Nutrisi

13 Khasiat Habbatus Sauda Untuk Kesihatan Lelaki dan Wanita

Pinterest LinkedIn Tumblr

Habbatus Sauda atau Jintan Hitam adalah biji daripada tumbuhan berbunga yang secara saintifiknya dikenali sebagai Nigella sativa. Habbatus Sauda mempunyai banyak khasiat untuk kesihatan. Khasiat Habbatus Sauda turut disebut dalam hadith Rasulullah s.a.w.

Daripada Abu Hurairah r.a. ia berkata bahawa Rasulullah bersabda yang bermaksud:

Gunakan Habbah as-Sauda kerana mengandungi ubat bagi segala penyakit kecuali kematian.

Hadith Riwayat Bukhari & Muslim

Dalam bahasa Inggeris, Habbatus Sauda dikenali sebagai Black Cumin. Habbatus Sauda telah digunakan sejak dahulu lagi terutamanya di negara-negara Timur Tengah dan Mediterranean.

Secara tradisionalnya, Habbatus Sauda digunakan untuk merawat asma, darah tinggi, keradangan, batuk, bronkitis, sakit kepala, ekzema, demam, pening dan gangguan perut.

khasiat habbatus sauda

Berikut adalah 13 khasiat Habbatus Sauda untuk kesihatan berdasarkan kajian-kajian sains yang telah dijalankan.

1. Kaya dengan Nutrien yang Baik

Habbatus Sauda mempunyai profil nutrisi yang cukup baik bagi biji-bijian.

Bagi 100 gram biji Habbatus Sauda, terdapat nutrien-nutrien berikut [1]:

  • Tenaga: 531 kcal
  • Protein: 20.8 gram
  • Kalsium: 185 miligram
  • Zat besi: 10.5 miligram
  • Tembaga: 1.8 miligram
  • Zink: 6.0 miligram
  • Fosforus: 526.5 miligram
  • Vitamin B1: 1.5 miligram
  • Vitamin B2: 0.1 miligram
  • Vitamin B3: 5.7 miligram
  • Vitamin B6: 0.5 miligram
  • Folat: 0.06 miligram

Kadar nutrien ini mungkin berbeza-beza mengikut kawasan atau negara tumbuhan Nigella Sativa ini ditanam.

2. Bersifat Antioksidan

Antioksidan berperanan untuk meneutralkan radikal bebas yang berlebihan dalam badan. Radikal bebas berlebihan boleh menyebabkan tekanan pengoksidaan.

Tekanan pengoksidaan pula dikaitkan dengan banyak penyakit kronik seperti kanser, penyakit kencing manis, penyakit jantung, penyakit Alzheimer dan lain-lain lagi.

Hababtus Sauda turut memperlihatkan aktiviti dan ciri-ciri antioksidan.

Beberapa sebatian aktif dalam biji Habbatus Sauda seperti thymoquinone, dithymoquinone dan thymol menunjukkan ciri-ciri antioksidan yang kuat [2].

Di samping itu juga, Habbatus Sauda dalam bentuk minyak pati, biji, ekstrak dan bahan aktifnya mempunyai kesan antioksidan terhadap penyakit kronik [3].

3. Bersifat Antiradang dan Analgesik

Habbatus Sauda mempunyai sifat antiradang dan analgesik.

Radang atau keradangan adalah sebahagian daripada proses pertahanan semulajadi badan dan berperanan dalam proses penyembuhan.

Walau bagaimanapun, sekiranya keradangan ini berlaku secara berpanjangan (keradangan kronik). Lama-kelamaan ia boleh memberi impak negatif terhadap kesihatan badan.

Selain itu, Habbatus Sauda turut mempunyai ciri-ciri analgesik iaitu bahan yang boleh melegakan kesakitan tanpa hilangnya kesedaran.

Ciri-ciri ini dapat dilihat dalam satu kajian yang mendapati ekstrak dan minyak pati Habbatus Saudi mempunyai sifat antiradang dan analgesik. Ini berdasarkan kandungan bahan aktifnya iaitu thymoquinone [4].

Terdapat juga kajian makmal yang menunjukkan kesan antiradang biji ini terhadap pelbagai penyakit atau keradangan yang diuji [3].

3. Boleh Melawan Kanser

Kanser adalah antara penyakit kronik yang menyumbang kepada kematian yang tinggi di seluruh dunia.

Kanser adalah cabaran terbesar dalam dunia perubatan dan gangguan kesihatan ini terus meningkat dari tahun ke tahun.

