Biasanya kita mengetahui bahawa jintan manis ini digunakan sebagai rempah dalam masakan. Tetapi, tahukah anda bahawa jintan manis ini mempunyai banyak khasiat dalam perubatan? Justeru itu, kami kongsikan beberapa khasiat jintan manis berdasarkan kajian-kajian yang telah dijalankan.

Jintan manis ialah antara rempah tertua yang digunakan sehingga kini. Nama saintifik bagi jintan manis ialah Pimpinella anisum dan herba ini dikenali dalam bahasa Inggeris sebagai anise atau aniseed.

Rempah atau tumbuhan herba ini berasal dari negara-negara timur Mediterranean dan Timur Tengah.

Perubatan tradisional Iran atau Parsi menggunakan jintan manis untuk untuk merawat migrain, membuang angin dari badan, penyahjangkitan dan diuretik. Selain itu, jintan manis turut digunakan untuk meningkatkan penghasilan susu badan, merawat masalah haid, masalah penghadaman, epilepsi atau sawan.

khasiat jintan manis
Pokok Jintan Manis

Berikut adalah 11 khasiat jintan manis berdasarkan kajian-kajian yang telah dijalankan.

1. Kaya dengan Nutrien Penting

Biji-biji kecil ini mengandungi mineral dan vitamin yang mempunyai banyak manfaatnya untuk kesihatan kita.

Bagi 1 sudu besar (2.1 gram) jintan manis terdapat nutrien-nutrien berikut [1]:

  • Kalori: 7.1 kcal
  • Protein: 0.4 gram
  • Karbohidrat: 1.1 gram
  • Serat: 0.31 gram
  • Kalsium: 13.6 miligram
  • Zat besi: 0.78 miligram
  • Magnesium: 3.6 miligram
  • Fosforus: 9.24 miligram
  • Kalium: 30.3 miligram
  • Natrium: 0.34 miligram
  • Zink: 0.11 miligram
  • Vitamin C: 0.44 miligram
  • Folat: 0.21 mikrogram
  • Vitamin A: 0.34 miligram

Selain itu, jintan manis turut mengandungi mineral tembaga, mangan, selenium dan vitamin B.

Rempah ini juga mengandungi sebatian-sebatian seperti estragol, p-anisaldehyde, anise alcohol, acetophenone, pinene and limonene [2].

2. Boleh Mencegah Jangkitan Bakteria dan Kulat

Jintan manis mempunyai keupayaan untuk mencegah jangkitan daripada bakteria dan kulat.

Satu kajian tabung uji menunjukkan ekstrak jintan manis boleh mencegah tumbesaran bakteria penyebab penyakit seperti E.coli, Staphylococcus aureus, Streptococcus pyogenes, dan Klebsiella pneumoniae [3].

Kajian lain turut mendapati ekstrak jintan manis turut menunjukkan aktiviti antibakteria terhadap bakteria yang menyebabkan penyakit meningitis dan kelemahan sistem imun iaitu Micrococcus luteus dan Mycobacterium smegmatis [4].

Ekstrak jintan manis juga turut didapati mempunyai sifat antikulat berdasarkan kajian yang dijalankan.

Herba ini boleh mencegah tumbesaran kulat Candida albicans, C. parapsilosis, C. tropicalis, C. pseudotropicalis dan C. krusei.

Ekstrak ini juga turut berupaya mencegah tumbesaran kulat yang menyebabkan jangkitan pada kulit seperti kurap, kaki atlet, kulat pada kuku dan lain-lain. Minyak pati jintan manis juga turut bersifat antikulat, malah lebih kuat daripada ekstrak air jintan manis [5].

3. Boleh Membantu Merawat Sembelit

Sembelit ialah masalah penghadaman yang biasa berlaku. Melalui sedikit perubahan terhadap pemakanan dapat membantu mengatasi masalah ini.

Kajian yang dijalankan terhadap 20 orang pesakit yang mengalami masalah sembelit mendapati teh yang dihasilkan hasil gabungan herba seperti jintan manis, jintan hitam, Sambucus nigra dan Cassia augustifolia menunjukkan kesan laksatif yang boleh mengurangkan sembelit [6].

Walau bagaimanapun, kajian ini tidak menumpukan secara terperinci mengenai peranan jintan manis terhadap kesan laksatif tersebut.

4. Boleh Melindungi daripada Ulser Perut

Ulser perut atau ulser gastrik ialah luka terbuka pada lapisan perut. Ulser perut berlaku apabila lapisan mukus yang tebal yang melindungi perut daripada asid perut berkurangan.

Jintan manis juga berkhasiat untuk melindungi pemakannya daripada ulser perut.

