Nutrisi

6 Khasiat Halba Untuk Wanita dan Lelaki Berdasarkan Kajian

Pinterest LinkedIn Tumblr

Khasiat halba telah lama dimanfaatkan dalam perubatan tradisional terutamanya dalam perubatan India (Ayurveda). Selain menjadi rempah dalam masakan, halba turut mempunyai banyak khasiat untuk kesihatan terutamannya untuk kesihatan wanita.

Halba dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai Fenugreek atau Greek Hayes. Dalam bahasa Arab pula dikenali sebagai Hulbah.

Rempah halba dikelaskan dalam keluarga Fabaceae dan dikenali secara saintifiknya sebagai Trigonella foenum-graecum.

Halba berasal dari kawasan Mediterranean hingga ke Asia Tengah. Rempah ini telah digunakan dalam perubatan tradisional sejak zaman Greek dan Itali purba.

Manakala di India dan Utara Afrika, halba ditanam dan digunakan sebagai penambah rasa dan herba.

Sejak dahulu lagi, halba dipercayai mempunyai banyak khasiat untuk kesihatan. Daun dan bijinya juga turut mempunyai khasiat perubatan.

khasiat halba

Berikut disenaraikan beberapa khasiat halba untuk kesihatan kita berdasarkan kajian-kajian sains perubatan yang dijalankan:

1. Boleh Membantu Meningkatkan Penghasilan Susu Ibu

Susu kering atau tiada susu adalah antara masalah yang sering dihadapi oleh ibu-ibu muda yang baru melahirkan anak.

Selain pengambilan ubat moden untuk meningkatkan penghasilan susu badan. Kajian juga mendapati halba boleh diambil sebagai pilihan alternatif semulajadi dan selamat bagi menggantikan ubat moden.

Satu kajian yang dijalankan terhadap 66 orang ibu mendapati, kumpulan yang diberikan teh halba setiap hari menunjukkan penghasilan susu badan yang lebih tinggi berbanding kumpulan yang lain (1).

Kajian lain terhadap 50 orang ibu menyusu turut mendapati makanan tambahan (suplemen) yang mengandungi halba, halia dan kunyit meningkatkan jumlah susu badan daripada 49% hingga 103% tanpa kesan sampingan (2).

Dapatkan kapsul serbuk halba online

2. Meningkatkan Kadar Hormon Lelaki

Khasiat halba juga turut dimanfaatkan oleh kaum lelaki untuk meningkatkan hormon testosteron.

Terdapat kajian yang menyatakan bahawa halba ini bertindak dengan mengurangkan enzim yang menukarkan hormon testosteron kepada estrogen.

Satu kajian yang dijalankan terhadap 30 orang individu yang menjalani latihan angkat berat mendapati kumpulan yang menerima makanan tambahan 500mg halba sehari menunjukkan paras hormon testosteron yang meningkat.

Mereka juga mengalami peningkatan kekuatan dan jumlah lemak yang hilang (3).

Dalam satu kajian klinikal yang lain turut mendapati halba boleh meningkatkan kekuatan dan nafsu seks (4).

3. Baik untuk Penghidap Diabetes

Selain itu, halba turut didapati berkhasiat untuk pesakit diabetes dan juga baik untuk mereka yang sihat.

Penghidap diabetes jenis 1 yang mengambil 50g serbuk halba pada waktu makan tengah hari dan malam selama 10 hari menunjukkan penurunan gula dalam darah serta penurunan jumlah kolesterol dan kolesterol-LDL (kolesterol jahat) berdasarkan satu kajian (5).

Dalm satu kajian lain, mereka yang tidak menghidap diabetes mengambil halba turut mendapati penurunan gula dalam darah sebanyak 13.4% selepas 4 jam memakannya (6).

4. Boleh Merendahkan Kolesterol

Beberapa kajian makmal mendapati ekstrak halba boleh merendahkan kadar kolesterol.

Dalam satu kajian yang dijalankan di China pada tahun 2007, ekstrak halba didapati boleh menurunkan kadar lemak (lipid) dalam darah.

Spesimen yang diberikan ekstrak halba ini turut menunjukkan penurunan pada kadar jumlah kolesterol, trigliserida dan meningkatkan kadar kolesterol-HDL (kolesterol baik) (7).

Saintis percaya bahawa serat diet yang terkandung dalam biji halba ini boleh mengawal penghasilan kolesterol dalam hati (8).

5. Bersifat Antiradang dan Antiulser

Halba juga antara rempah yang tinggi dengan kandungan antioksidan.

Berdasarkan satu kajian, kandungan antioksidan iaitu flavonoid dalam biji halba didapati bertanggungjawab untuk kesan antiradang rempah ini (9).

Dalam satu kajian lain yang dijalankan pada tahun 2011, ekstrak halba turut menunjukkan sifat antiradang akut dan kronik terhadap ujian makmal yang dijalankan terhadap haiwan (10).

Halba juga menunjukkan kebolehannya untuk merawat ulser.

Satu kajian terhadap haiwan menunjukkan pengurangan terhadap ulser gastrik selepas penggunaan minyak pati halba. Penggurangan ini didorong oleh kandungan saponin, phytic acid dan trigonelline dalam minyak pati ini (11).

6. Bersifat Antikulat dan Antibakteria

Beberapa kajian juga mendapati halba ini turut mempunyai kebolehan untuk menghalang bakteria dan kulat.

Halba menunjukkan sifat antibakteria yang kuat terhadap bakteria E.coli berdasarkan kajian makmal terhadap bakteria ini (12).

Selain itu, kajian lain juga turut mendapati ekstrak halba turut mempunyai sifat antibakteria terhadap bakteria jenis E.coli, Staphylococcus aureus, Pseudononus aeruginosa, Baciillus substilis, Salmonella paratyphi, Shigella, Salmonella typhi dan Staphylococcus aureus (13).

Dapatan lain turut menunjukkan daun, benih, batang dan akar pokok halba turut mempunyai sifat antikulat terhadap kulat jenis Botrytis cinerea, Fusarium graminearum, Alternaria sp., Pythium aphanidermatum dan Rhizoctonia solani (14)

Kesimpulan

Halba merupakan rempah yang mempunyai khasiat-khasiat perubatan yang menarik dan telah lama digunakan dalam perubatan tradisional.

Khasiat halba berdasarkan kajian terhadap manusia (ujian klinikal) membuktikan bahawa rempah ini berkesan untuk meningkatkan penghasilan susu badan, meningkatkan hormon lelaki dan merendahkan gula dalam darah.

Halba juga turut didapati boleh merendahkan kadar kolesterol, bersifat antiradang,antiulser, antibakteria dan antikulat. Namun, memerlukan lebih banyak kajian klinikal.

Write A Comment