Kajian makmal mendapati Habbatus Sauda terutamanya bahan bioaktifnya iaitu thymoquinone boleh mencegah atau melawan sel-sel kanser payudara, serviks, leukimia, pundi, buah pinggang, prostat dan hati [5].

Walau bagaimanapun, masih banyak kajian klinikal yang diperlukan untuk mengetahui kesan antikanser Habbatus Sauda terhadap manusia.

4. Membantu Merendahkan Tekanan Darah

Tekanan darah tinggi adalah antara penyakit kronik yang banyak berlaku dalam kalangan rakyat Malaysia dan masyarakat dunia secara umumnya.

Berdasarkan kajian terhadap 57 orang pesakit darah tinggi yang menerima 2 gram Habbatus Sauda setiap hari selama setahun mendapati berlaku penurunan terhadap tekanan darah sistolik, diastolik dan tekanan arteri serta kadar deyutan jantung [6].

Kajian lain turut mendapati ekstrak Habbatus Sauda boleh membantu menurunkan tekanan darah sistolik dan diastolik bagi pesakit tekanan darah tinggi [7].

Tambahan lagi, kajian yang dijalankan terhadap 70 individu sihat turut mendapati minyak pati Habbatus Sauda boleh membantu menurunkan tekanan darah sistolik dan diastolik individu sihat ini [8].

5. Membantu Mengawal Paras Gula Darah

Paras gula darah yang tinggi adalah salah satu petanda kepada penyakit kencing manis atau diabetes jenis 2.

Habbatus Sauda didapati boleh membantu merendahkan paras gula darah bagi pesakit kencing manis (diabetes jenis 2).

Ini dibuktikan dalam beberapa kajian yang mendapati:

  • 2g Habbatus Sauda sehari selama 3 bulan berjaya menurunkan gula darah puasa, gula darah dan turut meningkatkan kapasiti antioksidan [9].
  • 1.5 dan 3 mililiter minyak pati Habbatus Sauda sehari selama 20 hari berjaya menurunkan paras gula darah dan gula darah rawak [10].
  • Pengambilan 2 gram sehari Habbatus Sauda selama 1 tahun menunjukkan penurunan paras gula darah secara ketara bagi pesakit kencing manis yang mengambil biji ini [11].

6. Boleh Merendahkan Paras Kolesterol

Khasiat Habbatus Sauda yang seterusnya ialah boleh membantu merendahkan paras kolesterol.

Kolesterol yang tinggi boleh menyumbatkan arteri seterusnya membawa kepada serangan jantung atau strok.

Satu kajian klinikal yang melibatkan 57 orang pesakit diabetes mendapati 2 gram Habbatus Sauda sehari selama setahun berjaya menurunkan jumlah kolesterol, kolesterol LDL (kolesterol jahat) dan meningkatkan paras kolesterol HDL (kolesterol baik) [12].

Manakala dalam satu analisis yang dijalankan terhadap 17 kajian, didapati Habbatus Sauda dalam bentuk minyak pati dan serbuk boleh menurunkan paras jumlah kolesterol, kolesterol LDL dan trigliserida.

Namun begitu, peningkatan paras kolesterol HDL hanya berlaku bagi Habbatus Sauda dalam bentuk serbuk sahaja [13].

7. Boleh Merawat Asma

Habbatus Sauda juga telah digunakan sejak dahulu lagi untuk merawat asma atau penyakit berkaitan saluran pernafasan seperti bronkitis.

Asma ialah penyakit yang mana saluran pernafasan menjadi bengkak dan sempit serta menghasilkan mukus berlebihan. Keadaan ini menyebabkan pernafasan menjadi sukar dan lelah.

Kajian klinikal terhadap 80 orang penghidap asma mendapati pengambilan minyak pati Habbatus Sauda dalam bentuk kapsul sebanyak 500mg, dua kali sehari selama 4 minggu boleh menambah baik pengawalan asma. Kesan ini dipercayai melalui penambahbaikan fungsi paru-paru (pulmonari) [14].

8. Bersifat Antimikrob

Habbatus Sauda juga bersifat antimikrob. Ini bermakna makanan ini boleh membantu melindungi badan kita daripada dijangkiti bakteria, kulat, virus dan juga parasit.

Beberapa kajian mendapati Habbatus Sauda mempunyai ciri-ciri:

i) Antibakteria

Bahan aktif dalam Habbatus Sauda iaitu thymoquinone didapati menunjukkan aktiviti antibakteria terhadap bakteria Bacillus, Listeria, Enterococcus, Micrococcus, Staphylococcus, Pseudomonas, Escherichia, Salmonella, Serovar dan Vibrio parahaemolyticus [15].

