Nutrisi

6 Khasiat Laici Untuk Kesihatan Berdasarkan Kajian

Pinterest LinkedIn Tumblr

Tahukah anda apakah khasiat laici? Selain rasanya yang enak, buah laici turut mempunyai khasiatnya untuk kesihatan kita.

Laici atau nama saintifiknya Litchi chinensis merupakan buah tropika yang berasal dari negara China. Buah laici adalah satu keluarga dengan buah rambutan dan longan. Buah laici boleh dimakan segar atau dijadikan jus, jeli atau buah dalam tin.

Perubatan tradisional dilaporkan menggunakan buah laici dan komponen lain seperti biji laici untuk merawat batuk, ulser perut, diabetes, obesiti, kembung, bengkak testis, hernia dan epigastrik.

khasiat laici

Berikut adalah beberapa khasiat laici yang bermanfaat untuk kesihatan kita.

1. Kaya dengan Nutrien Penting

Dalam 100 gram buah laici terdapat nutrien-nutrien berikut (1):

  • Air: 81.76 gram
  • Kalori: 66 kcal
  • Protein: 0.83 gram
  • Lemak: 0.44 gram
  • Karbohidrat: 16.53 gram
  • Serat: 1.3 gram
  • Gula: 15.23 gram
  • Kalsium: 5 miligram
  • Zat besi: 0.31 miligram
  • Magnesium: 10 miligram
  • Fosforus: 31 miligram
  • Kalium: 171 miligram
  • Vitamin C: 71.5 gram
  • Vitamin B3: 0.6 miligram
  • Vitamin B6: 0.1 miligram
  • Folat: 14 mikrogram

Selain itu, laici turut mengandungi sedikit mineral seperti zink, tembaga dan selenium serta vitamin B1, B2, E dan K.

2. Baik untuk Kesihatan Kardiovaskular

Kesihatan kardiovaskular merangkumi kesihatan jantung dan salur darah. Penyakit kardiovaskular pula terdiri daripada kegagalan jantung, tekanan darah tinggi, penyakit injap jantung, penyakit arteri koronari dan arteriosklerosis.

Buah laici mengandungi antioksidan yang boleh membantu menyihatkan sistem kardiovaskular.

Buah laici mengandungi sebatian yang dikenali sebagai oligonol. Oligonol ini menggalakkan penghasilan nitrik oksida. Nitrik oksida ini membantu mengembangkan salur darah bagi membenarkan darah mengalir dengan baik.

Secara tidak langsung, ia dapat mengurangkan tekanan pada jantung untuk mengepam darah (2).

Selain itu juga, oligonol ini boleh mengawal penghasilan nitrik oksida yang berlebihan. Nitrik oksida yang berlebihan juga boleh menyebabkan penyakit lain seperti kanser, diabetes, penyakit kardiovaskular, dan penyakit Alzheimer (3).

3. Boleh Mencegah Influenza

Influenza ialah penyakit berjangkit yang akut yang melibatkan salur pernafasan bahagian atas yang diakibatkan oleh jangkitan virus. Gejala-gejala influenza adalah seperti demam, sakit kepala, otot, mata dan hidung berair.

Oligonol dalam laici sekali lagi memainkan peranan penting dengan menghalang virus influenza daripada berkembang biak (4).

4. Boleh Mencegah Kanser

Isi buah laici mempunyai sebatian bioaktif yang dikenali polisakarida yang mempunyai kesan antioksidan yang kuat.

Kajian tabung uji mendapati sebatian ini mempunyai kesan antitumor dan kesan terhadap sistem imun badan. Kajian ini juga turut mendapati pulpa laici yang kering mempunyai kesan antitumor yang lebih kuat berbanding pulpa laici segar terhadap sel-sel kanser serviks, hati dan paru-paru (5).

Di samping itu juga, kandungan sebatian yang dikenali sebagai galaktosa dan manosa dalam pulpa laici turut mempunyai kesan antitumor. Dua sebatian ini meningkatkan aktivit antioksidan dan mencegah pembiakan sel-sel kanser gastrik dan hati (6).

5. Boleh Meningkatkan Keimunan

Buah laici mempunyai kandungan vitamin C yang tinggi iaitu melebihi 100% keperluan harian terhadap vitamin ini.

Ini bermakna, sekiranya anda mengambil (makan) buah ini, sistem pertahanan badan anda mendapat satu rangsangan yang hebat kerana vitamin C adalah antioksidan yang diketahui boleh merangsang penghasilan dan fungsi sel-sel darah putih. Sel-sel darah putih ini ialah barisan hadapan dalam sistem imunisasi badan (7, 8).

6. Mengurangkan Risiko Diabetes

Biji laici dilaporkan mempunyai kesan antidiabetes.

Satu kajian terhadap pil antidiabetes yang menggunakan biji laici mendapati pil ini boleh menambahbaik masalah diabetes dalam kalangan pesakit diabetes mellitus jenis 2. Kajian ini juga mendapati tiada perubahan pada insulin tetapi terdapat peningkatan penggunaan glukosa oleh tisu badan (9).

Kajian lain juga mendapati ekstrak biji laici boleh menurunkan kepekatan glukosa darah, trigliserida, leptin (hormon yang dihasilkan oleh sel lemak badan) dan meningkatkan kepekaan insulin dalam haiwan yang mempunyai diabetes mellitus jenis 2 (10).

Kesimpulan

Umumnya, khasiat laici sangat memberangsangkan. Buah laici menunjukkan banyak khasiat terhadap kesihatan kardiovaskular, berpotensi mencegah kanser, mencegah influenza dan meningkatkan sistem imun badan.

Kajian-kajian di China juga banyak melaporkan kesan antidiabetes oleh ekstrak biji laici.

Namun begitu,lebih banyak kajian klinikal masih diperlukan untuk mengesahkan khasiat-khasiat laici ini terhadap manusia.

Write A Comment