Limau kasturi adalah spesies buah sitrus yang banyak digunakan di negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Singapura, Indonesia dan Filipina. Khasiat limau kasturi mungkin tidak diketahui ramai.

Oleh itu, artikel ini akan menyenaraikan khasiat-khasiat limau kasturi berdasarkan kajian yang telah dijalankan sebagai maklumat dan panduan kepada anda.

Nama saintifik bagi limau kasturi adalah Citrus microcarpa. Dalam bahasa Inggeris pula, limau kasturi dikenali sebagai Calamansi, Calamondin atau Philippine lime. Limau kasturi juga adalah daripada keluarga buah-buahan sitrus seperti buah limau nipis.

Limau kasturi biasanya digunakan dalam minuman atau makanan seperti jus, sirap limau, sambal belacan atau penambah rasa dalam makanan.

khasiat limau kasturi

Berikut adalah beberapa khasiat limau kasturi yang disokong oleh kajian-kajian sains.

1. Kaya dengan Kandungan Antioksidan

Antioksidan mempunyai peranan yang penting untuk kesihatan kita kerana antioksidan membantu mengurangkan atau meneutralkan radikal bebas yang terhasil dalam badan.

Sekiranya radikal bebas ini tidak dikurangkan atau dineutralkan, ia akan menyebabkan tekanan pengoksidaan. Tekanan pengoksidaan banyak dikaitkan dengan pelbagai penyakit kronik termasuklah kanser, penyakit jantung, strok dan lain-lain lagi.

Seperti buah sitrus yang lain, buah limau kasturi turut tinggi dengan kandungan antioksidan seperti vitamin C dan juga sebatian flavonoid yang mempunyai banyak manfaat dan khasiat untuk kesihatan.

Kajian menunjukkan bahawa limau kasturi mengandungi sebatian flavanoid seperti diosmin, hesperetin, naringin, quercetin, dan hesperidin. Kandungan flavonoid dan fenol dalam buah ini menyumbang kepada aktiviti antioksidannya [1].

Selain itu, limau kasturi juga mengandungi limonoid iaitu sebatian yang menyebabkan rasa pahit pada buah ini. Limonoid ini dipercayai mempunyai banyak khasiat untuk kesihatan seperti bersifat antikanser, antibakteria, antikulat dan antioksidan [1, 2].

2. Boleh Merendahkan Paras Gula Darah

Limau kasturi popular dengan khasiatnya yang mempunyai kesan terhadap gula darah.

Gula darah atau gula dalam darah yang tinggi boleh menyebabkan penyakit kencing manis (diabetes). Menurut laporan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia, pada tahun 2019 dianggarkan 3.9 juta orang dewasa di Malaysia menghidap kenaikkan gula dalam darah dan ia dijangkakan akan terus meningkat [3].

Kajian yang dijalankan oleh Kolej San Beda, Filipina mendapati ekstrak kulit limau kasturi boleh menyebabkan penurunan kepada paras gula dalam darah terhadap haiwan yang diuji [4].

Walau bagaimanapun, kajian-kajian klinikal masih diperlukan untuk menguatkan lagi dapatan ini.

3. Rendah Indeks Glisemik

Selain itu, jus limau kasturi juga baik untuk mereka yang mempunyai gula dalam darah yang tinggi dan juga untuk mereka yang sihat.

Berdasarkan kajian oleh Universiti Malaysia Sarawak, jus limau kasturi mempunyai nilai indeks glisemik sebanyak 37 iaitu kategori julat indeks glisemik yang rendah [5].

Makanan atau minuman yang mempunyai indeks glisemik yang rendah tidak menyebabkan paras gula dalam darah mencanak tinggi selepas makan makanan atau minuman tersebut.

Makanan atau minuman jenis ini baik untuk mengawal paras gula dalam darah anda.

4. Bersifat Antibakteria

Limau kasturi juga boleh digunakan untuk mencegah jangkitan bakteria.

Kajian yang dijalankan oleh pengkaji dari Universiti Malaysia Terengganu mendapati ekstrak limau kasturi dan kandungan sebatian aktif didalamnya menunjukkan kesan antibakteria terhadap 7 strain bakteria iaitu E. coli, Citrobacter freundii, Aeromonas hyrophila, Pseudomonas aeruginosa, Streptococcus agalatine, E. tarda dan Yersinia enterocolitica [6].

Bakteria-bakteria ini boleh menyebabkan pelbagai penyakit. Sebagai contoh, bakteria E. coli boleh menyebabkan cirit-birit manakala bakteria Citrobacter freundii pula boleh menyebabkan jangkitan salur kencing.

5. Bersifat Antiradang

Keradangan ialah satu proses badan melawan perkara atau bahan yang boleh mendatangkan mudarat kepada badan. Contohnya seperti jangkitan, kecederaan atau bahan toksik.

Walau bagaimanapun, sekiranya keradangan ini berlaku pada satu jangka masa panjang (keradangan kronik), ia boleh memberikan kesan yang buruk kepada tisu dan organ dalam badan.

Makan makanan yang bersifat antiradang adalah salah satu cara mengurang atau merawat keradangan kronik.

