Daun selom adalah daun dari tumbuhan herba yang dijadikan ulam oleh masyarakat tempatan. Mungkin masih ramai tidak mengetahui khasiat daun selom yang boleh dimanfaatkan untuk kesihatan.

Artikel ini akan menerangkan dengan lebih lanjut mengenai khasiat daun selom berdasarkan kajian-kajian yang telah dijalankan.

Secara saintifiknya, nama daun selom atau pokok selom adalah Oenanthe javanica. Tumbuhan ini banyak di tanam di negara-negara Asia termasuklah Asia Tenggara termasuklah Malaysia.

Manakala dalam bahasa Inggeris pula, daun selom dikenali dengan beberapa nama seperti water dropwort, Java water dropwort atau water celery. Manakala di China daun selom dikenali sebagai Shui qin, Jepun sebagai Seri, Korea sebagai Minari dan Thailand sebagai Phak-chilom.

khasiat daun selom
Eric Chan W.C., CC BY-SA 3.0, via Wikimedia Commons

Masyarakat terdahulu menggunakan daun atau pokok selom untuk merawat pelbagai penyakit. Contohnya seperti penyakit kuning, hepatitis, demam, tekanan darah tinggi, sakit perut, keradangan, penyakit polidipsia dan jangkitan salur kencing [1].

Berikut adalah beberapa khasiat daun selom berdasarkan sokongan daripada kajian-kajian sains.

1. Mempunyai Profil Nutrien yang Menarik

Daun selom mengandungi pelbagai vitamin dan mineral yang menyumbang kepada pelbagai fungsi badan.

Bagi 100 gram daun selom segar, terdapat nutrien-nutrien berikut [1]:

  • Protein: 2.60 gram
  • Karbohidrat: 1.80 gram
  • Serat: 0.90 gram
  • Kalsium: 160 miligram
  • Zat besi: 6.90 miligram
  • Magnesium: 16 miligram
  • Fosforus: 32 miligram
  • Kalium: 212 miligram
  • Natrium: 40.6 miligram
  • Zink: 0.38 miligram
  • Tembaga: 0.10 miligram
  • Selenium: 0.81 miligram
  • Mangan: 2.6 miligram
  • Vitamin C: 5.00 miligram
  • Vitamin B1: 0.36 miligram
  • Vitamin B2: 0.09 miligram
  • Vitamin B6: 0.04 miligram
  • Vitamin A: 5.36 miligram
  • Vitamin E: 0.32 miligram

Daun selom juga turut mengandungi flavonoid seperti apigenin, isohamnetin, kuersetin, persicarin, hyperoside, luteolin, kaempferol, rutin dan nictoflorin.

Selain itu, daun selom turut mengandungi sebatian fenolik seperti katekin, asid galik, asid kafeik, alfa-tokoferol, asid klorogenik dan lain-lain.

Kandungan sebatian flavonoid dan fenolik memainkan peranan penting kepada khasiat-khasiat daun selom.

2. Baik untuk Kesihatan Hati

Khasiat daun selom telah digunakan secara tradisional oleh masyarakat di negara China untuk merawat pelbagai penyakit hati.

Satu kajian terhadap haiwan mendapati sebatian fenolik daripada pokok selom boleh melindungi hati daripada mengalami kerosakan melalui pengurangan tekanan pengoksidaan dan mencegah peningkatan enzim-enzim yang boleh merosakkan hati [2].

Kajian lain turut mendapati ekstrak selom boleh meningkatkan enzim-enzim antioksidan dalam hati dan mengurangkan tekanan pengoksidaan [3].

Kajian lain juga mendapati sebatian aktif daripada daun selom iaitu persicarin juga boleh mencegah kerosakan hati akibat penyakit kencing manis dengan melemahkan tekanan pengoksidaan dan tindak balas keradangan [4].

Walau bagaimanapun, kajian-kajian klinikal masih diperlukan bagi mengetahui kesannya terhadap hati manusia.

3. Bersifat Antiradang

Terdapat juga laporan kajian yang mendapati daun selom turut mempunyai kesan antiradang.

Keradangan adalah tindak balas semulajadi badan untuk melindungi badan daripada jangkitan, kecederaan atau bahan toksik. Namun begitu, keradangan akan memberi impak negatif sekiranya berlaku secara berpanjangan (keradangan kronik).

Oleh itu, dengan memakan makanan yang bersifat antiradang, anda boleh mengurangkan kesan negatif keradangan ini.

Kajian makmal melaporkan bahawa sebatian flavanoid dalam daun selom iaitu isohamnetin dan hyperoside memainkan peranan utama dalam mencegah atau melemahkan tindak balas keradangan [5].

Kajian terhadap haiwan juga turut mendapati sebatian flavanoid dalam daun selom iaitu persicarin turut menunjukkan sifat antiradang dan berpotensi digunakan untuk merawat penyakit keradangan vaskular (pembuluh darah) yang teruk seperti sepsis [6].

Terdapat juga kajian yang melaporkan bahawa pucuk daun selom turut boleh mengurangkan enzim yang menyebabkan keradangan [7].

