Khasiat terung pipit atau turut dikenali sebagai terung belanda mungkin tidak diketahui ramai jika hendak dibandingkan dengan buah terung biasa. Namun, sebenarnya terung pipit ini menyimpan 1001 khasiat yang bermanfaat untuk kesihatan kita.
Terung pipit (Solanum torvum Swartz) turut dikenali sebagai turkey berry dalam bahasa Inggeris. Tumbuhan ini dipercayai berasal dari Amerika Tengah dan Selatan dan kemudiannya di tanam di Asia, Afrika dan kepulauan Caribbean.
Terung pipit merupakan tumbuhan perubatan yang penting di negara-negara tropika dan subtropika. Ia digunakan secara meluas sebagai makanan dan ubat tradisional di seluruh dunia.

Khasiat Terung Pipit dalam Perubatan Tradisional
Perubatan tradisional telah menggunakan terung pipit untuk merawat pelbagai masalah kesihatan sejak sekian lama. Antaranya adalah:
- Mencegah penyakit tekanan darah tinggi: Caranya adalah dengan mengamalkan memakan buah terung pipit yang dicelur sebagai ulam.
- Mengubati resdung: Caranya adalah dengan mengeringkan daun yang segar, kemudian digulung seperti rokok lalu dihisap dan asapnya dihembus melalui hidung.
- Mengubati kayap: Caranya adalah dengan mengambil daun terung pipit ini dan dilumatkan bersama-sama daun cili. Kemudian, ia dijadikan sebagai ubat pupuk pada kulit yang mempunyai kayap.
- Mengubati tumit kaki pecah: Caranya adalah dengan mengambil akar pokok terung pipit dan ditumbuk. Apabila airnya keluar, ambil air tersebut dan sapukan pada tumit yang pecah.
- Merawat cacing dalam perut kanak-kanak: Caranya adalah dengan merebuskan daunnya dan air rebusan tersebut digunakan sebagai mandian.
- Meransang tenaga batin: Caranya adalah dengan mengamalkan memakan buah terung pipit dengan menjadikannya sebagai sayur atau dicelur dan dicicah dengan sambal.
Selain itu, terung pipit juga turut digunakan untuk merawat demam, luka dan pereputan gigi.
Khasiat Terung Pipit berdasarkan Perubatan atau Kajian Moden
Selari dengan khasiatnya yang pelbagai dalam perubatan tradisional, para penyelidik juga turut menjalankan kajian-kajian untuk mengetahui khasiat terung pipit dari sudut sains perubatan.
Berikut adalah beberapa khasiat terung pipit untuk kesihatan yang disokong oleh kajian:
1. Kaya dengan Antioksidan
Antioksidan ialah sebatian yang boleh melindungi sel-sel sihat dalam badan daripada tekanan oksidatif yang disebabkan oleh radikal bebas.
Tekanan oksidatif banyak dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes, kanser atau Alzheimer.
Kajian mendapati bahawa ekstrak metanol terung pipit menunjukkan kehadiran sebatian fenolik (antioksidan) yang tinggi seperti katekin, asid kafeik, asid galik dan rutin. [1]
Selain itu, terung pipit turut mengandungi vitamin C dan E. Vitamin-vitamin ini turut bertindak sebagai antioksidan yang boleh mencegah tekanan oksidatif.
2. Boleh Membantu Menurunkan Paras Gula Darah
Pemakanan terung pipit juga mungkin boleh membantu menurunkan paras gula darah terutamanya kepada mereka yang menghidap penyakit kencing manis (diabetes).
Kajian terhadap haiwan yang menghidap diabetes mendapati ekstrak metanol terung pipit yang diberikan selama 30 hari dapat menurunkan paras gula darah sehingga 42%. [1]
Kajian lain pula mendapati sebatian fenolik yang diekstrak daripada buah terung pipit turut menunjukkan kesan antidiabetes. Sebatian yang dikenali sebagai “methyl caffeate” ini boleh mencegah kenaikan paras gula darah dan boleh menurunkan paras gula darah. [2]
3. Bersifat Antibakteria
Selain itu, daun terung pipit juga didapati mempunyai sifat antibakteria terhadap pelbagai varian bakteria Staphylococcus termasuklah yang mempunyai ketahanan terhadap antibiotik. [3]
Bakteria-bakteria ini boleh menyebabkan pelbagai jangkitan seperti jangkitan pada kulit, saluran darah, sepsis atau kematian.
4. Boleh Merawat Keracunan Kadmium
Keracunan kadmium boleh menyebabkan kerosakan terhadap organ-organ dalaman manusia seperti hati dan buah pinggang.
