Nutrisi

10 Khasiat Minyak Bijan Yang Anda Tidak Tahu

Pinterest LinkedIn Tumblr

Minyak bijan ialah minyak yang dihasilkan daripada biji bijan. Khasiat minyak bijan merangkumi aspek perubatan dan juga kegunaan kosmetik.

Biji bijan ini dituai daripada bunga pokok bijan yang secara saintifiknya dikenali sebagai Sesamum indicum. Pokok bijan pada asalnya berasal dari negara Afrika dan India tetapi kini banyak ditanam di seluruh dunia.

Lazimnya, minyak bijan digunakan dalam masakan terutamanya masakan orang Asia dan Timur Tengah.

Sebenarnya, kegunaan minyak bijan bukan setakat untuk masakan sahaja, malahan minyak ini turut digunakan dalam pembuatan sabun, syampu, pelembap kulit, kosmetik dan juga dalam perubatan.

khasiat minyak bijan

Berikut adalah 10 khasiat minyak bijan yang boleh dimanfaatkan untuk kesihatan anda.

1. Kaya dengan Antioksidan

Sesudu besar (14 gram) minyak bijan mengandungi nutrien-nutrien berikut [1]:

  • Kalori: 124 kcal
  • Lemak: 14 gram
  • Kolina: 0.03 miligram
  • Vitamin E: 0.20 miligram
  • Vitamin K: 1.9 mikrogram
  • Asid lemak tepu: 2.0 gram
  • Asid lemak mono tak tepu: 5.56 gram
  • Asid lemak poli tak tepu: 5.84 gram

Minyak bijan juga mengandungi antioksidan yang dikenali sebagai sesamin, sesamol, sesamolin dan sesaminol. Dua antioksidan ini memainkan peranan utama kepada khasiat minyak bijan.

Satu ulasan kajian yang diterbitkan pada tahun 2020 melaporkan bahawa sesamol mempunyai ciri-ciri perlindungan terhadap sistem kardiovaskular [2].

Selain itu, vitamin E juga merupakan salah satu antioksidan. Vitamin E turut berupaya mengurangkan kerosakan akibat radikal bebas dan memperlahankan proses penuaan sel-sel badan anda.

Vitamin E ialah vitamin larut lemak. Ini bermakna badan menyimpan dan menggunakannya jika diperlukan.

2. Baik untuk Kesihatan Jantung

Minyak bijan mengandungi lemak tak tepu lebih tinggi daripada lemak tepu. Ini menjadikan minyak ini lebih sihat. Diet yang tinggi lemak tak tepu baik untuk kesihatan jantung [3].

Kolesterol yang tinggi juga boleh menyebabkan penyakit jantung koronari dan strok.

Kajian yang melibatkan 48 pesakit kolesterol tinggi mendapati kumpulan yang mengambil 4 sudu besar (59 ml) minyak bijan setiap hari mengalami penurunan paras kolesterol LDL (kolesterol jahat) dan trigliserida yang lebih tinggi berbanding mereka yang mengambil minyak zaitun. Selain itu, minyak bijan ini juga turut menyebabkan kenaikan paras kolesterol HDL (kolesterol baik) [4].

3. Boleh Membantu Mengawal Gula Darah

Selain itu, minyak bijan juga boleh membantu mengawal gula darah.

Khasiat ini boleh dilihat dalam beberapa kajian. Satu kajian terhadap haiwan yang mendapati haiwan yang diberi makan minyak bijan menunjukkan penurunan yang ketara terhadap paras gula darah [5].

Keberkesanan minyak bijan dalam menurunkan paras gula darah dikuatkan lagi dengan kajian terhadap 46 penghidap kencing manis (diabetes jenis 2).

Dapatan kajian mendapati mereka yang mengambil minyak bijan selama 90 hari menunjukkan penurunan paras gula darah puasa dan hemoglobin A1c (HbA1c) [6].

HbA1c ialah hemoglobin yang terikat bersama-sama glukosa dalam darah. Nilai HbA1c memberi gambaran kepada purata paras gula darah dalam jangka masa 2 atau 3 bulan.

4. Membantu Penyembuhan Luka

Minyak bijan juga didapati boleh membantu mempercepatkan penyembuhan luka.

Kajian yang dijalankan terhadap haiwan mendapati minyak bijan berozon menunjukkan penyembuhan luka yang lebih baik berbanding rawatan lain [7].

