Halia hitam adalah tumbuhan herba yang mempunyai banyak khasiat. Mungkin masih ramai yang tidak tahu akan khasiat halia hitam. Oleh itu, kali ini kami senaraikan 12 khasiat halia hitam berdasarkan kajian-kajian sains perubatan.

Nama saintifik bagi halia hitam ialah Kaempferia parviflora. Halia hitam ini adalah daripada keluarga Zingiberaceae iaitu satu keluarga dengan halia, lengkuas, kunyit dan bunga kantan.

Halia hitam berasal dari utara dan timurlaut Thailand. Halia ini telah digunakan dalam perubatan tradisional sejak lebih 1000 tahun dahulu. Masyarakat dahulu menggunakan halia hitam untuk merawat keradangan, ulser, mengendurkan pembuluh darah, gout, alahan, osteoartritis, penyakit kolik dan abses.

khasiat halia hitam
Kredit imej: Harriet Stewart-Jones melalui Phakhalao di bawah lesen Creative Commons Attribution 4.0 International

Kajian-kajian sains perubatan telah menjumpai banyak potensi halia hitam untuk manfaat kesihatan dan perubatan.

Berikut adalah beberapa khasiat halia hitam berdasarkan kajian.

1. Bersifat Antiradang

Keradangan ialah satu proses semulajadi badan untuk melawan sebarang benda yang membahayakannya seperti kecederaan, jangkitan atau bahan toksik. Keradangan menjadi tidak baik apabila ia berlarutan pada satu jangka masa yang lama.

Ia akan memberi impak negatif kepada tisu dan organ badan. Kesannya, ia akan membawa kepada penyakit lain.

Beberapa kajian mendapati halia hitam mempunyai aktiviti antiradang yang boleh mendatangkan manfaat untuk kesihatan dan perubatan.

Kajian menunjukkan ekstrak halia hitam berkesan untuk menghalang atau merencatkan sebatian yang mencetuskan keradangan yang dikenali sebagai prostaglandin E2 [1].

Halia hitam juga mengandungi sebatian methoxyflavone yang turut menunjukkan aktiviti antiradang dengan merencatkan penghasilan enzim nitrik oksida [2].

2. Boleh Membantu Mencegah Jerawat

Jerawat adalah salah satu penyakit kulit yang menjangkiti kira-kira 80-85% remaja di seluruh dunia. Jerawat boleh disebabkan oleh bakteria Propionibacterium acnes dan Staphylococcus aureus.

Jerawat akan menyebabkan keradangan, peningkatan penghasilan sebum dan pertumbuhan berlebihan kelenjar sebum.

Halia hitam dilihat boleh menjadi ubat alternatif untuk mencegah dan merawat jerawat.

Hal ini kerana, ekstrak halia hitam ini boleh mencegah tumbesaran bakteria Propionibacterium acnes dan Staphylococcus aureus, merencatkan tindak balas keradangan dan merencatkan pembentukan lemak di sel-sel sebum [3].

3. Meningkatkan Kecergasan Fizikal

Kecergasan fizikal adalah salah satu faktor penting bagi atlet seperti pemain bola sepak.

Terdapat kajian yang menunjukkan intervensi pemakanan (nutrisi) boleh mempengaruhi hasil daripada sesuatu perlawanan dengan mengurangkan kelesuan dan meningkatkan penggunaan skil taktikal dan fizikal pemain tersebut [4].

Di sini, khasiat halia hitam dilihat boleh memainkan peranannya.

Kajian terhadap 60 orang pemain bola sepak melaporkan bahawa pengambilan ekstrak halia hitam selama 12 minggu boleh meningkatkan kekuatan genggaman tangan pemain-pemain tersebut. Namun, kekuatan belakang dan kaki tidak menunjukkan perubahan yang ketara [5].

Kajian terbaru yang dijalankan terhadap atlet remaja pula mendapati pengambilan ekstrak halia hitam selama 12 minggu boleh meningkatkan kekuatan genggaman tangan kanan, kekuatan kaki belakang, penggunaan oksigen maksimum (VO2 max) dan pengurangan masa ujian pecut 50m [6].

