Nutrisi

6 Khasiat Cuka Kurma Untuk Kesihatan Yang Anda Perlu Tahu

Pinterest LinkedIn Tumblr

Cuka kurma ialah cuka yang dihasilkan melalui proses penapaian buah kurma. Menjadi tanda tanya, adakah cuka kurma ini mempunyai khasiat yang sama seperti buah kurma? Kali ini kami kongsikan beberapa khasiat cuka kurma berdasarkan kajian-kajian yang telah dijalankan.

Cuka kurma mungkin kurang popular di Malaysia. Kita mungkin lebih mengenali cuka tiruan atau cuka epal serta lebih mengetahui akan khasiat buah kurma. Tetapi tidak bagi cuka kurma.

Potensi sebenar cuka kurma mungkin masih belum berjaya dibongkar secara menyeluruh kerana kajian-kajian saintifik terhadap cuka ini masih terhad.

Buah kurma digunakan untuk membuat cuka kurma yang berkhasiat

Secara umumnya, cuka kurma mengandungi mikronutrien seperti berikut [8]:

  • Kalium (potassium)
  • Kalsium
  • Magnesium
  • Natrium (sodium)
  • Zat besi
  • Mangan
  • Tembaga
  • Zink
  • Kadmium
  • Plumbum

Kadar atau nilai bagi nutrien-nutrien ini berbeza-beza mengikut jenis kurma yang digunakan untuk membuat cuka tersebut.

Berikut ialah beberapa khasiat cuka kurma berdasarkan kajian-kajian sains:

1. Kaya Antioksidan

Antioksidan diperlukan bagi meneutralkan radikal bebas. Ketidakseimbangan antara antioksidan dan radikal bebas boleh menyebabkan terjadinya tekanan pengoksidaan.

Tekanan pengoksidaan dikaitkan dengan banyak penyakit kronik seperti penyakit jantung, kanser, diabetes, penyakit Alzheimer, penyakit Parkinson dan juga penyakit mata.

Kajian oleh beberapa pengkaji di Pakistan mendapati cuka kurma kaya dengan antioksidan yang terdiri daripada kandungan sebatian fenolik,sebatian flavonoid dan karotenoid. Dalam kajian mereka, cuka daripada kurma merah mempunyai aktiviti antioksidan dan kandungan sebatian fenolik yang lebih tinggi berbanding cuka kurma hitam [1].

2. Merendahkan Paras Kolestrol

Kolesterol tinggi boleh menjadi punca kepada penyakit-penyakit lain seperti serangan jantung dan strok.

Cuka kurma didapati boleh menurunkan paras kolesterol bagi mereka yang mempunyai kolesterol yang agak tinggi.

Kajian yang dijalankan terhadap 76 individu ini mendapati pengambilan cuka kurma sebanyak 30ml selama 4 minggu berjaya menurunkan jumlah kolesterol, kolesterol LDL (kolesterol jahat), trigliserida dan meningkatkan paras kolesterol HDL (kolesterol baik) [2].

Satu kajian lain yang mengkaji kesan penggunaan cuka kurma terhadap pesakit diabetes jenis 2 menunjukkan cuka kurma boleh membantu mengurangkan paras kolesterol dalam darah. Hasil daripada kajian itu menunjukkan penurunan signifikan terhadap jumlah kolesterol dan berlaku peningkatan terhadap kadar folat dan kolesterol HDL (kolesterol baik) [3].

3. Membantu Merendahkan Paras Gula Dalam Darah

Paras gula darah atau gula dalam darah tinggi merupakan antara petunjuk kepada penyakit diabetes jenis 2.

Mereka yang mempunyai bacaan gula darah rawak 200 mg/dL atau lebih dikelaskan menghidap diabetes terutamanya jika simptom-simptom diabetes seperti kerap kencing dan dahaga yang melampau turut berlaku.

Manakala, sekiranya bacaan gula darah puasa (fasting blood sugar) adalah 126 mg/dL atau lebih juga dikelaskan sebagai menghidap diabetes jenis 2.

Dalam satu kajian yang dijalankan terhadap 55 individu yang mempunyai bacaan gula darah melebihi 126 mg/dL turut mendapati pengambilan cuka kurma boleh merendahkan paras gula darah dan paras gula darah puasa walaupun nilainya tidak signifikan [3].

4. Baik untuk Kesihatan Hati

Hati adalah organ terbesar dalam badan manusia.

Hati adalah organ yang penting untuk menghadam makanan dan menyingkirkan bahan toksik daripada badan manusia.

Penyakit hati boleh disebabkan oleh genetik atau faktor luaran seperti serangan virus, pengambilan arak dan juga kegemukan (obesiti). Lama-kelamaan, keadaan ini boleh menyebabkan hati menjadi berserat (sirosis) dan membawa kepada kegagalan hati.

Dalam kajian yang dijalankan bagi melihat kesan cuka kurma terhadap pesakit diabetes jenis 2, pengkaji turut mendapati cuka kurma boleh menurunkan enzim ALT dan AST [3,4].

Kandungan enzim alanine transaminase (ALT) dan aspartate transaminase (AST) yang tinggi adalah petanda bahawa hati individu tersebut mengalami kerosakan.

Walau bagaimanpun, dapatan awal ini masih memerlukan banyak kajian lanjutan.

5. Bersifat Antibakteria

Komposisi utama dalam cuka adalah asid asetik, begitu juga dengan cuka kurma.

Asid asetik selalunya dihasilkan daripada buah-buahan atau sayur-sayuran yang sudah terlebih masak.

