Sengkuang adalah sejenis tumbuhan memanjat yang berumbi dan mempunyai rasa yang agak manis. Ubi sengkuang biasanya dimakan sebagai sayur atau dicampur di dalam rojak. Sebenarnya, terdapat banyak khasiat sengkuang yang tidak diketahui ramai.
Khasiat sengkuang ini meliputi banyak aspek kesihatan termasuklah kepada penghidap diabetes atau penyakit kencing manis. Artikel ini menyenaraikan khasiat-khasiat sengkuang berdasarkan sokongan kajian.
Sengkuang (Pachyrhizus erosus) dikenali dengan banyak nama seperti jicama, yam bean, Mexican turnip (dalam Bahasa Inggeris), shankhalu (dalam Bengali), singkamas (dalam Filipina), kuzu-imo (dalam Jepun) dan bang kuang (dalam Korea dan China).

Sengkuang berasal dari Mexico dan Amerika Tengah dan kemudiannya disebarkan ke banyak tempat di dunia seperti Malaysia, Thailand, Filipina, Indonesia, Vietnam, Laos, Taiwan dan lain-lain lagi.
Pokok sengkuang adalah daripada keluarga Fabaceae iaitu keluarga yang sama dengan kacang pea, kacang soya, kacang lima dan kacang panjang.
Oleh sebab itu, pokok sengkuang juga turut menghasilkan kacang yang seakan-akan kacang lima. Namun, kacang atau biji benih ini tidak boleh dimakan kerana beracun. Pemakanan biji sengkuang ini boleh menyebabkan keracunan yang teruk yang boleh menyebabkan kematian.
Ubi sengkuang pula boleh dimakan dan berkhasiat. Berikut adalah khasiat-khasiat sengkuang yang anda perlu tahu:
1. Tinggi dengan Antioksidan
Sengkuang didapati tinggi dengan kandungan antioksidan. Ini bermakna sengkuang mempunyai sebatian yang boleh membantu mencegah kerosakan sel-sel badan akibat tekanan oksidatif.
Tekanan oksidatif banyak dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes, kanser atau Alzheimer.
Sengkuang mengandungi antioksidan seperti vitamin C, vitamin A, vitamin E, selenium dan flavonoid. [1]
Antioksidan-antioksidan ini penting untuk melawan tekanan oksidatif dan mengurangkan risiko terhadap penyakit-penyakit kronik.
2. Tinggi dengan Kandungan Vitamin C
Sekiranya anda sukar untuk mendapatkan akses kepada buah yang tinggi vitamin C seperti jambu batu atau oren. Anda boleh beralih kepada sengkuang.
Sengkuang turut tinggi dengan kandungan vitamin C. Bagi 100gram sengkuang segar, terdapat 20.2 gram vitamin C. [1]
Jumlah ini telah mewakili hampir 30% daripada syor pengambilan nutrien (RNI) harian bagi orang dewasa di Malaysia.
3. Mengandungi Semua Asid Amino Perlu
Sengkuang juga didapati mempunyai kesemua asid amino perlu (essential amino acid). [2]
Asid amino perlu adalah asid amino yang tidak dapat dihasilkan oleh badan dan harus diperolehi melalui makanan.
Asid amino adalah molekul yang bergabung untuk membentuk protein. Badan manusia menggunakan asid amino untuk menghasilkan protein bagi membantu badan mencernakan makanan, membesar, membaiki tisu badan dan fungsi badan yang lain.
4. Boleh Membantu Mencegah Kenaikan Paras Gula Darah
Sengkuang juga baik untuk penghidap diabetes kerana mempunyai ciri-ciri yang boleh membantu mencegah kenaikan paras gula darah.
Khasiat sengkuang terhadap paras gula darah ini ditunjukkan di dalam beberapa kajian. Contohnya, kajian yang menggunakan serat sengkuang terhadap haiwan yang diberikan makanan tinggi gula mendapati serat sengkuang boleh mencegah kenaikan gula darah dan intolerans glukosa dengan ketara. [3]
Kajian lain pula mendapati ekstrak sengkuang boleh mengurangkan paras gula darah dan purata gula darah. Tambahan daripada itu juga, ekstrak sengkuang juga didapati boleh meningkatkan kesensitifan insulin. [4]
5. Boleh Membantu Mengurangkan Berat Badan
Sengkuang juga merupakan pilihan makanan yang baik sekiranya anda ingin mengurangkan berat badan.
Sengkuang tinggi dengan air dan serat. Ini menjadikannya makanan yang mengenyangkan. Selain itu, serat yang tinggi dalam sengkuang juga boleh melambatkan pencernaan seterusnya mencegah peningkatan mendadak paras gula darah selepas memakannya.
Keadaan ini membuatkan anda berasa kenyang dengan lebih lama.
Kajian terhadap haiwan juga mendapati serat sengkuang boleh mencegah peningkatan berat badan berlebihan dan mengurangkan peningkatan lemak badan yang disebabkan diet tinggi gula. [3]
6. Bagus untuk Penghadaman
Serat diet yang tinggi dalam sengkuang juga baik untuk penghadaman dan boleh mencegah sembelit.
