Susu adalah minuman yang telah diminum sejak beribu tahun lamanya di dunia ini. Susu adalah cecair yang berkhasiat yang dihasilkan boleh haiwan mamalia termasuklah manusia sebagai makanan kepada anak kecil atau bayi sebelum mereka boleh memakan makanan yang bersifat pepejal.
Susu lembu, susu kambing atau susu biri-biri adalah antara jenis-jenis susu yang lazimnya diminum oleh orang awam.
Terdapat perdebatan mengenai khasiat susu dalam dunia kajian atau nutrisi, terutamanya melibatkan susu yang diperolehi daripada haiwan.
Justeru itu, artikel ini akan mengulas dengan lebih lanjut mengenai khasiat-khasiat susu yang mempunyai banyak potensi kepada kesihatan tubuh badan kita.

1. Padat dengan Pelbagai Nutrien
Susu sebenarnya mempunyai profil nutrien yang menarik.
Bagi secawan susu lembu (244 gram) yang diperkaya dengan vitamin D terdapat nutrien-nutrien berikut [1]:
- Tenaga/Kalori: 146 kcal
- Protein: 8 gram
- Lemak: 7.8 gram
- Karbohidrat: 11.4 gram
- Kalsium: 300 miligram
- Magnesium: 29.3 miligram
- Fosforus: 246 miligram
- Kalium: 366 miligram
- Zink: 1 miligram
- Selenium: 4.6 mikrogram
- Vitamin B1: 0.14 miligram
- Vitamin B2: 0.34 miligram
- Vitamin B3: 0.26 miligram
- Vitamin B6: 0.15 miligram
- Vitamin B12: 1.3 miligram
- Vitamin A: 78.1 mikrogram
- Vitamin E: 0.12 miligram
- Vitamin D: 2.7 mikrogram
- Vitamin K: 0.73 mikrogram
Profil nutrien ini menunjukkan bahawa susu adalah sumber kepada pelbagai mineral dan vitamin
Selain itu, susu juga turut mengandungi asid lemak seperti asid linoleik berkonjugat (CLA) dan Omega-3.
Asid linoleik berkonjugat (CLA) dan Omega-3 mempunyai banyak khasiat untuk kesihatan seperti mengurangkan risiko penyakit jantung atau penyakit kencing manis.
2. Sumber Protein yang Berkualiti
Susu adalah sumber protein yang berkualiti. Secawan susu boleh membekalkan 8 gram protein.
Protein adalah nutrien penting yang mempunyai pelbagai fungsi kepada badan seperti membantu membaiki dan membina tisu-tisu badan, menghasilkan tenaga, mengekalkan keseimbangan bendalir dalam badan dan lain-lain lagi.
Protein juga penting semasa pengurangan berat badan dan semasa pengekalan berat badan kerana sifatnya yang mengenyangkan dan boleh membantu mencegah terlebih guna tenaga seterusnya mengurangkan simpanan lemak.
3. Baik untuk Kesihatan Tulang dan Gigi
Khasiat susu yang seterusnya adalah baik untuk kesihatan tulang dan gigi.
Khasiat ini disumbang oleh kandungan kalsium, magnesium, fosforus, protein dan vitamin K. Kira-kira 99% kalsium badan disimpan dalam tulang dan gigi [2].
Kalsium adalah penting untuk tulang dan gigi yang kuat. Begitu juga dengan vitamin D yang terkandungan dalam susu yang diperkaya dengan vitamin ini.
Bagi orang dewasa yang minum susu, interaksi antara kalsium, fosforus, protein dan vitamin D boleh mengurangkan pelesapan tulang dan meningkatkan pembentukan tulang. Secara tidak langsung keadaan ini boleh mengurangkan kemusnahan tulang akibat usia [3].
4. Mengurangkan Risiko Kanser
Susu juga berkhasiat dalam membantu mengurangkan risiko kanser. Kandungan kalsium dan vitamin D memainkan peranan penting dalam mencegah kanser.