Kehadiran asid setik dalam cuka menyumbang kepada sifat antibakterianya. Asid asetik yang masuk ke dalam membran sel bakteria menyebabkan sel-sel ini mati. Asid asetik juga diakui sebagai asid organik utama yang boleh merosakkan bakteria E.coli [5].

Kajian makmal yang menggunakan cuka yang mengandungi kepekatan 0.1% asid asetik berkesan menghalang tumbesaran bakteria-bakteria yang boleh menyebabkan jangkitan bawaan makanan seperti Escherichia coli, Salmonella enteritidis, S. typhimurium, Vibrio arahaemolyticus, Staphylococcus aureus, Aeromonas hydrophila dan Bacillus cereus [6].

Walaupun tiada kajian khusus terhadap cuka kurma, namun kehadiran asid asetik dalam cuka kurma mungkin menghasilkan keputusan yang hampir sama seperti kajian yang dijalankan terhadap cuka buah yang lain.

Kajian-kajian lanjut masih diperlukan untuk mengesahkan khasiat cuka kurma ini.

6. Membantu Menurunkan Berat Badan

Masalah obesiti semestinya tidak asing lagi buat rakyat di negara ini. Menurut data World Population Review 2019, orang dewasa yang obes di Malaysia adalah tertinggi di negara Asia Tenggara.

Obesiti boleh meningkatkan risiko penyakit kronik seperti kencing manis (diabetes), tekanan darah tinggi dan juga penyakit jantung.

Cuka kurma juga didapati berpotensi dalam membantu seseorang itu untuk menurunkan berat badan mereka.

Satu kajian yang dijalankan terhadap 85 orang dewasa yang obes mendapati minuman yang terdiri daripada gabungan cuka kurma dan bawang putih berjaya menurunkan berat badan, nisbah lemak badan dan serum leptin selepas 10 minggu kajian[7].

Kesan positif ini dipercayai disebabkan oleh penghancuran ketepuan lemak (lipid) dan peningkatan komponen bioaktif dan serat daripada cuka kurma dan bawnag putih.

Kesan sampingan

Secara umumnya, cuka kurma selamat dimakan. Setakat kajian yang dijalankan tiada kesan sampingan yang berlaku terhadap individu yang makan cuka ini [x].

Cara makan cuka kurma

Cuka kurma kaya dengan rasa buah dan berwarna coklat gelap. Cuka kurma ini boleh dimakan mengikut beberapa cara, antaranya:

  • Sebagai minuman: Campurkan 1-2 sudu makan cuka kurma ini ke dalam segelas air. Boleh mencampurkan madu lebah untuk menambah rasa manis ke dalam minuman ini. Amalkan setiap hari (pagi atau malam).
  • Dalam masakan: Gantikan cuka makan buatan yang biasa digunakan dalam masakan dengan cuka kurma.
  • Kuah salad (salad dressing): Anda boleh gunakan cuka kurma sebagai kuah salad mengantikan cuka buatan biasa.
  • Jeruk: Anda boleh gantikan cuka buatan biasa yang digunakan untuk menjeruk buah atau sayur menggunakan cuka kurma.

Bagaimana untuk dapatkan cuka kurma ini?

Cuka kurma ini mungkin tidak dipasarkan secara meluas di negara ini. Tetapi anda boleh mendapatkan cuka kurma ini di kedai-kedai yang menjual makanan dari Timur Tengah atau secara atas talian – Dapatkan cuka kurma online.

Rumusan

Seperti buahnya, cuka kurma juga mempunyai khasiat yang baik untuk kesihatan kita. Selain tinggi dengan kandungan antioksidan, cuka kurma juga bermanfaat untuk mengawal tekanan darah, merendahkan paras kolesterol, membantu merendahkan paras gula darah dan bersifat antibakteria.

Walau bagaimanapun, masih kurang kajian saintifik yang dijalankan terhadap cuka kurma. Kajian-kajian awal ini boleh dijadikan panduan namun bukanlah satu bukti yang kukuh untuk mengetahui kesan cuka kurma terhadap manusia.

Kemaskini terakhir pada 22 Oktober 2020.

Rujukan
  1. Ali, Z., et al. (2019). Preliminary study to evaluate the phytochemicals and physiochemical properties in red and black date’s vinegarFood science & nutrition.
  2. Zeshan Ali, et al. (2019). Daily date vinegar consumption improves hyperlipidemia, β-carotenoid and inflammatory biomarkers in mildly hypercholesterolemic adults. Journal of Herbal Medicine.
  3. Zeshan Ali. et al. (2018). A double-blinded, randomized, placebo-controlled study evaluating the impact of dates vinegar consumption on blood biochemical and hematological parameters in patients with type 2 diabetes. Tropical Journal of Pharmaceutical Research.
  4. Zeshan Ali, et al. (2020). Dates (Phoenix Dactylifera) and Date Vinegar: Preventive Role against Various Diseases and Related in Vivo Mechanisms. Food Reviews International.
  5. Zeshan Ali, et al. (2016). Potential Uses of Vinegar as a Medicine and Related in vivo Mechanisms. International Journal for Vitamin and Nutrition Research.
  6. Entani, E., et al. (1998). Antibacterial action of vinegar against food-borne pathogenic bacteria including Escherichia coli O157:H7Journal of food protection.
  7. Ali, Z, et al. (2018). Reduction of body weight, body fat mass, and serum leptin levels by addition of new beverage in normal diet of obese subjects. J Food Biochem.
  8. Mohammed Hashim Matloob. (2014). Zahdi Date Vinegar: Production and CharacterizationAmerican Journal of Food Technology.

Write A Comment