Nutrisi

7 Khasiat Sayur Bayam: Baik Untuk Ibu Mengandung

Pinterest LinkedIn Tumblr

Sayur bayam atau saintifiknya, Spinacia oleracea adalah sayuran hijau yang berasal dari Parsi (Iran). Kemudiannya, bayam disebarkan ke China dan Eropah. Sayur bayam mempunyai profil nutrisi yang menarik. Khasiat sayur bayam pula baik untuk kesihatan lelaki, ibu mengandung serta bayi dalam kandungan.

Sayur bayam juga sinonim dengan kartun Popeye yang mendapat kekuatan dengan memakannya. Mungkin sebagai salah satu cara atau kempen untuk mengalakkan kanak-kanak makan sayur-sayuran.

Sayur bayam merupakan makanan unggul yang kaya dengan vitamin dan mineral. Terdapat dua jenis sayur bayam yang boleh didapati di Malaysia iaitu bayam hijau dan bayam merah.

Fakta Nutrisi Sayur Bayam

Boleh dimakan secara mentah atau dimasak, berikut merupakan kandungan nutrisi bayam berdasarkan USDA:

NutrienUnitNilai bagi 100g
Proksimat
Airg91.4
Tenagakcal23
Proteing2.86
Jumlah Lipid (lemak)g0.39
Karbohidratg3.63
Seratg2.2
Gula, Jumlahg0.42
Mineral
Kalsium, Camg99
Besi, Femg2.71
Magnesium, Mgmg79
Fosforus, Pmg49
Kalium, Kmg558
Natrium, Namg79
Zink, Znmg0.53
Vitamin
Vitamin C, jumlah asid askorbikmg28.1
Thiaminmg0.078
Riboflavinmg0.189
Niacinmg0.724
Vitamin B-6mg0.195
Folat, DFEµg194
Vitamin B-12µg0
Vitamin A, RAEµg469
Vitamin A, IUIU9377
Vitamin E (alfa-tokoferol)mg2.03
Vitamin D (D2 + D3)µg0
Vitamin DIU0
Vitamin K (filokuinon)µg482.9
Lipid
Asid Lemak, jumlah tepug0.063
Asid Lemak, jumlah mono tak tepug0.01
Asid Lemak, jumlah poli tak tepug0.165
Asid Lemak, jumlah transg0
Kolesterolmg0
sayur bayam

Khasiat Sayur Bayam Kepada Kesihatan

Sayur bayam mempunyai banyak nutrien yang penting untuk kulit, rambut dan juga kesihatan tulang di samping mempunyai kalori yang rendah.

1) Berkhasiat untuk Mata

Bayam kaya dengan vitamin A dan karatenoid iaitu lutein dan zeaxantin serta beta-karotena.

Kajian mendapati lutein dan zeaxantin ini boleh melindungi retina mata daripada rosak akibat sinaran biru dan menghilangkan spesies oksigen yang reaktif yang boleh menyebabkan tekanan pengoksidaan (1).

Kekurangan vitamin A pula boleh membawa kepada rabun malam (2).

Selain itu, beta-karotena juga berperanan dalam mengurangkan risiko penyakit mata seperti degenerasi makula berkaitan usia (8).

2) Membantu Mengawal Tekanan Darah

Sayur bayam juga tinggi dengan kalium (potassium) dan rendah natrium (sodium). Kalium ialah mineral utama yang diperlukan oleh badan untuk berfungsi dengan baik.

Kalium juga dapat merendahkan tekanan darah dan mengimbangi kesan negatif garam (natrium) (3).

Kajian selama seminggu terhadap 27 orang peserta yang sihat mendapati pengambilan sayur bayam boleh mengurangkan tekanan darah sistolik dan diastolik. Kesan ini dipercayai kerana kandungan nitrat yang tinggi dalam bayam (9).

