Daun kari ialah daun yang diperolehi daripada pokok kari yang secara saintifiknya dikenali sebagai Murraya koenigii. Mungkin ramai tidak tahu sebenarnya banyak khasiat daun kari yang bermanfaat untuk kesihatan kita.

Artikel ini akan menerangkan khasiat-khasiat daun kari berdasarkan kajian-kajian sains perubatan yang telah dijalankan.

Pokok kari banyak tersebar di negara-negara tropika dan sub-tropika. Daun kari biasanya digunakan dalam masakan.

Perubatan tradisional India dan Ayurveda menggunakan daun kari untuk merawat buasir, keradangan, gatal-gatal, merawat luka, lebam dan bengkak. Selain daun, akar dan batang pokok kari ini juga turut digunakan dalam perubatan tradisional.

khasiat daun kari

Berikut adalah beberapa khasiat daun kari yang boleh dimanfaatkan untuk kesihatan tubuh badan.

1. Kaya dengan Antioksidan

Tumbuhan atau makanan yang bersifat antioksidan sangat baik untuk membantu badan meneutralkan atau melawan radikal bebas yang berlebihan dalam badan.

Radikal bebas yang berlebihan boleh menyebabkan tekanan pengoksidaan yang berkait rapat dengan pelbagai penyakit kronik termasuklah kanser dan penyakit jantung.

Daun kari mempunyai aktiviti antioksidan yang tinggi. Ekstrak daun kari menunjukkan aktiviti antioksidan yang tinggi iaitu sekitar 80% [1].

Selain itu, daun kari turut mengandungi sebatian flavonoid yang turut bersifat antioksidan seperti kuersetin, apigenin, kaempferol, rutin dan katekin.

2. Bersifat Antiradang

Kecederaan, luka, kerosakan sel-sel atau jangkitan kuman boleh menyebabkan keradangan.

Kajian mendapati daun kari menunjukkan aktiviti antiradang yang ketara dalam ujian yang dijalankan terhadap haiwan [2].

Kajian tabung uji juga menunjukkan sebatian aktif yang diekstrak daripada daun kari turut menunjukkan sifat antiradang terhadap pengantara keradangan [3].

3. Boleh Membantu dalam Penyembuhan Luka

Penyembuhan luka adalah satu proses badan yang kompleks. Ia melibatkan banyak proses-proses sel dan biokimia.

Salah satu khasiat daun kari ialah membantu dalam proses penyembuhan luka ini.

Kajian terhadap haiwan menunjukkan daun kari boleh membantu penyembuhan luka dengan meningkatkan pengecutan luka, mempercepatkan penutupan luka dan meningkatkan penghasilan kolagen [4].

Kajian ini menunjukkan potensi yang baik untuk kajian yang melibatkan manusia.

4. Boleh Mencegah Jangkitan Bakteria dan Kulat

Daun kari juga berkhasiat untuk mencegah jangkitan bakteria dan kulat.

Ekstrak daun kari menunjukkan kesan antibakteria terhadap beberapa strain bakteria seperti Escherichia coli (E.Coli), Staphylococcus aureus dan K. pneumoniae [5, 6].

Bakteria-bakteria ini boleh menyebabkan pelbagai jangkitan termasuklah keracunan makanan, jangkitan pada kulit dan jangkitan salur kencing.

Selain itu, minyak pati daun kari juga turut boleh mencegah jangkitan bakteria dalam kajian terhadap bakteria jenis Pseudomonas aeruginosa [7].

Bakteria pseudomonas ini boleh menyebabkan jangkitan pada darah atau paru-paru.

Di samping itu juga, minyak pati daun kari turut boleh mencegah jangkitan daripada kulat jenis Alternaria alternata, Aspergillus flavus, Aspergillus niger, Aspergillus parasiticus, Fusarium oxysporum, Fusarium moniliforme,Mucor mucedo, Penicillium notatum, Penicillium funiculosum dan Trichoderma viride [8].

Kajian ini juga mendapati minyak pati daun kari paling berkesan dalam mencegah kulat jenis Alternaria alternata yang boleh menyebabkan jangkitan pada luka, sinusitis dan jangkitan pada mata.

5. Boleh Membantu Mencegah Kanser

Daun kari juga boleh bertindak sebagai agen yang boleh mencegah kanser. Daun kari mengandungi sebatian yang mempunyai kesan antikanser yang signifikan.

