Nutrisi

10 Khasiat Kayu Manis Untuk Kesihatan Berdasarkan Kajian

Pinterest LinkedIn Tumblr

Kayu manis ialah rempah yang selalu digunakan bersama-sama bunga cengkih, bunga lawang dan buah pelaga dalam masakan. Khasiat kayu manis bukan sahaja menambah rasa dalam masakan, malah kayu manis turut menyumbangkan kepada kesihatan kita secara keseluruhannya.

Kayu manis atau dalam bahasa Inggerisnya, Cinnamon telah digunakan sejak dahulu lagi dalam perubatan tradisional seperti Ayurveda untuk merawat masalah melibatkan pernafasan, penghadaman dan penyakit ginekologi.

Secara umumnya terdapat 2 jenis kayu manis yang utama iaitu:

  • Kayu manis Cassia
  • Kayu manis Ceylon

Kayu manis Cassia ialah kayu manis yang berwarna gelap. Kayu manis ini ditanam di Asia Tenggara. Kayu manis jenis ini selalu disebut sebagai “kayu manis”.

Kayu manis Ceylon pula ialah kayu manis yang berasal dari Sri Lanka. Kayu manis jenis ini juga turut dikenali sebagai “kayu manis sebenar”.

Kedua-dua kayu manis ini boleh didapati di pasaran dan kedua-duanya mempunyai khasiat yang hampir sama. Kayu manis Cassia ialah jenis kayu manis yang boleh didapati di pasaran Malaysia.

khasiat kayu manis

Berikut adalah khasiat kayu manis untuk kesihatan berdasarkan kajian.

1. Kayu Manis Mempunyai Ciri-ciri Perubatan dan Antioksidan

Kayu manis ialah rempah yang dihasilkan daripada kulit pokok spesies Cinnamomum.

Aroma dan rasa bagi kayu manis datangnya daripada bahan aktif yang dikenali sebagai cinnamaldehyde dan eugenol.

Cinnamaldehyde dan eugenol ini boleh didapati dalam minyak pati atau ekstrak kayu manis.

Para pengkaji mendapati bahawa cinnamaldehyde dan eugenol ini mempunyai banyak peranannya terhadap ciri-ciri perubatan dan antioksidan rempah ini.

Kandungan polifenol dalam rempah ini juga turut menyumbang dalam kesan antioksidannya [1].

2. Kayu Manis Boleh Melawan Jangkitan Bakteria

Salah satu khasiat kayu manis ialah sifat antibakterianya.

Kayu manis telah diuji dan didapati mempunyai kesan antibakteria terhadap lebih 30 spesies bakteria termasuklah bakteria E.coli dan Salmonella yang selalunya menyebabkan keracunan makanan [2].

Selain itu, kayu manis juga turut mempunyai kesan antikulat terhadap lebih 20 spesies fungus (kulat) termasuklah terhadap kulat Candida albicans iaitu kulat yang selalunya menjangkiti manusia [2].

Kulat Candida albicans adalah punca kepada jangkitan yis pada faraj wanita.

Kedua-dua jenis kayu manis mempunyai sifat antibakteria ini.

3. Kayu Manis Boleh Melawan Virus HIV

Selain bersifat antibakteria dan antikulat, kayu manis juga turut didapati boleh melawan virus HIV.

Virus HIV ini boleh merosakkan sistem pertahanan badan manusia yang boleh membawa kepada AIDS jika tidak dirawat.

Kajian makmal mendapati ekstrak kayu manis boleh menghalang jangkitan virus HIV-1 iaitu strain yang lazimnya menyerang badan manusia [3, 4].

Ekstrak kayu manis jenis Cassia juga turut didapati antara ekstrak tumbuhan yang paling berkesan dalam melawan virus HIV-1 dan HIV-2 [5].

4. Kayu Manis Boleh Melawan Kanser

Khasiat kayu manis yang seterusnya ialah sifat antikansernya.

Kanser adalah penyakit yang melibatkan pertumbuhan yang tidak terkawal sel-sel yang tidak normal dalam badan. Kanser berkembang apabila mekanisme kawalan badan yang normal berhenti berfungsi.

Kayu manis telah menjalani banyak kajian terhadap kesannya terhadap kanser. Kesan antikanser ini berkait rapat dengan ciri-ciri antioksidan dan pengawalan terhadap sistem imun.

Satu kajian mendapati cinnamaldehyde dalam kayu manis boleh mencetuskan kematian sel terancang terhadap sel-sel kanser leukemia [6].

Kajian lain turut mendapati cinnamaldehyde turut boleh merencatkan pertumbuhan 29 jenis sel-sel kanser dalam badan manusia [7].

