Nutrisi

9 Khasiat Tongkat Ali: Bukan Sekadar Untuk Syahwat Lelaki

Pinterest LinkedIn Tumblr

Tongkat Ali atau nama saintifiknya Eurycoma longifolia adalah tumbuhan herba yang popular dalam kalangan rakyat Malaysia. Khasiat Tongkat Ali terkenal sebagai pembekal tenaga dan meningkatkan syahwat kaum lelaki. Malah, pengkaji barat turut melabelkan Tongkat Ali sebagai “home grown Viagra“.

Bagi penduduk tempatan, Tongkat Ali turut dikenali dengan beberapa nama lain seperti Tongkat Baginda, Pasak Bumi, Petala Bumi, Penawar Pahit, Setunjang Bumi, Bedara Merah, Bedara Pahit, Payong Ali, Bedara Putih dan Ginseng Malaysia.

Perubatan tradisional telah menggunakan Tongkat Ali sebagai rawatan untuk meningkatkan tenaga, emosi dan syahwat yang berkurangan selari dengan peningkatan usia.

Selain itu, akar Tongkat Ali turut digunakan untuk merawat malaria, kanser, leukimia, osteoporosis, tekanan (stres), sifilis dan bengkak kelenjar limfa.

Artikel kali ini berkongsi beberapa kajian sains perubatan yang menyokong penggunaan dan khasiat Tongkat Ali dalam perawatan dan kesihatan kaum lelaki mahupun wanita.

khasiat tongkat ali

Berikut adalah beberapa khasiat Tongkat Ali yang disokong oleh kajian-kajian sains perubatan.

1. Membantu Meningkatkan Kesuburan Lelaki

Akar Tongkat Ali sememangnya telah lama diamalkan oleh nenek moyang kita untuk meningkatkan kesuburan kaum lelaki.

Kajian makmal terhadap haiwan yang dijalankan di Afrika Selatan mendapati ekstrak akar Tongkat Ali boleh meningkatkan kepekatan hormon testosteron dan sperma [1].

Manakala kajian lain yang dijalankan terhadap 76 pesakit yang mengalami masalah sindrom kekurangan testosteron menunjukkan pengambilan ekstrak Tongkat Ali sebanyak 200mg berjaya meningkatkan peratusan pesakit yang mempunyai kadar testosteron yang normal daripada 35.5% kepada 90.8% [2].

2. Boleh Membantu Mengurangkan Stres

Tongkat Ali juga dipercayai boleh membantu dalam pengurangan tekanan (stres) dan pengurusan emosi.

Kajian telah dijalankan oleh beberapa syarikat suplemen mendapati ekstrak Tongkat Ali boleh menambah baik profil hormon stres dan keadaan emosi yang lain seperti mengurangkan kemarahan, tekanan dan kekeliruan [3].

3. Boleh Meningkatkan Saiz dan Kekuatan Otot

Ekstrak Tongkat Ali juga didapati boleh meningkatkan saiz dan kekuatan otot pemakannya. Khasiat ini sangat bermanfaat terutamanya kepada atlet.

Kajian yang dijalankan oleh pengkaji dari Universiti Malaya mendapati berlaku peningkatan terhadap saiz dan kekuatan otot bagi mereka yang menerima 100mg ekstrak Tongkat Ali sehari selama 5 minggu.

Selain itu, kumpulan yang menerima ekstrak Tongkat Ali ini juga turut menunjukkan pengurangan dari segi lemak badan dan peningkatan dari segi jisim badan tanpa lemak [4].

Khasiat ini dipercayai disebabkan oleh kemampuan Tongkat Ali untuk merangsang penghasilan hormon testosteron.

4. Meningkatkan Prestasi Seks Lelaki

Khasiat Tongkat Ali yang seterusnya ialah dari segi kemahuan dan prestasi seks bagi kaum lelaki pada usia pertengahan.

Masalah mati pucuk menghantui kira-kira 52% lelaki berumur 40-70 tahun di seluruh dunia. Golongan berusia semakin berisiko untuk menghidap masalah mati pucuk ini.

Hormon testosteron memainkan peranan penting dalam mengekalkan sistem reproduktif bagi kaum lelaki. Namun begitu, penghasilannya akan terus berkurang selari dengan peningkatan usia.

Satu kajian menggunakan suplemen mengandungi 200mg ekstrak Tongkat Ali dan 100mg ekstrak kesum dijalankan terhadap 30 orang lelaki berusia 40 hingga 65 tahun selama 12 minggu.

Hasil kajian mendapati kumpulan yang menerima gabungan ekstrak Tongkat Ali dan kesum menunjukkan peningkatan kepada prestasi seks mereka [5].

5. Mempunyai Kesan Antimalaria

Walaupun Malaysia tidak lagi diancam dengan penyakit Malaria, namun Malaria tetap menjadi pembunuh yang tinggi di seluruh dunia. Menurut WHO, terdapat 405 000 kematian di seluruh dunia disebabkan Malaria pada 2018.

Tongkat Ali telah digunakan sejak dahulu lagi untuk merawat demam Malaria. Kajian moden yang dijalankan turut menyokong penggunaan Tongkat Ali dalam merawat Malaria yang disebabkan oleh parasit Plasmodium falciparum.

Sebatian yang dikenali sebagai eurycomanone dan asid 7-methoxy-beta-carboline-1-propionic dalam akar Tongkat Ali mempunyai kesan antimalaria [6].

Kajian lain turut menunjukkan 3 sebatian utama kuasinoid dalam Tongkat Ali mempunyai sifat antimalaria yang kuat [7].

6. Boleh Melawan Kanser

Selain itu, khasiat lain yang terkandung dalam Tongkat Ali adalah keupayaannya untuk melawan kanser.