Kajian terhadap haiwan mendapati jintan manis mengurangkan perembesan asid perut, membantu mencegah pembentukan ulser perut dan melindungi sel-sel daripada rosak [7].

Namun, kajian mengenai peranan jintan manis terhadap ulser perut masih terhad. Kajian-kajian lanjut masih diperlukan untuk melihat peranan jintan manis terhadap ulser perut manusia.

5. Mengurangkan Simptom Kemurungan

Khasiat jintan manis juga termasuklah mengurangkan simptom kemurungan.

Perubatan tradisional Parsi mempercayai bahawa jintan manis mempunyai kualiti meningkatkan mood dan mengurangkan kemurungan.

Kajian terhadap haiwan mendapati jintan manis mempunyai kesan antidepresi yang sama seperti ubat antidepresi iaitu Fluoxetine [8].

Kajian terhadap 120 orang pesakit yang mengalami kemurungan ringan hingga sederhana akibat sindrom usus iritabel menunjukkan minyak jintan manis menambah baik kemurungan yang dialami oleh pesakit-pesakit ini [9].

6. Bersifat Antiradang dan Analgesik

Jintan manis juga mempunyai sifat antiradang dan boleh melegakan kesakitan (analgesik).

Kajian terhadap haiwan mendapati minyak pati jintan manis mempunyai kesan analgesik (melegakan kesakitan) sama seperti morfin dan aspirin [10].

Selain itu, minyak jintan manis juga turut mempunyai kesan antiradang sepertimana ubat antiradang, indomethacin [11].

7. Mengurangkan Simptom Menopaus

Hot flashes atau berpeluh malam adalah antara tanda-tanda peralihan menopaus yang menyebabkan rasa tidak selesa dan boleh berpanjangan sehingga bertahun lamanya.

Satu kajian yang melibatkan 72 orang wanita pascamenopaus melaporkan bahawa pengambilan 330mg ekstrak jintan manis 3 kali sehari selama 4 minggu boleh mengurangkan kekerapan dan keterukan hot flashes [12].

8. Mengurangkan Sakit Senggugut

Tambahan lagi, ekstrak jintan manis turut didapati boleh mengurangkan atau melegakan kesakitan akibat senggugut.

Kajian klinikal yang melibatkan 180 orang pelajar perempuan melaporkan bahawa kumpulan yang mengambil 500mg ekstrak jintan manis 3 kali sehari mengalami pengurangan dari segi tahap kesakitan dan tempoh masa kesakitan [13].

Malah, ekstrak jintan manis ini dilihat mampu mengurangkan kesakitan akibat senggugut lebih baik daripada ubat yang digunakan iaitu mefenamic acid.

9. Baik Untuk Pesakit Kencing Manis

Menariknya lagi, khasiat jintan manis ini juga turut bermanfaat kepada pesakit kencing manis atau diabetes jenis 2.

Satu kajian yang membandingkan kesan jintan manis dan ketumbar terhadap pesakit kencing manis mendapati jintan manis boleh menurunkan 36% paras gula darah puasa bagi pesakit ini.

Selain itu, jintan manis juga turut menyebabkan penurunan yang ketara bagi paras kolesterol dan trigliserida (lemak) dalam darah [14].

10. Boleh Mengurangkan Serangan Sawan

Khasiat jintan manis yang seterusnya ialah boleh membantu mengurangkan serangan sawan atau kejang. Kebaikan ini dipercayai melalui kesan antikonvulsan jintan manis.

Kajian terhadap haiwan mendapati ekstrak jintan manis boleh melambatkan serangan sawan bagi haiwan yang telah dirawat terlebih dahulu dengan ekstrak herba ini. Di samping itu juga, dos yang sama turut menyebabkan kelewatan dari segi masa kematian haiwan tersebut [15].

Kajian yang diterbitkan pada tahun 2012 juga turut mendapati minyak jintan manis turut mempunyai kesan antikonvulsan dan perlindungan neuro melalui pencegahan keplastikan sinaps [16].

Keplastikan sinaps ialah keupayaan sinaps untuk menguat atau melemah akibat daripada peningkatan dan pengurangan aktivitinya. Sinaps ialah tempat pertemuan antara dua saraf atau suatu saraf dengan suatu tisu.

11. Meningkatkan Susu Badan

Perubatan tradisional menggunakan jintan manis untuk menambahkan susu badan bagi ibu-ibu yang mengalami masalah kekurangan susu badan.

Kajian terhadap haiwan menunjukkan ekstrak jintan manis boleh meningkatkan penghasilan susu secara ketara [17].