Kajian terhadap haiwan yang diterbitkan pada tahun 2019 turut mendapati bahawa minyak pati kayu manis boleh menambah baik fungsi hati, mengurangkan ketoksikan hati dan pembentukan kanser hati [8].

5. Kayu Manis Boleh Merendahkan Gula Darah

Kayu manis juga berkhasiat buat pesakit diabetes kerana sifatnya yang boleh merendahkan paras gula darah.

Kajian makmal menunjukkan bahawa kayu manis boleh mengurangkan penyerapan glukosa ke dalam darah selepas makan dengan menghalang aktiviti enzim yang terlibat dalam metabolisma karbohidrat [9].

Selain itu, kajian terhadap 7 lelaki sihat mendapati pengambilan kayu manis mengurangkan penyerapan glukosa dalam darah selepas makan dan meningkatkan kepekaan insulin [10].

Terhadap kajian-kajian klinikal yang mendapati kayu manis boleh membantu mengurangkan paras glukosa (gula) dalam darah bagi pesakit kencing manis [11, 12].

6. Kayu Manis Boleh Merendahkan Paras Kolesterol

Kayu manis juga adalah antara rempah yang boleh merendahkan paras kolesterol dalam badan.

Dalam satu ulasan yang melibatkan 10 kajian melaporkan bahawa pengambilan kayu manis pada dos 120mg hingga 6g sehari selama 4 hingga 18 minggu boleh menurunkan paras jumlah kolesterol, kolesterol LDL (kolesterol jahat) dan trigliserida.

Ulasan ini juga turut mendapati kayu manis boleh meningkatkan paras kolesterol HDL (kolesterol baik) [13].

Keupayaan kayu manis untuk merendahkan paras kolesterol juga turut mempunyai kesan positif kepada kesihatan jantung.

7. Kayu Manis Boleh Mengurangkan Keradangan

Khasiat kayu manis yang seterusnya ialah mempunyai sifat antiradang. Keradangan yang kronik boleh mendatangkan banyak masalah kepada badan.

Kajian makmal mendapati kandungan antioksidan dalam kayu manis jenis Cassia mempunyai kesan antiradang [14].

Dapatan ini turut disokong oleh kajian lain yang mendapati cinnamaldehyde dalam kayu manis turut menunjukkan ciri-ciri antiradang [15].

8. Kayu Manis Boleh Menyembuhkan Luka

Kayu manis dari jenis Ceylon juga mempunyai keupayaan untuk membantu menyembuhkan luka.

Kesan penyembuhan luka ini dapat dilihat dalam kajian yang melibatkan 32 ekor tikus di mana luka hirisan diubati dengan menyapu ubat yang mengandungi kayu manis. Ekstrak kayu manis ini didapati membantu mempercepatkan penyembuhan luka [16].

Kajian haiwan yang lain turut mendapati ekstrak kayu manis yang diambil secara makan boleh meningkatkan kesan penyembuhan luka [17].

9. Kayu Manis Baik Untuk Penyakit Alzheimer

Penyakit Alzheimer atau nama lainnya penyakit nyanyuk pramasa adalah penyakit yang melibatkan kemerosotan otak yang mempengaruhi ingatan, fungsi kognitif dan personaliti penghidapnya.

Kajian makmal mendapati sebatian dalam ekstrak kayu manis boleh merencatkan penggabungan protein yang dipanggil “tau” di dalam otak yang menjadi petanda kepada penyakit Alzheimer [18, 19].

Namun begitu, kesan ini masih memerlukan kajian lanjut termasuklah kajian klinikal terhadap manusia.

10. Kayu Manis Boleh Menurunkan Tekanan Darah

Kayu manis juga mempunyai ciri-ciri penurunan terhadap tekanan darah.

Kajian terhadap haiwan mendapati kayu manis boleh menurunkan tekanan darah sistolik terhadap subjek yang diuji [20].

Kajian lanjut masih diperlukan untuk mengesahkan kesan kayu manis terhadap tekanan darah.

Kesan Sampingan Kayu Manis

Kayu manis secara umumnya adalah selamat untuk semua orang. Walau bagaimanapun, terdapat juga sesetengah orang yang mungkin mengalami alahan rempah ini.

Di samping itu, kayu manis terutamanya kayu manis Cassia boleh menyebabkan ketoksikan jika diambil pada kadar yang tinggi.

Hal ini kerana kayu manis jenis ini tinggi dengan sebatian yang dikenali sebagai kumarin.

Kumarin adalah berbahaya jika diambil pada dos yang tinggi. Kumarin ini dilaporkan boleh menyebabkan kerosakan hati dan buah pinggang dalam kalangan tikus dan terdapat kes terpencil yang melibatkan ketoksikan hati manusia.

