Tahukah anda? Sebenarnya terdapat makanan yang boleh mencegah jangkitan bakteria dan kulat dan bertindak seperti antibiotik semulajadi.
Sesetengah ekstrak tumbuhan atau makanan mempunyai ciri-ciri antibakteria atau antibiotik.
Begitu juga dengan tumbuhan herba, ekstrak tumbuhan jenis ini juga turut mujarab dalam mencegah atau melawan jangkitan bakteria.
Malah terdapat kajian yang mendapati terapi dengan herba juga berkesan sepertimana ubat antibiotik konvensional dalam merawat jangkitan bakteria dalam usus kecil [1].
Berikut adalah senarai beberapa makanan yang boleh mencegah atau melawan jangkitan bakteria berdasarkan kajian-kajian yang dilakukan.
1. Limau Nipis
Limau nipis ialah salah satu makanan yang boleh mencegah jangkitan bakteria H. Pylori dalam perut.
Bakteria Helicobacter pylori (H. pylori) adalah bakteria yang boleh menyebabkan luka di saluran pencernaan [2].
Selain itu, ekstrak limau nipis dan minyak pati limau nipis turut boleh mencegah tumbesaran bakteria-bakteria jenis Staphylococcus aureus, Klebsiella pneumoniae, Proteus mirabilis, Pseudomonas aeruginosa, Beta-haemolytic streptococci, Escherichia coli dan Neisseria gonorrhoeae.
Ekstrak dan jus limau nipis ini juga berkesan untuk mencegah kulat jenis Candida albicans [3].
2. Cendawan Ganoderma
Cendawan Ganoderma yang dikenali sebagai cendawan ubat ini turut mempunyai sifat antibakterianya.
Kajian mendapati ekstrak Ganoderma paling mujarab untuk mencegah bakteria jenis Micrococcus luteus. Ekstrak ini juga lebih efektif berbanding antibiotik dalam mencegah bakteria jenis E. coli, Micrococcus luteus, S. aureus, B. cereus, Proteus vulgaris,dan Salmonella typhi [4].
3. Minyak Kelapa
Minyak kelapa turut bersifat antibakteria kerana kandungan asid lauriknya.
Apabila dihadam, asid ini akan bertukar menjadi bahan yang dikenali sebagai monolaurin. Asid laurik dan monolaurin boleh membunuh kuman yang terdiri daripada bakteria, kulat dan virus [5].
Terdapat kajian tabung uji yang mendapati minyak kelapa dara berkesan dalam mencegah jangkitan akibat kulat Candida albicans [6].
4. Tongkat Ali
Selain akarnya, batang dan daun Tongkat Ali juga turut bersifat antibakteria.
Ekstrak daun Tongkat Ali boleh mencegah bakteria jenis Staphylococcus aureus dan Pseudomonas aeruginosa. Bakteria-bakteria ini boleh menyebabkan jangkitan pada paru-paru, darah, salur pernafasan dan kulit [7].
Selain itu, batang dan daun Tongkat Ali juga turut boleh mencegah jangkitan bakteria seperti E.coli, Salmonella typhi dan Serratia marscesens [8].
Bakteria E.coli adalah antara bakteria yang selalu menyebabkan sakit perut dan cirit-birit.
5. Kacip Fatimah
Seterusnya, Kacip Fatimah juga adalah makanan yang boleh mencegah jangkitan bakteria.
Ekstrak daun, batang dan akar Kacip Fatimah didapati bersifat antibakteria terhadap bakteria-bakteria berikut [9]:
- Micrococcus luteus
- Bacillus subtilis
- Bacillus cereus
- Staphylococcus aureus
- Enterobacter aerogenes
- Klebsiella pneumonia
- Escherichia coli
- Pseudomonas aeruginosa
Bakteria-bakteria ini boleh menyebabkan pelbagai penyakit seperti jangkitan pada kulit, keracunan makanan, pneumonia dan cirit-birit.
6. Bunga Kantan
Bunga kantan yang biasanya digunakan dalam masakan asam pedas ini juga turut bersifat antibakteria.