4. Merawat Masalah Tenaga Batin Lelaki

Tumbuhan herba adalah pilihan yang selamat untuk merawat masalah tenga batin lelaki. Halia hitam dikatakan berkhasiat untuk meningkatkan tenaga batin dan membantu meningkatkan syahwat.

Satu kajian yang dijalankan terhadap haiwan yang menghidap diabetes mendapati pengambilan ekstak halia hitam selama 3 minggu berjaya meningkatkan ketumpatan sperma, memulihkan tingkah laku seksual dan paras hormon testosteron [7].

Kajian lain terhadap 13 orang lelaki yang mengalami disfungsi erektil ringan mendapati pengambilan ekstrak halia hitam sebanyak 100mg setiap hari selama 30 hari berjaya meningkatkan fungsi erektil dan kepuasan hubungan intim [8].

5. Boleh Mencegah Kanser

Khasiat halia hitam yang seterusnya ialah boleh membantu mencegah kanser. Perubatan tradisional juga menggunakan halia hitam untuk mencegah kanser.

Laporan daripada kajian yang dijalankan oleh pengkaji dari Chiang Mai University, Thailand menunjukkan ekstrak halia hitam mempunyai kesan antikanser yang kuat terhadap sel-sel kanser serviks [9].

Kajian yang lebih terkini turut mendapati ekstrak halia hitam boleh mencegah kanser ovari dengan beberapa tindakan seperti merencatkan pertumbuhan sel-sel kanser, menghalang penghijrahan sel-sel kanser dan membunuh sel-sel kanser [10].

Dapatan awal ini menunjukkan potensi halia hitam untuk diuji ke atas manusia. Kajian haiwan dan manusia boleh menguatkan lagi dapatan terhadap khasiat halia hitam ini.

6. Membantu Membuang Lemak Perut

Masalah kegemukan atau obesiti adalah masalah yang serius terutamanya di negara ini. Salah satu ciri-ciri mereka yang obesiti ialah mempunyai saiz perut atau pinggang yang besar daripada sepatutnya. Lemak yang banyak pada bahagian perut (abdomen) juga menjadi petanda kepada obesiti.

Khasiat halia hitam turut didapati mempunyai kesan antiobesiti dalam kajian yang melibatkan haiwan. Ekstrak halia hitam boleh menurunkan berat badan dan pengumpulan lemak dalam kalangan haiwan yang mengalami obesiti [11].

Kajian klinikal yang dijalankan terhadap 76 orang peserta pula melaporkan bahawa kumpulan yang diberikan ekstrak halia hitam sebanyak 150 mg sekali sehari selama 12 minggu mengalami penurunan lemak di bahagian perut dan paras trigliserida [12].

Kajian klinikal terkini melaporkan bahawa sebatian polymethoxyflavone yang diambil daripada halia hitam turut boleh mengurangkan lemak viseral iaitu lemak yang membalut organ dalam perut [13].

7. Boleh Merawat Alahan

Khasiat halia hitam turut boleh dimanfaatkan oleh mereka yang menghidap alahan.

Kajian mendapati sebatian dalam halia hitam iaitu methoxyflavone mempunyai kesan antialahan [14].

Terdapat juga kajian lain yang turut mendapati ekstrak halia hitam mempunyai kesan antialahan yang mujarab dalam kajian makmal yang dijalankan [15].

Walau bagaimanapun, kajian-kajian terhadap manusia masih terhad.

8. Boleh Merawat Sakit Sendi Lutut

Sifat antiradang halia hitam juga turut boleh membantu merawat sakit sendi lutut.

Kesan ini dilihat dalam satu kajian terhadap haiwan yang mendapati ekstrak halia hitam boleh mengurangkan kesakitan dan keterukan luka rawan pada sendi lutut.

Manakala, sebatian methoxyflavone dalam halia hitam ini pula membantu mengurangkan enzim-enzim yang merosakkan kolagen dalam rawan [16].

9. Boleh Melindungi Kulit Daripada Sinaran UV

Tidak terhenti di situ, halia hitam juga turut didapati boleh melindungi kulit daripada sinaran UV.

