Nutrisi

10 Khasiat Daun Pudina Untuk Lelaki dan Wanita

Pinterest LinkedIn Tumblr

Khasiat daun pudina atau pudina telah banyak dimanfaatkan dalam pelbagai produk dan petua-petua ringkas. Pudina adalah tumbuhan pudina hibrid yang merupakan hasil kacukan pokok watermint dan spearmint.

Pudina dalam bahasa Inggerisnya ialah Peppermint. Nama saintifiknya pula ialah Mentha piperita. Tumbuhan ini berasal dari Eropah dan Timur Tengah.

Tumbuhan ini telah digunakan sejak beribu tahun dahulu untuk manfaat kesihatan dan rasa pudinanya.

Pudina atau daun pudina adalah tumbuhan herba yang digunakan dalam banyak perkara seperti minyak pati, ekstrak daun dan air rendaman daun.

Daun pudina ini turut dimanfaatkan dalam pelbagai produk seperti produk kosmetik, produk kebersihan diri, produk makanan dan produk farmaseutikal.

Berikut adalah 10 khasiat pudina atau daun pudina kepada kesihatan lelaki dan wanita berdasarkan sokongan kajian sains perubatan.

1. Menyegarkan Nafas

Daun pudina banyak digunakan dalam produk seperti ubat gigi, ubat pencuci mulut atau gula-gula getah.

Rupa-rupanya, ia bersebab. Selain baunya yang sedap, pudina turut mempunyai sifat antibakteria yang boleh membunuh kuman atau bakteria pada plak gigi seterusnya menyegarkan nafas (1).

Satu kajian terhadap nafas berbau telah dijalankan terhadap 84 pelajar perempuan di Tehran yang dibahagikan kepada 2 kumpulan.

Kajian ini mendapati kumpulan pelajar perempuan yang diberikan ubat pencuci mulut berasaskan pudina menunjukkan peningkatan pada bau nafas selepas seminggu berbanding kumpulan kawalan (2).

khasiat daun pudina

2. Boleh Melegakan Hidung Tersumbat

Kadang-kala, demam atau selesema boleh menyebabkan hidung tersumbat.

Daun pudina pula mempunyai aktiviti antibakteria, antivirus dan antiradang (3).

Kajian menunjukkan bahan aktif dalam pudina iaitu mentol boleh meningkatkan aliran udara dalam saluran pernafasan. Oleh itu, stim dari teh pudina mungkin boleh membantu pernafasan anda (4).

3. Boleh Melegakan Sakit Perut

Menariknya juga, pudina turut mempunyai manfaat kepada perut. Contohnya untuk mengatasi masalah penghadaman, kembung dan angin.

Satu kajian terhadap haiwan menunjukkan ekstrak pudina mengendurkan otot-otot saluran gastrousus dan mengurangkan kesakitan (5).

Dalam satu kajian klinikal terhadap pesakit sindrom usus rengsa (IBS), minyak pudina berjaya mengurangkan gejala-gejala IBS sebanyak 40% selepas 4 minggu (6).

Di samping itu, ulasan kajian yang dilakukan mendapati 14 ujian yang melibatkan 1927 pesakit, minyak pudina mengurangkan tempoh, kekerapan dan keterukan sakit perut (7).

4. Boleh Melegakan Sakit Kepala dan Migrain

Bukan setakat itu sahaja,minyak pudina juga turut mampu melegakan sakit kepala jenis tegangan dan migrain.

Hal ini mungkin disebabkan oleh kandungan mentol dalam minyak pudina yang boleh meningkatkan kadar aliran darah dan mendatangkan sensasi sejuk yang mungkin mengurangkan kesakitan.

Dalam satu kajian klinikal terhadap 35 penghidap migrain, minyak pudina disapu pada dahi dan pelipis mengurangkan kesakitan secara ketara selepas 2 jam (8).

Kajian lain turut mendapati minyak pudina mempunyai kesan yang sama seperti 1000 mg acetaminophen (penadol atau paracetamol) untuk menghilangkan sakit kepala (9).

5. Boleh Melegakan Senggugut

Khusus buat wanita, pudina juga turut mempunyai kebaikan dalam mengurang dan melegakan senggugut.

