Nutrisi

8 Khasiat Ginkgo Biloba (Termasuk Kesan Sampingan)

Pinterest LinkedIn Tumblr

Ginkgo biloba adalah pokok yang unik yang tiada saudara botani yang masih hidup. Pokok ini juga turut dikenali sebagai “fosil hidup”. Selain sejarahnya, khasiat Ginkgo biloba turut menjadikan pokok ini istimewa.

Pokok ini sangat tahan kepada penyakit dan dikatakan mampu hidup sehingga beribu tahun lamanya. Pokok yang berusia 3000 tahun dikatakan masih wujud di China iaitu di wilayah Shandong.

Pokok Ginkgo ini telah ditanam di kawasan Timur Asia iaitu seperti di negara China, Jepun dan Korea sejak 1500 tahun dahulu.

Dalam bahasa Inggeris, Ginkgo biloba turut dikenali sebagai pokok Maidenhair. Ini mungkin disebabkan bentuk daun pokok ini seperti daun paku-pakis Maidenhair.

Perubatan kuno China telah lama memanfaatkan khasiat Ginkgo biloba ini.

Kini, Ginkgo biloba popular dalam bentuk makanan tambahan (suplemen) yang boleh didapati dalam bentuk ekstrak cecair, kapsul dan tablet.

Ginkgo biloba dikatakan mempunyai banyak khasiat untuk kesihatan. Contohnya seperti kandungan antioksidan yang tinggi, dapat melancarkan dan meningkatkan pengaliran darah, baik untuk pesakit demensia dan kemurungan serta lain-lain lagi.

khasiat ginkgo biloba
Pokok Ginkgo biloba yang berbuah

Berikut adalah beberapa khasiat ginkgo biloba terhadap kesihatan berdasarkan kajian-kajian sains perubatan.

1. Kaya dengan Antioksidan

Ginkgo biloba tinggi dengan kandungan antioksidan yang dikenali sebagai flavonoid dan terpenoid. Dua sebatian ini mempunyai kesan antioksidan yang kuat (1,2).

Antioksidan dapat melawan dan meneutralkan radikal bebas. Radikal bebas yang berlebihan dalam badan boleh membawa kepada penyakit kronik.

Kandungan antioksidan dalam ginkgo biloba ini dipercayai menjadi penyumbang kepada peranannya dalam merawat penyakit yang melibatkan radikal bebas dan kerosakan oksidatif (3,4).

2. Mengurangkan Gejala Penyakit Demensia

Demensia ialah penyakit yang disebabkan gangguan keupayaan kognitif yang mengakibatkan kemerosotan daya ingatan, daya berfikir, daya merancang dan penjagaan kendiri.

Beberapa kajian menunjukkan Ginkgo biloba ini mempunyai khasiat terhadap pesakit yang mengalami demensia.

Berdasarkan satu ulasan terhadap 4 kajian klinikal, ekstrak Ginkgo biloba yang dikenali sebagai EGb 761 didapati dapat mengurangkan simptom-simptom demensia selepas 22 hingga 24 minggu pengambilannya (5).

Dalam kajian lain yang dijalankan selama 52 minggu, pengambilan ekstrak Ginkgo biloba (EGb 761) menunjukkan peningkatan kepada prestasi kognitif dan fungsi sosial bagi pesakit demensia dalam masa 6 hingga 12 bulan (6).

Para pengkaji percaya bahawa Ginkgo biloba ini meningkatkan fungsi kognitif kerana kebolehannya melancarkan pengaliran darah di otak dan melindungi otak dari kerosakan neuronal.

Walau bagaimanapun, Ginkgo biloba tidak mempunyai kesan positif terhadap fungsi kongnitif individu yang sihat.

Dapatkan suplemen Ginkgo biloba online.

3. Bersifat Antiradang

Keradangan adalah tindak balas semulajadi badan terhadap kecederaan atau pencerobohan bendasing.

Walau bagaimanapun, sesetengah penyakit kronik boleh menyebabkan tindak balas keradangan tanpa ada kecederaan atau sakit. Lama-kelamaan, keradangan yang berlebihan menyebabkan kerosakan kekal pada tisu badan.

Beberapa kajian menunjukkan ekstrak Ginkgo biloba boleh mengurangkan keradangan terhadap manusia dan haiwan (8,9).

4. Boleh Mengurangkan Kebimbangan

Mengambil makanan tambahan (suplemen) daripada Gikgo biloba dipercayai boleh mengurangkan gejala keresahan (anxiety).

Kajian terhadap haiwan menunjukkan kesan positif ekstrak Ginkgo biloba terhadap simptom keresahan (anxiety) (10).

Satu kajian lain telah dijalankan terhadap 107 pesakit kecelaruan keresahan (anxiety disorder) menggunakan ekstrak Ginkgo biloba (EGb 761) selama 4 minggu.

Hasil kajian mendapati kumpulan yang mengambil ekstrak Ginkgo biloba pada kadar 480mg sehari menunjukkan 45% lebih pengurangan gejala keresahan ini berbanding kumpulan yang mengambil ubat (11).