Pengambilan susu dan kalsium boleh mengurangkan risiko kepada kanser usus. Kajian metaanalisis juga turut mendapati pengambilan susu juga dikaitkan dengan pengurangan kanser usus [4].
Vitamin D juga turut mempunyai peranan dalam membantu mengurangkan risiko kanser.
Satu kajian metaanalisis mendapati kekurangan vitamin D mempunyai kaitan dengan kanser payudara [5].
5. Boleh Mengurangkan Kemurungan
Khasiat susu juga dapat dimanfaatkan oleh mereka yang sering mengalami kemurungan.
Hal ini kerana kandungan vitamin D dalam susu boleh meningkatkan kandungan vitamin D dalam badan seterusnya boleh menyokong penghasilan serotonin iaitu hormon yang berkaitan dengan emosi, selera makan dan tidur.
Kajian semula yang diterbitkan pada Januari 2020 melaporkan bahawa kekurangan vitamin D mempunyai perkaitan dengan kemurungan. Walau bagaimanapun, bukti-bukti yang tersedia tidak cukup kuat untuk menyarankan pengambilan suplemen vitamin D bagi kemurungan [6].
6. Baik untuk Sakit Sendi
Sakti sendi lutut atau osteoartritis adalah penyakit yang berlaku akibat rawan yang menjadi pelapik antara dua sendi tulang telah berkurang atau haus.
Terdapat kajian yang melaporkan bahawa terdapat perkaitan antara meminum susu setiap hari dengan pengurangan perkembangan penyakit osteoartritis ini [7].
terdapat juga kajian yang mendapati protein susu boleh membantu mengurangkan ketidakselesaan dan kesakitan pada sendi dalam kalangan individu yang tidak menghidap osteoartritis [8].
Rumusan
Susu adalah minuman yang mempunyai pelbagai khasiat dan kegunaan. Susu boleh diminum sahaja atau dicampurkan ke dalam makanan lain.
Susu adalah sumber yang baik untuk mendapatkan kalsium, protein, vitamin dan mineral lain yang berkhasiat untuk kesihatan badan.
Kajian-kajian turut menyokong bahawa susu berpotensi dalam membantu mengurangkan risiko kanser, mengurangkan kemurungan, mengurangkan sakit sendi, menguatkan tulang dan gigi serta membantu membentuk otot badan,
Meskipun begitu, tidak semua orang boleh menikmati susu kerana alahan dan tak tolerans terhadap laktosa.
Rujukan
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. fdc.nal.usda.gov.
- Institute of Medicine (US) Committee to Review Dietary Reference Intakes for Vitamin D and Calcium; Ross AC, Taylor CL, Yaktine AL, et al., editors. Dietary Reference Intakes for Calcium and Vitamin D. Washington (DC): National Academies Press (US); 2011. 2, Overview of Calcium. Available from: https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK56060/
- Bonjour, J. P. et al. (2013). Dairy in adulthood: from foods to nutrient interactions on bone and skeletal muscle health. Journal of the American College of Nutrition.
- Aune, D. et al. (2012). Dairy products and colorectal cancer risk: a systematic review and meta-analysis of cohort studies. Annals of oncology : official journal of the European Society for Medical Oncology.
- Hossain, S. et al. (2019). Vitamin D and breast cancer: A systematic review and meta-analysis of observational studies. Clinical nutrition ESPEN.
- Menon, V. et al. (2020). Vitamin D and Depression: A Critical Appraisal of the Evidence and Future Directions. Indian journal of psychological medicine.
- Lu, B. et al. (2014). Milk consumption and progression of medial tibiofemoral knee osteoarthritis: data from the Osteoarthritis Initiative. Arthritis care & research.
- Ziegenfuss, T. N. et al. (2019). Proprietary Milk Protein Concentrate Reduces Joint Discomfort While Improving Exercise Performance in Non-Osteoarthritic Individuals. Nutrients.