Nutrisi

7 Khasiat Greek Yogurt Untuk Kesihatan

Pinterest LinkedIn Tumblr

Greek Yogurt ialah salah satu daripada beberapa jenis yogurt yang popular. Namun. adakah semua tahu akan khasiat greek yogurt yang sebenar? Oleh itu, kami kongsikan beberapa khasiat Greek yogurt berdasarkan kajian-kajian yang telah dijalankan.

Proses penghasilan yogurt bermula dengan pemanasan susu sekitar 80°C. Pemanasan susu ini bertujuan untuk membunuh bakteria berbahaya dan membantu mengubah struktur protein susu.

Kemudian, susu ini akan disejukkan sekitar 45°C dan ditambah dengan kultur bakteria seperti Streptococcus thermophilus dan Lactobacillus bulgaricus. Susu ini akan dibiarkan pada suhu ini selama 4 hingga 7 jam untuk membolehkan ia menapai.

Proses penapaian ini akan menukarkan gula susu (laktosa) kepada asid laktik. Asid laktik ini akan membantu membeku dan menetapkan susu ini dan menghasilkan yogurt.

Berbanding yogurt biasa, greek yogurt melalui proses tambahan iaitu lebihan air, laktosa dan mineral diperah keluar. Ia membuatkan yogurt ini lebih berkrim, kurang manis dan rendah karbohidrat.

khasiat greek yogurt

Berikut adalah beberapa khasiat greek yogurt yang bermanfaat untuk kesihatan wanita atau lelaki:

1. Sumber Kepada Pelbagai Nutrien

Greek yogurt merupakan sumber yang baik untuk mendapatkan nutrien-nutrien yang baik untuk kesihatan badan. 100 gram greek yogurt yang asli mengandungi nutrien seperti berikut (USDA):

  • Tenaga atau Kalori: 97 kcal
  • Protein: 9 gram
  • Lemak (lipid): 5 gram
  • Karbohidrat: 4 gram
  • Kalsium: 100 miligram
  • Magnesium: 11 miligram
  • Fosforus: 135 miligram
  • Kalium: 141 miligram
  • Zink: 0.52 miligram
  • Selenium: 9.7 mikrogram
  • Folat: 5 mikrogram
  • Kolina: 15 miligram
  • Vitamin B-12: 0.75 mikrogram
  • Vitamin A: 2 mikrogram

Selain itu, greek yogurt juga mengandungi vitamin B1, B2, B3 dan B6.

2. Baik untuk Kesihatan Tulang

Kandungan kalsium yang tinggi dalam greek yogurt dapat membantu kesihatan tulang kita.

100 gram Greek yogurt boleh membekalkan kira-kira 10% keperluan harian kalsium bagi orang dewasa berdasarkan recommended nutrient intake (RNI) Malaysia.

Kalsium adalah antara mineral yang paling banyak dalam badan manusia. Kalsium memainkan peranan penting dalam permineralan tulang dan diperlukan untuk tumbesaran, perkembangan dan kekuatan tulang.

Dalam satu kajian terhadap 30 orang lelaki muda di Kanada. Pengambilan Greek yogurt selama 12 minggu yang disertai dengan senaman berat yang berimpak tinggi menunjukkan peningkatan dalam pembentukan tulang [1].

Ini bermakna Greek yogurt adalah makanan yang sesuai untuk menguatkan tulang terutamanya selepas senaman.

3. Baik untuk Kesihatan Perut

Greek yogurt juga berkhasiat untuk perut anda. Ini kerana kandungan probiotiknya.

Probiotik ialah bakteria baik yang boleh membantu meningkatkan sistem imun dan mengurangkan masalah berkaitan perut seperti sakit perut, cirit-birit dan lain-lain.

Dalam satu kajian semula yang dijalankan pada tahun 2017, banyak kajian menunjukkan probiotik berkesan dalam merawat atau mengurangkan simptom-simptom berkaitan cirit-birit, sindrom usus rengsa, gangguan gastrousus, penurunan fungsi otak akibat penyakit hati dan penyakit usus bagi bayi pramatang [2].

4. Makanan Pemulihan Senaman

Khasiat Greek yogurt ini juga boleh dimanfaatkan oleh atlet atau ahli bina badan.

Ini kerana Greek yogurt turut mengandungi protein yang boleh membantu membaiki tisu-tisu otot yang rosak akibat daripada senaman.

Ini dibuktikan dalam satu kajian terhadap 30 orang lelaki muda yang mengambil Greek yogurt dan menjalani senaman rintangan. Hasil kajian menunjukkan peserta yang mengambil Greek yogurt mempunyai peningkatan kekuatan, otot lebih tebal, jisim tanpa lemak dan pengurangan lemak badan berbanding kumpulan kawalan [3].