4. Bersifat Antivirus

Daun selom juga boleh mencegah jangkitan daripada virus.

Potensi ini dilihat dalam uji kaji yang dijalankan di makmal dan terhadap haiwan. Kandungan flavon dan fenolik dalam daun selom didapati boleh mencegah jangkitan atau pemerebakan virus hepatitis B [8, 9].

Virus hepatitis B boleh menyebabkan penyakit hepatitis B iaitu satu penyakit berjangkit yang boleh menyebabkan kanser hati.

Kajian-kajian klinikal perlu dijalankan untuk mengetahui sama ada sifat antivirus ini turut memberi kesan yang sama terhadap manusia.

5. Baik untuk Kesihatan Otak

Daun selom juga turut didapati mempunyai ciri-ciri perlindungan kepada otak.

Kebiasaannya, peningkatan usia akan menyebabkan kemerosotan otak bagi kebanyakan orang dan keadaan ini boleh membawa kepada penyakit seperti demensia, Parkinson dan Alzheimer.

Satu kajian mendapati daun selom boleh melindungi neuron dalam otak daripada kerosakan akibat kekurangan oksigen dalam salur darah melalui aktiviti antioksidannya [10].

Kajian lain yang menggunakan ekstrak daun selom turut melaporkan bahawa ekstrak ini berpotensi untuk digunakan dalam merawat penyakit Parkinson dengan meningkatkan ekspresi gen yang bermanfaat kepada penyakit Parkinson [11].

Satu ulasan kajian oleh pengkaji dari Universiti Kebangsaan Malaysia turut mendapati daun selom turut mempunyai kesan perlindungan neuro melalui peningkatan memori (ingatan) [12].

6. Boleh Mengurangkan Rasa Letih

Khasiat daun selom dalam mengurangkan rasa letih atau keletihan ini melalui beberapa kajian.

Ekstrak daun selom didapati boleh membantu melambatkan rasa letih, meningkatkan enzim yang membantu menukarkan gula kepada tenaga dan meningkatkan enzim yang mencegah kerosakan tisu-tisu [1].

Kajian lain yang dijalankan terhadap haiwan yang mengalami sindrom letih kronik mendapati rawatan menggunakan ekstrak daun selom boleh meningkatkan aktiviti lokomotor (kebolehan untuk bergerak), situasi keletihan otot menunjukkan penambah baikkan, paras radikal bebas kembali ke paras normal dan lain-lain [13].

Ini menunjukkan ekstrak daun selom boleh digunakan untuk merawat sindrom letih kronik yang disebabkan oleh tekanan (stres) yang kronik.

7. Boleh Merendahkan Paras Gula Darah

Khasiat daun selom yang seterusnya ialah kebolehannya untuk membantu merendahkan paras gula dalam darah.

Kesan ini dilihat dalam kajian terhadap haiwan yang mendapati selepas pengambilan ekstrak air daun selom ini, paras gula darah mengalami penurunan dalam kalangan haiwan yang mempunyai paras gula normal dan haiwan yang menghidap hiperglisemia berkaitan insulin [14].

Kajian lain turut menunjukkan bahawa kandungan flavon dalam daun selom boleh mengurangkan paras gula darah, meningkatkan pembebasan insulin dan mengurangkan paras lemak (trigliserida) dalam darah dalam kajian terhadap haiwan yang menghidap diabetes (kencing manis) dan haiwan yang normal [15].

Khasiat daun selom terhadap paras gula darah ini menunjukkan potensi yang menarik untuk kajian lanjutan terhadap manusia.

8. Baik untuk Kesihatan Jantung

Daun selom juga baik untuk kesihatan jantung.

Kesan ini dilihat dalam kajian yang dilakukan terhadap haiwan yang diaruh dengan toksin yang menyebabkan disritma (gangguan ritma) kepada denyutan jantung. Suntikan yang mengandungi daun selom didapati meningkatkan paras ambang denyutan jantung yang tidak normal dan pegun jantung.

Kesan ini menunjukkan bahawa daun selom mempunyai kesan antiaritma iaitu kebolehan untuk mengawal atau membetulkan ritma jantung yang tidak normal [16].

Selain itu, kandungan flavonoid dalam daun selom juga didapati mempunyai kebolehan untuk merawat penyakit keradangan vaskular (pembuluh darah) yang teruk [6].

9. Melindungi Kulit daripada Sinaran UV

Daun selom juga boleh digunakan untuk melindungi kulit daripada sinaran UV.

Kajian awal yang dijalankan terhadap kulit haiwan mendapati ekstrak selom atau daun selom boleh melindungi kulit daripada kerosakan akibat sinaran UV melalui pengurangan kerosakan kulit luar (epidermis), peningkatan penghasilan kolagen dan pengurangan keradangan [17].

Kesan ini dipercayai disumbang oleh kandungan fenolik dalam tumbuhan herba ini.

10. Baik untuk Buah Pinggang

Tumbuhan herba ini juga turut mempunyai manfaatnya terhadap kesihatan buah pinggang.

