Khasiat manjakani popular dikaitkan dengan wanita kerana dipercayai boleh merawat pelbagai masalah berkaitan bahagian intim wanita. Paling popular ia dikatakan boleh mengetatkan faraj wanita. Oleh itu, kali ini kami merungkai beberapa khasiat dan aplikasi manjakani yang lain untuk kegunaan wanita dan juga lelaki.
Manjakani atau selalunya dipanggil “buah manjakani” sebenarnya bukan buah. Manjakani ini ialah benjolan atau risa yang tumbuh pada pokok jenis Oak akibat sengatan oleh penyengat puru (gall wasp).
Secara saintifiknya manjakani dikenali dengan nama Quercus infectoria atau lebih tepat “Quercus infectoria gall” yang merujuk kepada risa pokok Quercus infectoria Olivier. Manjakani juga turut dikenali dengan beberapa nama lain seperti Galla Turcica atau Majuphal.
Tumbuhan ini boleh dijumpai di negara-negara seperti Greece, Syria, Iran atau negara-negara Asia. Perubatan tradisional menggunakan manjakani untuk merawat cirit-birit, buasir, penyakit kulit dan rawatan selepas bersalin.

Beberapa kajian moden turut mendapati manjakani mempunyai khasiat-khasiat yang boleh dimanfaatkan dalam perubatan.
1. Berpotensi Merawat Jangkitan Vagina
Jangkitan vagina adalah antara masalah yang lazim berlaku kepada wanita. Jangkitan ini biasanya disebabkan oleh tiga jenis mikroorganisma ini iaitu Candida albicans, Gardnerella vaginalis dan Trichomonas vaginalis.
Jangkitan Candida albicans boleh menyebabkan gatal-gatal, kemerahan pada kulit dan lelehan faraj. Jangkitan parasit Trichomonas vaginalis pula boleh menyebabkan kegatalan vagina, sakit perut dan sakit semasa kencing.
Jangkitan bakteria Gardnerella vaginalis pula adalah jangkitan paling lazim berlaku kepada wanita yang menyebabkan lelehan vagina, gatal-gatal pada vagina dan sakit semasa kencing.
Kajian terhadap spesies kulat Candida mendapati ekstrak manjakani mempunyai kesan antikulat terhadap spesies kulat ini termasuklah Candida albicans [1].
Terdapat juga kajian lain yang mendapati ekstrak manjakani serta sebatian-sebatian aktif didalamnya turut boleh mencegah pertumbuhan parasit seperti Trichomonas vaginalis, Gardnerella vaginalis dan juga Candida albicans [2].
Walau bagaimanapun, kajian-kajian klinikal masih diperlukan untuk menguatkan lagi dapatan kajian-kajian ini.
2. Boleh Merawat Keradangan Serviks
Keradangan serviks (servisitis) adalah penyakit yang menyebabkan lelehan vagina, sakit ketika kencing, sakit semasa hubungan intim dan pendarahan selepas hubungan intim.
Manjakani telah digunakan dalam perubatan tradisional untuk merawat penyakit yang berkaitan keradangan di saluran kelamin.
Khasiat manjakani ini turut dikaji dalam kajian perubatan moden.
Satu kajian yang dijalankan terhadap 30 orang pesakit servisitis kronik mendapati penggunaan rebusan manjakani dalam bentuk tuala wanita selama 7 malam selepas haid menunjukkan penambahbaikan ketara terhadap simptom-simptom servisitis [3].
Kandungan sebatian tanin dalam manjakani ini dipercayai menyumbang kepada kesan antiradang dan antimikrobnya.
3. Menambah Baik Masalah Prolaps Uterus
Prolaps uterus adalah penyakit yang menyebabkan penurunan sebahagian atau keseluruhan uterus ke salur vagina.
Prolaps uterus adalah penyakit yang berulang-ulang yang menyebabkan masalah membuang air kecil dan besar, tisu yang menonjol keluar dari vagina atau berasa seperti sesuatu yang ingin jatuh daripada vagina.
Satu kajian melibatkan 60 orang pesakit prolaps uterus tahap 1 dan 2 mendapati bahawa penggunaan manjakani dalam air untuk tujuan “sitz bath” disertai latihan kegel selama 8 minggu boleh mengurangkan simptom-simptom berkaitan dengan prolaps uterus [4].
Sitz bath adalah kaedah merendam bahagian kemaluan atau punggung ke dalam air suhu sederhana untuk mempercepatkan proses penyembuhan dan melancarkan darah.
4. Berpotensi Mencegah Kanser Serviks
Kanser serviks adalah penyebab ketiga kematian akibat kanser dalam kalangan wanita di negara-negara membangun.
Manjakani turut didapati berkhasiat dalam mencegah kanser serviks.