Pekerja-pekerja industri pengilangan dan pembinaan berisiko tinggi untuk terdedah kepada keracunan kadmium. Pekerja mungkin terdedah semasa peleburan dan penapisan logam, pembuatan bateri, plastik, salutan dan panel solar.
Kajian terhadap haiwan mendapati ekstrak terung pipit didapati boleh mengurangkan kerosakan pada hati dan buah pinggang. [4]
5. Boleh Mencegah Ulser Perut
Ulser perut atau ulser gaster adalah luka terbuka yang terbentuk pada lapisan pelapik perut. Ia juga boleh berlaku di dalam usus yang hampir dengan perut.
Ulser perut boleh menyebabkan gejala-gejala seperti sakit perut, ketidakhadaman, pedih hulu hati atau hilang selera makan.
Kajian mendapati bahawa ekstrak daun terung pipit menunjukkan aktiviti-aktiviti pencegahan pembentukan ulser perut. Ekstrak daun terung pipit ini juga turut meningkatkan penghasilan mukosan dan mengurangkan perembesan asid gaster. [5]
6. Boleh Mencegah Tekanan Darah Tinggi
Seperti penggunaannya dalam perubatan tradisional, kajian moden juga turut mendapati bahawa terung pipit juga boleh membantu mencegah tekanan darah tinggi atau hipertensi.
Khasiat terung pipit ini dapat dibuktikan dalam kajian pada tahun 2009 yang mendapati ekstrak etanol terung pipit boleh mengurangkan tekanan darah sistolik dan membalikkan perubahan metabolik yang disebabkan oleh fruktosa.[6]
7. Boleh Mencegah Jangkitan Yis Pada Faraj Wanita
Jangkitan yis pada faraj wanita biasanya disebabkan oleh kulat atau fungi spesies Candida albicans. Ia turut dikenali sebagai vaginal candidiasis.
Ia menyebabkan gejala-gejala seperti kegatalan pada faraj, luka, sakit semasa hubungan kelamin, sakit ketika membuang air kecil dan keluar lelehan faraj yang tidak normal.
Terdapat kajian yang mendapati ekstrak etanol terung pipit menunjukkan aktiviti-aktiviti antikulat terhadap kulat Candida albicans. Kesan antikulat ini disumbang oleh kandungan sebatian aktif di dalam buah terung pipit seperti betulinic acid, oleanolic acid dan lain-lain. [7]
Rumusan
Walaupun saiznya kecil, terung pipit mempunyai khasiat yang banyak. Selain buahnya, daun terung pipit juga mempunyai khasiat yang tersendiri.
Perubatan tradisional telah lama menggunakan terung pipit dalam merawat pelbagai masalah kesihatan seperti merawat resdung, kayap, hipertensi, luka dan demam.
Kajian-kajian perubatan moden pula mendapati terung pipit kaya dengan antioksidan, boleh membantu menurunkan paras gula darah, boleh menurunkan tekanan darah, bersifat antibakteria serta antikulat dan lain-lain lagi.
Khasiat-khasiat ini menjadikan amalan memakan terung pipit sebagai ulam atau sayur adalah amalan yang baik dan sihat.
Rujukan
- Gandhi, G. R. et al. (2011). Solanum torvum Swartz. fruit containing phenolic compounds shows antidiabetic and antioxidant effects in streptozotocin induced diabetic rats. Food and chemical toxicology.
- Gandhi, G. R. et al. (2011). Antihyperglycemic activity and antidiabetic effect of methyl caffeate isolated from Solanum torvum Swartz. fruit in streptozotocin induced diabetic rats. European journal of pharmacology.
- Khunbutsri, D. et al. (2022). Antibacterial Activity of Solanum torvum Leaf Extract and Its Synergistic Effect with Oxacillin against Methicillin-Resistant Staphyloccoci Isolated from Dogs. Antibiotics.
- Ramamurthy, C. H. et al. (2016). Solanum torvum Swartz. fruit attenuates cadmium-induced liver and kidney damage through modulation of oxidative stress and glycosylation. Environmental science and pollution research international.
- Nguelefack, T. B. et al. (2008). Anti-ulcerogenic properties of the aqueous and methanol extracts from the leaves of Solanum torvum Swartz (Solanaceae) in rats. Journal of ethnopharmacology.
- Mohan, M. et al. (2009). Effect of Solanum torvum on blood pressure and metabolic alterations in fructose hypertensive rats. Journal of ethnopharmacology.
- Harley, B. K. et al. (2021). Bioactive triterpenoids from Solanum torvum fruits with antifungal, resistance modulatory and anti-biofilm formation activities against fluconazole-resistant candida albicans strains. PloS one.