5. Baik untuk Kesihatan Mata

Ekstrak Ginkgo biloba juga dipercayai baik untuk kesihatan mata. Ekstrak ini boleh merawat penyakit yang berkaitan mata seperti glaukoma dan kerosakan retina akibat kencing manis (retinopati diabetes).

Glaukoma adalah penyakit yang merosakkan saraf optik. Glaukoma menjadi penyebab utama kepada buta bagi mereka yang berusia 60 tahun ke atas. Glaukoma boleh terjadi pada sebarang peringkat usia tetapi lebih biasa berlaku kepada golongan berumur.

Satu kajian yang dijalankan terhadap 27 pesakit mata yang disebabkan oleh glaukoma mendapati pengambilan ekstrak Ginkgo biloba selama 4 minggu menunjukkan penambahbaikan kepada kerosakan medan penglihatan (12).

Kajian lain turut menunjukkan ekstrak Ginkgo biloba boleh meningkatkan pengaliran darah di kawasan retina mata bagi pesakit glaukoma (15).

Kajian-kajian lain menunjukkan kesan positif ekstrak Ginkgo biloba terhadap kerosakan retina (retinopati diabetes) dalam ujian terhadap haiwan.

Sifat antioksidan, antiradang dan keupayaan melancarkan pengaliran darah oleh ekstrak Ginkgo ini dipercayai menjadi faktor-faktor yang menyumbang kepada kesan yang baik ini (13,14).

6. Boleh Merawat Asma

Asma adalah keradangan yang berlaku pada saluran pernafasan ke paru-paru. Ia menyebabkan kesukaran bernafas dan boleh menyebabkan kesulitan untuk melakukan sesetengah aktiviti fizikal.

Satu kajian yang dijalankan terhadap 75 penghidap asma mendapati penggunaan ekstrak Ginkgo biloba bersama-sama ubat glucocorticosteroid didapati dapat mengurangkan keradangan lebih banyak berbanding pengambilan ubat sahaja (16).

Walau bagaimanapun, aplikasi Ginkgo biloba untuk merawat asma memerlukan lebih banyak kajian.

7. Boleh Meningkatkan Kitaran Darah dan Kesihatan Jantung

Perubatan tradisional Cina percaya bahawa biji Ginkgo biloba mempunyai banyak khasiat pada organ-organ dalaman manusia.

Ginkgo biloba diketahui boleh meningkatkan aliran darah ke pelbagai bahagian badan.

Satu kajian yang dijalankan terhadap pesakit jantung yang mengambil ekstrak Ginkgo biloba menunjukkan peningkatan aliran darah yang pantas ke banyak bahagian badan. Ia disebabkan peningkatan kadar nitrik oksida iaitu sebatian yang bertanggungjawab mengembangkan saluran darah (17).

Kajian lain juga turut menunjukkan kesan yang sama dalam kalangan golongan berumur yang dirawat dengan ekstrak Ginkgo biloba (18).

8. Boleh Mengurangkan Sindrom Pramenstruasi

Terdapat juga kajian yang menunjukkan kesan pengambilan ekstrak Ginkgo biloba terhadap sindrom pramenstruasi yang di alami oleh kaum wanita.

Contohnya, satu kajian yang dijalankan di Tehran terhadap 85 orang pelajar wanita menunjukkan pengurangan sebanyak 23% terhadap simptom pramenstruasi setelah mengambil ekstrak Ginkgo biloba (19).

Kajian lain turut menunjukkan ekstrak Ginkgo biloba dapat mengurangkan simptom-simptom yang berkaitan dengan sindrom pramenstruasi (20).

Potensi Kesan Sampingan

Umumnya, bagi orang dewasa, pengambilan Ginkgo biloba adalah selamat tetapi terdapat juga kes-kes yang melibatkan kesan sampingan dan boleh membahayakan.

Antara kemungkinan kesan sampingan adalah:

Ginkgo biloba juga tidak sesuai kepada mereka yang alahan terhadap tumbuhan yang mengandungi alkilfenol (alkylphenols) dan mereka yang mengambil ubat tertentu.

Ginkgo biloba juga didapati mempunyai tindak balas dengan sesetengah jenis ubat seperti:

  • Aspirin, Warfarin (pencair darah)
  • Prozac, Zoloft (ubat antikemurungan)
  • Ibuprofen dan Paracetamol (Panadol / Uphamol)

Oleh itu, dapatkan nasihat doktor sebelum mengambil makanan tambahan (suplemen) yang mengandungi Ginkgo biloba ini.

Dos Selamat

Ginkgo biloba boleh didapati dalam bentuk kapsul, tablet, ekstrak cecair dan daun kering untuk teh.

Banyak kajian yang menggunakan dos antara 120 miligram hingga 240 miligram sehari (dalam pecahan beberapa dos) bagi orang dewasa.

Laman WebMD mencadangkan beberapa dos mengikut masalah kesihatan yang dihadapi yang bermula serendah 60mg hingga 480mg sehari.

Kanak-kanak, wanita mengandung, individu yang mengambil pencair darah dan penghidap sawan tidak disarankan mengambil Ginkgo biloba.

Write A Comment