3) Baik untuk Kulit dan Rambut

Vitamin C juga tinggi dalam sayur berdaun hijau ini. Vitamin C penting untuk penghasilan dan penyelenggaraan kolagen yang mana menyediakan struktur kepada kulit dan rambut. Vitamin C juga boleh melambatkan penuaan kulit (4).

Selain itu, vitamin C yang juga merupakan antioksidan turut berperanan dalam mencegah dan mengubati penyakit kulit. Contohnya seperti Porphyria cutanea tarda (penyakit kulit sensitif kepada cahaya), ekzema, melanoma, dan kayap (10).

4) Menguatkan Tulang

Kalsium merupakan nutrien penting untuk membina tulang dan memperlahankan pereputan tulang. Kandungan kalsium dan vitamin K dalam sayur bayam dapat membantu meningkatkan ketumpatan tulang dan mencegah penyakit osteoporosis (5).

5) Mencegah Kanser

Satu kajian terhadap ekstrak bayam menunjukkan bayam mempunyai kesan antikanser terhadap kanser kulit dan prostat. Ia juga tidak menunjukkan ketoksikan pada organ yang diuji dan tiada kesan sampingan (6).

Satu kajian lain terhadap bayam merah menunjukkan bayam mempunyai sifat antikanser. Bayam merah itu didapati boleh menghalang percambahan sel kanser hati dan payudara (7).

6) Baik untuk Perkembangan Kandungan dan Bayi

Selain untuk kesihatan mata, lutein dan zeaxantin juga turut memainkan peranan dalam perkembangan penglihatan dan kognitif bayi dalam kandungan dan bayi baru lahir.

Susu ibu dan darah daripada ibu membekalkan lutein dan zeaxantin kepada bayi baru lahir dan janin dalam kandungan (11).

7) Membantu Mencegah Kecacatan Bayi Dalam Kandungan

Sayur bayam juga kaya dengan kandungan folat. Pengambilan folat atau asid folik adalah amat penting semasa hamil atau mengandung. Kekurangan folat semasa hamil dikaitkan dengan kecacatan bayi dalam kandungan yang dikenali sebagai kecacatan tiub saraf.

Terdapat banyak laporan yang menunjukkan kepentingan folat atau asid folik semasa hamil bagi mengelakkan kecacatan pada bayi yang dikandung. Malah, ibu hamil mungkin memerlukan makanan tambahan (suplemen) folat bagi menampung keperluan terhadap vitamin ini (12, 13, 14).

Kesan Sampingan

Sayur bayam pada umumnya adalah selamat untuk semua orang dan baik untuk kesihatan.

Walau bagaimanapun, pengambilan sayur bayam yang banyak mungkin memberi kesan terhadap mereka yang menghidap batu karang atau mereka yang mengambil ubat pencair darah.

Ini kerana, sayur bayam tinggi dengan kandungan kalsium dan oksalat (oxalate) yang boleh meningkatkan risiko pembentukan batu karang bagi mereka penghidap penyakit ini (15).

Kandungan vitamin K1 dalam sayur bayam pula mempunyai sifat yang bertentangan dengan pesakit yang mengambil ubat pencair darah. Vitamin K1 berperanan sebagai pembeku darah. Oleh itu, mereka yang mengambl ubat pencair darah disarankan berbincang dengan doktor terlebih dahulu sebelum mengambil bayam dalam kuantiti yang tinggi (16).

Kesimpulan

Banyak khasiat sayur bayam yang boleh dimanfaatkan oleh kita. Kandungan nutrisinya memainkan peranan bagi membantu mencegah penyakit dan meningkatkan tahap kesihatan kita.

Sayur bayam juga baik untuk ibu hamil dan ibu yang menyusukan anak mereka.

Kemaskini terakhir pada 28 Jun 2020

1 Comment

  1. ada beberapa jenis bayam.. buat masa ni saya suka bayam brazil.. sedap diulam dan masak tumis atau buat sup.. bayam merah tak berapa minat..

Write A Comment