5. Boleh Merendahkan Kolesterol

Selain baik untuk perut, probiotik dalam Greek yogurt turut berkhasiat dalam membantu menurunkan jumlah kolesterol dan kolesterol LDL (kolesterol jahat).

Satu analisis terhadap 13 kajian yang melibatkan 485 peserta melaporkan bahawa pengambilan yogurt yang mengandungi probiotik boleh membantu merendahkan jumlah kolesterol dan kolesterol LDL [4].

Satu kajian lain juga turut mendapati pengambilan suplemen dengan probiotik boleh mengurangkan jumlah kolesterol, kolesterol LDL (kolesterol jahat) dan juga trigliserida serta menaikkan kadar kolesterol HDL (kolesterol baik) [5].

Kadar kolesterol LDL dan trigliserida yang tinggi boleh meningkatkan risiko terkena penyakit kardiovaskular seperti penyakit jantung atau strok.

6. Mengurangkan Risiko Penyakit Diabetes Jenis 2

Penyakit diabetes jenis 2 atau turut dikenali sebagai kencing manis ialah antara penyakit kronik tertinggi di Malaysia.

Pengambilan makanan dan minuman yang manis dan karbohidrat bertapis boleh menjadi penyumbang kepada penyakit ini.

Dalam satu kajian semula yang dijalankan pada tahun 2016, bukti yang berkualiti tinggi daripada kajian-kajian lepas menunjukkan pengambilan yogurt boleh mengurangkan risiko penyakit diabetes jenis 2 [6].

7. Berpotensi Mengurangkan Risiko Sindrom Metabolik

Sindrom metabolik ialah nama bagi kumpulan faktor risiko yang boleh meningkatkan risiko seseorang itu untuk menghidap penyakit seperti penyakit jantung, kencing manis (diabetes) dan strok.

Faktor risiko ini terdiri daripada beberapa keadaan yang terjadi bagi individu yang mengalami sindrom metabolik ini. Antaranya seperti:

  • Mempunyai perut yang buncit atau turut dikenali sebagai obesiti abdominal.
  • Mempunyai kadar trigliserida yang tinggi.
  • Mempunyai kadar kolesterol HDL (kolesterol baik) yang rendah.
  • Menghidap tekanan darah tinggi.
  • Mempunyai gula darah puasa (fasting blood sugar) yang tinggi.

Terdapat kajian yang mendapati pengambilan yogurt boleh mengurangkan risiko sindrom metabolik dalam kalangan individu yang berisiko tinggi untuk menghidap penyakit kardiovaskular [7].

Walau bagaimanapun, kajian-kajian lanjut yang berskala lebih besar masih diperlukan untuk mendapatkan kesimpulan yang kukuh.

Cara Makan Greek Yogurt

Terdapat pelbagai jenama atau jenis Greek yogurt yang boleh didapati di pasaran. Untuk mendapatkan manfaat sebenarnya yogurt ini, perkara pertama yang perlu diambil perhatian ialah pilih Greek yogurt asli.

Greek yogurt asli atau dalam bahasa Inggerisnya Natural Greek yogurt tidak mengandungi gula tambahan.

Greek yogurt ini rasanya sedikit masam berbanding yogurt biasa dan cara makannya bergantung kepada individu. Sama ada makan begitu sahaja atau dicampurkan dengan makanan lain.

Berikut adalah 2 idea ringkas cara makan Greek yogut yang boleh dicuba:

  1. Campurkan dengan buah-buahan segar seperti strawberi, beri biru, rasberi, anggur atau sedikit madu lebah atau madu kelulut.
  2. Campurkan Greek yogurt bersama-sama buah delima dan masukkan dalam dulang ais. Bekukan dalam peti ais kira-kira 2-3 jam. Jika ingin sedikit manis, boleh campurkan bersama-sama sedikit madu atau pengganti gula. Hasilnya anda boleh menikmati yogurt ini seperti ais krim.

Waktu sesuai makan yogurt?

Umumnya tiada peraturan khusus mengenai waktu sesuai makan yogurt ini. Kebiasaanya, yogurt ini di makan pada waktu pagi atau sebagai kudapan (snek).

Sifatnya yang mengenyangkan boleh menampung rasa lapar di antara dua waktu makan (Contohnya: antara waktu sarapan dan makan tengah hari).

Rumusan

Greek yogurt adalah salah satu produk tenusu yang mempunyai banyak khasiat kepada kita.

Selain kandungan nutriennya yang baik untuk kesihatan badan secara keseluruhannya, kajian turut mendapati Greek yogurt turut berkhasiat kepada tulang, kesihatan perut, memulihkan otot selepas senaman, merendahkan kolesterol dan juga berpotensi merendahkan risiko sindrom metabolik.

Tanpa menambah gula, Greek yogurt boleh menjadi salah satu menu dalam diet untuk mereka yang ingin menurunkan berat badan.

Kemaskini terakhir pada 24 Oktober 2020.

Write A Comment