Kajian oleh pengkaji dari Universiti Putra Malaysia mendapati ekstrak daun kari menunjukkan kesan antikanser yang kuat dan boleh mencegah pembesaran sel-sel kanser payudara [9].

Kajian lain yang dijalankan terhadap haiwan dengan kanser payudara juga turut mendapati ekstrak daun kari boleh mengurangkan pembesaran tumor dan mencegah penyebaran sel-sel kanser ke paru-paru [10].

Kajian -kajian klinikal terhadap manusia masih diperlukan untuk mengetahui keberkesanannya terhadap manusia.

6. Boleh Melindungi Hati

Penyakit hati adalah salah satu penyakit yang membimbangkan. Hati ialah organ yang membantu memetabolismekan ubat dan menyahtoksik sebarang bahan bertoksik yang masuk ke dalam badan.

Oleh kerana peranannya itu, hati terdedah kepada sebatian kimia yang tidak terdapat dalam badan yang boleh menyebabkan ketoksikan hati.

Ekstrak daun kari didapati boleh melindungi hati dengan cara mengurangkan kerosakan sel-sel dan mengurangkan pengoksidaan lemak (lipid) [11].

7. Baik untuk Penghidap Kencing Manis

Penyakit kencing manis atau diabetes adalah antara penyakit kronik yang paling banyak dihidapi oleh manusia. Penyakit ini berpunca daripada dengan paras gula yang tinggi dalam darah dan tekanan pengoksidaan.

Terdapat kajian yang melaporkan bahawa ekstrak daun kari menunjukkan keupayaan untuk menghalang atau merencatkan alfa-glikosidase. Perencat alfa-glikosidase banyak digunakan untuk merawat pesakit yang menghidap diabates jenis 2 [12].

Selain itu, terdapat juga kajian yang melaporkan bahawa ekstrak daun kari boleh membantu menurunkan paras gula darah.

Di samping itu juga, ekstrak ini turut mempamerkan kesan antioksidan dengan mengurangkan paras sebatian yang menyebabkan tekanan pengoksidaan dan meningkatkan paras antioksidan [13].

8. Baik untuk Kesihatan Otak

Tambahan lagi, daun kari juga turut berkhasiat kepada otak. Terdapat kajian yang menunjukkan daun kari boleh melindungi otak daripada penyakit kemerosotan neuro seperti Alzheimer, Parkinson dan lain-lain.

Satu kajian terhadap haiwan melaporkan bahawa ekstrak daun kari boleh menambahbaik paras antioksidan yang melindungi otak seperti glutation peroksidase, glutation reduktase dan superoksida dismutase dalam sel-sel otak [14].

Kajian lain turut ekstrak daun kari turut boleh meningkatkan memori bagi haiwan yang mengalami dimensia [15].

Walau bagaimanapun, kajian-kajian terhadap manusia masih diperlukan untuk menguatkan lagi dapatan ini.

9. Baik untuk Kesihatan Buah Pinggang

Daun kari juga mempunyai khasiat yang baik untuk fungsi buah pinggang.

Satu kajian yang dijalankan terhadap haiwan yang mengalami kerosakan buah pinggang akibat diabetes mendapati pengambilan ekstrak daun kari setiap hari selama 30 hari boleh mengurangkan paras bahan yang menyebabkan penyakit buah pinggang seperti kratinina dan urea.

Selain itu, ekstrak daun kari ini juga membantu meningkatkan paras antioksidan dalam darah bagi subjek yang diuji [16].

Kajian lain turut mendapati ekstrak daun kari turut menunjukkan sifat perlindungan terhadap buah pinggang dengan mengurangkan paras kratinina dan paras nitrogen urea darah [17].

Kajian-kajian lanjut terhadap manusia masih diperlukan untuk mengesahkan potensi daun kari ini.

Rumusan

Daun kari bukan sahaja berfungsi sebagai penambah rasa dalam makanan tetapi turut kaya dengan pelbagai khasiat lain yang baik untuk kesihatan badan.

Kajian-kajian menunjukkan daun kari berkhasiat untuk melindungi otak, buah pinggang, hati, merawat luka dan juga boleh membantu mencegah jangkitan. Tidak terhenti di situ, daun kari juga turut mempunyai ciri-ciri antikanser dan antiradang yang baik untuk kesihatan pemakannya.

