Nutrisi

6 Khasiat Gum Arabic (+ Kegunaan & Kesan Sampingan)

Pinterest LinkedIn Tumblr

Gum Arabic atau gam Arab turut juga dikenali sebagai Acacia gum adalah lelehan kering yang diperolehi daripada batang pokok Acacia Senegal dan Acacia Seyal. Khasiat Gum Arabic dalam perubatan menjadikannya antara ubat alternatif yang semakin mendapat perhatian.

Pokok Acacia ini kebiasaanya tumbuh di negara-negara Afrika. Sudan merupakan negara pengeluar terbesar Gum Arabic. Masyarakat terdahulu menggunakan Gum Arabic ini dalam perubatan tradisional atau alternatif.

Gum Arabic terdiri daripada tiga komponen iaitu polisakarida (komponen utama), oligosakarida dan glikoprotein. Walau bagaimanapun, komposisi ini boleh berlainan bergantung kepada sumber, usia pokok, iklim dan tanah.

khasiat gum arabic
Gum Arabic

Khasiat Gum Arabic telah dimanfaatkan sejak sekian lama. Sebagai contoh, di Utara Afrika dan Timur Tengah, gam ini telah digunakan sebagai bahan untuk kebersihan mulut. Manakala, di Sudan terutamanya di Kordofan dan Darfur, gam ini digunakan berabad lamanya tanpa sebarang sekatan.

Para saintis juga turut mengkaji akan khasiat Gum Arabic ini berdasarkan kaedah saintifik. Pembuktian saintifik akan mengukuhkan lagi kelebihan yang ada pada gam ini.

Berikut adalah beberapa khasiat Gum Arabic berdasarkan kajian-kajian yang dijalankan.

1) Boleh mencegah obesiti (kegemukan)

Sejak sedekad lalu, serat diet telah diiktiraf mempunyai kesan positif terhadap kesihatan manusia. Terdapat banyak kajian yang mendapati serat diet boleh membantu menurunkan berat badan.

Gum Arabic boleh disifatkan sebagai serat diet. Pengambilannya boleh menurunkan berat badan dan pemendapan lemak.

Satu kajian terhadap 120 orang wanita yang sihat mendapati bagi kumpulan yang mengambil Gum Arabic sebanyak 30 gram sehari selama 6 minggu menunjukkan penurunan signifikan terhadap bacaan BMI dan lemak badan (2).

Walau bagaimanapun, dapatan ini memerlukan banyak lagi kajian klinikal.

2) Baik untuk penghidap Diabetes Mellitus Jenis 2

Penyakit diabetes mellitus telah menjadi epidemik pada abas 21 ini. World Health Organization (WHO) menjangkakan Diabetes Mellitus akan berada pada kedudukan ketujuh penyebab kematian pada 2030.

Gum Arabic mengandungi serat larut air. Serat jenis ini menghalang penyerapan makronutiren dalam usus dan mengurangkan indeks glukosa selepas makan.

Dalam satu kajian klinikal terhadap 40 peserta terdiri daripada individu sihat, pra-diabetis, pesakit diabetes mellitus jenis 2, dan pesakit diabetes neprofati. Mereka dibekalkan makanan tambahan (suplemen) mengandungi Gum Arabic sebanyak 10 gram sehari selama 16 minggu.

Hasil kajian mendapati penurunan signifikan gula dalam darah dan glycosylated hemoglobin (hemoglobin dimana glukosa terikat) diikuti oleh penurunan jumlah protein dan asid urik dalam darah bagi semua peserta kajian (3).

Kajian klinikal lain mendapati pengambilan Gum Arabic sebanyak 30 gram sehari selama 3 bulan berkesan dalam mencegah kenaikan berat badan dan mengawal rintangan insulin dalam kalangan pesakit diabetes jenis 2 (4).

3) Mempunyai ciri-ciri prebiotik

Gum Arabic turut mempunyai ciri-ciri prebiotik yang bergantung kepada dos.