Selain itu, Habbatus Sauda juga dilihat boleh merencatkan perkembangan bakteria patogenik seperti Streptococcus pyogene, Pseudomonas aeruginosa, Klebseilla pneumoniae dan Proteus vulgaris [16].

Strain-strain bakteria ini boleh menyebabkan pelbagai masalah kesihatan kepada manusia.

ii) Antivirus

Habbatus Sauda atau jintan hitam ini turut boleh melawan jangkitan virus hepatitis C dan juga HIV [17, 18].

iii) Antikulat / Antifungus

Minyak pati Habbatus Sauda juga turut dilaporkan boleh melawan jangkitan kulat yang boleh menyebabkan penyakit kulit [19].

iv) Antiparasit

Kajian terhadap haiwan menunjukkan ekstrak biji Habbatus Sauda berkesan untuk dalam menyingkirkan jangkitan parasit Malaria jenis P. yoelli, malah ekstrak ini dilihat lebih berkesan daripada ubat Cloroquine [20].

9. Meningkatkan Kesuburan Lelaki

Khasiat Habbatus Sauda turut merangkumi kesihatan seksual lelaki.

Kajian mendapati minyak Habbatus Sauda boleh meningkatkan jumlah sperma, hayat sperma, kualiti sperma serta jumlah dan kualiti air mani dalam kalangan lelaki yang tidak subur [21].

10. Baik untuk Kesihatan Otak

Habbatus Sauda juga dilihat berkhasiat untuk melindungi otak dan membantu merawat penyakit berkaitan otak seperti Alzheimer, Parkinson, kemurungan dan keresahan serta sawan.

Kajian yang dijalankan terhadap haiwan dan manusia menunjukkan Habbatus Sauda mempunyai kesan yang positif terhadap perawatan penyakit-penyakit berkaitan otak ini [22].

11. Boleh Merawat Batu Karang

Batu karang terbentuk hasil daripada pengerasan dan penghabluran mineral yang terbentuk dalam buah pinggang atau salur kencing.

Satu kajian klinikal telah dijalankan terhadap 60 orang pesakit batu karang. Peserta kajian diberikan kapsul Habbatus Sauda (500mg) dan ubat 2 kali sehari selama 10 minggu. Keputusan kajian mendapati:

  • 44% pesakit yang menerima Habbatus Sauda mengumuhkan batu karang mereka sepenuhnya.
  • 52% pesakit mengalami pengurangan saiz batu karang mereka.
  • dan hanya 4% pesakit tidak menunjukkan sebarang perubahan kepada saiz batu karang mereka [23].

12. Menguatkan Sistem Imun

Khasiat Habbatus Sauda yang seterusnya ialah boleh menguatkan sistem imun melalui sel-sel darah putih (sel-sel T dan NK).

Sebatian bioaktif Habbatus Sauda iaitu thymoquinone juga turut menunjukkan aktiviti pertahanan terhadap tekanan pengoksidaan yang berkaitan dengan spesies oksigen reaktif (ROS) [24].

13. Boleh Merawat Ulser Gaster

Ulser gaster (gastric ulcer) ialah ulser pada gaster yang disebabkan oleh tindakan asid, pepsin dan hempedu terhadap pengalas gaster.

Minyak Habbatus Sauda boleh merawat ulser gaster dengan meningkatkan paras musin (mukus) dan glutation serta mengurangkan kandungan histamin mukosa gaster [24.

Bagaimana untuk dapatkan Habbatus Sauda?

Habbatus Sauda kini sudah mudah untuk dibeli dan banyak dijual di pasaran. Anda juga boleh membeli biji atau minyak Habbatus Sauda secara atas talian (online) – Beli Habbatus Sauda online.

Rumusan

Seperti hadith Rasulullah s.a.w, sememangnya Habbatus Sauda mempunyai sangat banyak khasiat untuk kesihatan kita. Banyak kajian yang dijalankan berjaya merungkai khasiat-khasiat yang tersembunyi disebalik biji yang berwarna hitam ini.