Ini berdasarkan kajian yang dijalankan terhadap haiwan yang mengalami penuaan kulit pramatang akibat sinaran UVB. Ekstrak halia hitam didapati mencegah pembentukan kedutan kulit dan kehilangan serat kolagen.

Selain itu, ekstrak halia hitam turut meningkatkan enzim antioksidan dalam kulit dan mengurangkan keradangan [17].

Khasiat ini menunjukkan potensi halia hitam untuk digunakan dalam produk kosmetik.

10. Boleh Merawat Bengkak Prostat

Bengkak prostat yang bukan kanser boleh terbahagi kepada dua iaitu prostatitis dan hiperplasia prostat benigna.

Hiperplasia prostat benigna (BPH) ialah pembesaran atau pembengkakan kelenjar prostat yang terjadi akibat penggandaan sel-sel prostat. Walaupun BPH bukannya kanser, tetapi ia tetap menganggu kualiti kehidupan penghidapnya.

Kajian terhadap haiwan mendapati ekstrak halia hitam boleh dijadikan agen yang baik dalam merawat hiperplasia prostat benigna. Ekstrak halia hitam ini boleh mengurangkan berat kelenjar prostat dan vesikel semen (kelenjar yang menghasilkan air mani).

Selain itu, ekstrak halia hitam turut boleh merencatkan enzim yang menghasilkan hormon androgen iaitu dihydrotestosterone (DHT). DHT ini yang menyebabkan pembesaran abnormal prostat [18].

11. Boleh Mencegah Ulser Perut

Ulser perut atau ulser gaster ialah luka yang terjadi di lapisan perut dan juga usus kecil. Ulser perut terjadi apabila lapisan mukus yang melindungi perut daripada jus pencernaan berkurang.

Kajian terhadap haiwan mendapati ekstrak halia hitam boleh mencegah pembentukan ulser perut dengan memelihara lapisan dinding mukus [19].

12. Mungkin Boleh Membantu Menurunkan Berat Badan

Ekstrak halia hitam juga mungkin boleh dimanfaatkan dalam rejim pemakanan untuk menurunkan berat badan terutamanya bagi mereka yang mengalami berat berlebihan atau obesiti.

Ini kerana ekstrak halia hitam didapati boleh meningkatkan penggunaan tenaga di seluruh badan melalui pengaktifan tisu adipos perang atau turut dikenali lemak perang [20].

Lemak perang berperanan membekalkan haba kepada badan dengan membakar kalori. Oleh itu, ekstrak halia hitam mungkin boleh membantu menurunkan berat badan melalui peningkatan pembakaran kalori.

Cara Untuk Dapatkan Halia Hitam

Halia hitam ini telah ada dijual di pasaran dalam bentuk suplemen.

Anda juga boleh dapatkannya melalui pembelian atas talian di:

Lazada | Shopee

Adakah Ekstrak Halia Hitam Selamat Dimakan?

Berdasarkan kajian yang dijalankan di Jepun, ekstrak halia hitam selamat dimakan bagi lelaki dan wanita sihat.

Berdasarkan kajian ini juga, adalah selamat untuk makan ekstrak halia hitam sehingga 750mg sehari.

Tiada kesan sampingan yang dilaporkan.

Rumusan

Halia hitam mempamerkan khasiat yang sangat menakjubkan. Tumbuhan herba ini sesuai ditanam secara persendirian atau komersial untuk dimanfaatkan khasiatnya.

Halia hitam berkhasiat untuk mencegah jerawat, meningkatkan tenaga batin lelaki, meningkatkan kecergasan, mencegah kanser, membuang lemak perut dan banyak lagi.

Kajian-kajian yang berterusan terutamanya kajian terhadap manusia boleh menguatkan lagi dapatan-dapatan kajian ini.

