Petola mungkin kurang disebut-sebut berbanding sayur lain. Ini tidak bermakna sayur ini tidak berkhasiat. Bahkan, sebenarnya petola mempunyai banyak khasiat dan kebaikan yang bermanfaat untuk kesihatan tubuh badan.
Artikel ini akan menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai khasiat petola untuk kesihatan berdasarkan kajian-kajian. Selain itu, turut dimuatkan juga beberapa penggunaan petola dalam perubatan tradisional.
Petola atau dalam istilah saintifiknya Luffa acutangula adalah sejenis tumbuhan berbunga dalam keluarga yang sama dengan timun batang. Buah petola biasanya dimakan sebagai sayur. Dalam bahasa Inggeris, petola dipanggil angled loofah atau ridge gourd.

Petola banyak ditanam di negara-negara seperti China, Jepun, India, Mesir, Malaysia, Indonesia, Thailand dan negara-negara Asia Tenggara yang lain.
Perubatan tradisional India banyak menggunakan petola untuk merawat pelbagai masalah kesihatan seperti jaundis, diabetes, sakit kepala, jangkitan kurap, disenteri (berak berdarah) dan leprosi (penyakit kusta).
Selain itu, tumbuhan ini turut digunakan untuk merawat gigitan serangga manakala serbuk buahnya digunakan untuk merawat buasir yang bengkak. Serbuk biji petola juga turut dimakan untuk merawat penyakit batu karang.
Menyedari kepelbagaian kegunaannya dalam perubatan tradisional, perubatan moden juga cuba melihat khasiat petola ini dari sudut sains perubatan.
Antara khasiat-khasiat petola berdasarkan kajian adalah:
1. Mengandungi Antioksidan
Antioksidan ialah sebatian yang boleh melindungi sel-sel sihat dalam badan daripada tekanan oksidatif yang disebabkan oleh radikal bebas.
Tekanan oksidatif banyak dikaitkan dengan penyakit-penyakit kronik seperti penyakit jantung, diabetes, kanser atau Alzheimer.
Petola turut mengandungi antioksidan seperti apigenin, luteolin, asid galik, asid p-kumarik dan asid askorbik (vitamin C).
2. Berpotensi Mencegah Kanser
Petola juga didapati berpotensi untuk mencegah kanser.
Khasiat petola ini dapat dilihat dalam satu kajian terhadap haiwan yang mendapati ekstrak buah petola boleh mengurangkan pembentukan tumor. [1]
Selain itu juga, kajian lain turut mendapati ekstrak daun petola turut menunjukkan kesan antikanser terhadap sel-sel kanser paru-paru manusia. [2]
Walau bagaimanapun, kajian-kajian lanjutan masih diperlukan untuk mendapatkan bukti yang kukuh akan kesan antikanser tumbuhan ini.
3. Boleh Melindungi Hati
Kajian juga turut mendapati buah petola boleh melindungi hati daripada penyakit hati.
Satu kajian yang dijalankan terhadap haiwan mendapati ekstrak buah petola boleh mengurangkan ketoksikan dan keradangan yang berlaku pada hati. [3]
Kesan yang sama turut dilaporkan dalam satu kajian lain yang mendedahkan bahawa ekstrak petola boleh melindungi hati daripada ketoksikan paracetamol. [4]
4. Boleh Mencegah dan Merawat Diabetes
Jus buah petola turut popular dalam perubatan tradisional untuk mencegah dan merawat diabetes (penyakit kencing manis).
Satu kajian yang dijalankan terhadap haiwan mendapati ekstrak petola boleh mengurangkan paras gula darah puasa sebanyak 51%. [5]
Manakala, satu kajian lain turut menunjukkan potensi ekstrak petola yang boleh menurunkan paras gula darah yang bergantung kepada dos. Bagi 400 mg/kg berat badan, ekstrak petola boleh menurunkan paras gula darah sehingga 41%. [6]
5. Boleh Mengurangkan Paras Kolesterol
Selain itu juga, buah petola juga turut bermanfaat kepada mereka yang mengalami masalah kolesterol tinggi.
Kajian terhadap haiwan menunjukkan bahawa ekstrak buah petola boleh mengurangkan paras kolesterol total, trigliserida dan kolesterol jahat (kolesterol LDL) masing-masing sebanyak 38%, 80% dan 86%. [5]
Kajian lain turut melaporkan bahawa pengambilan ekstrak buah petola pada dos 200 mg/kg dan 400 mg/kg dalam kalangan haiwan yang menghidap diabetes menunjukkan peningkatan terhadap paras kolesterol baik (kolesterol HDL) dan penurunan terhadap kolesterol total, trigliserida dan kolesterol jahat (kolesterol LDL). [7]
Walau bagaimanapun, kajian klinikal masih diperlukan untuk melihat kesan buah petola terhadap pesakit kencing manis (diabetes).
6. Boleh Mencegah Jangkitan Bakteria dan Kulat
Buah petola dan daun petola juga berkhasiat dalam membantu mencegah dan merawat jangkitan bakteria dan kulat.
Satu kajian melaporkan bahawa ekstrak buah petola menunjukkan aktiviti antibakteria terhadap bakteria-bakteria yang boleh menyebabkan keracunan makanan dan sakit tekak seperti Streptococcus aureus, Bacillus subtilis, Pseudomonas aeruginosa dan Escherichia coli. [8]
Tambahan itu juga, ekstrak buah petola turut menunjukkan aktiviti antikulat terhadap kulat jenis Candida albicans, Aspergillus niger dan Aspergillus fumigatus.