Minyak berozon ialah minyak yang ditambah gas ozon dan digunakan dalam perubatan.

Kesan yang sama turut dilaporkan dalam kajian lain yang turut dijalankan terhadap haiwan. Rawatan menggunakan minyak bijan berozon didapati menyebabkan bukaan luka tertutup dengan lebih cepat [8].

Walau bagaimanapun, kajian-kajian terhadap manusia masih diperlukan.

5. Baik untuk Kesihatan Kulit

Bagi bidang kosmetik, minyak bijan juga boleh melindungi kulit daripada sinaran UV.

Minyak bijan mempunyai keupayaan untuk menghalang 30% sinaran UV berbanding minyak kelapa, minyak zaitun, minyak kacang tanah dan minyak biji kapas yang hanya menghalang hanya 20% sinaran UV [9].

Kajian terhadap haiwan menunjukkan penggunaan minyak bijan secara sapuan (topikal) boleh mengurangkan tekanan pengoksidaan, yang mana boleh menyebabkan kerosakan sel atau tisu [10].

6. Boleh Mencegah Jangkitan

Khasiat minyak bijan juga merangkumi keupayaannya untuk mencegah jangkitan bakteria.

Ciri-ciri ini diperhatikan dalam satu kajian yang mendapati minyak bijan boleh mencegah bakteria jenis Salmonella typhi iaitu bakteria yang boleh menyebabkan demam kepialu [11].

Kajian lain turut mendapati minyak bijan turut menunjukkan sifat antibakteria terhadap bakteria jenis Staphylococcus aureus (S.aureus) iaitu bakteria yang boleh menyebabkan jangkitan pada kulit, pneumonia, jangkitan injap jantung dan jangkitan pada tulang [12].

7. Baik untuk Kesihatan Rambut

Bagi mereka yang tertanya-tanya sama ada minyak bijan boleh digunakan untuk rambut atau tidak, jawapannya ialah boleh.

Minyak bijan berkhasiat untuk:

  • mengatasi masalah rambut kering atau kulit kepala kering
  • mengurangkan kelemumur
  • melembapkan kulit kepala
  • menguatkan rambut
  • membuat rambut lebih berkilat

Sebatian yang dijumpai dalam minyak ini iaitu sesamin turut didapati boleh menguatkan rambut dan membuat rambut lebih berkilat jika diambil dalam bentuk suplemen bersama-sama vitamin E [13].

8. Boleh Merawat Sakit Sendi

Minyak bijan juga boleh digunakan secara sapuan atau makan untuk merawat sakit sendi atau osteoartritis.

Kajian terhadap haiwan mendapati minyak bijan yang diberikan dalam bentuk suplemen berupaya untuk mengurangkan kesakitan pada sendi dengan ketara [14].

Kajian terhadap 104 orang pesakit osteoartritis menggunakan minyak bijan secara sapuan mendapati minyak ini tidak kurang keberkesanan seperti mana ubat sakit sendi konvensional [15].

9. Baik untuk Kebersihan Mulut

Minyak bijan juga turut berkhasiat untuk kebersihan mulut.

Minyak bijan dan minyak bijan berozon didapati boleh mengurangkan bilangan bakteria Streptococcus mutans, plak gigi, kalkulus gigi dan juga sisa makanan selepas 15 hari penggunaannya [16].

Minyak bijan boleh digunakan untuk berkumur atau mencuci mulut (oil pulling). Kajian mendapati minyak bijan boleh mengurangkan sebanyak 20% bilangan bakteria selepas 40 hari penggunaannya sebagai bahan kumur.

Kajian ini juga mendapati minyak ini juga boleh mengurangkan keseriusan karies gigi [17].

10. Boleh Mencegah Kanser

Minyak bijan juga turut mempunyai ciri-ciri antikanser.

Sifat antikanser minyak ini dipercayai kerana kandungan antioksidannya seperti sesamin, sesaminol, sesamol dan sesamolin.

Satu ulasan kajian yang dijalankan terhadap sesamin mendapati sebatian ini menunjukkan kesan antikanser yang kuat. Kesan ini menunjukkan potensi sesamin untuk digunakan dalam merawat atau mencegah pelbagai jenis kanser [18].

Kajian lain mendapati minyak bijan ini boleh digunakan untuk melindungi kulit daripada kanser kulit seperti melanoma malignan [19].

