Ginseng sememangnya popular dengan khasiatnya. Malah, khasiat ginseng membolehkan herba ini digelar sebagai “Raja Herba”.
Nama saintifik bagi ginseng ialah Panax ginseng. Nama ini juga bergantung kepada lokasi asal ginseng ini. Sebagai contoh, ginseng yang berasal dari Asia dikenali sebagai Panax ginseng, dari Amerika dikenali sebagai Panax quinguefolium dan dari Jepun dikenali sebagai Panax japonicus.
Ginseng adalah herba yang telah lama digunakan dalam perubatan tradisional Cina. Ginseng ini dikelaskan kepada 3 kategori iaitu berdasarkan usia ia ditanam. Ginseng segar dituai sebelum usia 4 tahun ia ditanam, ginseng putih pula dituai antara usia 4 hingga 6 tahun dan ginseng merah pula dituai setelah usia 6 tahun atau lebih.
Terdapat dua jenis ginseng yang popular iaitu ginseng Asia atau ginseng Korea (Panax ginseng) dan ginseng Amerika (Panax quinquefolius). Kedua-dua jenis ginseng ini mempunyai khasiat yang berbeza-beza.
Ginseng mempunyai dua sebatian aktif iaitu ginsenosides dan gintonin. Dua sebatian ini memainkan peranan penting dalam khasiatnya.

Berikut adalah beberapa khasiat ginseng untuk kesihatan tubuh badan pengamalnya:
1) Baik untuk Lemah Tenaga Batin
Perubatan tradisional orang Cina menggunakan ginseng untuk meningkatkan prestasi seks.
Khasiat ini dibuktikan dalam kajian klinikal yang melibatkan 45 orang lelaki yang mempunyai masalah mati pucuk yang sederhana hingga teruk menunjukkan pemulihan selepas tiga kali rawatan. Iaitu dengan dos rawatan sebanyak 900 mg ginseng merah Korea (Asia) 3 kali sehari selama 8 minggu (1).
Kesan sama turut dapat dilihat dalam kajian lain yang melibatkan 60 orang lelaki yang mengalami masalah mati pucuk. Kajian ini menggunakan ginseng merah Korea sebanyak 1000 mg, 3 kali sehari selama 12 minggu (2).
2) Mengandungi Antioksidan yang Kuat
Kandungan antioksidan dalam ginseng boleh mencegah keradangan.
Satu kajian makmal mendapati ekstrak ginseng merah Korea boleh mengurangkan keradangan dan meningkatkan aktiviti antioksidan dalam sel-sel kulit bagi penghidap ekzema (3).
Kajian klinikal yang dijalankan terhadap 71 orang wanita yang telah menopaus mendapati dengan pengambilan 3 gram ginseng merah selama 12 minggu boleh mengurangkan tekanan pengoksidaan dengan meningkatkan aktiviti antioksidan (4).
Ini menunjukkan ginseng merah ini boleh mencegah pemakannya daripada penyakit kronik akibat daripada tekanan pengoksidaan.
3) Meningkatkan Fungsi Otak
Khasiat ginseng juga termasuklah dalam meningkatkan fungsi otak seperti pembelajaran, memori, emosi dan kelakuan.
Satu kajian klinikal yang diterbitkan dalam Journal of Psychopharmacology telah mengkaji kesan ekstrak ginseng terhadap gula darah dan prestasi kognitif.
Kajian ini mendapati pengambilan ekstrak ginseng sebanyak 200mg (dos tunggal) boleh meningkatkan pretasi mental dan mengurangkan kelesuan mental (5).
Kajian lain yang menggunakan ginseng Amerika turut mendapati penambahbaikan yang signifikan terhadap prestasi memori kerja selepas pengambilan ekstrak ginseng ini (6).
4) Meningkatkan Tenaga
Ginseng juga baik untuk mereka yang selalu keletihan dan lemah.
Satu kajian terhadap pesakit kelesuan kronik menunjukkan ginseng Asia boleh digunakan merawat masalah kelesuan kronik ini. Kesan ini dipercayai disebabkan oleh ciri-ciri antioksidan dalam ginseng ini (7).
Kajian lain yang dijalankan terhadap 364 pesakit kanser yang mengalami kelesuan turut mendapati ginseng (ginseng Amerika) boleh mengurangkan tahap kelesuan ini dengan signifikan berbanding kumpulan yang menggunakan ubat (8).
