Nutrisi

6 Khasiat Madu Lebah (+Cara Kenal Madu Lebah Asli)

Pinterest LinkedIn Tumblr

Khasiat madu lebah asli sememangnya telah popular sejak dahulu lagi kepada kesihatan manusia.Bahkan, khasiat madu lebah turut disebut di dalam Al-Quran. Muktahir ini, madu lebah kelulut pula menjadi satu komoditi penting masyarakat di Malaysia.

Diriwayatkan oleh Saidatina Aishah r.a. ia berkata, ” Rasulullah s.a.w sangat menyukai manisan dan madu.” (HR. Bukhari dalam sahih Bukhari).

Kelebihan madu lebah asli yang menjadi penawar kepada manusia menyebabkan terdapat madu lebah yang tidak asli dijual di pasaran.

Permintaan yang tinggi dan persaingan menyebabkan ada sesetengah pihak yang mencampurkan madu lebah ini dengan campuran lain seperti air dan gula dan menjualnya dengan harga yang lebih murah.

Namun bukanlah isu ini yang akan dikongsikan di sini. Hanya madu lebah yang asli selayaknya dikaitkan dengan khasiat-khasiat yang dikongsikan di sini.

khasiat madu lebah

Berdasarkan surah an-Nahl ayat 68-69,ertinya:

Dan Tuhanmu mewahyukan kepada lebah, “Buatlah sarang-sarang di bukit-bukit, di pohon-pohon kayu, dan di tempat-tempat yang dibuat manusia , kemudian makanlah dari tiap-tiap (macam) buah-buhan dan tempuhlah jalan Tuhanmu yang telah dimudahkan (bagimu). Dari perut lebah itu keluar minuman (madu) yang bermacam-macam warnanya, di dalamnya terdapat ubat yang menyembuhkan bagi manusia.”

Dalam Al-Quran sendiri telah dinyatakan bahawa madu lebah adalah ubat yang menyembuhkan manusia. Maka tidak hairan sekiranya terdapat banyak khasiat daripada madu lebah.

Madu lebah telah digunakan sebagai ubat tradisional sejak dahulu lagi. Madu lebah telah digunakan untuk merawat penyakit mata, asma, jangkitan pada kerongkong, penyakit Tibi, sedu, keletihan, serangan cacing, sembelit, buasir, ekzema, ulser, luka dan juga sebagai makanan tambahan.

Kandungan Madu Lebah

Terdapat kira-kira 300 jenis madu yang telah dikenal pasti. Jenis-jenis madu ini dibezakan oleh jenis nektar yang dikumpulkan oleh lebah madu.

Dalam 100 gram madu lebah, terdapat nutrien-nutrien seperti berikut (USDA):

  • Kalori: 304 kcal
  • Protein: 0.3 gram
  • Karbohidrat: 82.4 gram
  • Serat: 0.2 gram
  • Gula: 82.12 gram
  • Kalsium: 6 miligram
  • Zat besi: 0.42 miligram
  • Magnesium: 2 miligram
  • Fosforus: 4 miligram
  • Kalium: 52 miligram
  • Zink: 0.22 miligram
  • Tembaga: 0.036 miligram
  • Selenium: 0.8 mikrogram
  • Vitamin C: 0.5 miligram
  • Vitamin B2: 0.038 miligram
  • Vitamin B3: 0.121 miligram
  • Vitamin B6: 0.024 miligram
  • Folat: 2 mikrogram

Madu lebah asli juga mengandungi sebatian antioksidan seperti flavonoid dan polifenol. Selain itu, madu lebah juga mengandungi sebatian aktif seperti galangin, quercetin, kaempferol, luteolin dan isorhamnetin.

Madu lebah juga mengandungi asid galik, asid elagik, asid benzoik dan lain-lain.

Kandungan nutrien dan sebatian-sebatian ini menjadi penyumbang kepada khasiat madu lebah.

Berikut adalah beberapa khasiat madu lebah berdasarkan kajian-kajian yang telah dijalankan.

1) Kaya dengan Antioksidan

Madu lebah asli kaya dengan antioksidan yang penting. Contohnya seperti sebatian fenolik (1).

Keupayaan antioksidan madu lebah adalah bergantung kepada warna atau kecerahan madu tersebut. Semakin gelap madu itu, semakin tinggi nilai antioksidannya.

Antioksidan dikaitkan dengan keupayaannya mengurangkan risiko serangan jantung, strok dan beberapa jenis kanser. Ia juga turut membantu menyihatkan mata (2).

2) Menyembuhkan Luka dan Melecur

Madu lebah telah digunakan sejak dahulu lagi untuk menyembuhkann luka.

Berdasarkan kajian, madu menyembuhkan luka melecur lebih cepat berbanding kaedah konvensional dan ia juga menyembuhkan luka selepas pembedahan lebih cepat berbanding antiseptik dan kain kasa (3).

Apa yang boleh difahami daripada keupayaan madu ini adalah madu mendorong sistem imun badan agar bertindak balas terhadap jangkitan dan mendorong penghasilan sitokin yang berperanan dalam membaiki tisu badan.

