Parsley atau nama saintifiknya Petroselinum crispum adalah tumbuhan herba yang berasal daripada kawasan Mediterranean. Daun Parsley banyak digunakan dalam masakan tanpa kita sedari akan khasiatnya. Oleh itu, artikel kali ini akan berkongsi khasiat daun Parsley yang mungkin anda tidak tahu.
Daun Parsley adalah herba yang popular digunakan dalam masakan masyarakat di negara barat seperti Amerika, Eropah dan juga masyarakat di Timur Tengah.
Selain menjadi penambah rasa dan aroma dalam masakan, daun Parsley juga padat dengan khasiatnya.
Berikut adalah 10 khasiat daun Parsley yang boleh anda manfaatkan.
1. Mengandungi Nutrien Penting
Bagi sesudu besar daun parsley yang kering seberat 1.6 gram, terdapat nutrien-nutrien seperti berikut (USDA):
- Tenaga: 4.67 kcal
- Protein: 0.43 gram
- Karbohidrat: 0.81 gram
- Serat: 0.43 gram
- Kalsium: 18.2 miligram
- Zat besi: 0.35 miligram
- Magnesium: 6.4 miligram
- Fosforus: 7.0 miligram
- Kalium: 42.9 miligram
- Mangan: 0.16 miligram
- Vitamin C: 2 miligram
- Folat: 2.9 mikrogram
- Kolina: 1.6 miligram
- Vitamin A: 1.6 mikrogram
- Vitamin E: 0.14 miligram
- Vitamin K: 21.8 mikrogram
Selain itu, daun parsley turut mengandungi vitamin B1, B2, B3, B6 serta mineral zink, tembaga dan selenium.
Manakala bagi daun Parsley segar seberat 4 gram mengandungi (USDA):
- Tenaga: 1.44 kcal
- Protein: 0.12 gram
- Karbohidrat: 0.25 gram
- Serat: 0.13 gram
- Kalsium: 5.5 miligram
- Zat besi: 0.25 miligram
- Magnesium: 2.0 miligram
- Fosforus: 2.3 miligram
- Kalium: 22.2 miligram
- Vitamin C: 5.3 miligram
- Folat: 6.1 mikrogram
- Kolina: 0.51 miligram
- Vitamin A: 16.8 mikrogram
- Vitamin E: 0.03 miligram
- Vitamin K: 65.6 mikrogram
2. Kaya dengan Antioksidan
Bukan setakat kandungan vitamin dan mineral, daun parsley turut mengandungi antioksidan yang baik untuk badan.
Antioksidan adalah penting untuk mengimbangi atau meneutralkan radikal bebas. Radikal bebas yang berlebihan akan menyebabkan berlakunya tekanan pengoksidaan dan tekanan pengoksidaan ini boleh menyebabkan kerosakan sel-sel.
Kesannya, berlakulah pelbagai penyakit seperti penyakit kardiovaskular, kanser, penyakit mata, Alzheimer dan Parkinson.
Terdapat beberapa antioksidan utama dalam daun parsley iaitu:
- Vitamin C
- Vitamin E
- Lutein dan zeaxantin
- Beta-karotena
Vitamin C dan E adalah antioksidan yang baik untuk sistem pertahanan badan (sistem imun). Selain itu, dua vitamin ini turut baik untuk kesihatan kulit [1, 2].
Beta-karotena, lutein dan zeaxantin pula adalah antioksidan yang baik untuk kesihatan mata [3].
3. Boleh Menurunkan Paras Gula Darah
Paras gula darah yang tinggi boleh membawa kepada masalah kencing manis atau diabetes.
Pemakanan yang tidak sihat dan kurang bersenam juga boleh menyebabkan peningkatan paras gula darah [4, 5].
Kajian terhadap haiwan mendapati ekstrak Parsley boleh menurunkan paras gula darah bagi tikus yang menghidap diabetes [6].
Kesan yang sama turut dapat dilihat dalam satu kajian lain yang juga melibatkan tikus yang menghidap kencing manis [7].
Walau bagaimanapun, khasiat daun parsley terhadap paras gula darah ini masih memerlukan kajian terhadap manusia.
4. Bersifat Antibakteria
Daun parsley juga bersifat antibakteria.
Ini berdasarkan kajian makmal yang dijalankan terhadap mikroflora semulajadi, yis, kulat, koliform dan bakteria jenis Staphylococcus aureus [8].
Minyak pati parsley juga turut menunjukkan sifat antibakterianya terhadap beberapa bakteria dan kulat. Minyak pati Parsley dilihat berkesan terhadap bakteria jenis Staphylococcus aureus, Listeria monocytogenes dan Salmonella enterica.
Selain itu, minyak pati Parsley juga turut menunjukkan kesan antikulat terhadap kulat jenis Penicillium ochrochloron dan Trichoderma viride [9].
Bakteria-bakteria ini boleh menyebabkan jangkitan pada kulit, pneumonia, keracunan makanan dan jangkitan dalam usus.
5. Baik untuk Kesihatan Tulang
Daun Parsley juga berkhasiat untuk melindungi tulang kita.