5) Boleh Membantu Mengawal Gula Darah
Ginseng juga bagus untuk pesakit kencing manis atau individu sihat kerana herba ini boleh membantu mengawal gula dalam darah.
Ginseng Asia dan Amerika dikatakan boleh merangsang pankreas untuk meningkatkan penghasilan insulin dan menambahbaik penggunaan gula dalam darah oleh tisu badan (9).
Kajian menggunakan ginseng merah Korea menunjukkan ginseng ini mmebantu mengawal kadar gula darah yang baik kepada pesakit kencing manis. Malah, ginseng ini turut berjaya mengurangakn kadar gula darah dan meningkatkan kepekaan insulin (10).
Ginseng Amerika juga turut menunjukkan kebolehannya dalam mengawal kadar gula darah bagi individu sihat. Ini berdasarkan kajian klinikal yang dijalankan terhadap 10 orang individu sihat (11).
6) Boleh Mencegah Kanser
Kandungan sebatian Ginsenosides dalam ginseng dikaitkan dengan kebolehannya untuk mengurangkan risiko kanser.
Ginsenosides bersifat antiradang dan antioksidan.
Berdasarkan satu analisis yang dijalankan terhadap 9 kajian mendapati ginseng boleh mengurangkan risiko penyakit kanser (12).
Tambahan lagi, kajian pencerapan turut menunjukkan golongan yang memakan ginseng adalah berisiko rendah untuk menghidap beberapa penyakit kanser seperti kanser mulut, esofagus, perut, kolon, hati dan paru-paru (13).
7) Meningkatkan Sistem Pertahanan Badan
Khasiat ginseng dalam meningkatkan sistem imun adalah berdasarkan dua komponennya iaitu saponin dan polisakarida.
Satu kajian terhadap haiwan mendapati gabungan antara ginseng merah dan vitamin C boleh meningkatkan aktiviti sel-sel imun. Selain itu, ia juga boleh mengurangkan keradangan akibat daripada jangkitan virus (14).
Dalam kajian yang dijalankan terhadap 72 individu berumur 50 hingga 75 tahun, polisakarida berasid yang diperolehi daripada ginseng Korea didapati boleh meningkatkan aktiviti sel-sel imun sebanyak 35% dan 40% selepas penggunaannya selama 8 hingga 14 minggu. Ini menunjukkan ginseng Korea ini berkesan dalam meningkatkan fungsi pertahanan badan (15).
Kesan sampingan ginseng
Secara umunya, ginseng adalah selamat dimakan.
Namun, terdapat laporan yang menyatakan ginseng boleh menyebabkan insomnia dan rasa berdebar.
Penggunaan ginseng pada dos yang tinggi dan jangka masa yang panjang pula mungkin boleh menyebabkan sakit kepala, pening atau sakit perut.
Terdapat juga laporan yang mana pemakan ginseng ini mendapat ruam kerana alahan terhadap herba ini.
Penghidap diabetes disarankan untuk mendapatkan nasihat daripada doktor terlebih dahulu sebelum mengambil ginseng sebagai ubat atau suplemen. Ini kerana ginseng boleh memberi kesan kepada paras gula dalam darah.
Cara Penggunaan Ginseng
Ginseng boleh dijadikan teh.
Caranya:
- Campurkan air panas ke dalam sebekas air bersama-sama kepingan ginseng yang dipotong segar.
- Biarkan selama beberapa minit.
- Kemudian, teh ginseng ini sedia untuk dihidang.
Ginseng juga boleh dicampurkan dalam masakan atau boleh didapati dalam bentuk serbuk, kapsul, tablet, cecair dan juga krim.
Dos sesuai
Secara umumnya, dos yang disarankan adalah sekitar 1-2 gram bagi akar ginseng segar atau 200-400 gram bagi ekstrak ginseng.
Mulakan dengan dos yang rendah terlebih dahulu adalah pilihan yang lebih baik.
Rumusan
Herba yang popular dalam kalangan masyarakat Cina ini sememangnya mempunyai khasiat yang menarik.
Kajian telah membuktikan bahawa ginseng boleh memberi manfaat kepada mereka yang mempunyai masalah tenaga batin, masalah kurang tenaga, sentiasa letih dan juga diabetes.
Khasiat dan kebaikan ini berguna kepada mereka yang sakit mahupun yang sihat.