Kacang kuda selalunya boleh dibeli dipasar-pasar malam atau pasar tani. Kebiasaannya kacang kuda dijual secara rebus atau mentah. Umumnya, kita tahu rasa dan keenakannya sahaja. Namun, kita belum mengetahui khasiat kacang kuda ini bukan?
Jadi, teruskan membaca dan sama-sama kita tambah ilmu kita tentang khasiat dan kebaikan kacang kuda ini kepada kita.
Kacang kuda dalam bahasa Inggeris dipanggil Chickpeas atau Garbanzo beans. Nama saintifiknya pula adalah Cicer arietinum.
Kacang kuda telah ditanam di negara-negara Timur Tengah dan Eropah sejak beribu tahun dahulu. Kini, kacang ini ditanam di lebih 50 buah negara dan India adalah negara paling tinggi pengeluaran kacang kuda. Masyarakat Uighur di China telah menggunakan kacang kuda sejak 2500 tahun dahulu.
Berikut adalah beberapa khasiat kacang kuda berdasarkan kajian-kajian sains:
1. Kaya dengan Nutrien Penting
Kacang kuda mempunyai profil nutrien yang agak menarik. Bagi 100 gram kacang kuda yang dimasak, terdapat nutrien-nutrien seperti berikut (1):
- Kalori: 164 kcal
- Protein: 8.86 gram
- Karbohidrat: 27.42 gram
- Serat: 7.6 gram
- Kalsium: 49 miligram
- Zat besi: 2.89 miligram
- Magnesium: 48 miligram
- Fosforus: 168 miligram
- Kalium: 291 miligram
- Mangan: 1.03 miligram
- Vitamin C: 1.3 miligram
- Folat: 172 mikrogram
Selain itu, kacang kuda turut mempunyai vitamin-vitamin B, vitamin A, vitamin K dan juga vitamin E.

2. Mengawal Gula dalam Darah
Kacang kuda mempunyai ciri-ciri yang berperanan dalam mengawal kadar gula dalam darah. Ciri-ciri ini sangat bermanfaat kepada penghidap diabetes.
Salah satunya ialah kacang kuda mempunyai indeks glisemik yang rendah. Indeks ini menjadi penunjuk kepada berapa cepat gula dalam darah meningkat naik selepas makan sesuatu makanan.
Terdapat bukti yang menunjukkan diet yang mengandungi makanan rendah glisemik seperti kacang kuda menunjukkan kesan positif terhadap kadar gula dalam darah (2, 3).
Dalam satu kajian yang diterbitkan di The American Journal of Clinical Nutrition mendapati pengambilan kacang kuda boleh mengurangkan kadar gula dalam darah sebanyak 21% (4).
Kajian lain terhadap 45 individu menunjukkan pengambilan kacang kuda pada satu jangka masa yang panjang dapat menambahbaik kawalan glisemik (5).
3. Mengenyangkan
Kandungan protein dan serat dalam kacang kuda boleh mengenyangkan anda.
Protein dan serat ini membantu melambatkan penghadaman seterusnya membuatkan anda rasa kenyang lebih lama.
Satu kajian yang membandingkan selera makan dan pengambilan kalori antara dua kumpulan wanita seramai 12 orang mendapati kumpulan yang mengambil secawan (200 gram) kacang kuda mengalami pengurangan selera makan selepas makan kacang ini (6).
Hasil yang sama juga didapati dalam satu kajian di Australia, di mana pengambilan kacang kuda sebanyak 104 gram sehari selama 12 minggu menunjukkan pengurangan selera makan dan dapat mengurangkan pengambilan makanan ringan (7).
Sifat ini membuatkan kacang kuda sesuai dijadikan menu kepada mereka yang sedang berdiet untuk menurunkan berat badan.
4. Baik untuk Sistem Penghadaman
Khasiat kacang kuda turut merangkumi kebaikannya terhadap sistem penghadaman.
Diet atau pemakanan dengan kacang ini dapat membantu meningkatkan pengambilan serat diet.
Secara keseluruhannya, peningkatan dalam penambilan serat diet meningkatkan kesihatan usus dengan meningkatkan kekerapan pembuangan najis, memudahkan pembuangan air besar dan melembutkan najis (7, 8).
5. Merendahkan Kadar Kolesterol
Tahap kolesterol yang tinggi boleh mengundang banyak masalah kesihatan. Contohnya seperti penyakit jantung dan strok.
Kacang kuda merupakan salah satu pilihan makanan yang berkhasiat dalam mengatasi masalah kolesterol.
Satu kajian pada tahun 2006 menunjukkan diet dengan kacang kuda selama 5 minggu boleh merendahkan jumlah kolesterol dan kolesterol-LDL (kolesterol jahat) (9).
Analisis terhadap kajian-kajian klinikal menunjukkan diet tinggi dengan kekacang boleh merendahkan kadar kolesterol-LDL (10).
6. Mengurangkan Risiko Kanser
Apabila anda makan kacang kuda, badan anda akan menghasilkan asid lemak rantaian pendek yang dipanggil ‘butirat’ (butyrate).
Butirat ini dilaporkan boleh menahan percambahan sel dan mencetus kematian sel, seterusnya boleh mengurangkan risiko kanser kolorektal (11, 12).
Selain itu, kacang ini turut mengandungi sebatian bioaktif lain yang boleh melawan kanser iaitu saponin, biochanin A dan likopena (lycopene).
Kajian makmal dan haiwan mendapati biochanin A mencegah tumbesaran sel-sel kanser perut dan tumor pada sel epitelium. Sebatian aktif ini tidak mendatangkan kesan sampingan terhadap sel-sel yang sihat (13, 14, 15).
Kesimpulan
Kacang kuda adalah pilihan makanan yang sihat.
Khasiat kacang kuda merangkumi kesihatan sistem penghadaman, merendah gula dalam darah dan kolesterol serta berpotensi mencegah kanser.
Selain khasiatnya, kacang kuda juga mudah untuk dimakan dan tidaklah mahal. Malahan, kini kacang kuda ini turut boleh didapati secara atas talian (online).
Resepi Kacang Kuda Untuk Diet
Kacang kuda juga dikatakan sesuai untuk dijadikan menu bagi mereka yang berdiet untuk menurunkan berat badan kerana sifatnya yang mengenyangkan. Untuk tujuan ini, kacang kuda sesuai dimasak dalam bentuk yang kurang kandungan gula, lemak dan kalori.
Maka, salah satu cara masak kacang kuda yang sihat adalah dengan merebusnya.
Bahan-bahan yang diperlukan:
- Kacang kuda.
- Garam (mengikut nisbah yang sesuai dengan kuantiti kacang kuda).
- Air untuk merebus.
Cara-caranya:
- Rendam kacang kuda dengan kuantiti air 4 kali lebih banyak daripada kuantiti kacang tersebut.
- Biarkan rendaman ini selama 10-12 jam sehingga kacang tersebut kembang.
- Buang air rendaman dan bilas kacang kuda tersebut.
- Masukkan kacang kuda yang sudah kembang ke dalam periuk dan tuangkan air sehingga meliputi kacang kuda tersebut.
- Masukkan sedikit garam (bersesuaian dengan kuantiti kacang).
- Rebus sehingga empuk (45 minit hingga 1 jam).
- Kemudian, toskan dan sedia untuk dihidang.
Kemaskini terakhir pada 9 September 2020.