Kesihatan

Kolesterol Tinggi: Punca, Tanda, Rawatan & Pencegahan

Pinterest LinkedIn Tumblr

Kolesterol ialah sejenis lipid iaitu bahan seperti lemak dan berlilin yang boleh dijumpai dalam darah kita. Kolesterol tinggi pula merujuk kepada tahap kolesterol dalam darah yang berlebihan.

Badan kita memerlukan kolesterol untuk membina sel-sel yang sihat tetapi kadar kolesterol yang tinggi boleh meningkatkan risiko penyakit jantung.

Kolesterol yang tinggi akan menyebabkan pengumpulan lemak dalam saluran darah. Sekiranya longgokan lemak ini semakin banyak, ia akan menyukarkan aliran darah yang mencukupi melalui arteri anda.

Kadang kala, longgokan ini boleh menyumbat arteri (salur darah) seterusnya membawa kepada serangan jantung dan strok.

Kolesterol ialah sebatian yang tidak larut dalam air, maka kolesterol tidak dapat bergerak dengan sendirinya di dalam darah.

Oleh itu, hati akan menghasilkan protein yang melekat bersama-sama kolesterol untuk bergerak dalam darah. Gabungan protein dan kolesterol ini dikenali sebagai lipoprotein.

Terdapat dua jenis lipoprotein yang utama iaitu low density lipoprotein (LDL) dan high density lipoprotein (HDL).

kolesterol tinggi
Kredit imej: health.clevelandclinic.org

Kolsterol LDL atau Kolesterol Jahat

Low-density lipoprotein (LDL) turut dipanggil “kolesterol jahat.” Sekiranya kolesterol LDL ini terlalu tinggi, ia boleh menyebabkan arteri kita sempit dan mengehadkan pengaliran darah dan boleh meningkatkan risiko darah beku.

Sekiranya darah beku menyumbat arteri-arteri di jantung dan otak, ia boleh menyebabkan serangan jantung dan strok.

Kolesterol HDL atau Kolesterol Baik

Kolesterol HDL turut dipanggil “kolesterol baik.” Kolesterol ini menolong membalikkan lebihan kolesterol kembali ke hati untuk disingkirkan dari badan.

Trigliserida

Trigliserida ialah sejenis lipid yang lain. Trigliserida berbeza daripada kolesterol. Trigliserida digunakan oleh badan sebagai sumber tenaga.

Lebihan makanan (kalori) yang dimakan yang tidak digunakan oleh badan akan ditukar menjadi trigliserida. Trigliserida ini akan disimpan dalam sel-sel lemak.

Lipoprotein turut digunakan untuk mengangkut trigliserida melalui saluran darah.

Sekiranya anda kerap makan secara berlebihan, kadar trigliserida ini juga akan truut tinggi. Ini akan meningkatkan risiko strok dan sakit jantung.

Tanda atau Simptom Kolesterol Tinggi

Kolesterol tinggi tidak mempunyai tanda atau simptom.

Tanda-tanda yang boleh dilihat hanyalah ketika kolesterol ini telah berada pada tahap bahaya dan kecemasan yang menyebabkan tanda seperti serangan jantung atau strok.

Ujian darah ialah satu-satunya cara untuk mengetahui sama ada anda mempunyai kolesterol tinggi atau tidak.

Sekiranya kolesterol anda tinggi, bacaan kolesterol darah anda akan melebihi 240 miligram per deciliter (mg/dL).

Punca yang Menyumbang Kepada Kolesterol Tinggi

Terdapat beberapa faktor atau punca yang menyumbang kepada peningkatan kolesterol. Antaranya ialah:

1. Pemakanan yang buruk

Pemakanan yang tinggi dengan kolesterol, lemak tepu dan lemak trans menyumbang kepada peningkatan kadar kolesterol.

2. Kurang bersenam

Kurang bersenam atau aktiviti fizikal turut menyumbang kepada punca kolesterol menjadi tinggi. Senaman membantu merangsang penghasilan kolesterol baik (kolesterol HDL).

3. Obesiti (kegemukan)

Obesiti juga meningkatkan risiko seseorang itu mempunyai kolesterol yang tinggi.

4. Merokok

Merokok menyebabkan kerosakan pada salur darah yang memudahkan pengumpulan lemak di salur darah tersebut. Selain itu, merokok juga menyebabkan penurunan kadar kolesterol baik (kolesterol HDL).

5. Penuaan (Umur Tua)

Faktor umur tua juga meningkatkan risiko seseorang itu mendapat masalah kesihatan ini. Ini disebabkan oleh perubahan kimia badan. Sebagai contoh, hati mereka yang sudah berusia kurang mampu untuk menyingkirkan kolesterol jahat (kolesterol-LDL).

6. Penyakit kencing manis

Pesakit kenicng manis berisiko tinggi untuk turut menghidap kolesterol tinggi kerana gula yang tinggi dalam darah menyebabkan kolesterol baik yang rendah dan kolesterol jahat yang tinggi.

