Nutrisi

10 Khasiat Limau Nipis Untuk Kesihatan Berdasarkan Kajian

Pinterest LinkedIn Tumblr

Limau nipis atau nama saintifiknya Citrus aurantifolia adalah buah sitrus daripada keluarga buah oren dan lemon. Seperti buah sitrus yang lain, buah limau nipis juga mempunyai khasiat yang tidak kurang hebatnya. Khasiat limau nipis banyak disumbang oleh kandungan vitamin C, antioksidan dan nutrien yang lain.

Dalam Bahasa Inggeris, limau nipis dikenali sebagai Key Lime. Limau nipis daripada speseis C. aurantifolia ini lebih terkenal di negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia.

Selain aromanya yang kuat dan menyegarkan, limau nipis juga mempunyai banyak khasiat untuk kesihatan tubuh badan. Oleh itu, artikel kali ini akan merungkai khasiat dan kebaikan limau nipis untuk kesihatan kita semua.

khasiat limau nipis

1. Baik untuk Kesihatan Kulit

Buah limau nipis adalah buah dari keluarga sitrus yang kaya dengan vitamin C. Bagi jus limau nipis sebanyak 38 gram, terdapat kira-kira 11 miligram vitamin C [1].

Vitamin C adalah vitamin yang paling banyak terdapat di lapisan kulit. Vitamin C berfungsi sebagai penggalak kepada penghasilan kolagen. Kolagen penting untuk mengekalkan struktur dan keanjalan kulit.

Selain itu, vitamin C juga bertindak sebagai antioksidan yang meneutralkan radikal bebas yang terhasil daripada pencemaran alam dan sinaran UV.

Kekurangan vitamin C juga turut dikaitkan dengan penuaan kulit atau kerosakan kulit akibat sinaran UV [2].

2. Kaya dengan Antioksidan

Selain vitamin C, khasiat limau nipis turut disumbang oleh beberapa antioksidan yang lain seperti asid fenolik, flavonoid, kuarsetin, limonoids, kaempferol, hesperetin, naringenin, karotenoid, rutin, apigenin dan tripertenoid [3].

Antioksidan-antioksidan ini berperanan penting dalam melawan atau meneutralkan radikal bebas. Radikal bebas yang terlalu tinggi dalam badan boleh mengakibatkan tekanan pengoksidaan. Tekanan pengoksidaan boleh merosakkan sel-sel dalam badan seterusnya membawa kepada masalah kesihatan seperti kanser, penyakit kardiovaskular dan lain-lain lagi.

3. Boleh Melawan Kanser

Berdasarkan kajian-kajian makmal yang dijalankan, ekstrak limau nipis, jus dan biji limau nipis mempunyai keupayaan untuk mencegah sel-sel kanser kolon (usus), kanser pankreas, kanser payudara dan kanser limfoma [3].

Kajian-kajian ini menunjukkan potensi besar limau nipis untuk digunakan dalam perawatan kanser. Walau bagaimanapun, kajian-kajian lanjut termasuklah kajian klinikal masih diperlukan.

4. Boleh Mencegah Jangkitan Bakteria dan Kulat

Salah satu khasiat limau nipis yang lain adalah kebolehannya untuk mencegah jangkitan bakteria dan kulat.

Dalam satu kajian makmal yang dijalankan, limau nipis didapati boleh mengurangkan bilangan koloni bakteria Helicobacter pylori (H.pylori). Bakteria ini boleh menyebabkan jangkitan dalam perut yang seterusnya menyebabkan ulser peptik (luka di saluran pencernaan) [4].

Selain itu, kajian lain turut mendapati ekstrak limau nipis dan minyak pati limau nipis turut mampu mencegah tumbesaran bakteria-bakteria jenis Staphylococcus aureus, Klebsiella pneumoniae, Proteus mirabilis, Pseudomonas aeruginosa, Beta-haemolytic
streptococci, Escherichia coli
dan Neisseria gonorrhoeae.

Ekstrak dan jus limau nipis ini juga berkesan untuk mencegah kulat jenis Candida albicans [5].

5. Mencegah Penyakit Batu Karang

Penyakit batu karang terjadi apabila air kencing seseorang itu tinggi dengan kandungan mineral pembentuk batu ini seperti mineral kalsium.

Air perahan atau jus limau nipis tinggi dengan kandungan asid sitrik. Asid sitrik ini boleh mencegah berlakunya batu karang dengan meningkatkan kandungan sitrat dalam air kencing dan memudahkan pelarutan batu karang [6].

6. Membantu Meningkatkan Penyerapan Zat Besi

Penyakit anemia atau kekurangan darah merah boleh berpunca daripada kekurangan zat besi. Zat besi berperanan penting dalam membantu badan menghasilkan sel-sel darah merah.

Zat besi selalunya diperolehi daripada makanan. Diet pemakanan mempengaruhi keupayaan badan untuk menyerap zat besi.

Diet yang tinggi dengan vitamin C (asid askorbik) seperti buah limau nipis ini boleh membantu meningkatkan penyerapan zat besi. Ini dapat mengelakkan berlakunya kekurangan sel-sel darah merah terutamanya bagi wanita mengandung [7].