Kajian makmal dan terhadap haiwan mendapati ekstrak manjakani dan manjakani dalam bentuk krim vagina boleh membunuh sel-sel kanser serviks. Kajian juga mendapati penggunaan krim vagina ini tidak menyebabkan keradangan terhadap serviks dan mukosa vagina [5].
Ini menunjukkan manjakani berpotensi digunakan untuk mencegah atau merawat kanser serviks tanpa mendatangkan kesan sampingan.
Namun begitu, kajian-kajian lanjutan terutamanya terhadap manusia masih diperlukan untuk mengesahkan kesan yang sama terhadap manusia.
5. Berpotensi Membantu Menurunkan Paras Kolesterol
Selain mempunyai banyak khasiat terhadap kesihatan wanita, manjakani juga turut mempunyai khasiat kepada lelaki.
Manjakani dilihat mempunyai potensi untuk membantu menurunkan paras kolesterol bagi mereka yang mengalami paras kolesterol yang tinggi.
Manfaat ini dapat dilihat dalam satu kajian yang dijalankan terhadap haiwan yang mendapati pengambilan manjakani boleh menurunkan paras jumlah kolesterol, kolesterol LDL (kolesterol jahat) dan trigliserida (lemak) dalam darah [6].
Walau bagaimanapun, kajian-kajian lanjut masih diperlukan untuk melihat kesan manjakani ini terhadap paras kolesterol dalam badan manusia.
6. Mengetatkan Faraj atau Vagina
Khasiat manjakani dikatakan boleh dimanfaatkan untuk mengetatkan vagina atau faraj wanita terutamanya bagi mereka yang mengalami masalah “vaginal relaxation syndrome“.
Kandungan tanin merupakan penyumbang utama kepada ciri-ciri perubatan manjakani ini. Ini kerana sifat tanin yang boleh menegangkan permukaan tisu (astringen).
Satu kajian klinikal yang dijalankan oleh Lorestan University of Medical Sciences, Iran mendapati penggunaan gel daripada bahagian dalam kulit buah Oak boleh meningkatkan keketatan vagina di samping turut meningkatkan pelinciran vagina dan mengurangkan kekeringan [7].
Manjakani mungkin memberikan kesan yang sama dengan bahagian dalam kulit buah Oak ini kerana kedua-duanya mengandungi tanin yang tinggi.
Rumusan
Seperti penggunaannya dalam perubatan tradisional, perubatan moden juga turut mendapati terdapat banyak khasiat manjakani yang boleh dimanfaatkan.
Dalam konteks terhadap wanita, manjakani didapati mempunyai banyak khasiat dan manfaat dalam merawat masalah berkaitan genital wanita. Terdapat kajian-kajian yang menyokong bahawa manjakani boleh digunakan untuk merawat jangkitan vagina, merawat keradangan serviks, mengurangkan masalah prolaps uterus, mencegah kanser dan mengetatkan vagina.
Walau bagaimanapun, masyarakat dinasihatkan untuk mendapatkan nasihat doktor atau ahli profesional perubatan terlebih dahulu sebelum menggunakan manjakani ini bagi mengelakkan sebarang kesan sampingan.
Rujukan
- Baharuddin, N. S. et al. (2015). Anti-Candida activity of Quercus infectoria gall extracts against Candida species. Journal of pharmacy & bioallied sciences.
- Mehri Ardestani, M. et al (2019). Antimicrobial Activity of Quercus infectoria Gall and Its Active Constituent, Gallic Acid, against Vaginal Pathogens. Trad Integr Med.
- Anees, S. et al. (2017). Clinical Study for the Efficacy of Unani Formulation in the Management of Vaginal Discharge Associated with Cervicitis. Ibn Sina Academy of Medieval Medicine & Sciences.
- Misba Naim & Wajeeha Begum (2017). Efficacy of Quercus infectoria Oliv. Galls in the Management of Uterovaginal Prolapse: A Randomized Clinical Trial. International Journal of Science and Research.
- MY, H. ., A, . H. ., & Nizam WA, W. A. . (2020). Cytotoxicity Effect of Quercus infectoria Based Vaginal Cream on Hela Cells and its Preliminary in Vivo Toxicity Evaluation Towards Female Rats. IIUM Medical Journal Malaysia.
- Gholamhoseinian, A., et al. (2012). Effect of Quercus infectoria and Rosa damascena on lipid profile and atherosclerotic plaque formation in rabbit model of hyperlipidemia. Pakistan journal of biological sciences.
- Lorzadeh, N. et al. (2016) The Effect of Extract of Oak Gall for Vaginal Tightening and Rejuvenation in Women with Vaginal Relaxation. Open Journal of Obstetrics and Gynecology.