Rebung buluh adalah salah satu makanan yang istimewa di Asia termasuklah Malaysia. Walaupun rebung popular dalam pelbagai juadah masakan, adakah kita tahu akan khasiat rebung yang boleh dimanfaatkan untuk kesihatan?
Oleh itu, artikel kali ini akan berkongsi mengenai khasiat rebung dan nutrien-nutrien yang terkandung dalam sayuran ini.
Bagi mereka yang tidak mengenali rebung, rebung ialah anak buluh yang lembut yang selalunya diambil dijadikan bahan tambahan dalam makanan seperti gulai, masak lemak, acar dan lain-lain lagi.

Terdapat kira-kira 1,500 spesies buluh di dunia dan lebih daripada 500 spesies berasal dari China. Tetapi tidak semuanya dijadikan sebagai makanan.
Perubatan tradisional turut memanfaatkan rebung untuk merawat pelbagai masalah kesihatan. Masyarakat Jawa menggunakan jus rebung untuk merawat jaundis (penyakit kuning). Manakala di China, campuran rebung digunakan untuk mencuci luka dan menyembuhkan jangkitan. Perubatan Indo-Persi dan Tibet menggunakan rebung sebagai tonik untuk gangguan pernafasan.
Berikut adalah beberapa khasiat rebung untuk kesihatan berdasarkan sokongan kajian-kajian.
1. Mengandungi Zat-zat Penting
Salah satu keistimewaan rebung ialah mengandungi zat-zat (nutrien) penting yang tinggi seperti serat, mineral tembaga dan juga vitamin B6 dan E.
Bagi 100 gram rebung yang telah dimasak, terdapat nutrien-nutrien berikut: [1]
- Kalori: 41 kcal
- Protein: 1.7 gram
- Lemak: 2.9 gram
- Karbohidrat: 3.1 gram
- Serat: 1.4 gram
- Kalsium: 8 miligram
- Magnesium: 4 miligram
- Fosforus: 25 miligram
- Kalium: 78 miligram
- Zink: 0.63 miligram
- Tembaga: 0.11 miligram
- Selenium: 0.5 mikrogram
- Vitamin C: 1 miligram
- Vitamin B6: 0.15 miligram
- Folat: 3 mikrogram
- Vitamin A: 12 mikrogram
- Vitamin E: 0.91 miligram
- Vitamin K: 2.4 mikrogram
Selain itu, rebung turut mengandungi sedikit vitamin B1, B2, B3 dan juga zat besi.
Bagi 100 gram rebung ini boleh membekalkan 12% keperluan harian tembaga bagi rakyat Malaysia. Mineral ini penting dalam membantu pembentukan sel-sel darah merah, kesihatan tulang, meningkatkan sistem imun dan lain-lain. [2]
2. Membantu Menurunkan Paras Kolesterol
Kolesterol tinggi adalah satu punca yang menyumbang kepada risiko penyakit jantung. Kolesterol yang tinggi boleh menyebabkan saluran-saluran darah tersumbat.
Terdapat beberapa kajian yang melaporkan bahawa rebung boleh membantu menurunkan paras kolesterol yang baik untuk kesihatan.
Satu kajian makmal menunjukkan bahawa serat yang diperolehi daripada rebung ini mempunyai ciri-ciri penurunan kolesterol. [3]
Kajian kecil yang dijalankan terhadap 8 orang wanita mendapati pengambilan 360 gram rebung selama 6 hari menyebabkan penurunan jumlah kolesterol dan kolesterol LDL (kolesterol jahat) berbanding diet lain. [4]
3. Baik untuk Kesihatan Usus
Rebung ialah sayuran atau sumber makanan yang kaya dengan serat iaitu kira-kira 2 gram bagi secawan (155 g) rebung ini.
Makanan yang kaya dengan serat boleh membantu meningkatkan kesihatan sistem penghadaman termasuklah usus.
Makanan yang tinggi serat juga boleh mengurangkan risiko penyakit-penyakit seperti buasir, kanser usus, dan divertikulum. [5]
Terdapat kajian makmal yang mendapati rebung boleh bertindak sebagai prebiotik iaitu makanan kepada bakteria baik dalam usus. [6, 7]
4. Boleh Membantu Menurunkan Berat Badan
Rebung juga boleh menjadi menu buat mereka yang ingin menurunkan berat badan.
Kandungan serat yang tinggi dalam rebung serta kalorinya yang rendah menjadikan rebung sebagai makanan yang baik untuk mereka yang ingin menurunkan berat badan.
Satu kajian terhadap haiwan mendapati serat rebung boleh mencegah obesiti melalui pengurangan kesan buruk diet tinggi lemak dan mengekalkan keseimbangan bakteria dalam usus. [8]
Terdapat juga analisis yang dijalankan terhadap 62 kajian yang melaporkan bahawa diet yang tinggi dengan serat boleh merangsang penurunan berat badan dan pengurangan lemak perut. [9]
5. Mengandungi Antioksidan
Rebung juga mengandungi sebatian-sebatian fenolik yang bersifat antioksidan. Selain vitamin C dan E, rebung turut mengandungi sebatian fenolik seperti katekin, asid kafeik, asid galik dan lain-lain lagi.
Kajian terhadap spesies buluh di Korea mendapati, rebung daripada spesies Phyllostachys pubescens dan Phyllostachys nigra menunjukkan aktiviti antioksidan yang tinggi. [10]
6. Membantu Mengawal Paras Gula Darah
Rebung juga dilihat mempunyai potensi yang baik dalam membantu mengawal paras gula darah terutamanya bagi mereka yang menghidap penyakit kencing manis atau diabetes.