Berdasarkan kajian terhadap haiwan, ekstrak selom atau daun selom boleh mengurangkan tekanan pengoksidaan dalam buah pinggang melalui peningkatan enzim-enzim antioksidan dalam badan [18].

Banyak lagi kajian lanjutan yang masih diperlukan untuk melihat kesan daun selom kepada buah pinggang manusia.

Rumusan

Daun selom sememang mempunyai banyak potensi atau khasiat dalam perubatan yang masih tidak dikaji secara lebih mendalam. Kajian-kajian awal yang dilakukan ini menunjukkan potensi besar daun selom dalam merawat penyakit berkaitan hati,jantung, otak dan kesan perlindungan terhadap virus.

Kajian-kajian lanjutan terutamanya kajian klinikal masih diperlukan untuk mengetahui dos atau bentuk penyediaan yang sesuai untuk daun selom ini digunakan dalam merawat pelbagai penyakit pada manusia.

Walau bagaimanapun, anda boleh mendapatkan manfaat secara umum daun selom ini melalui pemakanannya sebagai ulam-ulaman.

Rujukan
Rujukan
  1. Lu, C. L., & Li, X. F. (2019). A Review of Oenanthe javanica (Blume) DC. as Traditional Medicinal Plant and Its Therapeutic PotentialEvidence-based complementary and alternative medicine : eCAM.
  2. Ai, G., et al. (2016). The protective effect of total phenolics from Oenanthe Javanica on acute liver failure induced by D-galactosamineJournal of ethnopharmacology.
  3. Lee, C. H., et al. (2015). Effect of Oenanthe Javanica Extract on Antioxidant Enzyme in the Rat LiverChinese medical journal.
  4. Lee, J. Y., et al. (2017). Persicarin isolated from Oenanthe javanica protects against diabetes-induced oxidative stress and inflammation in the liver of streptozotocin-induced type 1 diabetic miceExperimental and therapeutic medicine.
  5. Ahn, H., & Lee, G. S. (2017). Isorhamnetin and hyperoside derived from water dropwort inhibits inflammasome activationPhytomedicine : international journal of phytotherapy and phytopharmacology.
  6. Kim, T. H., et al. (2013). Persicarin is anti-inflammatory mediator against HMGB1-induced inflammatory responses in HUVECs and in CLP-induced sepsis miceJournal of cellular physiology.
  7. Ma, Q. G., et al. (2019). Biphenyl Derivatives from the Aerial Parts of Oenanthe javanica and Their COX-2 Inhibitory ActivitiesChemistry & biodiversity.
  8. Han, Y. Q., et al. (2008). In vivo and in vitro anti-hepatitis B virus activity of total phenolics from Oenanthe javanicaJournal of ethnopharmacology.
  9. Wang, W. N., et al. (2005). Effect of Oenanthe javanica flavone on human and duck hepatitis B virus infectionActa pharmacologica Sinica.
  10. Park, J. H., et al. (2015). Oenanthe Javanica Extract Protects Against Experimentally Induced Ischemic Neuronal Damage via its Antioxidant EffectsChinese medical journal.
  11. Chen, C. M.,et al. (2016). Medicinal herbs Oenanthe javanica (Blume) DC., Casuarina equisetifolia L. and Sorghum bicolor (L.) Moench protect human cells from MPP+ damage via inducing FBXO7 expressionPhytomedicine.
  12. You, Y., et al. (2018). More Ulam for Your Brain: A Review on the Potential Role of Ulam in Protecting Against Cognitive Decline. Sains Malaysiana.
Rujukan no. 6-10
  1. Su, C.H. et al. (2012). Therapeutic effect of extract of Oenanthe Javanica against the chronic fatigue syndrome in mice. China Journal of Traditional Chinese Medicine and Pharmacy.
  2. Huang, Z. M. et al. (1996). Effects of Oenanthe javanica (SQ) on blood glucose in normal and diabetes mice. Pharmacology and Clinics of Chinese Materia Medica.
  3. Yang, X. B., et al. (2000). Antidiabetic effect of Oenanthe javanica flavoneActa pharmacologica Sinica.
  4. Ji, G., et al. (1990). [Antiarrhythmic effect of Oenanthe javanica (Bl.) DC. injection]. China journal of Chinese materia medica.
  5. Her, Y., et al. (2019). Oenanthe Javanica Extract Protects Mouse Skin from UVB Radiation via Attenuating Collagen Disruption and InflammationInternational journal of molecular sciences.
  6. Tae, H. J., et al. (2014). Oenanthe javanica extract increases immunoreactivities of antioxidant enzymes in the rat kidneyChinese medical journal.

Langgan Surat Berita Kami

Dapatkan artikel-artikel terbaru kami secara mingguan terus ke peti mel anda.

You May Also Like

11 Khasiat Brokoli Berdasarkan Kajian (+ Resepi Mudah)

Sekilas pandang sayur ini umpama sayur kubis bunga, namun berbeza warnanya. Sayur…