Ini kerana pudina bertindak sebagai pengendur otot, maka ia boleh melegakan senggugut.

Satu kajian yang dijalankan terhadap 127 pelajar perempuan yang mengalami masalah senggugut, didapati pengambilan ekstrak pudina berkesan seperti ubat dalam mengurangkan tempoh dan kekuatan senggugut (10).

6. Boleh Mengurangkan Alahan

Khasiat daun pudina turut dikaitkan dengan kebolehan mengurangkan alahan.

Kandungan asid rosmarinic dalam pudina menjadikan ia mampu mengurangkan simptom atau gejala alahan seperti hidung berair, mata gatal atau asma (11, 12).

Dalam satu kajian terhadap individu yang mempunyai alahan, pengambilan makanan tambahan (suplemen) yang mengandungi asid rosmarinic boleh mengurangkan gejala-gejala alahan seperti gatal hidung, gatal mata dan gejala yang lain (13).

7. Boleh Meningkatkan Tumpuan

Beberapa kajian kecil menunjukkan pudina boleh membantu meningkatkan keupayaan untuk kekal fokus.

Satu kajian terhadap terhadap 24 individu, pengambilan kapsul minyak pudina meningkatkan prestasi minda dalam ujian kognitif dan mengurangkan keletihan mental (14).

Kajian lain mendapati dengan menghidu aroma pudina daripada minyak pati pudina, didapati pudina ini meningkatkan memori dan kepekaan berbanding aroma daripada minyak pati bunga kenanga (ylang-ylang)(15).

8. Boleh Melawan Jangkitan Bakteria

Khasiat pudina yang seterusnya ialah kebolehannya untuk melawan jangkitan bakteria.

Dalam satu kajian, minyak pati pudina didapati dapat membunuh bakteria E.coli, L. monocytogenes dan Salmonella Enteritidis di dalam jus nanas dan mangga (16).

Kajian lain turut menyokong bahawa minyak pati pudina boleh menghalang jangkitan bakteria. Minyak pati pudina didapati boleh menghalang tumbesaran bakteria seperti E.coli, S.aureus, Pseudomonas aeruginosa, S. faecalis, dan Klebsiella penumoniae yang berkaitan dengan keracunan makanan,jangkitan paru-paru (pneumonia), jangkitan pada saluran kencing dan kulit (17).

9. Boleh Mengurangkan Masalah “Morning Sickness”

Loya dan muntah-muntah pada peringkat awal mengandung adalah lumrah bagi seorang wanita. Kadang-kadangnya ia boleh menganggu rutin harian terutamnya bagi wanita bekerjaya.

Aromaterapi adalah satu rawatan alternatif yang boleh membantu merawat masalah loya dan muntah ini.

Minyak pati pudina didapati mempunyai kesan yang sama dengan ubat dalam merawat masalah loya dan muntah (morning sickness) ini.

Kajian terhadap 56 wanita mengandung ini mendapati minyak pati pudina ini dapat mengurangkan keterukan loya dan muntah dalam kalangan wanita mengandung tersebut (18).

10. Boleh Membantu Menurunkan Berat Badan

Pudina dipercayai boleh membantu menurunkan berat badan.

Satu kajian terhadap 13 individu yang sihat didapati pengambilan kapsul minyak pudina dapat mengurangkan selera makan berbanding tidak mengambil minyak pudina ini (19).

Namun, hasil sebaliknya didapati pada kajian terhadap haiwan di mana tikus yang diberikan ekstrak pudina meningkat berat badan (20).

Oleh itu, khasiat pudina untuk menurunkan berat badan ini masih memerlukan banyak kajian.

Kesimpulan

Banyak khasiat daun pudina atau pudina terhadap kesihatan kita tidak kira lelaki atau wanita.

Secara khususnya, daun pudina mempunyai khasiat untuk wanita bagi mengatasi masalah senggugut dan “morning sickness.”

Khasiat-khasiat lain boleh dimanfaatkan kepada semua golongan dan akses kepada minyak pati pudina juga kini mudah untuk didapati tidak kira secara atas talian atau dikedai-kedai.

Write A Comment