Kajian yang dijalankan terhadap haiwan mendapati serat rebung boleh mengurangkan rintangan insulin, menurunkan paras gula dalam darah puasa dan menurunkan paras insulin puasa bagi haiwan yang diberi makan diet tinggi lemak.
Hasil kajian ini menunjukkan serat rebung boleh meningkatkan kepekaan insulin bagi haiwan yang diberi makan diet tinggi lemak ini. Keadaan ini secara tidak langsung boleh mengurangkan risiko penyakit kencing manis atau diabetes jenis 2. [11]
Rintangan insulin ialah keadaan dimana sel-sel dalam badan tidak bertindak balas dengan baik terhadap insulin dan tidak dapat menggunakan gula dalam darah untuk dijadikan tenaga. Oleh itu, pankreas menghasilkan lebih banyak insulin. Kesannya, paras gula dalam darah akan terus meningkat.
Walau bagaimanapun, kajian terhadap manusia masih diperlukan untuk mengesahkan kesan yang sama terhadap manusia.
7. Membantu Menambah Darah
Rebung adalah makanan yang kaya dengan kandungan mineral tembaga. Zat tembaga ini turut berperanan dalam penghasilan sel-sel darah merah dan juga penyerapan zat besi.
Zat besi ialah mineral yang berperanan penting dalam penghasilan sel-sel darah merah.
Kajian yang dijalankan terhadap haiwan mendapati ekstrak rebung boleh meningkatkan sel-sel darah merah, jumlah hemoglobin dan juga peratusan sel-sel darah merah dalam darah. [12]
Kajian-kajian lanjut terutamanya terhadap manusia masih diperlukan untuk menguatkan lagi dapatan kajian ini.
Risiko
Walaupun rebung dilihat mempunyai banyak khasiat, tetapi harus diketahui juga bahawa rebung mentah mempunyai sebatian yang bersifat toksik yang diikenali sebagai taxiphyllin.
Meskipun begitu, kandungan toksik ini boleh dikurangkan melalui cara penyediaan rebung ini. Kaedah merendam atau merebus rebung boleh membantu menyingkirkan toksin ini.
Terdapat kajian yang melaporkan bahawa toksin taxiphyllin boleh disingkirkan sehingga 99% melalui kaedah merebus rebung selama 25 minit sama ada dalam air kosong atau air yang ditambah garam. [13]
Selain itu, merendam rebung ini selama sehari (24 jam) boleh menghilangkan toksin ini sehingga kira-kira 85%. [14, 15]
Manakala, kaedah pengeringan, penapaian (fermentasi) dan pengukusan dilihat kurang berkesan dalam menyingkirkan toksin ini.
Rumusan
Rebung adalah salah satu sumber makanan yang mempunyai khasiat tertentu yang boleh dimanfaatkan untuk kesihatan kita.
Selain menjadi penambah rasa dalam makanan, rebung turut boleh membekalkan nutrien-nutrien penting, membantu menurunkan paras kolesterol, menyihatkan usus, membantu menurunkan berat badan, mengawal paras gula dalam darah, membantu menambah sel-sel darah merah dan mengandungi antioksidan.
Penyediaan rebung juga penting sebelum boleh dimakan kerana kandungan toksin yang terkandung didalamnya. Kaedah rebusan dan rendaman boleh membantu menyingkirkan toksin daripada rebung ini.
Rujukan
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. fdc.nal.usda.gov.
- Emily Wax. (2019). Copper in diet. U.S National Library of Medicine [diakses pada 20 Mei 2021].
- Wu, W. et al. (2020). The potential cholesterol-lowering and prebiotic effects of bamboo shoot dietary fibers and their structural characteristics. Food chemistry.
- Park, E. J., & Jhon, D. Y. (2009). Effects of bamboo shoot consumption on lipid profiles and bowel function in healthy young women. Nutrition.
- Akbar A, Shreenath AP. (Updated 2020 Jul 2). High Fiber Diet. . In: StatPearls [Internet]. Treasure Island (FL): StatPearls Publishing; 2021 Jan-. Available from: https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK559033/
- Thakur, K. et al. (2018). In vitro Prebiotic Effects of Bamboo Shoots and Potato Peel Extracts on the Proliferation of Lactic Acid Bacteria Under Simulated GIT Conditions. Frontiers in microbiology.
- Chen, G. J. et al. (2020). Comparisons of prebiotic activity of polysaccharides from shoot residues of bamboo (Chimonobambusa quadrangularis) via different ethanol concentrations. Journal of food biochemistry.
- Li, X. et al. (2016). Bamboo shoot fiber prevents obesity in mice by modulating the gut microbiota. Scientific reports.
- Jovanovski, E. et al. (2020). Can dietary viscous fiber affect body weight independently of an energy-restrictive diet? A systematic review and meta-analysis of randomized controlled trials. The American journal of clinical nutrition.
- Park, E.J & Jhon, D.Y. (2010).The antioxidant, angiotensin converting enzyme inhibition activity, and phenolic compounds of bamboo shoot extracts. LWT-Food Science and Technology.
- Li, X. et al. (2018). Bamboo shoot fiber improves insulin sensitivity in high-fat diet-fed mice. Journal of Functional Foods.
- Lin, C., et al. (2008). The effect of bamboo shoots extract compound on the treatment of hemorrhagic anemia. Chinese Journal of Blood Transfusion.
- Pandey, A. K., & Ojha, V. (2014). Precooking processing of bamboo shoots for removal of anti-nutrients. Journal of food science and technology.
- Pokhariya, P. et al.(2018). Reducing hydrocyanic acid content, nutritional and sensory quality evaluation of edible bamboo shoot based food products. International Journal of Chemical Sciences.
- Rawat, K. et al. (2015). Processing Techniques for Reduction of Cyanogenic Glycosides from Bamboo Shoots.