3) Mengurangkan dan Menyembuhkan Cirit – Birit

Satu kajian yang dijalankan di Nigeria mendapati madu pekat dan madu yang dicairkan sehingga 40% bertindak menghalang bakteria cirit-birit (4).

Kajian klinikal telah dijalankan terhadap kanak-kanak yang menghadapi masalah cirit-birit akut mendapati madu lebah boleh memendekkan cirit-birit akibat jangkitan bakteria dan turut tidak memanjangkan cirit-birit yang bukan disebabkan bakteria (5).

Madu juga mengalakkan peningkatan pengambilan kalium dan air yang sangat membantu bagi mereka yang mengalami masalah cirit-birit.

Sifat penyembuhan madu terhadap masalah cirit-birit ini juga ada diriwayatkan dalam sahih Muslim (kitab as-Salaam) dan sahih Bukhari (fii kitab at-Tibb,bab ad-Dawaa’ bil-‘asal).

4) Madu Lebah Boleh Melegakan Batuk

Satu kajian terhadap kanak-kanak dan remaja berusia 2 hingga 18 tahun mendapati madu dapat mengurangkan batuk pada waktu malam dan mengatasi masalah kesukaran untuk tidur akibat jangkitan pada saluran pernafasan (6).

The World Health Organization (WHO) juga menyarankan penggunaan madu sebagai penyembuh kepada batuk.

5) Merendahkan Kolesterol “Jahat” dan Meningkatkan Kolesterol “Baik”

Kolesterol “jahat” yang dikenali sebagai lipoprotein kolesterol (kolesterol-LDL) pada kadar yang tinggi boleh menjerumus kepada penyakit jantung.

Satu kajian yang dijalankan mendapati madu menyebabkan penurunan jumlah kolesterol sebanyak 3%. Menurunkan kolesterol- LDL sebanyak 5.8% dan meningkatkan kolesterol “baik” (kolestrol-HDL) sebanyak 3.3%. Kajian ini juga turut merumuskan bahawa madu asli dapat mengurangkan faktor risiko kardiovaskular dan tidak meningkatkan berat badan bagi mereka yang obesiti dan terlebih berat (7).

6) Madu Lebah Boleh Mencegah Kanser

Madu lebah juga didapati boleh mencegah kanser. Kajian-kajian makmal terhadap sel-sel kanser menunjukkan keputusan yang memberangsangkan.

Sebagai contoh, kajian menggunakan madu Tualang terhadap sel kanser payudara dan sel kanser serviks mendapati madu Tualang menunjukkan kesan toksik terhadap sel-sel kanser ini. Di samping itu, madu Tualang ini juga mencetuskan kematian sel terhadap sel-sel kanser ini (8).

Kajian lain terhadap haiwan juga menunjukkan kesan positif di mana madu Tualang dapat memperlahankan tumbesaran sel kanser dan mengurangkan perkembangan kanser dalam kalangan kumpulan yang dirawat dengan madu Tualang (9).

Bagaimana Cara Untuk Mengetahui Madu itu Asli atau Tidak?

Terdapat beberapa cara yang boleh dilakukan untuk menguji sama ada madu lebah yang dibeli itu asli atau yang telah dicampur dengan benda asing seperti gula atau sirap gula.

a. Ujian Bentuk Sarang Lebah dalam Air (Bentuk Hexagon)

Cara ini mudah dan boleh dilakukan di rumah.

  • Ambil sesudu madu lebah yang dibeli atau yang ingin diuji.
  • Letakkan madu itu ke dalam bekas atau pinggan yang rata tapaknya.
  • Masukkan sedikit air kosong (bukan air panas) ke dalam bekas atau pinggan tersebut.
  • Pusingkan bekas itu mengikut arah jam atau lawan arah jam.
  • Pusingkan sehingga keluar bentuk sarang lebah (hexagon). Anggaran masa kira-kira 1 minit.
  • Sekiranya madu tersebut asli, anda akan dapat melihat bentuk sama seperti sarang lebah atau bentuk hexagon yang sempurna atau hampir sempurna.
  • Sekiranya madu tersebut tiruan, maka tiada sebarang bentuk terhasil.

b. Ujian Air

Cara ini juga boleh dilakukan di rumah.

  • Masukkan sesudu madu lebah yang ingin diuji ke dalam segelas air suam.
  • Jika madu lebah itu, madu tiruan. Maka madu tersebut akan larut ke dalam air.
  • Jika madu lebah itu asli, akan melekat dan tenggelam ke dalam air sebagai ketulan atau melekat pada sudu.

Kaedah lain ialah dengan menitiskan madu tersebut ke dalam segelas air kosong atau air suam.

Sekiranya madu tersebut itu adalah madu asli, madu itu akan terus turun ke dasar gelas. Jika madu itu adalah madu tiruan, madu itu biasanya akan berpecah-pecah sebelum sampai ke dasar gelas.

Beli madu asli online

Kesimpulan

Terdapat bukti-bukti yang menyokong akan khasiat madu lebah asli terhadap pengurusan penyakit.

Kajian-kajian mendapati khasiat madu lebah dalam perubatan adalah disebabkan oleh sifat atau ciri-ciri antibakteria, antiradang, antioksidan dan apoptosis (kematian sel terancang) dalam madu lebah ini.

Write A Comment