Malah, terdapat kajian yang menunjukkan jus sengkuang boleh menjadi agen yang mencegah ulser gaster atau ulser perut yang disebabkan alkohol. [5]
7. Boleh Memutihkan dan Melambatkan Penuaan Kulit
Ekstrak kulit sengkuang dan ubi sengkuang juga turut didapati mempunyai khasiat dalam membantu memutih dan melambatkan penuaan kulit.
Kajian makmal mendapati ekstrak etanol kulit dan ubi sengkuang mempunyai aktiviti perencatan tirosinase yang mengesahkan ciri-ciri antipenuaan dan pemutihan kulit sengkuang. [6]
Perencatan tirosinase boleh mencegah pengumpulan melanin iaitu pigmen yang memberikan warna pada kulit.
Oleh itu, agen yang boleh merencatkan tirosinase berpotensi digunakan dalam produk kosmetik untuk memutihkan dan melambatkan penuaan kulit.
8. Boleh Menguatkan Sistem Imun
Sengkuang juga mempunyai ciri-ciri modulasi imun badan yang boleh digunakan untuk melawan pelbagai penyakit seperti penyakit berjangkit dan kanser.
Kesan modulasi imun bagi sengkuang dapat dilihat dalam kajian tabung uji dan kajian terhadap haiwan.
Satu kajian tabung uji mendapati ekstrak serat ubi sengkuang boleh meningkatkan antibodi dalam sel-sel manusia. Antibodi ialah protein yang dihasilkan oleh sistem imun untuk melawan kuman seperti virus dan bakteria. [7]
Kajian terhadap haiwan pula mendapati ekstrak ubi sengkuang boleh meningkatkan keimunan dan penghasilan antibodi bagi haiwan yang telah divaksin dengan vaksin Hepatitis B. [8]
9. Boleh Mencegah Kerapuhan Tulang
Sengkuang juga didapati mempunyai kesan antiosteoporosis iaitu mencegah kerapuhan tulang yang biasanya berlaku kepada orang tua.
Kajian terhadap haiwan mendapati ekstrak ubi sengkuang boleh meningkatkan ketumpatan tulang dan meningkatkan kandungan mineral seperti kalsium dan fosforus.
Tambahan lagi, haiwan yang menerima ekstrak ubi sengkuang juga turut menunjukkan peningkatan panjang terhadap tulang paha dan tulang kaki (tulang kering). [9]
10. Baik untuk Kesihatan Jantung
Sengkuang juga mempunyai pelbagai nutrien yang baik untuk kesihatan jantung.
Sengkuang mempunyai jumlah serat larut yang agak tinggi, di mana ia boleh membantu merendahkan paras kolesterol yang seterusnya boleh mencegah daripada penyakit jantung.
Selain itu, kandungan kalium dalam sengkuang juga boleh membantu merendahkan tekanan darah dengan mengendurkan saluran darah.
Satu kajian yang melibatkan 30 individu turut mendedahkan bahawa jus sengkuang boleh menghalang pembekuan darah dan merendahkan tekanan darah diastolik yang bermanfaat kepada kesihatan jantung dan mencegah daripada berlakunya strok. [10]
Rumusan
Sengkuang adalah makanan berkhasiat yang patut disertakan dalam makanan harian anda.
Selain tinggi dengan pelbagai nutrien, serat dan antioksidan, kajian-kajian turut mendapati sengkuang boleh mencegah kenaikan gula darah, membantu mengurangkan berat badan, baik untuk penghadaman dan lain-lain lagi.
Sengkuang juga sedap dan rangup untuk dimakan.
Rujukan
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. Yambean (jicama), raw
- Noman, A.S.M. et al. (2007). Nutritional and anti-nutritional components in Pachyrhizus erosus L. tuber. Food Chemistry.
- Santoso, P. et al. (2019). Jicama (Pachyrhizus erosus) fiber prevents excessive blood glucose and body weight increase without affecting food intake in mice fed with high-sugar diet. Journal of advanced veterinary and animal research.
- Park, C. J. et al. (2016). Jicama (Pachyrhizus erosus) extract increases insulin sensitivity and regulates hepatic glucose in C57BL/Ksj-db/db mice. Journal of clinical biochemistry and nutrition.
- Reza Pertiwi. et al. (2021). The effect of Raphanus sativus and Pachyrhizus erosus juice combination on the ethanol-induced gastric of mice. PharmaCiana.
- Siregar, I.D. et al (2019). Antioxidant and Antityrosinase Activities of Ethanolic Pachyrhizuserosus Peel and Tuber Extract. Majalah Kedokteran Bandung.
- Kumalasari, I. D. et al. (2014). Immunomodulatory activity of Bengkoang (Pachyrhizus erosus) fiber extract in vitro and in vivo. Cytotechnology.
- Sujona, T.A. et al. (2021). Immunomodulatory Effect of Methanolic Extract and Ethyl Acetate Fraction of Bengkoang (Pachyrhizus erosus (L.) Urban) Tuber in Mice. Pharmacognosy Journal.
- Nurrochmad, A. et al. (2010). Phytoestrogens of Pachyrhizus erosus prevent Bone Loss in an Ovariectomized Rat Model of Osteoporosis. International Journal of Phytomedicine 2.
- Thaptimthong, T. et al. (2016). Platelet inhibitory effects of juices from Pachyrhizus erosus L. root and Psidium guajava L. fruit: a randomized controlled trial in healthy volunteers. BMC complementary and alternative medicine.