Khasiat strawberi merangkumi banyak aspek kepada kesihatan manusia. Bermula dari kesihatan dalaman hinggalah kesihatan luaran. Strawberi adalah sumber yang baik untuk mendapatkan vitamin C, folat dan kalium.
Merungkai asal usulnya, buah strawberi berasal dari negara Eropah pada kurun ke-18. Strawberi (Fragaria) yang masak berwarna merah, berjus dan manis. Strawberi merupakan salah satu buah beri daripada keluarga buah beri iaitu Rosaceae yang terdiri daripada buah rasberi dan beri hitam.
Kini, strawberi juga boleh didapati di Malaysia iaitu di Cameron Highland, Pahang.

Berikut merupakan 8 khasiat strawberi berdasarkan kajian-kajian:
1. Kaya dengan Nutrien Penting
Dalam 100 gram buah strawberi, terdapat nutrien-nutrien seperti berikut:
- Tenaga: 32 kcal
- Protein: 0.67 gram
- Lemak: 0.3 gram
- Karbohidrat: 7.68 gram
- Serat: 2 gram
- Kalsium: 16 miligram
- Zat Besi: 0.41 miligram
- Magnesium: 13 miligram
- Fosforus: 24 miligram
- Kalium: 153 miligram
- Vitamin C: 58.8 miligram
- Folat: 24 mikrogram
- Vitamin E: 0.29 miligram
Buah strawberi segar mempunyai banyak air iaitu 91 ml bagi 100 gram, maka jumlah karbohidratnya ialah sedikit (kurang dari 8 gram).
Strawberi juga mengandungi antioksidan termasuklah antosianin, asid elagik, kuersetin dan kaempferol (1).
2. Mencegah Penyakit Jantung
Penyakit jantung ialah antara penyebab kematian tertinggi di seluruh dunia.
Strawberi adalah sumber yang baik untuk mendapatkan polifenol terutamanya antosianin.
Kajian-kajian mendapati antosianin memainkan peranan penting dalam menambahbaik kesihatan jantung (2, 3).
Satu kajian terhadap wanita muda dan pertengahan umur dijalankan untuk mengetahui perkaitan antara diet dengan flavonoid dengan risiko serangan jantung. Kajian ini mendapati pengambilan antosianin yang tinggi yang terdapat dalam buah strawberi dan beri biru mengurangkan risiko serangan jantung (4).
3. Baik untuk Kesihatan Otak
Strawberi juga mempunyai khasiat untuk kesihatan otak manusia.
Dalam satu kajian epidemiologi mendapati pengambilan strawberi secara berpanjangan mempunyai perkaitan dengan penurunan kognitif yang lebih perlahan terhadap orang yang sudah berusia (5).
4. Mengurangkan Risiko Kencing Manis
Penyakit kencing manis atau diabetes menjadi satu kebimbangan di seluruh dunia. Dianggarkan pesakit kencing manis boleh mencecah 592 juta pada 2035 (6).
Punca penyakit ini adalah kerana gula darah yang terlalu tinggi yang bertanggungjawab menyebabkan kegagalan dan disfungsi pelbagai organ.
Beberapa kajian menunjukkan kolerasi antara pengambilan buah-buahan terutamanya buah beri dan sayur-sayuran dan pengurangan kejadian baru kencing manis (7, 8, 9).
Satu kajian pra-klinikal menunjukkan pengambilan strawberi menghalang pengambilan dan pengangkutan glukosa dan menormalkan tahap darah (10).
5. Mencegah Kanser
Buah strawberi juga mempunyai antioksidan yang boleh mencegah kanser dengan melawan atau meneutralkan radikal bebas.
Strawberi telah menunjukkan kemampuannya untuk menghalang pembentukan tumor dalam haiwan serta kanser mulut dan dalam sel kanser hati manusia (11, 12).
Asid elagik dan elagitanin merupakan mikronutrien dalam strawberi yang boleh menghalang tumbesaran sel-sel kanser (13, 14).
6. Baik untuk Kulit
Strawberi mengandungi asid salisilik, asid alfa hidroksi (AHA) dan asid elagik. Asid-asid ini boleh mencegah jerawat, menyingkirkan sel kulit mati dan mengurangkan hiperpigmentasi (15).
Kajian yang dijalankan mendapati produk kosmetik yang berasaskan strawberi boleh melindungi kulit daripada sinaran ultraviolet A yang boleh menyebabkan penyakit kulit (16).
7. Mengurangkan Risiko Sembelit
Makan buah-buahan yang tinggi kandungan air dan seratseperti strawberi, tembikai dan anggur boleh mengekalkan badan sentiasa terhidrat dan mengekalkan pergerakan usus yang normal.
Serat juga penting bagi mengurangkan risiko sembelit dan membesarkan najis.
8. Merendahkan Tekanan Darah
Strawberi juga tinggi dengan kandungan kaliumnya. Kalium (potassium) boleh membantu mereka yang mempunyai tekanan darah tinggi dengan mengurangkan kesan natrium (sodium) dalam badan (17).
Kalium dan magnesium juga bertindak sebagai vasodilator iaitu mereka boleh membantu mengurangkan hipertensi serta mengembang dan mengendurkan saluran darah (18).
Kesimpulan
Strawberi ialah buah yang sihat, sedap dan rendah kalori.
Strawberi mempunyai banyak khasiat dan kebaikan kepada kesihatan seperti sakit jantung, kencing manis, mencegah kanser dan juga merendahkan tekanan darah.
Strawberi juga mudah ditambah dalam diet harian. Mudah dimakan segar, dijadikan salad, dimakan bersama yogurt, dibuat jem dan macam-macam lagi.