Saderi atau dalam bahasa Inggerisnya Celery adalah sayuran yang banyak digunakan dalam masakan. Seperti sayur-sayuran lain, saderi mempunyai khasiatnya yang tersendiri untuk kesihatan. Artikel ini akan menyenaraikan khasiat-khasiat saderi yang boleh dimanfaatkan oleh kita semua.
Nama saintifik bagi saderi ialah Apium graveolens. Sayur saderi ini banyak ditanam di seluruh Eropah dan kawasan tropika dan subtropika seperti di Afrika dan Asia.
Penanaman sayur saderi memerlukan kawasan yang berkelembapan tinggi dan mempunyai suhu yang rendah. Oleh itu, kebanyakan saderi yang berkualiti tinggi datangnya daripada kawasan yang mempunyai persekitaran yang sejuk dan dingin.
Kesemua bahagian sayuran ini mempunyai khasiatnya yang tersendiri. Biji benih, daun dan minyak pati saderi mempunyai nilai yang tersendiri dalam perubatan.
Saderi mengandungi vitamin A, vitamin C dan sebatian seperti limonene, selinene, flavonoid dan furanocaoumarin. Vitamin dan sebatian-sebatian ini banyak menyumbang kepada nilai perubatan sayur ini.
Perubatan tradisional menggunakan saderi untuk merawat masalah perut atau kekajangan perut. Selain itu, sayur ini juga turut bertindak sebagai diuretik (bahan yang menggalakkan pembuangan air besar), laksatif dan sedatif.
Tambahan daripada itu, perubatan tradisional Afrika menggunakan sederi sebagai tonik jantung bagi menurunkan tekanan darah.
Melihat khasiat dan penggunaannya yang menarik dalam perubatan tradisional, artikel ini akan melihat beberapa khasiat saderi yang berdasarkan sokongan kajian-kajian sains.

1. Kaya dengan Antioksidan
Saderi kaya dengan kandungan antioksidan seperti asid fenolik, apigenin, luteolin, tanin, saponin, kaempferol, vitamin C, beta-karotena dan mangan.
Antioksidan ini berperanan penting dalam mencegah atau merencatkan kerosakan oksidatif terhadap sel-sel badan yang berpunca daripada radikal bebas.
Kajian terhadap keseluruhan bahagian sayuran ini mendapati sayur saderi ini menunjukkan aktiviti-aktiviti antioksidan yang tinggi. [1]
2. Rendah Kalori dan Indeks Glisemik
Sayur saderi juga rendah dengan kalori dan indeks glisemik.
Saderi hanya mengandungi 14 kalori (kcal) bagi setiap 100 gram sayur ini. Kalorinya yang rendah menjadikan sayur ini sebagai pilihan makanan yang baik buat mereka yang ingin mengekalkan atau menurunkan berat badan.
Saderi juga dikenali sebagai makanan kalori negatif kerana berbanding nilai kalorinya, badan menggunakan kalori yang lebih tinggi untuk mencernanya berbanding nilai kalori makanan tersebut.
Selain itu juga, saderi turut rendah dengan indeks glisemik iaitu 15. Indeks glisemik yang rendah menandakan makanan tersebut tidak menyebabkan kenaikan paras gula yang mendadak selepas pemakanan makanan tersebut.
Keadaan ini baik terutamanya kepada mereka yang menghidap penyakit kencing manis (diabetes jenis 2).
3. Boleh Membantu Mengurangkan Keradangan
Keradangan adalah tindak balas semulajadi bagi sistem imun badan apabila badan seseorang itu mengalami kecederaan atau jangkitan.
Walau bagaimanapun, keradangan yang berpanjangan (kronik) adalah tidak baik untuk kesihatan dan dikaitkan dengan pembentukan penyakit lain seperti kanser, penyakit jantung, sakit sendi dan lain-lain.
Saderi didapati boleh mengurangkan keradangan. Khasiat saderi ini dapat dilihat dalam kajian terhadap haiwan yang mendapati karbohidrat dalam sayur ini boleh mengurangkan penghasilan protein yang menyebabkan keradangan dan meningkatkan penghasilan protein yang bersifat antiradang. [2]
4. Mengurangkan Tekanan Darah
Saderi juga baik untuk mereka yang ingin menurunkan tekanan darah atau bagi mereka yang mempunyai tekanan darah tinggi.
Sesetengah pengamal perubatan China menggunakan saderi atau ekstrak saderi untuk mengurangkan tekanan darah.