7. Baik Untuk Kesihatan Jantung

Limau nipis juga tinggi dengan kandungan mineral magnesium dan kalium (potassium). Terdapat kira-kira 2.3 miligram magnesium dan 39 miligram kalium dalam jus sebijik limau nipis (38 gram).

Kedua-dua mineral ini penting bagi menyokong kesihatan jantung. Magnesium berperanan dalam memulihkan masalah berkaitan ritma degupan jantung. Manakala, kalium pula boleh menambahbaik aliran darah dan mengurangkan tekanan darah.

Terdapat juga kajian yang menunjukkan limau nipis dan kulit limau nipis mempunyai khasiat dalam merendahkan tahap kolesterol-LDL dan tekanan darah sistolik [8,9].

8. Boleh Melindungi Tulang

Khasiat limau nipis yang seterusnya adalah potensinya dalam melindungi tulang daripada pereputan atau osteoporosis.

Kajian terhadap haiwan mendapati pengambilan ekstrak limau nipis meningkatkan kandungan mineral dan ketumpatan tulang. Ekstrak ini juga membantu meningkatkan kadar mineral fosforus dan kalsium, dua mineral penting untuk pembentukan tulang [10].

9. Meningkatkan sistem imun

Selain itu juga, limau nipis turut bermanfaat sekiranya seseorang itu mempunyai sistem imun (sistem pertahanan badan) yang rendah.

Kandungan vitamin C dalam buah ini boleh membantu meningkatkan sistem imun dengan meningkatkan penghasilan sel-sel darah putih yang boleh melindungi badan daripada jangkitan dan penyakit [11].

Mereka yang mempunyai sistem imun yang lemah juga mudah untuk mendapat demam selesema. Vitamin C juga boleh mempercepatkan penyembuhan demam selesema [12].

10. Membantu menurunkan berat badan

Asid sitrik adalah kunci kepada kebaikan limau nipis dalam membantu menurunkan berat badan ini. Asid sitrik boleh merangsang metabolisma badan dan membantu anda membakar lebih kalori.

Namun harus diingat, anda masih perlu bersenam atau melakukan aktiviti fizikal serta mengawal jumlah makanan yang anda makan.

Bagi mereka yang ingin menurunkan berat badan, tambah limau nipis dalam minuman atau makanan anda.

Cara Memanfaatkan Khasiat Limau Nipis

Umumnya, rakyat Malaysia telah lama memanfaatkan limau nipis dalam diet harian. Contohnya menggunakan jus limau nipis untuk dijadikan air atau mencampurnya dengan air lain.

Namun, langkah terbaik ialah mengurangkan kadar gula atau menggunakan pengganti gula seperti stevia.

Limau nipis juga boleh digunakan untuk menggantikan menu-menu masakan yang memerlukan penggunaan buah lemon atau cuka. Dengan cara ini anda boleh memanfaatkan khasiat-khasiat buah limau nipis ini.

Rumusan

Buah limau nipis sebenarnya tidak asing lagi bagi masyarakat di negara ini. Tetapi mungkin ramai diantara kita yang tidak mengetahui khasiat atau potensi sebenar buah ini kepada kesihatan kita.

Kajian-kajian walaupun sesetengahnya masih diperingkat awal menunjukkan buah limau nipis ini mempunyai banyak khasiat termasuklah untuk kesihatan kulit,jantung, mencegah jangkitan dan lain-lain.

Rujukan

Rujukan
  1. USDA. Lime,raw. https://fdc.nal.usda.gov/fdc-app.html#/food-details/786558/nutrients
  2. Pullar, J. M. et al.(2017). The Roles of Vitamin C in Skin HealthNutrients.
  3. Narang, N., et al. (2016). Anticancer Activity of Key LimeCitrus aurantifoliaPharmacognosy reviews.
  4. Lee, S. M., et al. (2018). Key lime (Citrus aurantifolia) inhibits the growth of triple drug resistant Helicobacter pyloriGut pathogens.
  5. Aibinu, I., et al. (2006). Evaluation of the antimicrobial properties of different parts of Citrus aurantifolia (lime fruit) as used locallyAfrican journal of traditional, complementary, and alternative medicines : AJTCAM.
  6. Prezioso, D., et al. (2015). Dietary treatment of urinary risk factors for renal stone formation. A review of CLU Working GroupArchivio italiano di urologia, andrologia : organo ufficiale [di] Societa italiana di ecografia urologica e nefrologica.
  7. Singh, A., et al. (2016). Effect of inclusion of key foods on in vitro iron bioaccessibility in composite mealsJournal of food science and technology.
  8. Manners G. D. (2007). Citrus limonoids: analysis, bioactivity, and biomedical prospectsJournal of agricultural and food chemistry.
  9. Hashemipour, M., et al. (2016). The effect of Citrus Aurantifolia (Lemon) peels on cardiometabolic risk factors and markers of endothelial function in adolescents with excess weight: A triple-masked randomized controlled trialMedical journal of the Islamic Republic of Iran.
  10. Shalaby NMM, et al. (2011). Protective effect of Citrus sinensis and Citrus aurantifolia against osteoporosis and their phytochemical constituents. Journal of Medicinal Plants Research.
  11. van Gorkom, G., et al. (2018). Influence of Vitamin C on Lymphocytes: An OverviewAntioxidants (Basel, Switzerland).
  12. Hemilä H. (2017). Vitamin C and InfectionsNutrients.

Write A Comment