Daun bay atau turut dikenali sebagai daun salam adalah daun daripada pokok laurel. Daun bay biasanya digunakan sebagai rempah untuk menambah perisa dalam masakan. Menariknya, daun bay mempunyai khasiat yang tersendiri untuk kesihatan. Khasiat daun bay telah dimanfaat sejak dahulu lagi dalam perubatan tradisional.
Artikel kali ini akan merungkai khasiat-khasiat daun bay atau daun salam yang boleh dimanfaatkan untuk kesihatan kita.
Nama saintifik bagi daun bay ialah Laurus nobilis iaitu nama saintifik bagi pokoknya. Pokok laurel berasal dari negara-negara selatan Eropah dan Mediterranean. Selain daun bay yang kering, minyak pati daripada daun ini turut digunakan dalam masakan dan perubatan.
Perubatan tradisional Iran menggunakan daun bay untuk merawat penyakit sawan atau gila babi, Parkinson dan saraf. Terdapat juga laporan yang menunjukkan daun bay digunakan untuk merawat kembung perut.

Berikut adalah beberapa khasiat daun bay berdasarkan kajian.
1. Mengandungi Nutrien-nutrien Penting
Daun bay mengandungi nutrien-nutrien yang diperlukan oleh badan untuk kekal sihat.
Bagi sesudu daun bay hancur (1.8 gram) terdapat nutrien-nutrien berikut [1]:
- Kalori: 5.63 kcal
- Protein: 0.14 gram
- Lemak: 0.15 gram
- Karbohidrat: 1.35 gram
- Serat: 0.47 gram
- Kalsium: 15 miligram
- Zat besi: 0.77 miligram
- Magnesium: 2.16 miligram
- Fosforus: 2.03 miligram
- Kalium: 9.52 miligram
- Natrium: 0.41 miligram
- Mangan: 0.15 miligram
- Vitamin C: 0.84 miligram
- Folat: 3.24 mikrogram
- Vitamin A: 5.56 mikrogram
Selain itu, daun bay turut mengandungi sedikit mineral dan vitamin seperti zink, tembaga, selenium dan vitamin B.
2. Boleh Membantu Mencegah Jangkitan Bakteria dan Kulat
Minyak pati daun bay dilaporkan mempunyai kemampuan untuk mncegah pembiakan bakteria dan kulat daripada pelbagai strain (jenis).
Kajian oleh pengkaji dari Itali mendapati minyak pati daun bay boleh mencegah pembiakan bakteria jenis Bacillus cereus, Staphylococcus aureus, Escherichia coli dan Pseudomonas aeruginosa. Bakteria-bakteria ini boleh menyebabkan keracunan makanan dan jangkitan pada darah dan paru-paru [2].
Selain itu, kajian ini juga mendapati minyak pati daun bay ini juga turut berkesan untuk mencegah kulat jenis Aspergillus niger, A. versicolor, Penicillium citrinum dan P. expansum. Kulat atau fungi ini boleh merosakkan makanan seperti sayura-sayuran dan buah-buahan.
3. Boleh Membantu Merawat Luka
Daun bay juga mempunyai khasiat dalam perawatan luka.
Khasiat ini dapat dilihat dalam satu kajian yang mendapati ekstrak daun bay meningkatkan kadar pengecutan luka, pertumbuhan tisu-tisu baru dan kandungan kolagen bagi haiwan yang dirawat dengan ekstrak ini [3].
4. Boleh Melawan Kanser
Terdapat kajian-kajian awal yang menunjukkan bahawa ekstrak daun bay berpotensi dan berupaya untuk melawan beberapa jenis sel kanser.
Kajian makmal yang dijalankan oleh pengkaji dari University of Pretoria, Afrika Selatan mendapati ekstrak daun bay menunjukkan kesan sitotoksik terhadap sel-sel kanser serviks dengan mencegah pembiakan sel-sel kanser ini [4].
Kajian lain turut melaporkan bahawa sebatian dalam daun bay iaitu sesquiterpenes juga boleh merencatkan pembiakan sel-sel kanser leukimia [5].
Terdapat juga kajian yang mendapati minyak pati daun bay boleh mencegah pembiakan sel-sel kanser payudara namun tidak menunjukkan kesan sitotoksik [6].
Kajian-kajian klinikal terutamanya terhadap pesakit kanser masih diperlukan untuk mengetahui kesan minyak pati atau ekstrak daun bay ini terhadap kanser.
5. Baik untuk Penghidap Kencing Manis
Selain mengalami paras gula dalam darah yang tinggi, penghidap kencing manis juga berisiko tinggi untuk turut mengalami paras kolesterol dan lemak dalam darah yang tinggi.
