Nutrisi

7 Khasiat Lada Hitam: Kenapa Menjadi Pilihan?

Pinterest LinkedIn Tumblr

Lada hitam ialah rempah yang banyak digunakan di seluruh dunia. Selain kegunaannya, lada hitam juga penuh dengan khasiat dan kebaikannya. Rempah ini digunakan dalam masakan, produk komestik dan farmaseutikal. Mempunyai pasaran dan penggunaan yang luas, lada hitam boleh dikatakan sebagai ‘Raja Rempah’.

Secara saintifiknya, lada hitam dikenali sebagai Piper nigrum. Lada hitam berasal dari kawasan barat daya India yang dikenali sebagai Malabar Coast.

Di Malaysia, lada hitam mula di tanam di Sarawak sekitar tahun 1840. Malaysia merupakan pengeluar lada hitam ketujuh terbesar di dunia dengan saiz pengeluaran sebanyak 23 500 tan metrik pada tahun 2017.

Lada hitam telah digunakan dalam perubatan kuno India (Ayurvedic) sejak beribu tahun dahulu lagi. Lada hitam dikatakan boleh meningkatkan imuniti badan, merawat cirit-birit, asma, masalah penghadaman, gastrik, kembung perut, insomnia dan sawan (1).

khasiat lada hitam

Lada hitam mempunyai bahan aktif utama yang dikenali sebagai piperina. Piperina ini memainkan peranan penting kepada khasiat lada hitam.

Berikut adalah beberapa khasiat lada hitam yang disokong oleh kajian sains:

1) Lada Hitam Boleh Melawan Kanser

Piperina dalam lada hitam ini didapati mempunyai kesan antikanser terhadap beberapa jenis sel kanser.

Dalam satu kajian makmal yang dijalankan di China, didapati piperina mempunyai keupayaan untuk mencegah percambahan sel kanser prostat melalui kitaran sel dan autofagi (proses sel-sel badan membersihkan komponen yang rosak atau tidak diperlukan) (2).

Kajian lain turut mendapati piperina ini juga boleh menjadi ejen terapi dalam rawatan osteosarcoma (tumor pada tulang) (3).

Selain itu, piperina ini juga turut mencegah percambahan sel kanser payudara dan mencetuskan kematian sel terancang terhadap sel kanser ini (4).

2) Lada Hitam Kaya dengan Antioksidan

Radikal bebas ialah molekul yang tidak stabil yang boleh merosakkan sel badan kita. Sesetengah radikal bebas terbentuk secara semulajadi dan ada juga yang terbentuk akibat terdedah kepada asap rokok, pencemaran dan sinaran matahari (5).

Satu kajian telah mendapati piperina mempunyai aktiviti antioksidan terhadap radikal bebas. Ini menunjukkan piperina boleh menghalang tisu daripada rosak akibat pengoksidaan (6).

3) Lada Hitam Bersifat Antiradang

Khasiat lada hitam turut merangkumi sifat antiradangnya. Keradangan yang kronik boleh membawa kepada beberapa masalah kesihatan seperti penyakit hati, artritis (sakit lutut), kencing manis dan kanser.

Satu kajian yang dijalankan oleh Chungnam National University dan Korea International University mendapati piperina mempunyai ciri-ciri antiradang (7).

Selain itu, dalam kajian terhadap tikus makmal, didapati piperina boleh mengurangkan keradangan pada saluran pernafasan akibat asma dan alahan (8,9).

Walau bagaimanapun, kajian terhadap sifat antiradang oleh piperina ini masih belum dijalankan secara giat terhadap manusia.

4) Boleh Melindungi Hati

Satu kajian telah dijalankan untuk mengesahkan peranan piperina terhadap hati manusia.

Piperina telah digunakan pada masa dahulu sebagai ubat tradisional terhadap penyakit hati. Kajian oleh penyelidik di India mendapati piperina mempunyai sifat pelindung terhadap kerosakan hati (10).

Walau bagaimanapun, kajian-kajian terhadap manusia masih diperlukan untuk menguatkan lagi dapatan ini.

5) Baik untuk Otak

Lada hitam mempunyai sifat farmakologi yang penting kepada sistem saraf pusat. Agen neurotoksik seperti Aluminium Klorida (AlCl3) boleh menyebabkan tekanan pengoksidaan dan menyebabkan pengumpulan plak amiloid yang membawa kepada penyakit Alzheimer.

Kajian yang dijalankan terhadap tikus makmal mendapati lada hitam dapat meningkatkan memori spesimen yang dipengaruhi oleh neurotoksik, AlCl3 dengan ketara (11).

Kajian lain yang diuji terhadap tikus dengan penyakit Alzheimer turut mendapati lada hitam berkesan untuk mencegah penyakit ini dengan meningkatkan memori dan pembelajaran (12).

Dapatan-dapatan ini harus diuji terhadap manusia untuk mengesahkan kesannya.

6) Boleh Mengawal Gula Darah

Terdapat beberapa kajian yang menunjukkan bahawa piperina boleh membantu meningkatkan metabolisme gula darah (13, 14).

Kajian terhadap 86 orang peserta selama 8 minggu mendapati pengambilan piperina bersama-sama sebatian aktif lain berjaya untuk meningkatkan kepekaan insulin – iaitu sukatan terhadap sejauh mana insulin boleh menyingkirkan glukosa (gula) dalam salur darah (15).

Namun begitu, tidak dapat dipastikan dengan jelas sama ada kesan ini disebabkan oleh piperina semata-mata atau turut disebabkan oleh sebatian lain.

7) Boleh Mengurangkan Kadar Kolesterol

Kolesterol yang tinggi boleh mengundang pelbagai masalah kesihatan kepada kita. Kolesterol tinggi turut dikaitkan dengan serangan jantung.

Satu kajian di India yang dijalankan terhadap tikus makmal mendapati ekstrak lada hitam boleh mengurangkan kadar kolesterol termasuklah kolestserol-LDL (kolesterol jahat) (16).

Dapatan ini menunjukkan potensi khasiat lada hitam untuk mengurangkan kadar kolesterol dalam kalangan manusia. Kajian-kajian klinikal diperlukan untuk mengesahkan kesan yang sama terhadap manusia.

Kesimpulannya

Secara ringkasnya, khasiat lada hitam boleh membantu dalam masalah kesihatan seperti boleh melawan kanser, mengurangkan keradangan, meningkatkan fungsi otak, dan lain-lain lagi.

Terdapat banyak khasiat lada hitam yang dijumpai berdasarkan kajian-kajian yang dijalankan. Walaupun sesetengahnya memerlukan sokongan daripada kajian klinikal, dapatan awal ini menunjukkan lada hitam mempunyai banyak manfaatnya untuk kesihatan. Penyelidikan berterusan terhadap manfaatnya kepada manusia harus diteruskan.

2 Comments

    • Kami tidak benarkan kandungan kami disalin (copy) oleh pihak luar kerana terlalu banyak kandungan kami dicuri terutamanya oleh pemilik-pemilik laman perniagaan di facebook. Jika cik puan ingin berkongsi maklumat di laman ini, boleh tekan butang “share” yang telah disediakan. Terima kasih.

Write A Comment