Menariknya juga, daun kari mudah untuk ditambah dalam pelbagai jenis masakan yang secara tidak langsung boleh menambah rasa dan khasiat untuk kesihatan tubuh badan.

Rujukan
Rujukan
  1. L. Jagan Mohan Rao. et al. (2007). Antioxidant and radical-scavenging carbazole alkaloids from the oleoresin of curry leaf (Murraya koenigii Spreng.). Food Chemistry.
  2. Gupta, S. et al. (2010). Leaves extract of murraya koenigii linn for anti-inflammatory and analgesic activity in animal modelsJournal of advanced pharmaceutical technology & research.
  3. Nalli, Y. et al. (2016). Four new carbazole alkaloids from Murraya koenigii that display anti-inflammatory and anti-microbial activitiesOrganic & biomolecular chemistry.
  4. Nagappan, T. et al. (2012). Efficacy of carbazole alkaloids, essential oil and extract of Murraya koenigii in enhancing subcutaneous wound healing in ratsMolecules.
  5. Qais, F. A. et al. (2019). Antibacterial Effect of Silver Nanoparticles Synthesized Using Murraya koenigii (L.) against Multidrug-Resistant PathogensBioinorganic chemistry and applications.
  6. Joshi, T. et al. (2018). Pyranocarbazoles from Murraya koenigii (L.) Spreng. as antimicrobial agentsNatural product research.
  7. Ganesh, P. S., & Vittal, R. R. (2015). In vitro antibiofilm activity of Murraya koenigii essential oil extracted using supercritical fluid CO₂ method against Pseudomonas aeruginosa PAO1Natural product research.
  8. Tripathi, Y. et al. (2018). Chemical Composition and In vitro Antifungal and Antioxidant Activities of Essential Oil from Murraya koenigii (L.) Spreng. Leaves. Asian Journal of Biomedical and Pharmaceutical Sciences.
  9. Ghasemzadeh, A. et al. (2014). Evaluation of Bioactive Compounds, Pharmaceutical Quality, and Anticancer Activity of Curry Leaf (Murraya koenigii L.)Evidence-based complementary and alternative medicine.
  10. Yeap, S. K. et al. (2015). Chemopreventive and immunomodulatory effects of Murraya koenigii aqueous extract on 4T1 breast cancer cell-challenged miceBMC complementary and alternative medicine.
Rujukan no. 6-9
  1. Sathaye, S. et al. (2011). Hepatoprotective effects of aqueous leaf extract and crude isolates of Murraya koenigii against in vitro ethanol-induced hepatotoxicity model. Experimental and toxicologic pathology.
  2. Mir Zahoor Gul et al. (2012). Antioxidant and α-glucosidase inhibitory activities of Murraya koenigii leaf extracts. Pharmacognosy Journal.
  3. Husna, F. et al. (2018). Anti-Diabetic Potential of Murraya Koenigii (L.) and its Antioxidant Capacity in Nicotinamide-Streptozotocin Induced Diabetic RatsDrug research.
  4. Mani, V. et al. (2013). Effects of the total alkaloidal extract of Murraya koenigii leaf on oxidative stress and cholinergic transmission in aged micePhytotherapy research.
  5. Mani, V. et al. (2012). Protective effects of total alkaloidal extract from Murraya koenigii leaves on experimentally induced dementiaFood and chemical toxicology.
  6. Yankuzo, H. et al. (2011). Beneficial effect of the leaves of Murraya koenigii (Linn.) Spreng (Rutaceae) on diabetes-induced renal damage in vivoJournal of ethnopharmacology.
  7. Mahipal, P., & Pawar, R. S. (2017). Nephroprotective effect of Murraya koenigii on cyclophosphamide induced nephrotoxicity in ratsAsian Pacific journal of tropical medicine.

Langgan Surat Berita Kami

Dapatkan artikel-artikel terbaru kami secara mingguan terus ke peti mel anda.

You May Also Like

13 Khasiat Habbatus Sauda Untuk Kesihatan Lelaki dan Wanita

Habbatus Sauda atau Jintan Hitam adalah biji daripada tumbuhan berbunga yang secara…

8 Khasiat Saffron Untuk Wanita dan Lelaki (+Kuantiti Sesuai)

Saffron merupakan antara rempah yang paling mahal di dunia. Rempah ini dibuat…