Kajian makmal mendapati bunga kantan boleh mencegah bakteria seperti [10]:
- Staphylococcus aureus
- Bacillus subtilis
- Listeria monocytogenes
- Escherichia coli
- Salmonella typhimurium
- Pseudomonas aeruginosa
Bakteria-bakteria ini boleh menyebabkan jangkitan pada kulit, jangkitan dalam usus, keracunan makanan dan jangkitan pada saluran kencing serta pernafasan.
7. Halba
Halba yang biasa digunakan sebagai rempah dalam masakan turut berkesan dalam melawan jangkitan bakteria.
Kajian-kajian yang dijalankan melaporkan bahawa halba mempunyai kesan antibakteria terhadap bakteria berikut [11, 12].
- E.coli
- Staphylococcus aureus
- Pseudononus aeruginosa
- Baciillus substilis
- Salmonella paratyphi
- Shigella
- Salmonella typhi
- Staphylococcus aureus
Jangkitan oleh bakteria Salmonella biasanya menyebabkan loya, muntah, cirit-birit, demam dan sakit kepala akibat daripada makan makanan mentah atau tidak masak.
Selain itu, daun, benih, batang dan akar pokok halba juga turut bersifat antikulat terhadap kulat jenis Botrytis cinerea, Fusarium graminearum, Alternaria sp., Pythium aphanidermatum dan Rhizoctonia solani [13].
8. Bunga Cengkih
Bunga cengkih sama ada dalam bentuk serbuk atau minyak pati didapati berkesan dalam melawan jangkitan bakteria.
Kajian makmal yang dijalankan menunjukkan ekstrak bunga cengkih dalam bentuk air atau serbuk boleh membasmi bakteria seperti:
- E. coli
- S. aureus
- Brochothrix thermosphacta (B. thermosphacta)
- Lactobacillus rhamnosus (L. rhamnosus)
- Pseudomonas fluorescens (P. fluorescens)
Selain itu, bahan aktif dalam bunga cengkih iaitu eugenol juga turut mempunyai ciri-ciri antibakteria terhadap mikroorganisma daripada makanan yang mereput dan patogen (bakteria dan virus) manusia [14 , 15].
9. Cendawan Enoki
Cendawan enoki juga antara makanan yang boleh mencegah jangkitan bakteria dan kulat.
Ini berdasarkan kajian yang diterbitkan pada 2010 dan 2013 yang melaporkan bahawa cendawan enoki ini boleh melawan bakteria jenis [16, 17]:
- Staphylococcus aureus
- Bacillus subtilis
- Bacillus pumilus
- Pseudomonas aeruginosa
Kajian pada 2016 oleh pengkaji dari Mexico pula mendapati ekstrak daripada cendawan enoki ini boleh menghalang kulat jenis Sporothrix schenckii dan Candida albicans daripada melekatkan pada sel-sel kulit [18].
10. Lengkuas
Lengkuas yang digunakan dalam masakan sebenarnya boleh memanjangkan jangka hayat sesuatu makanan [19].
Lengkuas segar yang digunakan dalam masakan dapat mengurangkan risiko vibriosis iaitu jangkitan akibat makan makanan laut yang tidak masak [20].
Kajian makmal mendapati lengkuas boleh membunuh bakteria yang berbahaya termasuklah Salmonella Typhi, E.coli dan Staphyloccocus aureus [21].
11. Madu Kelulut
Seperti madu lebah biasa, madu kelulut juga boleh mencegah jangkitan bakteria.
Madu kelulut telah menunjukkan kemampuannya untuk melawan bakteria daripada jenis:
- S. aureus
- E. coli
- P. aeruginosa
- E. faecalis
Bakteria-bakteria ini boleh menyebabkan jangkitan pada kulit, cirit-birit dan juga jangkitan pada paru-paru atau darah [22].
Menariknya lagi, madu ini menunjukkan kesan antibakteria tanpa pengaruh daripada hidrogen peroksida. Ini menunjukkan sifat antibakteria madu kelulut ini adalah kuat,malahan lebih kuat jika dibandingkan dengan madu manuka [23].
12. Pegaga
Pegaga yang biasanya dimakan sebagai ulam atau dibuat jus turut bersifat antibakteria.
Ekstrak daun pegaga digunakan oleh orang tempatan untuk menghilangkan sakit perut dalam kalangan kanak-kanak.
