Khasiat sagu mungkin tidak diketahui ramai selain menjadi sumber makanan atau karbohidrat untuk mendapatkan tenaga atau untuk kenyang. Artikel ini menyenaraikan khasiat sagu kepada kesihatan yang ramai tidak tahu.
Sagu atau biji sagu adalah sejenis kanji yang dihasilkan daripada teras batang pokok sawit tropika iaitu pokok Rumbia atau secara saintifiknya dipanggil Metroxylon sagu.
Pokok sagu dikatakan berasal dari banyak tempat di dunia ini termasuklah Malaysia, Indonesia, Filipina, Thailand dan Papua New Guinea. Di Malaysia, sagu merupakan sumber makanan ruji bagi kaum peribumi Sabah dan Sarawak. Kini, sagu banyak dimanfaatkan dalam pelbagai masakan atau resepi.

Sagu atau biji sagu digunakan oleh masyarakat setempat untuk menghasilkan kuih sagu, pengat sagu, atau sagu gula melaka. Manakala di negara-negara Asia Tenggara pula, sagu turut digunakan dalam masakan atau produk seperti jeli, puding, sup, mi, biskut, mutiara sagu dan lain-lain lagi.
1. Merupakan Kanji Asli dan Bebas Gluten
Sagu boleh dikatakan kanji asli kerana hanya mengandungi sedikit protein, lemak dan serat. Sagu juga turut kurang dengan kandungan vitamin dan mineral.
Sagu juga merupakan karbohidrat atau kanji yang bebas gluten. Ini menjadikan sagu sebagai pilihan makanan yang sesuai untuk penghidap penyakit seliak atau mereka yang tak tolerans terhadap gluten.
2. Mengandungi Antioksidan
Antioksidan adalah sebatian yang boleh meneutralkan radikal bebas yang berbahaya. Apabila radikal bebas terlalu tinggi di dalam badan anda, radikal bebas ini akan merosakkan sel-sel badan yang sihat.
Keadaan ini dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti kanser, penyakit jantung atau penyakit kencing manis (diabetes).
Antioksidan dalam sagu wujud dalam bentuk polifenol seperti tanin dan flavanoid.
Kajian terhadap haiwan mendapati haiwan yang diberi makan diet yang tinggi dengan sagu menunjukkan tanda-tanda kerosakan akibat radikal bebas yang rendah, tinggi paras antioksidan dan mengurangkan risiko pengumpulan kolesterol di dalam arteri. [1]
3. Kaya dengan Kanji Resistan
Sagu juga turut kaya dengan kanji resistan iaitu sejenis kanji yang melalui saluran pencernaan tanpa dihadam atau dicernakan.
Kanji resistan ini bertindak seperti prebiotik yang sampai ke usus besar tanpa dicernakan dan menjadi makanan kepada bakteria baik dalam usus.
Bakteria tersebut akan menguraikan kanji resistan dan menghasilkan sebatian seperti asid lemak rantaian pendek (SCFA).
Banyak kajian telah mengaitkan kanji resistan dan asid lemak rantaian pendek dengan manfaat kesihatan seperti penyakit usus inflamatori, kanser usus besar dan diabetes. [2, 3, 4]
4. Boleh Membantu Mengurangkan Risiko Penyakit Jantung
Sagu juga didapati berkhasiat dalam membantu mengurangkan risiko penyakit jantung. Paras kolesterol dan trigliserida (lemak dalam darah) yang tinggi boleh meningkatkan risiko penyakit jantung.
Kajian terhadap haiwan mendapati haiwan yang diberi makan sagu mempunyai paras kolesterol dan trigliserida yang lebih rendah berbanding haiwan yang diberi makan kanji ubi kayu. [5]
5. Boleh Membantu Meningkatkan Daya Tahan Semasa Latihan atau Senaman
Sagu juga turut didapati boleh memberikan kesan yang positif terhadap daya tahan semasa senaman atau latihan.
Kesan ini dilihat dalam satu kajian yang melibatkan 8 penunggang basikal. Penunggang basikal yang meminum air yang mengandungi sagu atau sagu bercampur protein soya semasa latihan lambat untuk berasa letih dan meningkatkan daya tahan semasa latihan sebanyak 37% dan 84%. [6]
Satu kajian lain yang turut melibatkan penunggang basikal mendapati memakan bubur sagu semasa pemulihan daripada senaman atau latihan pada persekitaran panas-lembap boleh meningkatkan pemulihan prestasi semasa latihan berikutnya. [7]
6. Berpotensi untuk Mencegah dan Merawat Penyakit Kencing Manis
Tak tolerans glukosa dan rintangan insulin adalah antara faktor yang boleh menyebabkan penyakit kencing manis atau diabetes jenis 2.
Satu kajian yang melibatkan haiwan melaporkan bahawa sagu yang digunakan sebagai prebiotik boleh menambah baik masalah tak tolerans glukosa dan rintangan insulin yang berlaku terhadap haiwan yang diberikan diet tinggi lemak.
Tambahan itu juga, prebiotik daripada sagu juga turut meningkatkan paras asid lemak rantaian pendek (SCFA) yang mempunyai manfaat kepada mereka yang menghidap penyakit kencing manis. [8, 9]
Rumusan
Khasiat sagu atau biji sagu tidak sahaja terhad kepada sumber karbohidrat atau tenaga sahaja.
Kajian-kajian turut mendapati sagu turut mengandungi antioksidan dan kanji resistan yang mempunyai pelbagai khasiat dan manfaat kepada kesihatan badan. Sagu juga turut didapati boleh membantu mengurangkan paras kolesterol dalam darah, membantu meningkatkan daya tahan semasa latihan dan berpotensi mencegah dan merawat penyakit kencing manis.
Rujukan
- Hirao, K., & Igarashi, K. (2003). Effects of sago starch content in the diet on lipid peroxidation and antioxidative enzyme activities in rats. Journal of nutritional science and vitaminology.
- Parada Venegas, D. et al. (2019). Short Chain Fatty Acids (SCFAs)-Mediated Gut Epithelial and Immune Regulation and Its Relevance for Inflammatory Bowel Diseases. Frontiers in immunology.
- Wang, G. et al. (2019). Role of SCFAs in gut microbiome and glycolysis for colorectal cancer therapy. Journal of cellular physiology.
- Tilg, H., & Moschen, A. R. (2014). Microbiota and diabetes: an evolving relationship. Gut.
- Hirao, K. et al. (2000). Comparisons of effects of raw and gelatinized sago and tapioca starches on serum and liver lipid concentrations in rats. Journal of nutritional science and vitaminology.
- Ghosh, A. K. et al. (2010). Combination of sago and soy-protein supplementation during endurance cycling exercise and subsequent high-intensity endurance capacity. International journal of sport nutrition and exercise metabolism.
- Che Jusoh, M. R. et al. (2016). Sago supplementation for recovery from cycling in a warm-humid environment and its influence on subsequent cycling physiology and performance. Temperature.
- Ahmadi, S. et al. (2019). Prebiotics from acorn and sago prevent high-fat-diet-induced insulin resistance via microbiome-gut-brain axis modulation. The Journal of nutritional biochemistry.
- Puddu, A. et al. (2014). Evidence for the gut microbiota short-chain fatty acids as key pathophysiological molecules improving diabetes. Mediators of inflammation.