Siapa sangka khasiat lengkuas turut merangkumi kesihatan lelaki. Sebelum ini mungkin kita hanya beranggapan lengkuas hanya untuk menambah rasa atau sebagai rempah dalam masakan. Rupa-rupanya lengkuas juga kaya dengan khasiatnya.
Lengkuas atau nama saintifiknya, Alpinia galanga (greater galangal) adalah tumbuhan herba yang banyak digunakan dalam masakan Melayu, Cina, Indonesia dan Thai. Lengkuas dipercayai berasal dari Asia Tenggara.
Sejenis lengkuas lagi dikenali sebagai Alpinia officinarum (lesser galangal) yang berasal dari China dan banyak digunakan dalam makanan dan perubatan.
Lengkuas dipercayai berkhasiat untuk meningkatkan kesuburan lelaki, melawan keradangan, mencegah kanser dan lain-lain lagi.

Berikut adalah beberapa khasiat lengkuas untuk kesihatan kita berdasarkan kajian sains:
1) Kaya dengan antioksidan
Lengkuas kaya dengan antioksidan iaitu sebatian yang boleh melawan radikal bebas yang berlebihan.
Antioksidan ini dikenali sebagai polifenol, kumpulan antioksidan yang dikaitkan dengan banyak manfaat kesihatan seperti merendahkan gula dalam darah, merendahkan kadar kolesterol LDL (kolesterol jahat) dan menambah baik ingatan (1, 2, 3).
2) Meningkatkan kesuburan lelaki
Siapa sangka lengkuas boleh meningkatkan kesuburan kaum lelaki.
Dalam satu kajian terhadap haiwan, ekstrak lengkuas meningkatkan jumlah sperma dan pergerakan sperma (4).
Selain itu, kajian terhadap 66 orang lelaki yang mempunyai kualiti sperma yang rendah mendapati pengambilan ekstrak lengkuas dan delima meningkatkan pergerakan sperma sebanyak 62% berbanding 20% dalam kumpulan yang mengambil ubat (5).
Dalam satu kajian klinikal yang lain, 76 peserta lelaki dengan masalah kesuburan mendapati lengkuas dapat meningkatkan bilangan sperma dan morfologi sperma tanpa mendatangkan kesan sampingan (6).
3) Bersifat antikanser
Lengkuas juga boleh membantu melindungi kita daripada pelbagai jenis kanser.
Kajian makmal mendapati lengkuas mempunyai sebatian yang dikenali sebagai galangin. Sebatian ini dipercayai boleh membunuh sel-sel kanser dan mencegah sel-sel ini daripada merebak (7, 8, 9).
Satu kajian menunjukkan lengkuas boleh membunuh dua jenis sel-sel kanser kolon dalam manusia (7).
4) Boleh melawan keradangan dan kesakitan
Lengkuas juga boleh melawan keradangan yang boleh menyebabkan penyakit. Kandungan HMP dalam tumbuhan ini menunjukkan ciri-ciri antiradang (10).
Malahan, keluarga lengkuas iaitu Zingiberaceae juga didapati mempunyai ciri-ciri analgesik iaitu boleh melegakan kesakitan (11).
Dalam satu kajian terhadap 261 pesakit sendi lutut, mereka yang mengambil ekstrak halia dan lengkuas dapat mengurangkan kesakitan pada lutut ketika berdiri lebih tinggi daripada mereka yang mengambil ubat (12).
5) Boleh mencegah jangkitan
Lengkuas juga boleh memanjangkan jangka hayat sesuatu makanan (13).
Lengkuas segar yang digunakan dalam masakan dapat mengurangkan risiko vibriosis iaitu jangkitan akibat makan makanan laut yang tidak masak (14).
Kajian makmal juga mendapati lengkuas boleh membunuh bakteria yang berbahaya termasuklah Salmonella Typhi, E.coli dan Staphyloccocus aureus (15).
Kesimpulan
Lengkuas ialah tumbuhan rempah yang berkait rapat dengan kunyit dan halia.
Khasiat lengkuas terutamanya untuk kesuburan lelaki dan sifat antioksidannya boleh dimanfaatkan dalam produk-produk kesihatan dan ditambah dalam diet harian kita.