Kajian-kajian klinikal masih diperlukan untuk mengetahui kesan minyak ini terhadap pesakit kanser.

Rumusan

Minyak bijan adalah minyak yang sedap dan mengandungi lemak yang berkhasiat yang sesuai dijadikan salah satu bahan dalam diet harian kita.

Khasiat minyak bijan banyak disumbang oleh kandungan antioksidan yang bermanfaat untuk kesihatan jantung, kulit, rambut, penyembuhan luka dan lain-lain lagi. Potensi minyak bijan ini harus terus diterokai bagi mengetahui kesannya terhadap manusia secara lebih mendalam.

Anda boleh memanfaatkan khasiat minyak bijan ini dengan menggunakan minyak ini dalam masakan.

Rujukan
Rujukan
  1. U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. fdc.nal.usda.gov.
  2. Jayaraj, P., et al. (2020). Sesamol: a powerful functional food ingredient from sesame oil for cardioprotectionFood & function.
  3. Clifton, P. M., & Keogh, J. B. (2017). A systematic review of the effect of dietary saturated and polyunsaturated fat on heart diseaseNutrition, metabolism, and cardiovascular diseases.
  4. Namayandeh, S. M., Kaseb, F., & Lesan, S. (2013). Olive and sesame oil effect on lipid profile in hypercholesterolemic patients, which better?International journal of preventive medicine.
  5. Ramesh, B., et al. (2005). Influence of sesame oil on blood glucose, lipid peroxidation, and antioxidant status in streptozotocin diabetic ratsJournal of medicinal food.
  6. Aslam, F., et al. (2019). White Sesame Seed Oil Mitigates Blood Glucose Level, Reduces Oxidative Stress, and Improves Biomarkers of Hepatic and Renal Function in Participants with Type 2 Diabetes MellitusJournal of the American College of Nutrition.
  7. Pai, S. A., et al. (2014). Potential of ozonated sesame oil to augment wound healing in ratsIndian journal of pharmaceutical sciences.
  8. Valacchi, G., et al. (2011). Ozonated sesame oil enhances cutaneous wound healing in SKH1 miceWound repair and regeneration.
  9. Korać, R. R., & Khambholja, K. M. (2011). Potential of herbs in skin protection from ultraviolet radiationPharmacognosy reviews.
  10. Chiang, J. P. et al. (2005). Effects of topical sesame oil on oxidative stress in ratsAlternative therapies in health and medicine.
Rujukan no.6-10
  1. Sheikuduman, Mohamed Saleem. (2011). Anti-microbial activity of sesame oil. International Journal of Research in Phytochemestry and Pharmacology.
  2. heidari soureshjani, R., et al. (2017). Evaluation of antibacterial effect of sesame oil, olive oil and their synergism on Staphylococcus aureus in vitroAdvanced Herbal Medicine.
  3. Takemoto, D., et al. (2015). Sesame Lignans and Vitamin E Supplementation Improve Subjective Statuses and Anti-Oxidative Capacity in Healthy Humans With Feelings of Daily FatigueGlobal journal of health science.
  4. Dur-Zong Hsu, et al. (2016). Daily sesame oil supplement attenuates joint pain by inhibiting muscular oxidative stress in osteoarthritis rat model. The Journal of Nutritional Biochemistry.
  5. Alireza Askari. et al. (2019). The efficacy of topical sesame oil in patients with knee osteoarthritis: A randomized double-blinded active-controlled non-inferiority clinical trial. Complementary Therapies in Medicine.
  6. Vadhana, V. C., et al. (2019). Effect of sesame oil, ozonated sesame oil, and chlorhexidine mouthwash on oral health status of adolescents: A randomized controlled pilot trial. Journal of the Indian Society of Pedodontics and Preventive Dentistry.
  7. Shanbhag V. K. (2016). Oil pulling for maintaining oral hygiene – A reviewJournal of traditional and complementary medicine.
  8. Majdalawieh, A. F., et al. (2017). A comprehensive review on the anti-cancer properties and mechanisms of action of sesamin, a lignan in sesame seeds (Sesamum indicum)European journal of pharmacology.
  9. Smith, D. E., & Salerno, J. W. (1992). Selective growth inhibition of a human malignant melanoma cell line by sesame oil in vitroProstaglandins, leukotrienes, and essential fatty acids.