Kajian terhadap haiwan mendapati ekstrak biji benih saderi mempunyai kesan antihipertensi terhadap haiwan yang menghidap tekanan darah tinggi. [3]
Kajian klinikal terhadap 29 pesakit tekanan darah tinggi yang ringan juga mendapati ekstrak saderi turut mempunyai kesan positif terhadap tekanan darah bagi pesakit tekanan darah tinggi. [4]
5. Menurunkan Paras Kolesterol Jahat
Tambahan lagi, khasiat saderi juga dilihat mampu membantu menurunkan paras kolesterol jahat (kolesterol LDL) bagi pemakannya.
Khasiat ini dapat dilihat dalam satu kajian terhadap haiwan yang diberi makan diet tinggi lemak. Pengambilan ekstrak saderi ini didapati menyebabkan penurunan paras jumlah kolesterol, kolesterol LDL dan trigliserida (lemak) bagi haiwan yang diberi makan diet tinggi lemak ini. [5]
Kajian yang lebih terkini yang dijalankan turut mendapati ekstrak daun saderi boleh membantu menurunkan paras kolesterol, kolesterol LDL, kolesterol VLDL dan trigliserida bagi haiwan yang diberikan ekstrak saderi ini. [6]
Walau bagaimanapun, kajian-kajian terhadap manusia masih diperlukan untuk menguatkan lagi dapatan kajian ini.
6. Membantu Menurunkan Paras Gula Darah
Saderi juga turut bermanfaat kepada mereka yang mempunyai paras gula darah yang tinggi atau mereka yang ingin mengawal paras gula darah.
Khasiat saderi dalam membantu menurunkan paras gula darah ini dapat dilihat dalam satu kajian yang dijalankan terhadap warga emas pradiabetes yang berusia lebih 60 tahun.
Pengambilan 250mg ekstrak saderi sebanyak 3 kali sehari sebelum makan selama 12 hari mendapati terdapat penurunan paras gula darah sebelum dan selepas makan yang ketara bagi peserta yang diuji. [7]
7. Membantu Meningkatkan Kesuburan
Biji benih saderi terkenal sebagai perangsang nafsu dalam perubatan tradisional.
Kajian-kajian moden pula mendapati ekstrak saderi boleh membantu meningkatkan kesuburan bagi lelaki.
Satu kajian yang dijalankan terhadap haiwan mendapati ekstrak saderi boleh membantu meningkatkan kesuburan dengan mengurangkan kecederaan pada testis akibat daripada kesan sampingan ubat sawan (sodium valporate). [8]
Sodium valporate ini adalah ubat yang lazimnya digunakan untuk merawat sawan dan penyakit lain dan mempunyai kesan toksik terhadap testis manusia dan haiwan.
Dalam kajian lain, ekstrak saderi juga dilihat boleh membantu melindungi testis daripada rosak akibat daripada bahan tambah makanan (food additives). [9]
Meskipun begitu, kajian-kajian terhadap manusia masih terhad.
Rumusan
Saderi ialah sayuran yang berkalori rendah dan mempunyai banyak khasiat untuk kesihatan.
Selain kaya dengan kandungan antioksidan, kajian-kajian moden mendapati saderi berkhasiat dalam mmebantu mengurangkan keradangan, mengurangkan tekanan darah, menurunkan paras gula darah, menurunkan paras kolesterol dan lain-lain lagi.
Saderi juga mudah untuk ditambah dalam pelbagai masakan. Contohnya seperti sup, salad atau digoreng.
Rujukan
- Yao, Y. et al. (2010). Phenolic composition and antioxidant activities of 11 celery cultivars. Journal of food science.
- Ovodova, R.G. et al. (2009). Chemical composition and anti-inflammatory activity of pectic polysaccharide isolated from celery stalks. Food Chemistry.
- Moghadam, M. H. et al. (2013). Antihypertensive effect of celery seed on rat blood pressure in chronic administration. Journal of medicinal food.
- Samaha, A. A. (2019). Antihypertensive Indigenous Lebanese Plants: Ethnopharmacology and a Clinical Trial. Biomolecules.
- Tsi, D. et al. (1995). Effects of aqueous celery (Apium graveolens) extract on lipid parameters of rats fed a high fat diet. Planta medica.
- Dianat, M. et al. (2015). The effect of hydro-alcoholic celery (Apiumgraveolens) leaf extract on cardiovascular parameters and lipid profile in animal model of hypertension induced by fructose. Avicenna journal of phytomedicine.
- Yusni, Y. et al. (2018). The effects of celery leaf (apium graveolens L.) treatment on blood glucose and insulin levels in elderly pre-diabetics. Saudi medical journal.
- Hamza, A. A., & Amin, A. (2007). Apium graveolens modulates sodium valproate-induced reproductive toxicity in rats. Journal of experimental zoology.
- Kooti, W. et al. (2014). Protective effects of celery (Apium Graveolens) on testis and cauda epididymal spermatozoa in rat. Iranian journal of reproductive medicine.