Dalam satu kajian selama 4 minggu, pada dos 10 gram sehari, bakteria Bifidobacteria (bakteria baik), Lactobacilli (bakteria baik) dan Bacteroides (bakteria baik jika kekal di dalam usus) dalam Gum Arabic lebih tinggi daripada inulin (prebiotik). Ini dapat disimpulkan bahawa gam ini menunjukkan keberkesanan prebiotik (5).

4) Kaya dengan antioksidan

Tekanan pengoksidaan ialah ketidakseimbangan antara aktiviti radikal bebas dan aktiviti antioksidan. Radikal bebas pada asalnya diperlukan untuk melawan jangkitan. Namun, apabila berada pada jumlah yang berlebihan radikal bebas akan membawa kepada penyakit.

Antioksidan berperanan untuk mengawal radikal bebas ini daripada terus berlebihan.

Satu kajian yang diterbitkan pada tahun 2020 oleh International Journal of Nephrology, pengambilan Gum Arabic sebanyak 30 gram sehari berjaya menurunkan tekanan pengoksidaan dan keradangan dalam kalangan pesakit buah pinggang. Keadaan ini adalah kerana Gum Arabic boleh meningkatkan tahap kapasiti antioksidan (6).

5) Berperanan dalam penyembuhan luka

Gum Arabic digunakan dalam bidang farmaseutikal sebagai demulsen.

Satu kajian yang menggunakan Gum Arabic dalam penghasilan gel untuk membalut luka mendapati penggunaan gam ini boleh mempercepatkan penyembuhan luka. Gel ini juga didapati bersifat antioksidan, tidak memecahkan darah dan boleh melekat (7).

6) Berpotensi merawat penyakit buah pinggang

Terdapat beberapa kajian terhadap haiwan yang mendapati khasiat Gum Arabic terhadap penyakit buah pinggang.

Satu kajian terhadap haiwan dengan panyakit buah pinggang kronik mendapati Gum Arabic boleh mengurangkan keparahan perubahan yang disebabkan oleh adenin. Diet adenin membolehkan model haiwan ini mempunyai penyakit buah pinggang kronik yang sama dengan manusia (8).

Kajian lain turut mendapati Gum Arabic boleh digunakan dalam perawatan penyakit buah pinggang. Kajian terhadap haiwan turut menunjukkan kesan positif gam arab ini terhadap buah pinggang seperti mengurangkan tekanan darah, mengurangkan kepekatan fosfat dalam darah dan mengurangkan kandungan protein dalam air kencing (9).

Walau bagaimanapun, kajian klinikal masih diperlukan untuk mengesahkan khasiat Gum Arabic ini terhadap penyakit buah pinggang.

Kegunaan Gum Arabic

Gum Arabic telah digunakan sejak dahulu lagi sebagai ubatan tradisional dan kegunaan harian untuk beberapa jenis penyakit. Orang Mesir menggunakan gam ini sebagai pelega kesakitan dan gam . Kini, arabic gum banyak digunakan dalam industri makanan dan farmaseutikal.

Gam ini juga digunakan sebagai ejen pemekat, pengemulsi, dan penstabil kepada perisa dalam industri makanan dan penyediaan farmaseutikal. Selain itu, Gum Arabic juga digunakan dalam industri tekstil, kosmetik dan tembikar.

Kesan Sampingan

Secara umumnya, jika diambil melalui mulut, Gum Arabic adalah selamat.

Dalam satu kajian, kesan sampingan yang disebabkan oleh Gum Arabic hanya dirasai pada minggu pertama sahaja. Antara kesan sampingan yang diketahui ialah:

Bagaimana Untuk Mendapatkan Gum Arabic?

Gum Arabic ini boleh didapati di kedai-kedai yang menjual barangan dari Timur Tengah. Selain itu, gam arab ini juga boleh didapati secara atas talian – beli Gum Arabic online.

Kesimpulan

Gum Arabic telah banyak digunakan dalam industri makanan dan juga selamat untuk digunakan dalam masakan.

Banyak khasiat Gum Arabic yang boleh diperolehi seperti untuk diabetes, obesiti, penyakit buah pinggang dan untuk sistem pencernaan.

Penyelidikan terutamanya kajian klinikal harus ditambah dan diteruskan untuk mengetahui potensi gam arab ini.

Write A Comment