Penyakit Alzheimer adalah salah satu bentuk demensia progresif yang telah menjejaskan ramai orang. Ia bukanlah sesuatu yang normal sekiranya anda menghidap penyakit Alzheimer. Justeru itu, apa yang anda perlu lakukan adalah mengambil beberapa langkah pencegahan untuk mencegah penyakit Alzheimer.
Memandangkan punca sebenar penyakit Alzheimer masih tidak diketahui, maka tiada jaminan untuk mencegah penyakit ini. Namun, perubahan pada gaya hidup dan tabiat boleh mengurangkan risiko atau melambatkan permulaan penyakit ini.
Penyelidik sedang mengkaji banyak pendekatan untuk mencegah atau melambatkan penyakit Alzheimer. Ada yang memberi tumpuan kepada ubat-ubatan, manakala sesetengah yang lain menumpukan kepada gaya hidup atau perubahan lain.

Mari kita lihat intervensi yang paling menggalakkan setakat ini dan perkara yang kita ketahui tentangnya.
1. Meningkatkan Aktiviti Fizikal
Aktiviti fizikal mempunyai banyak manfaat kepada kesihatan manusia.
Bagi golongan berusia, aktiviti fizikal boleh mengurangkan risiko untuk jatuh, mengekalkan pergerakan dan kebebasan dan mengurangkan risiko kepada penyakit kronik seperti diabetes, tekanan darah tinggi dan kemurungan.
Aktiviti fizikal termasuklah senaman secara berkala berkait rapat dengan risiko kemerosotan kognitif yang lebih rendah.
Satu kajian semula pada tahun 2020 melaporkan bahawa kadar aktiviti fizikal yang tinggi mempunyai perkaitan dengan pengurangan risiko terhadap pembentukan penyakit Alzheimer. [1]
Berjoging, berjalan, berbasikal, regangan, berenang, berskip atau berkebun adalah antara aktiviti fizikal yang boleh anda lakukan.
2. Mengawal Tekanan Darah Tinggi
Mengawal tekanan darah tinggi diketahui boleh mengurangkan risiko terhadap penyakit jantung dan strok.
Dalam konteks mencegah penyakit Alzheimer, mengawal tekanan darah tinggi terutamanya bagi golongan dewasa pertengahan usia mungkin boleh mencegah atau melambatkan penyakit Alzheimer.
Satu analisis terkini yang melibatkan 52 kajian mengesahkan bahawa tekanan darah sistolik yang tinggi mempunyai perkaitan dengan penyakit Alzheimer. [2]
Kajian ini turut mendapati orang Asia yang mempunyai tekanan darah sistolik melebihi 140 mmHg mempunyai perkaitan dengan penyakit Alzheimer. [2]
Justeru itu, mengawal tekanan darah tinggi terutamanya tekanan darah sistolik boleh membantu mengurangkan risiko terhadap penyakit Alzheimer.
3. Melakukan Senaman Kognitif (Minda)
Senaman kognitif adalah aktiviti berstruktur yang direka untuk meningkatkan memori, penakulan dan kepantasan pemprosesan.
Terdapat kajian yang mendedahkan bahawa senaman kognitif bermanfaat dalam mengurangkan kemerosotan kognitif dan bahasa dalam kalangan pesakit Alzheimer. [3]
Satu kajian lain yang melibatkan hampir 2,000 orang dewasa berusia 70 tahun atau lebih mendapati melibatkan diri dengan permainan, kraf, penggunaan komputer dan aktiviti sosial selama kira-kira 4 tahun dikaitkan dengan risiko yang rendah terhadap kemerosotan kognitif. [4]
Maka, melakukan aktiviti yang mencabar minda seperti teka-teki, membaca, mempelajari alat muzik baru, atau bermain permainan strategi boleh mengurangkan risiko kepada penyakit Alzheimer.
4. Menjaga Pemakanan (Diet)
Walaupun tiada diet yang khusus yang boleh mencegah penyakit Alzheimer, pemakanan yang sihat boleh memberi manfaat kepada otak.
Terdapat dua jenis diet yang dikaji yang mungkin boleh mengurangkan risiko penyakit Alzheimer iaitu diet DASH dan diet Mediterranean.
Diet DASH mengutamakan makanan yang terdiri daripada sayur-sayuran, buah-buahan, produk tenusu bebas lemak atau rendah lemak, bijian penuh, ikan, poultri dan lain-lain.
Diet DASH mengehadkan garam, gula, minuman manis dan daging merah.
Diet Mediterranean pula mengutamakan bijian penuh, buah-buahan, sayur-sayuran, ikan, kerang-kerangan, minyak zaitun dan sedikit daging merah.
5. Berhenti Merokok
Ramai yang sedia maklum bahawa merokok mempunyai banyak keburukan kepada kesihatan badan. Bagitu juga dalam konteks penyakit Alzheimer.
Merokok telah dikaitkan dengan peningkatan dan penurunan risiko penyakit Alzheimer.
Satu kajian pada 2014 menunjukkan bahawa bekas perokok atau perokok aktif berisiko untuk menghidap penyakit Alzheimer. Penyelidik menyimpulkan bahawa pengurangan kepada merokok boleh mengurangkan prevalens penyakit Alzheimer pada masa hadapan. [5]
6. Berhenti Minum Arak (Alkohol)
Meminum arak atau alkohol juga turut dikaitkan dengan penyakit Alzheimer. Pengambilan alkohol dalam jangka masa panjang boleh membawa kepada penyakit Alzheimer.
Satu kajian pada 2020 melaporkan bahawa pengambilan alkohol yang sederhana boleh mengurangkan risiko kepada pembentukan penyakit Alzheimer. [6]
Manakala, kajian semula pada 2019 turut mendapati terdapat perkaitan yang ketara antara pengurangan pengambilan alkohol dengan pengurangan risiko terhadap kemerosotan kognitif dan demensia. [7]
Ini bermakna berhenti daripada meminum alkohol mendatangkan lebih banyak manfaat.
Rumusan
Penyakit Alzheimer adalah penyakit yang kompleks. Gabungan beberapa strategi atau langkah pencegahan mungkin boleh membantu mencegah atau melambatkan berlakunya penyakit ini.
Beberapa langkah pencegahan yang boleh dilakukan adalah seperti sentiasa aktif secara fizikal, mengawal tekanan darah tinggi, melakukan senaman kognitif atau senaman minda dan lain-lain lagi.
Rujukan
- Meng, Q. et al. (2020). Relationship Between Exercise and Alzheimer’s Disease: A Narrative Literature Review. Frontiers in neuroscience.
- Sáiz-Vazquez, O. et al. (2023). Blood pressure and Alzheimer’s disease: A review of meta-analysis. Frontiers in neurology.
- Georgopoulou, E. N. et al. (2023). Computer-Based Cognitive Training vs. Paper-and-Pencil Training for Language and Cognitive Deficits in Greek Patients with Mild Alzheimer’s Disease: A Preliminary Study. Healthcare.
- Krell-Roesch, J. et al. (2017). Association Between Mentally Stimulating Activities in Late Life and the Outcome of Incident Mild Cognitive Impairment, With an Analysis of the APOE ε4 Genotype. JAMA neurology.
- Durazzo, T. C. et al. (2014). Smoking and increased Alzheimer’s disease risk: a review of potential mechanisms. Alzheimer’s & dementia.
- Kim, J. W. et al. (2020). Association of moderate alcohol intake with in vivo amyloid-beta deposition in human brain: A cross-sectional study. PLoS medicine.
- Rehm, J. et al. (2019). Alcohol use and dementia: a systematic scoping review. Alzheimer’s research & therapy.