Akar Tongkat Ali didapati mengandungi sebatian-sebatian yang mempunyai kesan sitotoksik terhadap sel-sel kanser payudara dan sel-sel kanser paru-paru [8].

Di samping itu, terdapat kajian-kajian lain yang turut mendapati akar Tongkat Ali bersifat sitotoksik terhadap sel-sel kanser payudara, kolon, paru-paru, melanoma, fibrosarcoma dan leukimia [9].

Walau bagaimanapun, dapatan-dapatan ini masih memerlukan kajian klinikal yang dijalankan terhadap pesakit kanser untuk mengetahui kesan sebenarnya.

7. Boleh Mencegah Jangkitan Bakteria

Selain akarnya, batang dan daun Tongkat Ali juga turut mempunyai khasiat iaitu boleh mencegah jangkitan bakteria seperti bakteria E.coli, Salmonella typhi, Staphylococcus aureus dan Serratia marscesens [10].

Terdapat kajian lain yang yang dijalankan terhadap ekstrak daun Tongkat Ali dan Kacip Fatimah turut mendapati kedua-dua ekstrak ini boleh mencegah bakteria jenis Staphylococcus aureus dan Pseudomonas aeruginosa. Bakteria-bakteria ini boleh menyebabkan jangkitan pada paru-paru, darah, salur pernafasan dan kulit [11].

8-9. Khasiat-khasiat Lain

  • Baik untuk Penghidap Kencing Manis: Kajian yang dijalankan oleh pengkaji Jepun mendapati akar Tongkat Ali boleh meningkatkan kesensitifan insulin dengan meningkatkan penggunaan glukosa [12].
  • Mencegah Pereputan Tulang: Pereputan tulang yang berlaku dalam kalangan kaum lelaki turut mempunyai perkaitan dengan kekurangan hormon testosteron. Ekstrak Tongkat Ali boleh merangsang penghasilan hormon testosteron. Di samping itu, ia turut merangsang penghasilan tulang baru dan membunuh sel-sel yang memecahkan tulang [13].

Dos Selamat

Bagi individu yang sihat, dos pengambilan harian bagi ekstrak Tongkat Ali yang disarankan ialah antara 50 hingga 200 miligram.

Bagaimana untuk dapatkan Tongkat Ali ini?

Ekstrak Tongkat Ali telah banyak digunakan dalam produk-produk makanan atau kesihatan. Tongkat Ali ini juga boleh diperolehi dalam bentuk suplemen (makanan tambahan) – Dapatkan suplemen Tongkat Ali online.

Rumusan

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa Tongkat Ali berkhasiat dalam membantu kesihatan kaum lelaki termasuklah kesihatan sistem reproduktif.

Tidak terhenti setakat untuk kesihatan kaum lelaki, ekstrak Tongkat Ali juga berguna untuk lelaki dan wanita dalam mengubati masalah tekanan, meningkatkan saiz dan kekuatan otot, merawat demam Malaria, melawan kanser , mencegah jangkitan bakteria, mencegah pereputan tulang dan bermanfaat kepada penghidap diabetes.

Kemaskini terakhir pada 29 September 2020.

Rujukan
  1. Solomon, M. C., et al. (2014). In vivo effects of Eurycoma longifolia Jack (Tongkat Ali) extract on reproductive functions in the rat. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/23464350/ .
  2. Tambi, M. I., et al. (2012). Standardised water-soluble extract of Eurycoma longifolia, Tongkat ali, as testosterone booster for managing men with late-onset hypogonadism? https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/21671978/ .
  3. Talbott, S. M., et al. (2013). Effect of Tongkat Ali on stress hormones and psychological mood state in moderately stressed subjects. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3669033/.
  4. Hamzah, S. & Yusof, ahmad nizam. (2003). The ergogenic effects of Tongkat Ali (Eurycoma longifolia). Br J Sports Med. 37. 464-470.
  5. Udani, J. K., et al. (2014). Effects of a Proprietary Freeze-Dried Water Extract of Eurycoma longifolia (Physta) and Polygonum minus on Sexual Performance and Well-Being in Men: A Randomized, Double-Blind, Placebo-Controlled Study. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC3914427/
  6. Kardono, L. B., et al. (1991). Cytotoxic and antimalarial constituents of the roots of Eurycoma longifolia. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/1800638/.
  7. Wernsdorfer, W. H., et al. (2009). Activity of Eurycoma longifolia root extract against Plasmodium falciparum in vitro. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/19915812/ .
  8. Kuo, P. C., et al. (2004). Cytotoxic and antimalarial constituents from the roots of Eurycoma longifolia. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/14738962/ .
  9. Kardono, L. B., et al. (1991). Cytotoxic and antimalarial constituents of the roots of Eurycoma longifolia. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/1800638/ .
  10. Farouk, A. E., et al. (2007). Antibacterial activity of Eurycoma longifolia Jack. A Malaysian medicinal plant. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/17768473/ .
  11. Farouk, Abd-ElAziem & M Nawi, M Nazri & Hassan, Samira. (2008). Antibacterial Peptides from Eurycoma longifolia (Tongkat Ali) and Labisia pumila (Kacip Fatimah) Leaves in Malaysia. SCIENTIA BRUNEIANA. 9. 55-64.
  12. Lahrita, L., et al. (2015). Uncovering potential of Indonesian medicinal plants on glucose uptake enhancement and lipid suppression in 3T3-L1 adipocytes. https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/25862960/ .
  13. Mohd Effendy, N., et al. (2012). Eurycoma longifolia: Medicinal Plant in the Prevention and Treatment of Male Osteoporosis due to Androgen Deficiency.  https://pubmed.ncbi.nlm.nih.gov/22844328/.

Write A Comment