7. Keturunan

Terdapat juga mereka yang mewarisi genetik daripada keluarga yang menyebabkan mereka mempunyai kadar kolesterol yang tinggi. Keadaan ini dikenali sebagai ‘hiperkolesterolemia keluarga’.

Hiperkolesterolemia keluarga ini berbahaya kerana boleh menyebabkan penyakit jantung aterosklerotik pramatang.

Komplikasi atau Akibat Kolesterol Tinggi

Kolesterol tinggi boleh menyebabkan longgokan kolesterol atau longgokan lain pada dinding arteri (salur darah). Longgokan (plak) ini akan mengurangkan aliran darah melalui arteri seterusnya menyebabkan komplikasi seperti berikut:

  • Sakit dada: Sekiranya arteri-arteri yang membekalkan darah ke jantung terkesan, anda mungkin akan mengalami simptom seperti sakit dada atau simptom penyakit koronari arteri.
  • Serangan jantung: Sekiranya darah beku berlaku di kawasan longgokan (plak), ia akan menyebabkan aliran darah terhalang dan aliran darah akan berhenti ke jantung. Ini akan menyebabkan serangan jantung.
  • Strok: Sama seperti serangan jantung, strok terjadi apabila darah beku menghalang aliran darah ke otak.

Rawatan

Rawatan bagi mereka yang menghidap kolesterol tinggi ialah melalui ubat-ubatan berikut:

  • Statins

Statins akan menghalang bahan yang digunakan oleh hati untuk menghasilkan kolesterol. Keadaan ini akan menyebabkan hati menyingkirkan kolesterol daripada darah anda.

  • Bile acid binding resins

Hati kita menggunakan kolesterol untuk menghasilkan asid hempedu (bile acid), asid ini diperlukan dalam proses penghadaman. Ubat-ubatan daripada jenis ini akan mengikat dengan asid hempedu dan secara tidak langsung mengurangkan kadar kolesterol. Ini menyebabkan hati menggunakan lebihan kolesterol untuk menghasilkan asid hempedu yang seterusnya mengurangkan kolesterol dalam darah.

  • Ubat penghalang penyerapan kolesterol

Ubat jenis ini dikenali sebagai ezetimibe (Zetia). Ubat ini akan mengehadkan penyerapan kolesterol di dalam usus kecil yang diserap daripada makanan kita.

Sekiranya anda mempunyai kadar trigliserida yang tinggi pula, doktor mungkin akan mencadangkan ubat-ubat berikut:

  • Fibrate

Ubat-ubat jenis akan mengurangkan penghasilan kolesterol very-low-density lipoprotein (VLDL) dan mempercepatkan penyingkiran trigliserida daripada darah.

  • Suplemen Omega-3

Suplemen atau makanan tambahan Omega-3 boleh membantu merendahkan trigliserida anda.

Langkah Pencegahan dan Cara Menurunkan Kolesterol Tinggi

Langkah pencegahan atau cara menurunkan kolesterol yang utama adalah perubahan terhadap gaya hidup anda.

Terdapat 2 komponen utama yang harus diberi perhatian dalam perubahan gaya hidup ini iaitu pemakanan dan aktiviti fizikal.

Perubahan pada menu atau jenis makanan yang kita makan memainkan peranan yang cukup besar. Apa yang anda harus lakukan adalah:

  • Kurangkan makanan masin atau tinggi kandungan garam seperti snek-snek makanan ringan (jajan), ikan masin, telur masin atau sosej.
  • Banyakkan makan sayur-sayuran seperti sayur kubis, brokoli, terung dan serta bijirin seperti oat dan barli.
  • Hadkan pengambilan lemak daripada haiwan. Contohnya, pilih daging yang kurang kandungan lemak berbanding yang tinggi lemak.
  • Berhenti minum arak atau minuman keras yang lain.
  • Gunakan lemak sihat pada kadar yang sederhana. Lemak sihat ini boleh diperolehi daripada minyak zaitun atau avokado.
  • Hadkan makanan yang manis dan tinggi dengan karbohidrat.

Langkah yang seterusnya melakukan aktiviti fizikal. Beberapa cadangan atau pilihan aktiviti fizikal yang anda boleh lakukan adalah:

  • Berjalan-jalan di taman.
  • Berbasikal.
  • Berkebun.
  • Berjoging.
  • Berenang.

Bagi mereka yang sudah lama tidak melakukan aktiviti fizikal, mulakan dengan aktiviti yang ringan terlebih dahulu bagi mengelakkan jantung menerima kejutan. Aktiviti-aktiviti yang berintensiti tinggi boleh menjadi beban kepada jantung anda.

Sekiranya anda mengawal makan dan bersenam, secara tidak langsung anda boleh menurunkan berat badan anda.

Selain itu, mereka yang menghidap kolesterol tinggi juga harus meninggalkan tabiat merokok dan menguruskan stres atau tekanan dengan baik.

Kemaskini terakhir pada 28 September 2020.

Rujukan

Write A Comment