Rujukan
Rujukan
  1. Elshamy, A. I. et al. (2019). Recent Advances in Kaempferia Phytochemistry and Biological Activity: A Comprehensive ReviewNutrients.
  2. Sae-wong, C. et al. (2009). Anti-inflammatory mechanism of Kaempferia parviflora in murine macrophage cells (RAW 264.7) and in experimental animalsJournal of ethnopharmacology.
  3. Jin, S., & Lee, M. Y. (2018). Kaempferia parviflora Extract as a Potential Anti-Acne Agent with Anti-Inflammatory, Sebostatic and Anti-Propionibacterium acnes ActivityInternational journal of molecular sciences.
  4. Nutrition for football: the FIFA/F-MARC Consensus Conference. (2006). Journal of sports sciences.
  5. Promthep, K. et al. (2015). Effect of Kaempferia parviflora Extract on Physical Fitness of Soccer Players: A Randomized Double-Blind Placebo-Controlled Trial. Medical science monitor basic research.
  6. Sripanidkulchai, B. et al. (2020). Supplementation of Kaempferia parviflora Extract Enhances Physical Fitness and Modulates Parameters of Heart Rate Variability in Adolescent Student-Athletes: A Randomized, Double-Blind, Placebo-Controlled Clinical Study. Journal of dietary supplements.
  7. Lert-Amornpat, T. et al. (2017). Effect of Kaempferia parviflora on sexual performance in streptozotocin-induced diabetic male ratsAndrologia.
  8. Stein, R. A. et al. (2018). Kaempferia parviflora ethanol extract improves self-assessed sexual health in men: a pilot study. Journal of integrative medicine.
  9. Potikanond, S. et al. (2017). Kaempferia parviflora Extract Exhibits Anti-cancer Activity against HeLa Cervical Cancer CellsFrontiers in pharmacology.
  10. Paramee, S. et al. (2018). Anti-cancer effects of Kaempferia parviflora on ovarian cancer SKOV3 cellsBMC complementary and alternative medicine.
Rujukan No. 6-12
  1. Akase, T. et al. (2011). Antiobesity effects of Kaempferia parviflora in spontaneously obese type II diabetic miceJournal of natural medicines.
  2. Yoshino, S. et al. (2018). Daily intake of Kaempferia parviflora extract decreases abdominal fat in overweight and preobese subjects: a randomized, double-blind, placebo-controlled clinical study. Diabetes, metabolic syndrome and obesity : targets and therapy.
  3. Yoshino, S. et al. (2021). Polymethoxyflavone purified from Kaempferia parviflora reduces visceral fat in Japanese overweight individuals: a randomised, double-blind, placebo-controlled study. Food & function.
  4. Tewtrakul, S. et al. (2008). Anti-allergic activity of compounds from Kaempferia parvifloraJournal of ethnopharmacology.
  5. Tewtrakul, S., & Subhadhirasakul, S. (2007). Anti-allergic activity of some selected plants in the Zingiberaceae familyJournal of ethnopharmacology.
  6. Kobayashi, H. et al. (2018). Effect of Kaempferia parviflora extract on knee osteoarthritisJournal of natural medicines.
  7. Park, J. E. et al. (2014). The protective effect of Kaempferia parviflora extract on UVB-induced skin photoaging in hairless micePhotodermatology, photoimmunology & photomedicine.
  8. Murata, K. et al. (2013). Suppression of benign prostate hyperplasia by Kaempferia parviflora rhizomePharmacognosy research.
  9. Rujjanawate, C. et al. (2005). Anti-gastric ulcer effect of Kaempferia parvifloraJournal of ethnopharmacology.
  10. Matsushita, M. et al. (2015). Kaempferia parviflora extract increases whole-body energy expenditure in humans: roles of brown adipose tissueJournal of nutritional science and vitaminology.

Langgan Surat Berita Kami

Dapatkan artikel-artikel terbaru kami secara mingguan terus ke peti mel anda.

You May Also Like

13 Khasiat Habbatus Sauda Untuk Kesihatan Lelaki dan Wanita

Habbatus Sauda atau Jintan Hitam adalah biji daripada tumbuhan berbunga yang secara…

8 Khasiat Saffron Untuk Wanita dan Lelaki (+Kuantiti Sesuai)

Saffron merupakan antara rempah yang paling mahal di dunia. Rempah ini dibuat…