Menurut German Federal Institute for Risk Assessment, 1 kg serbuk kayu manis Cassia mengandungi kira-kira 2.1-4.4 g kumarin. Ini bermakna, 1 sudu teh serbuk kayu manis Cassia ini mengandungi kira-kira 5.8-12.1 mg kumarin [2].

European Food Safety Authority mencadangkan jumlah maksimum pengambilan harian kumarin ini ialah 0.1 mg bagi setiap kg berat badan setiap hari.

Rumusan

Kayu manis secara umumnya terdiri daripada dua jenis iaitu kayu manis Cassia dan kayu manis Ceylon. Kayu manis Cassia lebih mudah didapati di pasaran kerana harga yang murah. Kayu manis Cassia di Malaysia biasanya adalah dari jenis Cassia.

Kedua-dua jenis rempah ini mempunyai khasiat yang hampir sama. Namun, harus diingat bahawa kayu manis jenis Cassia lebih tinggi dengan kandungan kumarin iaitu bahan yang boleh menjadi toksik jika diambil pada dos yang tinggi.

Rujukan
Rujukan
  1. Rao, P. V., & Gan, S. H. (2014). Cinnamon: a multifaceted medicinal plantEvidence-based complementary and alternative medicine : eCAM.
  2. Ranasinghe, P., et al. (2013). Medicinal properties of ‘true’ cinnamon (Cinnamomum zeylanicum): a systematic reviewBMC complementary and alternative medicine.
  3. Filho, J. R., et al. (2010). Effects of plant extracts on HIV-1 proteaseCurrent HIV research.
  4. Fink, R. C., et al. (2009). HIV type-1 entry inhibitors with a new mode of actionAntiviral chemistry & chemotherapy.
  5. Premanathan, M., et al. (2000). A survey of some Indian medicinal plants for anti-human immunodeficiency virus (HIV) activityThe Indian journal of medical research.
  6. Ka, H., et al. (2003). Cinnamaldehyde induces apoptosis by ROS-mediated mitochondrial permeability transition in human promyelocytic leukemia HL-60 cellsCancer letters.
  7. Lee, C. W., et al. (1999). Inhibition of human tumor growth by 2′-hydroxy- and 2′-benzoyloxycinnamaldehydesPlanta medica.
  8. Aly, S. M., et al. (2019). Protective Effects of Garlic and Cinnamon Oils on Hepatocellular Carcinoma in Albino RatsAnalytical cellular pathology (Amsterdam).
  9. Bandara, T., et al. (2012). Bioactivity of cinnamon with special emphasis on diabetes mellitus: a reviewInternational journal of food sciences and nutrition.
  10. Solomon, T. P., & Blannin, A. K. (2007). Effects of short-term cinnamon ingestion on in vivo glucose toleranceDiabetes, obesity & metabolism.
  11. Pham, A. Q., et al. (2007). Cinnamon supplementation in patients with type 2 diabetes mellitusPharmacotherapy.
  12. Kirkham, S., et al. (2009). The potential of cinnamon to reduce blood glucose levels in patients with type 2 diabetes and insulin resistanceDiabetes, obesity & metabolism.
Rujukan point 7-10
  1. Allen, R. W., et al. (2013). Cinnamon use in type 2 diabetes: an updated systematic review and meta-analysisAnnals of family medicine.
  2. Liao, J. C., et al. (2012). Anti-Inflammatory Activities of Cinnamomum cassia Constituents In Vitro and In VivoEvidence-based complementary and alternative medicine : eCAM.
  3. Kim, D. H., et al. (2007). Suppression of age-related inflammatory NF-kappaB activation by cinnamaldehydeBiogerontology.
  4. Farahpour, M.R., & Habibi, M. (2012). Evaluation of the wound healing activity of an ethanolic extract of Ceylon cinnamon in mice. Veterinarni Medicina.
  5. Kamath, J. V., et al. (2003). Pro-healing effect of Cinnamomum zeylanicum barkPhytotherapy research.
  6. Peterson, D. W., et al. (2009). Cinnamon extract inhibits tau aggregation associated with Alzheimer’s disease in vitroJournal of Alzheimer’s disease.
  7. George, R. C., et al. (2013). Interaction of cinnamaldehyde and epicatechin with tau: implications of beneficial effects in modulating Alzheimer’s disease pathogenesisJournal of Alzheimer’s disease.
  8. Preuss, H. G., et al. (2006). Whole cinnamon and aqueous extracts ameliorate sucrose-induced blood pressure elevations in spontaneously hypertensive ratsJournal of the American College of Nutrition.