Sesudu besar daun Parsley kering boleh membekalkan kira-kira 34% keperluan harian vitamin K bagi lelaki dewasa dan 40% keperluan harian vitamin K bagi wanita dewasa.
Ini kerana daun ini mempunyai vitamin K yang berperanan penting untuk mengekalkan ketumpatan tulang dan mencegah pereputan tulang [10].
Kajian juga menunjukkan pengambilan vitamin K yang tinggi boleh mengurangkan risiko keretakan tulang [11].
6. Baik untuk Kesihatan Buah Pinggang
Buah pinggang adalah organ perkumuhan manusia yang penting untuk menapis darah dan menyingkirkan lebihan air serta bahan kotoran melalui air kencing.
Terdapat kajian yang melaporkan bahawa daun Parsley boleh mendatangkan manfaat kepada kesihatan buah pinggang dengan mengurangkan risiko berlakunya batu karang.
Kajian yang dijalankan terhadap haiwan ini mendapati Parsley boleh mengurangkan pengkumuhan kalsium dalam air kencing, mengurangkan perkumuhan protein dalam air kencing, meningkatkan nilai pH air kencing dan mempunyai aktiviti perlindungan terhadap buah pinggang [12].
Terdapat juga kajian terhadap haiwan yang menunjukkan ekstrak Parsley boleh mengurangkan kegagalan buah pinggang akibat daripada pengguguran [13].
7. Baik untuk Kesihatan Jantung
Khasiat daun Parsley yang seterusnya ialah baik untuk kesihatan jantung.
Kandungan folat dalam daun Parsley boleh mengurangkan risiko penyakit jantung.
Dalam kajian yang berskala besar terhadap 58,730 orang lelaki dan wanita mendapati diet yang tinggi dengan folat dan vitamin B6 boleh mengurangkan risiko kematian akibat daripada penyakit jantung koronari, strok dan kegagalan jantung [14].
Folat juga merupakan nutrien penting yang boleh mengurangkan paras asid amino homosisteina. Peningkatan homosisteina dalam darah berisiko bagi penyakit jantung.
Homosisteina ini boleh mendatangkan kesan buruk terhadap struktur dan fungsi salur darah.
8. Boleh Meningkatkan Sistem Imun
Daun Parsley juga mengandungi vitamin C dan E yang baik untuk sistem imun.
Dua vitamin ini berperanan sebagai antioksidan dalam sistem pertahanan badan dengan melindungi badan daripada pemperoksidaan lipid (lemak) [1].
Selain itu juga, Parsley juga mengandungi antioksidan yang dikenali sebagai apigenin. Apigenin ini boleh membantu mengawal selia fungsi imun dengan mengurangkan keradangan dan mencegah kerosakan sel [15].
9. Boleh Mengurangkan Kembung Perut
Khasiat daun Parsley yang seterusnya ialah ia boleh bertindak sebagai diuretik iaitu bahan yang menggalakkan pengumuhan air kencing.
Bertindak sebagai diuretik semulajadi, Parsley boleh mengurangkan pengumpulan air yang berlebihan dalam badan dan melegakan kembung perut [16].
10. Baik untuk Kesihatan Hati
Khasiat daun Parsley turut bermanfaat untuk kesihatan hati.
Ekstrak Parsley didapati boleh mencegah kerosakan hati, meningkatkan fungsi hati dan mengurangkan kesan toksik. Kesan yang baik ini dipercayai disebabkan kandungan antioksidan serta vitamin dalam tumbuhan herba ini [17].
Cara Penggunaan Daun Parsley
Daun Parsley adalah herba yang mudah untuk digunakan dalam pelbagai menu atau resepi.
Antara beberapa cara untuk memanfaatkan daun herba ini dalam diet harian anda adalah:
- Gunakan sebagai salah satu bahan perapan ayam atau daging untuk digril.
- Digunakan bersama-sama bahan lain sebagai “topping” piza.
- Digunakan dalam sup.
- Ditambah dalam salad.
- Boleh digunakan dalam roti yang dibuat sendiri.
- Dicampurkan dalam telur dadar.
Cara Penyimpanan Daun Parsley
Daun Parsley boleh didapati dalam bentuk kering atau segar di pasaran.
Daun Parsley kering lebih disimpan dengan lebih lama. Jika disimpan dalam bekas kedap udara dan diletakkan di kawasan tertutup, herba ini boleh bertahan diantara 6 bulan hingga 1 tahun.
Manakala untuk daun Parsley segar, ia boleh direndam di bahagian batangnya selepas dibuang penghujung batang (jangan dibilas dengan air).
Sekiranya disimpan di dalam peti sejuk, ia boleh disimpan di dalam plastik yang longgar.
Rumusan
Daun Parsley sememangnya mempunyai khasiat yang sangat memberangsangkan.
Kajian-kajian yang dijalankan menunjukkan potensi daun Parsley dalam penjagaan kesihatan sama ada untuk kesihatan jantung, buah pinggang, tulang dan banyak lagi.
Kandungan vitamin dan antioksidan dalam tumbuhan ini banyak menyumbang kepada khasiatnya untuk kesihatan.
Parsley juga mudah untuk digunakan dalam pelbagai masakan.