima rawatan ginseng merah Korea (Asia) sebanyak 900mg, 3 kali sehari menunjukkan pemulihan selepas 18 minggu rawatan [1].

Kesan sama turut dapat dilihat dalam kajian lain yang melibatkan 60 orang lelaki yang mengalami masalah mati pucuk. Kajian ini menggunakan ginseng merah Korea sebanyak 1000 mg, 3 kali sehari selama 12 minggu [2].

2. Tongkat Ali

Tongkat Ali pula herba tempatan yang turut mempunyai kebaikan dalam menguatkan tenaga batin lelaki.

Hormon testosteron memainkan peranan penting dalam mengekalkan kesihatan sistem reproduktif bagi lelaki. Namun begitu, penghasilan hormon ini akan terus berkurang selari dengan peningkatan usia.

Satu kajian menggunakan suplemen mengandungi 200mg ekstrak Tongkat Ali dan 100mg ekstrak kesum dijalankan terhadap 30 orang lelaki berusia 40 hingga 65 tahun selama 12 minggu.

Hasil kajian mendapati kumpulan yang menerima gabungan ekstrak Tongkat Ali dan kesum menunjukkan peningkatan kepada prestasi seks mereka [3].

3. Halba

Halba juga adalah makanan yang boleh membantu menguatkan tenaga batin lelaki.

Halba boleh meningkatkan hormon testosteron. Terdapat kajian yang menyatakan bahawa halba boleh mengurangkan enzim yang menukarkan hormon testosteron kepada estrogen.

Satu kajian klinikal yang dijalankan terhadap 60 orang lelaki sihat mendapati makanan tambahan yang mengandungi halba mempunyai kesan positif terhadap nafsu seks dan membantu mengekalkan paras testosteron pada kadar yang sihat [4].

4. Tiram

Tiram antara makanan yang popular meningkatkan tenaga batin lelaki bagi masyarakat di Eropah.

Kesan tiram terhadap nafsu lelaki dipercayai kerana kandungan mineral zink dalam makanan laut ini.

Zink adalah mineral yang mempunyai banyak peranan terhadap fungsi badan manusia. Salah satu daripadanya ialah mengawal selia paras hormon testosteron [5].

Kajian yang dilakukan terhadap lelaki subur dan lelaki tidak subur mendapati air mani lelaki yang subur mengandungi paras mineral zink lebih tinggi daripada lelaki tidak subur [6].

Bagi mereka yang mempunyai alahan makanan laut boleh menggantikan tiram dengan hati lembu atau daging lembu.

5. Bayam

Sayur bayam adalah sayur yang kaya dengan folat atau vitamin B9.

Folat ialah vitamin yang penting untuk aliran darah. Malah, asid folik dipercayai memainkan peranan penting terhadap fungsi seksual lelaki.

Terdapat kajian yang melaporkan perkaitan antara kekurangan asid folik dengan mati pucuk. Kajian-kajian mendapati kekurangan asid folik menjadi faktor risiko kepada mati pucuk dalam kalangan lelaki [7, 8].

6. Ginkgo biloba

Ginkgo biloba telah lama digunakan dalam perubatan tradisional. Ginkgo biloba boleh membantu meningkatkan aliran darah ke seluruh badan.

Selain itu, Ginkgo ini juga dipercayai boleh membantu meningkatkan fungsi seksual lelaki melalui ereksi zakar.

Kajian mendapati Ginkgo biloba turut mengandungi flavonoid yang mempunyai potensi untuk merawat mati pucuk seperti Viagra dan turut menunjukkan kesan vasodilator yang bermanfaat kepada ereksi zakar [9].

Vasodilator ialah istilah yang diberikan kepada agen yang boleh mengembangkan dan mengendurkan salur darah.

7. Tembikai

Makanan yang boleh membantu menguatkan tenaga batin lelaki yang seterusnya ialah tembikai.

Kajian terhadap haiwan mendapati buah tembikai mungkin berguna buat lelaki yang mengalami masalah mati pucuk [10].

Tembikai mengandungi sebatian yang boleh memberi kesan kepada salur darah dan boleh membantu meningkatkan nafsu seks.

Sebatian ini dikenali sebagai citrulline. Citrulline ini akan ditukarkan kepada arginine dalam badan. Arginie ialah asid amino yang boleh meningkatkan paras nitrik oksida dalam badan.

Nitrik oksida boleh mencegah mati pucuk atau lemah tenaga batin dengan meningkatkan pengaliran darah dan vasodilasi.

8. Saffron

Saffron adalah antara herba yang paling mahal di dunia.

Herba ini mempunyai banyak khasiat untuk kesihatan dan salah satu daripadanya ialah merawat masalah tenaga batin.

Kajian yang dijalankan terhadap 36 orang lelaki yang mengalami masalah kemahuan dan rangsangan seksual akibat penggunaan ubat menunjukkan penambah baikan dari segi fungsi erektil selepas menerima 30mg saffron setiap hari selama 4 minggu [11].

Kajian lain yang melibatkan 20 orang lelaki dengan masalah mati pucuk. Kajian ini mendapati pengambilan tablet mengandungi 200mg saffron selama 10 hari menunjukkan hasil yang positif terhadap fungsi seksual dengan peningkatan bilangan dan durasi erektil pesakit [12].