Kajian menunjukkan kulit limau kasturi turut mempunyai sifat antiradang. Kesan ini adalah disebabkan oleh kandungan tannin seperti asid galik, asid protocatechuic dan asid elagik dalam kulit limau kasturi [7].

6. Boleh Digunakan untuk Menghalau Nyamuk

Minyak pati yang dihasilkan daripada limau kasturi turut didapati boleh digunakan untuk menghalau nyamuk Aedes dan Culex.

Nyamuk Aedes boleh menyebabkan demam denggi manakala nyamuk Culex boleh menyebabkan penyakit seperti penyakit JE (Japanese encephalitis).

Kajian menunjukkan minyak pati limau kasturi adalah antara minyak pati yang berkesan untuk menghalau nyamuk Aedes dan Culex dengan peratusan perlindungan masing-masing sebanyak 98.4% dan 98.6% [8].

7. Baik untuk Kesihatan Hati

Mereka yang menghidap obesiti selalunya turut menghidap penyakit hati berlemak. Hati berlemak berlaku akibat lemak yang berlebihan terbentuk dalam hati.

Limau kasturi didapati mempunyai kesan yang baik terhadap penyakit hati berlemak.

Kajian yang dijalankan terhadap haiwan mendapati puri limau kasturi boleh mengurangkan pengumpulan lemak dalam hati dan melemahkan pembentukan hati berlemak. Kesan ini dipercayai disumbang oleh kandungan vitamin C dan sebatian flavonoid seperti nobiletin dan hesperidin [9].

8. Khasiat-khasiat Lain

Walaupun tanpa bukti saintifik, masyarakat dahulu dan sekarang percaya dan telah mengamalkan penggunaan limau kasturi untuk kegunaan berikut.

  • Melunturkan jeragat.
  • Menghilangkan jerawat.
  • Mengubati batuk.
  • Dijadikan syampu rambut.
  • Disapu di kulit kepala untuk pertumbuhan rambut dan melegakan kegatalan.
  • Menghilangkan kegatalan akibat gigitan nyamuk. Jus limau kasturi digunakan untuk menghilangkan kegatalan dan iritasi akibat gigitan nyamuk.

Rumusan

Limau kasturi mempunyai banyak khasiat dan mempunyai banyak potensi untuk digunakan dalam perubatan.

Kajian-kajian awal menunjukkan bahawa limau kasturi berkhasiat untuk menurunkan paras gula dalam darah, mengurangkan risiko hati berlemak, bersifat antibakteria dan antiradang, kaya dengan antioksidan dan lain-lain.

Namun begitu, kajian-kajian lanjutan masih diperlukan untuk mengetahui potensi sebenar limau kasturi untuk kesihatan manusia.

Rujukan

Rujukan

  1. Chen, M. H., et al. (2017). Traditional Small-Size Citrus from Taiwan: Essential Oils, Bioactive Compounds and Antioxidant CapacityMedicines.
  2. Manners G. D. (2007). Citrus limonoids: analysis, bioactivity, and biomedical prospectsJournal of agricultural and food chemistry.
  3. Ministry of Health Malaysia 2020. National Diabetes Registry Report 2013-2019.
  4. Maria Ysabel T. Morte and Liwayway H. Acero (2017). Potential of Calamansi (Citrofortunella microcarpa) Fruit Peels Extract in Lowering the Blood Glucose Level of Streptozotocin Induced Albino Rats (Rattus albus). International Journal of Food Engineering.
  5. Siner, A., et al. (2020). Blood glucose response to a calamansi drink in healthy adults: a non-randomised study. BMC research notes.
  6. Seong Wei Lee & Musa Najiah. (2009). Antimicrobial Property of 2-ydroxypropane-1,2,3-Tricarboxylic Acid Isolated from Citrus microcarpa Extract. Agricultural Sciences in China.
  7. Alinejhad D, Asayesh MA, Asayesh M.(2016). Determination of the antiinflammatory property of tannins from the rind of calamansi (Citrus microcarpa, Rutaceae). J Int Oral Health 8(5):546-553.
  8. Soonwera, M. (2015). Efficacy of essential oils from citrus plants against mosquito vectors Aedes aegypti (Linn.) and Culex quinquefasciatus (Say)International Journal of Agricultural Technology.
  9. Shimizu, K., et al. (2020). Dietary calamondin supplementation slows the progression of non-alcoholic fatty liver disease in C57BL/6 mice fed a high-fat dietInternational journal of food sciences and nutrition.

Langgan Surat Berita Kami

Dapatkan artikel-artikel terbaru kami secara mingguan terus ke peti mel anda.

You May Also Like

10 Rahsia & Khasiat Buah Avokado (Avocado)

Disebalik rupanya yang tidak menarik, buah avokado (avocado) menyimpan 1001 khasiat untuk…

Cara Minum Cuka Epal Dengan Kuantiti Yang Sesuai

Cuka epal banyak digunakan dalam petua-petua atau masakan. Walau bagaimanapun, mungkin ada…

5 Khasiat Buah Mangga Yang Menarik Perhatian Ramai

Khasiat buah mangga sememangnya tidak dapat dinafikan lagi. Selain kaya dengan antioksidan…