Rujukan
Rujukan
  1. Takruri, H.R.H. & Dameh, M.A.F. (1998). Study of the nutritional value of black cumin seeds (Nigella sativa L). J. Sci. Food Agric.
  2. Leong, X. F., et al. (2013). Nigella sativa and Its Protective Role in Oxidative Stress and HypertensionEvidence-based complementary and alternative medicine.
  3. Pop, R. M., et al. (2020). Nigella sativa: Valuable perspective in the management of chronic diseasesIranian journal of basic medical sciences.
  4. Amin, B., & Hosseinzadeh, H. (2016). Black Cumin (Nigella sativa) and Its Active Constituent, Thymoquinone: An Overview on the Analgesic and Anti-inflammatory EffectsPlanta medica.
  5. Yimer, E. M., et al. (2019). Nigella sativa L. (Black Cumin): A Promising Natural Remedy for Wide Range of IllnessesEvidence-based complementary and alternative medicine.
  6. Badar, A., et al. (2017). Effect of Nigella sativa supplementation over a one-year period on lipid levels, blood pressure and heart rate in type-2 diabetic patients receiving oral hypoglycemic agents: nonrandomized clinical trialAnnals of Saudi medicine.
  7. Dehkordi, F. R., & Kamkhah, A. F. (2008). Antihypertensive effect of Nigella sativa seed extract in patients with mild hypertensionFundamental & clinical pharmacology.
  8. Fallah Huseini, H., et al. (2013). Blood pressure lowering effect of Nigella sativa L. seed oil in healthy volunteers: a randomized, double-blind, placebo-controlled clinical trial. Phytotherapy research.
  9. Kaatabi, H., et al. (2015). Nigella sativa improves glycemic control and ameliorates oxidative stress in patients with type 2 diabetes mellitus: placebo controlled participant blinded clinical trial. PloS one.
  10.  PNR Rachman et al. (2017). The efficacy of black cumin seed (Nigella sativa) oil and hypoglycemic drug combination to reduce HbA1c level in patients with metabolic syndrome risk. IOP Conf. Ser.: Mater. Sci. Eng.
  11. Bamosa, A., et al. (2015). Nigella sativa: A potential natural protective agent against cardiac dysfunction in patients with type 2 diabetes mellitusJournal of family & community medicine.
Rujukan No. 6-13
  1. Badar, A., et al. (2017). Effect of Nigella sativa supplementation over a one-year period on lipid levels, blood pressure and heart rate in type-2 diabetic patients receiving oral hypoglycemic agents: nonrandomized clinical trial. Annals of Saudi medicine.
  2. Sahebkar, A., et al. (2016). Nigella sativa (black seed) effects on plasma lipid concentrations in humans: A systematic review and meta-analysis of randomized placebo-controlled trialsPharmacological research.
  3. Koshak, A., et al. (2017). Nigella sativa Supplementation Improves Asthma Control and Biomarkers: A Randomized, Double-Blind, Placebo-Controlled Trial. Phytotherapy research.
  4. Abdallah, Emad. (2017). Black Seed (Nigella sativa) As Antimicrobial Drug: A Mini-Review. Novel Approaches in Drug Designing and Development.
  5. Nor Aishah Hasan et al. (2013). Antimicrobial Activity of Nigella sativa Seed Extract. Sains Malaysiana 42 (2): 143-147.
  6. Barakat, E. M., et al. (2013). Effects of Nigella sativa on outcome of hepatitis C in EgyptWorld journal of gastroenterology.
  7. Onifade, A. A., et al. (2013). Nigella sativa concoction induced sustained seroreversion in HIV patientAfrican journal of traditional, complementary, and alternative medicines.
  8. Mahmoudvand, H., et al. (2014). Evaluation of antifungal activities of the essential oil and various extracts of Nigella sativa and its main component, thymoquinone against pathogenic dermatophyte strainsJournal de mycologie medicale.
  9. Okeola, V. O., et al. (2011). Antimalarial and antioxidant activities of methanolic extract of Nigella sativa seeds (black cumin) in mice infected with Plasmodium yoelli nigeriensisParasitology research.
  10. Kolahdooz, M., et al. (2014). Effects of Nigella sativa L. seed oil on abnormal semen quality in infertile men: a randomized, double-blind, placebo-controlled clinical trial. Phytomedicine.
  11. Yimer, E. M., et al. (2019). Nigella sativa L. (Black Cumin): A Promising Natural Remedy for Wide Range of IllnessesEvidence-based complementary and alternative medicine.
  12. Ardakani Movaghati, M. R., et al. (2019). Efficacy of black seed (Nigella sativa L.) on kidney stone dissolution: A randomized, double-blind, placebo-controlled, clinical trial. Phytotherapy research.
  13. Ahmad, M. F., et al. (2021). An updated knowledge of Black seed (Nigella sativa Linn.): Review of phytochemical constituents and pharmacological propertiesJournal of herbal medicine.