9. Biji Labu

Biji labu adalah sumber yang baik untuk mendapatkan protein dan mineral zink. Biji labu mudah untuk dimakan dan boleh dijadikan kudapan.

Biji yang kecil ini kaya dengan protein. Secawan biji labu seberat 144 gram mengandungi 43 gram protein.

Biji labu juga kaya dengan asid amino, arginine yang bermanfaat untuk meningkatkan paras nitrik oksida [13].

Nitrik oksida boleh membantu pengembangan dan pengenduran salur darah.

Selain itu juga, biji labu juga tinggi dengan kandungan mineral zink yang berperanan penting dalam mengawal selia paras hormon testosteron lelaki.

10. Jus Delima

Buah delima adalah salah satu buah yang mempunyai banyak khasiat. Buah ini boleh dimakan segar atau dijadikan jus.

Kajian terhadap haiwan mendapati jus delima jika diambil pada satu jangka masa yang panjang meningkatkan pengaliran darah, meningkatkan tindak balas ereksi dan pengenduran otot dengan lancar [14].

Manakala, kajian terhadap terhadap 53 lelaki dengan masalah mati pucuk pula mendapati jus delima mampu menambah baik masalah mati pucuk walaupun tidak ketara [15].

Cara Lain Yang Boleh Membantu Menguatkan Tenaga Batin

Selain penjagaan makanan, masalah tenaga batin juga boleh diatasi dengan mengubah gaya hidup yang tidak sihat kepada gaya hidup yang sihat.

Antara amalan yang boleh dilakukan ialah:

  • Kurangkan tekanan atau stres
  • Kekal aktif dengan selalu bersenam
  • Berhenti merokok jika anda merokok
  • Dapatkan tidur yang mencukupi

Rumusan

Masalah lemah tenaga batin adalah antara masalah kesihatan yang biasa berlaku terhadap lelaki. Terdapat banyak faktor yang menyumbang kepada masalah lemah tenaga batin ini.

Salah satu daripadanya adalah amalan pemakanan. Untuk mengatasi masalah ini, penghidap mati pucuk atau lemah tenaga batin harus berubah kepada pemakanan yang sihat dan makan makanan yang boleh membantu menguatkan tenaga batin bagi orang lelaki.

Selain itu, perubahan terhadap gaya hidup juga boleh membantu mengatasi masalah lemah tenaga batin.

Sekiranya anda tidak pasti apa yang harus dilakukan, dapatkan rawatan dan nasihat daripada doktor anda.

Rujukan
Rujukan
  1. Hong, B., et al. (2002). A double-blind crossover study evaluating the efficacy of korean red ginseng in patients with erectile dysfunction: a preliminary reportThe Journal of urology.
  2. de Andrade, E., et al. (2007). Study of the efficacy of Korean Red Ginseng in the treatment of erectile dysfunctionAsian journal of andrology.
  3. Udani, J. K., et al. (2014). Effects of a Proprietary Freeze-Dried Water Extract of Eurycoma longifolia (Physta) and Polygonum minus on Sexual Performance and Well-Being in Men: A Randomized, Double-Blind, Placebo-Controlled StudyEvidence-based complementary and alternative medicine.
  4. Steels, E., et al. (2011). Physiological aspects of male libido enhanced by standardized Trigonella foenum-graecum extract and mineral formulationPhytotherapy research.
  5. Fallah, A., et al. (2018). Zinc is an Essential Element for Male Fertility: A Review of Zn Roles in Men’s Health, Germination, Sperm Quality, and FertilizationJournal of reproduction & infertility.
  6. Colagar, A. H., et al. (2009). Zinc levels in seminal plasma are associated with sperm quality in fertile and infertile menNutrition research (New York, N.Y.).
  7. Karabakan, M., et al. (2016). Association between serum folic acid level and erectile dysfunctionAndrologia.
  8. Attia, A., et al. (2019). Low serum folic acid can be a potential independent risk factor for erectile dysfunction: a prospective case-control studyInternational urology and nephrology.
Rujukan No. 6 -10
  1. Dell’Agli, M., et al. (2006). Inhibition of cGMP-phosphodiesterase-5 by biflavones of Ginkgo bilobaPlanta medica.
  2. Munglue, P. et al. (2014). Effect of Watermelon (Citrullus lanatus) Flesh Extract on Sexual Behavior of Male Rats. Chiang Mai University Journal of Natural Sciences.
  3. Modabbernia, A., et al. (2012). Effect of saffron on fluoxetine-induced sexual impairment in men: randomized double-blind placebo-controlled trialPsychopharmacology.
  4. Shamsa, A., et al. (2009). Evaluation of Crocus sativus L. (saffron) on male erectile dysfunction: a pilot studyPhytomedicine.
  5. Glew, R. H., et al. (2006). Amino acid, mineral and fatty acid content of pumpkin seeds (Cucurbita spp) and Cyperus esculentus nuts in the Republic of NigerPlant foods for human nutrition.
  6. Azadzoi, K. M., et al. (2005). Oxidative stress in arteriogenic erectile dysfunction: prophylactic role of antioxidantsThe Journal of urology.
  7. Forest, C. P., et al.. (2007). Efficacy and safety of pomegranate juice on improvement of erectile dysfunction in male patients with mild to moderate erectile dysfunctionInternational journal of impotence research.