Nutrisi

7 Makanan Berkhasiat Semasa Kemoterapi

Pinterest LinkedIn Tumblr

Kemoterapi adalah rawatan yang menggunakan satu atau lebih ubat untuk melawan sel-sel kanser dalam badan. Adalah penting untuk mendapatkan makanan berkhasiat semasa kemoterapi kerana kesan daripada rawatan ini boleh menyebabkan mulut kering, deria rasa berbeza, loya, keletihan dan mengubah keinginan untuk makan.

Makanan yang tinggi khasiat, mudah untuk dihadam dan mempunyai rasa yang sederhana adalah antara pilihan yang baik.

Berikut ialah antara 7 makanan berkhasiat yang boleh dimanfaatkan semasa kemoterapi.

1. Telur

Telur boleh memberi tenaga kepada mereka yang mengalami keletihan. Keletihan boleh menjadi kesan sampingan akibat rawatan kemoterapi.

Telur boleh menjadi sumber tenaga untuk melawan keletihan. Protein boleh membantu mengekalkan otot-otot badan, manakala lemak pula membekalkan badan dengan tenaga.

Sebiji telur (saiz besar) boleh membekalkan kira-kira 6 gram protein dan 4 gram lemak (1).

2. Ikan

Ikan juga adalah pilihan yang baik semasa anda menjalani rawatan kemoterapi.

Ikan boleh membekalkan protein dan asid lemak omega-3. Ikan salmon, ikan tenggiri, ikan sardin dan ikan tuna adalah antara ikan yang tinggi dengan asid lemak omega -3.

Asid lemak omega-3 penting untuk kesihatan otak dan bertindak melawan keradangan. Tambahan lagi, makanan yang tinggi protein dan lemak sihat ini boleh mengelakkan kita daripada susut berat badan secara tidak sihat (2).

3. Kekacang

Kekacang seperti kacang badam, kacang gajus, kacang tanah dan yang lain-lain merupakan snek yang menyihatkan.

Sebagai contoh, kacang badam kaya dengan sumber seperti mangan dan tembaga.

Mineral ini membentuk superoksida dismutase, antara antioksidan yang kuat di dalam badan. Antioksidan ini boleh membantu melawan radikal bebas yang boleh merosakkan sel-sel (3).

4. Brokoli, Kubis dan Bunga Kubis

Brokoli, kubis dan kubis bunga pula adalah kumpulan sayuran yang sangat tinggi kandungan nutrisinya.

Sebagai contoh, brokoli dan kubis mengandungi sebatian yang dikenali sebagai sulforaphane.

Sebatian ini dipercayai boleh meningkatkan kesihatan otak.

Kajian menunjukkan sulforaphane memberikan impak positif terhadap kesihatan otak dengan mengurangkan keradangan dan melindungi sel-sel daripada musnah terutamanya semasa menjalani kemoterapi (4, 5, 6).

5. Oat

makanan semasa kemoterapi

Oat boleh membekalkan pelbagai nutrien yang boleh membantu badan kekal sihat semasa menjalani kemoterapi.

Bijirin ini juga boleh membekalkan karbohidrat, protein, lemak, mineral-mineral dan vitamin yang menyihatkan.

Kandungan beta glucan dalam oat boleh membantu mengawal usus. Beta glucan ialah sejenis serat larut yang menjadi makanan kepada bakteria baik dalam usus (7).

6. Smoothie

Smoothie ialah satu pilihan yang baik untuk mendapatkan tenaga dan nutrien tanpa perlu mengunyah.

Minuman ini juga boleh dipelbagaikan kandungannya dan rasanya bagi memenuhi kesesuaian rasa masing-masing.

Cara asas untuk membuat smoothie:

  • 1-2 cawan air/susu (240-475ml)
  • 1.5 – 3 cawan buah atau sayur (225-450g)
  • 1 sudu besar protein (15 gram)
  • 1 sudu besar lemak (15 gram)

Contohnya, buah-buahan segar atau sejukbeku dicampurkan dengan susu, kemudian ditambah sehelai atau dua helai daun bayam. Seterusnya, dicampurkan sesudu besar chia seed atau flax seed sebagai lemak dan sesudu besar mentega kacang sebagai protein.

7. Roti atau biskut

Roti atau biskut adalah antara pilihan yang baik sekiranya anda mengalami cirit-birit atau loya.

Biskut masin atau yang mengandungi garam berguna untuk menggantikan garam yang hilang semasa muntah atau cirit-birit (9).

Roti dan biskut ini juga boleh dimakan bersama-sama mentega kacang atau keju untuk menambahkan rasanya.

Kesimpulan

Kemoterapi boleh menyebabkan mereka yang dalam proses rawatan ini kehilangan selera makan,sakit pada mulut, keletihan dan berubah deria rasa.

Mengetahui makanan yang berkhasiat dan penuh dengan nutrien boleh membantu badan terus sihat dan terus bertahan semasa rawatan kemoterapi.

Write A Comment