Kajian yang diterbitkan pada tahun 2011 dalam jurnal Life Sciences and Medicine Research mendapati ekstrak pegaga adalah ajen antibakteria yang efektif terhadap bakteria, fungus dan virus yang menyerang manusia [24].
Kajian yang dijalankan oleh Institute for Medical Research, Kuala Lumpur pula mendapati ekstrak pegaga menunjukkan sifat antibakteria terhadap bakteria jenis Staphylococcus aureus dan Methicillin Resistant Straphylococcus aureus (MRSA) [25].
Jangkitan S.aureus dan MRSA ini boleh menyebabkan pneumonia, jangkitan pada injap jantung dan jangkitan pada tulang.
13. Teh Hijau
Antioksidan dalam teh hijau yang dikenali sebagai katekin (catechin) juga turut boleh melawan jangkitan bakteria.
Katekin didapati mempunyai ciri-ciri antibakteria terhadap bakteria E.coli.
Malahan, katekin ini juga turut bersifat antivirus terhadap virus jenis HCV, HIV, influenza dan rotavirus [26].
Katekin ini juga dapat boleh mengurangkan bilangan dan pertumbuhan parasit. Antaranya ialah Plasmodium falciparum, Babesia spp., Trypanosoma brucei, Trypanosoma cruzi, dan Leishmania braziliensis [27,28].
14. Biji Anggur
Biji anggur biasanya boleh didapati dalam bentuk makanan tambahan (supplement).
Jika dimakan mentah mungkin rasanya kelat dan pahit. Namun, biji ini tetap mempunyai banyak khasiatnya. Termasuklah boleh melawan jangkitan bakteria.
Kajian makmal menunjukkan ekstrak biji anggur pada kepekatan tinggi boleh bertindak sebagai antibiotik semulajadi terhadap bakteria yang menyebabkan karies gigi iaitu Streptococcus mutans [29].
Kajian makmal yang lain turut menunjukkan ekstrak biji anggur boleh mencegah 43 strain bakteria jenis Staphylococcus Aureus yang rintang kepada antibiotik [30].
Selain itu, terdapat juga kajian yang melaporkan sifat antibakteria ekstrak biji anggur terhadap bakteria yang menyebabkan kaviti dan penyakit Periodontal (penyakit gusi)[31].
15. Bawang Putih
Bawang putih juga telah lama terkenal dengan sifat antibakterianya.
Bawang putih mengandungi sebatian yang dikenali sebagai “diallyl sulphide”. Dially sulphide ini didapati mempunyai keberkesanan 100 kali lebih baik berbanding dua antibiotik yang popular dalam melawan bakteria Campylobacter jejuni iaitu bakteria yang menyebabkan penyakit usus [32].
Terdapat juga kajian lain yang membuktikan bahawa bawang putih berkesan untuk melawan bakteria jenis [33, 34, 35 , 36]:
- Salmonella
- E.Coli
- Pseudomonas
- Proteus
- Staphylococcus aureus
- Klebsiella
- Micrococcus
- Bacillus subtulis
- Clostridium
- Mycobacterium
- Helicobacter
16. Cuka Epal
Cuka epal juga adalah makanan yang boleh mencegah jangkitan bakteria dan kulat.
Kajian awal mendapati cuka epal dilihat boleh mencegah bakteria dan kulat seperti E.coli, S. aureus dan C. albicans [37].
Terdapat juga laporan kes yang menunjukkan bahawa cuka epal boleh digunakan untuk merawat jangkitan yis pada faraj wanita yang kronik. Sifat antikulat dalam cuka epal ini boleh menyembuhkan jangkitan kulat jenis Candida albicans [38].
Rumusan
Sebenarnya banyak makanan yang dengan dengan kita yang boleh melindungi diri kita daripada jangkitan bakteria dan kulat.
Jika diambil secara keseluruhan atau mentah, makanan ini boleh memberikan khasiat atau manfaat yang lain kepada kesihatan badan. Ini kerana kandungan vitamin dan mineral yang terkandungan didalamnya.
Dapatkan nasihat doktor jika ingin mengambil makanan ini dalam bentuk makanan tambahan (supplement).