Khasiat kunyit telah lama dimanfaatkan oleh masyarakat Melayu dan India dalam masakan dan juga perubatan tradisional tanpa ada kajian saintifik yang khusus. Kini, kunyit telah banyak digunakan dalam produk-produk kosmetik, kesihatan dan juga makanan tambahan.
Nama saintifik bagi kunyit ialah Curcuma longa. Kunyit ialah tumbuhan herba yang mempunyai rizom (batang) dalam tanah yang berwarna jingga dan beraroma. Rizom ini diproses dan dijadikan serbuk dan digunakan dalam masakan.

Banyak kajian menunjukkan khasiat kunyit untuk kesihatan kita.
Berikut ialah 7 khasiat kunyit untuk kesihatan berdasarkan kajian sains:
1. Bersifat antiradang
Kunyit mengandungi sebatian yang dikenali sebagai kurkumin.
Kurkumin ini adalah bahan aktif dalam kunyit yang mempunyai kesan antiradang dan antioksidan yang kuat.
Ujian klinikal menunjukkan kurkumin berpotensi sebagai ajen untuk merawat penyakit seperti penyakit radang usus, pankreatitis, artritis (sakit sendi) dan uveitis anterior kronik (1).
2. Dapat melegakan kesakitan
Kunyit juga dikatakan boleh bertindak sebagai pelega kesakitan.
Satu kajian mendapati kunyit boleh bertindak seperti ibuprofen kepada mereka yang mempunyai masalah sakit sendi lutut (2).
3. Mengurangkan risiko kanser
Bahan utama dalam kunyit iaitu kurkumin menunjukkan kebolehannya untuk merawat kanser.
Kajian mendapati kurkumin mempunyai kesan perlindungan terhadap kanser seperti kanser pankreas, kanser prostat dan kanser darah (3).
Di samping itu, kurkumin dalam kunyit juga didapati mempunyai sifat antikanser dan mengurangkan risiko penyakit terhadap kanser payudara (4).
4. Baik untuk kesihatan kulit
Sifat antiradang, antioksidan, antibiotik atau antibakteria dalam kunyit menjadikannya pilihan yang baik untuk merawat masalah kulit.
Satu kajian menunjukkan potensi kunyit untuk digunakan untuk merawat penyakit kronik seperti Psoriasis. Walau bagaimanapun, memerlukan kajian lanjut sebelum dicadangkan pengambilannya secara makan (5).
Satu ulasan juga menunjukkan bukti awal yang menunjukkan kunyit mempunyai khasiat perawatan terhadap masalah atau penyakit kulit (6).
5. Boleh mencegah atau merawat diabetes
Kencing manis atau diabetes melitus ialah penyakit yang disebabkan kandungan gula yang terlalu tinggi dalam darah.
Terdapat dua jenis diabetes melitus iaitu jenis 1 dan 2. Diabetes jenis 1 disebabkan badan gagal menghasilkan insulin manakala jenis 2 pula disebabkan badan gagal untuk menggunakan insulin secara baik.
Tekanan pengoksidaan dan sitokin memainkan peranan dalam perkembangan penyakit diabetes. Ciri-ciri antiradang dan antioksidan dalam kunyit menjadikannya sebagai satu “ubat” yang boleh mengurangkan risiko diabetes.
Kajian terhadap haiwan menunjukkan kunyit dapat meningkatkan kepekaan terhadap insulin, mengurangkan peningkatan gula dalam darah, gula dalam air kencing dan jumlah air kencing (7, 8).
6. Mengurangkan gejala kemurungan
Kurkumin juga didapati mempunyai khasiat dalam merawat kemurungan.
Dalam satu kajian klinikal terhadap 60 orang peserta yang mengalami kemurungan. Selepas 6 minggu, kumpulan yang mengambil kurkumin menunjukkan kesihatan yang bertambah baik sama seperti mereka yang mengambil ubat (fluoxetine) dan kumpulan yang mengambil gabungan ubat dan kurkumin menunjukkan keputusan yang terbaik (9).
7. Meningkatkan Fungsi Otak
Selain boleh membentuk sambungan baru dalam otak, neuron juga boleh berganda dan meningkat dari segi jumlahnya.
Pemacu kepada keupayaan ini hormon tumbesaran yang dikenali sebagai brain-derived neurotrophic factor (BDNF). Banyak masalah otak seperti kemurungan dan penyakit Alzheimer dikaitkan dengan kekurangan hormon ini.
Menariknya, kurkumin dalam kunyit boleh meningkatkan kadar BDNF (10, 11).
Keadaan ini sedikit sebanyak boleh mengurangkan risiko penyakit berkaitan otak serta melambatkan pengurangan fungsi otak akibat usia (12).
Kesimpulan
Banyak khasiat kunyit yang mungkin selama ini tidak diberi perhatian oleh kebanyakan daripada kita. Selain rizomnya, daun kunyit juga turut mempunyai khasiatnya yang tersendiri.
Tanpa kita sedari, kunyit boleh mencegah dan merawat kita daripada pelbagai penyakit atau masalah kesihatan. Maka, manfaatkan kelebihan herba ini dalam masakan anda!