Kulat-kulat ini biasanya menyebabkan jangkitan di mulut, kemaluan dan jangkitan saluran pernafasan.
7. Bersifat Antiradang
Daun petola juga didapati bersifat antiradang. Ini bermakna daun petola boleh membantu mencegah dan merawat keradangan yang biasanya berlaku akibat kecederaan atau penyakit-penyakit kronik.
Kesan antiradang daun petola ini dilaporkan dalam satu kajian yang menunjukkan bahawa ekstrak daun petola kering berjaya mencegah sembab (edema) sehingga 72% bergantung kepada dos yang diambil. [9]
8. Boleh Merawat Ulser Perut
Ulser perut atau turut dikenali sebagai ulser gaster (gastric ulcer) ialah luka yang terbentuk pada lapisan pelapik perut.
Ulser ini boleh berlaku akibat daripada jangkitan bakteria H.pylori atau ubat-ubatan antiradang seperti aspirin, ibuprofen dan naproxen.
Kesan ekstrak buah petola dalam merawat ulser perut dapat diperhatikan dalam satu kajian yang mendapati ekstrak buah petola menyembuhkan ulser perut dengan meningkatkan paras mukosa perut (lapisan pelindung perut) dan enzim antioksidan. [10]
9. Menguatkan Sistem Imun
Memakan petola juga boleh membantu menguatkan sistem imun (sistem pertahanan) badan anda.
Khasiat petola ini dapat dilihat dalam satu kajian tabung uji yang mendapati ekstrak petola boleh meningkatkan sel-sel darah putih (sel-sel imun) sehingga 24%. [11]
10. Mengandungi 6 daripada 9 Asid Amino Perlu
Asid amino perlu (essential amino acid) adalah asid amino yang tidak dapat dihasilkan oleh badan dan harus diperolehi melalui makanan.
Buah petola tinggi dengan kandungan protein dan sangat sesuai bagi mereka yang mengamalkan diet vegan yang memerlukan protein dan asid amino perlu daripada tumbuhan.
Buah petola mengandungi 6 daripada 9 asid amino perlu iaitu triptofan, metionina, leusina, isoleusina, lisina dan histidina. [12]
Rumusan
Petola adalah buah yang selalunya dihidangkan sebagai sayur bagi kebanyakan juadah di negara ini. Seperti buah-buahan atau sayur-sayuran, petola juga kaya dengan pelbagai khasiat.
Selain perubatan tradisional, kajian moden juga turut mendapati petola berkhasiat dalam membekalkan antioksidan, berpotensi mencegah kanser, melindungi hati, bersifat antidiabetes, boleh membantu mengurangkan paras kolesterol dan lain-lain lagi.
Rujukan
- Dashora, N. & Chauhan, L.S.. (2015). In vitro antioxidant and in vivo anti-tumor activity of Luffa acutangula against Dalton’s Lymphoma Ascites (DLA) cells bearing mice. Journal of Chemical and Pharmaceutical Research.
- Vanajothi, R. et al. (2012). Luffa acutangula and Lippia nodiflora leaf extract induces growth inhibitory effect through induction of apoptosis on human lung cancer cell line. Biomedicine & Preventive Nutrition.
- Jadhav, V. B. et al. (2010). Hepatoprotective activity of Luffa acutangula against CCl4 and rifampicin induced liver toxicity in rats: a biochemical and histopathological evaluation. Indian journal of experimental biology.
- Mishra, S.B. & Mukerjee,A. (2017). In Vivo And Ex Vivo Evaluation of Luffa Acutangula Fruit Extract and Its Fractions for Hepatoprotective Activity in Wistar Rats. IJPSR.
- Sharmin, R. et al. (2012). Hypoglycemic and Hypolipidemic Effects of Cucumber, White Pumpkin and Ridge Gourd in Alloxan Induced Diabetic Rats. Journal of Scientific Research.
- Juma, A. et al. (2013). Antihyperglycemic and antinociceptive activity of methanolic extract of Luffa acutangula fruits. Advances in Natural and Applied Sciences.
- Pimple, B. (2011). Antidiabetic and antihyperlipidemic activity of Luffa acutangula fruit extracts in streptozotocin induced NIDDM rats. Asian Journal of Pharmaceutical and Clinical Research.
- Torvi, J.R. & Hunashal, R.D.. (2012). A study on antimicrobial activity of extracts of Luffa acutangula var Amara fruits. International Journal of Pharma and Bio Sciences.
- Iyyamperumal, U. (2019). Anti-Inflammatory And In Vitro Antioxidant Potential of Extracts Leaves of Luffa Acutangula (Var) Amara in Rodent Model (Rats). International Journal of Pharmacy and Pharmaceutical Sciences.
- Pimple, B. P. et al. (2012). Protective effect of Luffa acutangula extracts on gastric ulceration in NIDDM rats: role of gastric mucosal glycoproteins and antioxidants. Asian Pacific journal of tropical medicine.
- Mohan G. K. & Sanjay J.S. (2014). Free Radical Scavenging, Immunomodulatory Activity and Chemical Composition of Luffa Acutangula Var: Amara (Cucurbitaceae) Pericarp. Journal of the Chilean Chemical Society.
- Swetha, M. P., & Muthukumar, S. P. (2016). Characterization of nutrients, amino acids, polyphenols and antioxidant activity of Ridge gourd (Luffa acutangula) peel. Journal of food science and technology.