Satu ulasan turut mendapati jintan manis adalah salah satu daripada tumbuhan herba selain daripada habbatus sauda yang berkesan untuk meningkatkan penghasilan susu badan [18].

Rumusan

Jintan manis adalah rempah atau tumbuhan herba yang mempunyai banyak khasiat untuk kesihatan.

Meskipun begitu, kajian-kajian lanjut terutamanya kajian klinikal masih diperlukan untuk menguatkan lagi dapatan kajian yang telah dijalankan ini.

Rujukan
Rujukan
  1. U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. fdc.nal.usda.gov.
  2. Wenli Sun, Mohamad Hesam Shahrajabian & Qi Cheng | Sabrina Sabatini (Reviewing editor:) .(2019). Anise (Pimpinella anisum L.), a dominant spice and traditional medicinal herb for both food and medicinal purposesCogent Biology.
  3. Akhtar, A. et al. (2008). In vitro Antibacterial activity of Pimpinella anisum fruit extracts against some pathogenic bacteria. Veterinary World.
  4. D. AYFER ATEŞ & ÖZLEM TURGA. (n.d). Antimicrobial Activities of Various Medicinal and Commercial Plant Extracts. Academic Journals.
  5. Kosalec, I., et al. (2005). Antifungal activity of fluid extract and essential oil from anise fruits (Pimpinella anisum L., Apiaceae). Acta pharmaceutica.
  6. Picon, P. D., et al. (2010). Randomized clinical trial of a phytotherapic compound containing Pimpinella anisum, Foeniculum vulgare, Sambucus nigra, and Cassia augustifolia for chronic constipationBMC complementary and alternative medicine.
  7. Al Mofleh, et al. (2007). Aqueous suspension of anise “Pimpinella anisum” protects rats against chemically induced gastric ulcersWorld journal of gastroenterology.
  8. Shahamat, Z., et al. (2016). Evaluation of antidepressant-like effects of aqueous and ethanolic extracts of Pimpinella anisum fruit in miceAvicenna journal of phytomedicine.
  9. Mosaffa-Jahromi, M., et al. (2017). Effectiveness of Anise Oil for Treatment of Mild to Moderate Depression in Patients With Irritable Bowel Syndrome: A Randomized Active and Placebo-Controlled Clinical Trial. Journal of evidence-based complementary & alternative medicine.
  10. Tas, A. (2009). Analgesic effect of Pimpinella anisum L. essential oil extract in mice. Indian Veterinary Journal.
  11. Tas, A. et al. (2006). Evaluation of analgesic and anti inflammatory activity of Pimpinella anisum fixed oil extract. Indian Veterinary Journal.
Rujukan No.7-11
  1. Nahidi, F., et al. (2012). The Study on the Effects of Pimpinella anisum on Relief and Recurrence of Menopausal Hot FlashesIranian journal of pharmaceutical research.
  2. Nahid, K., et al. (2009). The effect of an Iranian herbal drug on primary dysmenorrhea: a clinical controlled trialJournal of midwifery & women’s health.
  3. Rajeshwari, et al. (2011). Comparison of aniseeds and coriander seeds for antidiabetic, hypolipidemic and antioxidant activities. Spatula DD – Peer Reviewed Journal on Complementary Medicine and Drug Discovery.
  4. Heidari, M.R. & Ayeli, M. (2005). Effects of Methyl Alcoholic Extract of Pimpinella Anisum L. on Picrotoxin Induced Seizure in Mice and Its Probable Mechanism. Scientific Journal of Kurdistan University of Medical Sciences.
  5. Karimzadeh, F., et al. (2012). Anticonvulsant and neuroprotective effects of Pimpinella anisum in rat brainBMC complementary and alternative medicine.
  6. Hosseinzadeh, H., et al. (2014). Effect of aqueous and ethanolic extracts of Pimpinella anisum L. seeds on milk production in ratsJournal of acupuncture and meridian studies.
  7. Javan, R., et al. (2017). Breastfeeding: A Review of Its Physiology and Galactogogue Plants in View of Traditional Persian MedicineBreastfeeding medicine.

Langgan Surat Berita Kami

Dapatkan artikel-artikel terbaru kami secara mingguan terus ke peti mel anda.

You May Also Like

13 Khasiat Habbatus Sauda Untuk Kesihatan Lelaki dan Wanita

Habbatus Sauda atau Jintan Hitam adalah biji daripada tumbuhan berbunga yang secara…

8 Khasiat Saffron Untuk Wanita dan Lelaki (+Kuantiti Sesuai)

Saffron merupakan antara rempah yang paling mahal di dunia. Rempah ini dibuat…