Kajian terhadap 40 orang penghidap kencing manis (diabetes jenis 2) mendapati pengambilan serbuk daun bay sebanyak 1-3 gram setiap hari selama 30 hari boleh menyebabkan [7]:
- penurunan paras gula dalam darah sehingga 26%
- penurunan jumlah kolesterol sehingga 24%
- penurunan paras kolesterol LDL (kolesterol jahat) sehingga 40%
- penurunan paras lemak (trigliserida) sehingga 34%
- peningkatan paras kolesterol HDL (kolesterol baik) sehingga 29%
Kajian terhadap 55 orang penghidap diabetes jenis 1 pula mendapati pengambilan serbuk daun bay sebanyak 3 gram sehari selama 30 hari menyebabkan [8]:
- penurunan paras gula dalam darah sebanyak 27%
- penurunan jumlah kolesterol sebanyak 21%
- penurunan paras kolesterol LDL (kolesterol jahat) sebanyak 24%
- peningkatan paras kolesterol HDL (kolesterol baik) sebanyak 20%
- penurunan paras lemak (trigliserida) sebanyak 26%
6. Membantu Masalah Berkaitan Penghadaman
Daun bay juga boleh dimanfaatkan oleh mereka yang mengalami masalah berkaitan penghadaman seperti penyakit gastrik, sakit perut atau sakit kolik.
Satu kajian yang dijalankan oleh University of Bologna, Itali melaporkan bahawa ekstrak daun bay menunjukkan kesan perlindungan gastro (gastrik) dengan mengurangkan kerosakan gastrik [9].
7. Boleh Merawat Cirit-birit
Perubatan tradisional menggunakan daun bay untuk merawat cirit-birit.
Kajian terhadap haiwan mendapati ekstrak daun bay menunjukkan kesan anticirit-birit dengan menghalang cirit-birit yang dicetuskan oleh minyak kastor dan mengurangkan pengumpulan bendalir dalam usus kecil [10].
Bendalir yang berkumpul ini akan bergerak ke usus besar dan dibuang dalam bentuk cirit-birit.
8. Baik untuk Kesihatan Otak
Daun bay juga digunakan dalam perubatan tradisional untuk merawat sawan atau epilepsi.
Kesan ini turut dilihat dalam kajian yang dijalankan terhadap haiwan di mana minyak pati daun bay menunjukkan kesan antisawan. Kesan ini dipercayai disumbang oleh kandungan sebatian aktif dalam minyak pati ini [11].
Kajian lain pula melaporkan bahawa daun bay mempunyai kesan perlindungan neuro melalui kandungan antioksidannya. Kesan perlindungan neuro ini dapat membantu merawat atau mencegah penyakit kemerosotan neuro seperti penyakit Alzheimer [12].
9. Boleh Merawat Penyakit Batu Karang
Selain itu, ekstrak daun bay juga dilaporkan boleh membantu mencegah penyakit batu karang. Kajian ini mendapati daun bay boleh mengurangkan jumlah urease dalam badan [13].
Urease ialah enzim yang boleh menyebabkan beberapa gangguan gastrik termasuklah batu karang sekiranya jumlahnya tidak seimbang dan terlalu tinggi.
Walau bagaimanapun, kajian-kajian lanjut masih diperlukan.
Rumusan
Siapa sangka sebenarnya banyak khasiat daun bay yang tersembunyi disebalik daun kering ini.
Selain mengandungi mineral dan vitamin yang berkhasiat, daun bay turut bermanfaat untuk penghidap kencing manis, membantu mempercepatkan penyembuhan luka, mencegah kanser dan lain-lain.
Anda boleh memanfaatkan khasiat daun bay ini dengan menambah daun bay ini dalam masakan anda.
Rujukan
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. fdc.nal.usda.gov.
- Caputo, L. et al. (2017). Laurus nobilis: Composition of Essential Oil and Its Biological Activities. Molecules.
- Nayak, S. et al. (2006). Evaluation of wound healing activity of Allamanda cathartica. L. and Laurus nobilis. L. extracts on rats. BMC complementary and alternative medicine.
- Berrington, D., & Lall, N. (2012). Anticancer Activity of Certain Herbs and Spices on the Cervical Epithelial Carcinoma (HeLa) Cell Line. Evidence-based complementary and alternative medicine : eCAM.
- Hibasami, H. et al. (2003). Sesquiterpenes (costunolide and zaluzanin D) isolated from laurel (Laurus nobilis L.) induce cell death and morphological change indicative of apoptotic chromatin condensation in leukemia HL-60 cells. International journal of molecular medicine.
- Al-Kalaldeh, J. Z. et al. (2010). Volatile oil composition and antiproliferative activity of Laurus nobilis, Origanum syriacum, Origanum vulgare, and Salvia triloba against human breast adenocarcinoma cells. Nutrition research.
- Khan, A. et al. (2009). Bay leaves improve glucose and lipid profile of people with type 2 diabetes. Journal of clinical biochemistry and nutrition.
- Aljamal, A. (2010). Effects of Bay Leaves on Blood Glucose and Lipid Profiles on the Patients with Type 1 Diabetes. International Journal of Medical and Health Sciences.
- Speroni, E. et al. (2011). Gastroprotective effect and antioxidant properties of different Laurus nobilis L. leaf extracts. Journal of medicinal food.
- Qnais, E. Y. et al. (2012). Antidiarrheal activity of Laurus nobilis L. leaf extract in rats. Journal of medicinal food.
- Sayyah, M. et al. (2002). Anticonvulsant activity of the leaf essential oil of Laurus nobilis against pentylenetetrazole- and maximal electroshock-induced seizures. Phytomedicine.
- Pacifico, S. et al. (2014). Neuroprotective potential of Laurus nobilis antioxidant polyphenol-enriched leaf extracts. Chemical research in toxicology.
- Biglar, M. et al. (2014). Screening of 20 commonly used Iranian traditional medicinal plants against urease. Iranian journal of pharmaceutical research.