Nutrisi

Khasiat Cili dan Cili Terpedas di Dunia

Pinterest LinkedIn Tumblr

Pernahkan anda tertanya-tanya, apakah yang membuatkan cili berasa pedas? Tetapi tanpa rasa pedas itu, sambal atau sos cili yang menjadi penambah rasa dalam makanan mungkin menjadi tidak sedap. Artikel kali ini merungkai bahan yang menyebabkan cili pedas, khasiat cili serta kesan sampingan yang mungkin wujud.

Cili atau lada telah ditanam sejak 6 000 tahun dahulu. Orang Sepanyol dan Portugis telah menanam cili ini di negara jajahannya, Afrika. Kemudiannya, diperkenalkan kepada negara yang dijajah oleh Portugal di Goa, India sebelum disebarkan ke Asia Tenggara, China dan Korea.

Pada lewat tahun 1990an, saintis telah mengenalpasti saraf kesakitan yang mengesan kapsaisin (Capsaicin). Kapsaisin ialah sebatian kumpulan kapsaisinoid yang terdapat dalam cili yang bertanggungjawab kepada rasa pedas yang tajam atau rasa sengit.

Kapsaisin dalam buah cili atau lada diukur menggunakan skala Scoville dan dibaca dalam Scoville Heat Units (SHU). SHU ialah kaedah yang menjelaskan berapa titis air gula yang diperlukan untuk mencairkan rasa pedas di dalam buah cili tersebut.

apakah yang membuatkan cili pedas

Khasiat Cili yang Mungkin Ramai yang Tidak Tahu

Disebalik rasanya yang pedas, cili atau lada turut mempunyai khasiat untuk badan. Antara khasiat cili adalah:

1. Mengandungi antioksidan yang hebat

Cili mengandungi antioksidan yang sangat bermanfaat kepada kesihatan badan seperti vitamin C, kapsantin, asid sinapik dan asid ferulik.

Antioksidan-antioksidan ini bagus untuk melawan atau meneutralkan radikal bebas yang boleh menyebabkan penyakit kronik.

Selain itu, vitamin C juga baik untuk kulit dan boleh meningkatkan sistem pertahanan badan.

2. Boleh membantu melegakan kesakitan

Kapsaisin dalam cili ini mempunyai keupayaan yang unik. Bioaktif ini boleh mengikat dengan reseptor kesakitan. Ia menyebabkan sensasi seperti terbakar walaupun bukan kecederaan terbakar yang betul.

Kesan jangka panjang pengambilan cili atau kapsaisin ini akan menyebabkan reseptor kesakitan kurang mengesan sensasi membakar cili itu. Ia turut menyebabkan reseptor kesakitan ini turut kurang sensatif kepada kesakitan lain.

Dalam kajian yang dijalankan terhadap pesakit pedih hulu hati, pengambilan cili merah sebanyak 2.5 gram sehari menyebabkan sakit tersebut semakin teruk pada 5 minggu pertama kemudian bertambah baik selepas itu.

Kajian selama 6 minggu yang lain mendapati pengambilan cili sebanyak 3 gram sehari boleh mengurangkan pedih hulu hati bagi penghidap asid refluks.

Namun begitu, kesan kurang sensitif terhadap kesakitan ini bukanlah kekal kerana ia boleh kembali kepada asal selepas 1-3 hari pengambilan cili ini dihentikan.

3. Membantu menurunkan berat badan

Selain itu, kapsaisin juga boleh membantu dalam proses menurunkan berat badan kerana boleh mengurangkan selera makan dan meningkatkan pembakaran lemak.

Terdapat kajian yang mendapati 10 gram cili merah boleh meningkatkan pembakaran lemak secara signifikan terhadap lelaki mahupun wanita.

Namun begitu, terdapat juga kajian lain yang menyatakan cili dan kapsaisin tidak mempunyai kesan signifikan terhadap pengambilan makanan atau pembakaran lemak.

Dapatan yang bercampur-campur ini mungkin memerlukan kajian lanjut untuk mendapatkan satu kesimpulan yang lebih kukuh.

Senarai 10 Cili Terpedas di Dunia

1)Trinidad Scorpion Butch Taylor

1,463,700 SHU

2) Naga Viper and Scorpion cultivars

1,250,000 hingga 1,350,000 SHU

3) Infinity

1,200,000 hingga 1,250,000 SHU

4) 7 Pods

1,100,000 hingga 1,200,000 SHU

5) The Nagas: Bhut Jolokia, Bih Jolokia, Naga Jolokia, Naga Morich , Dorset Naga

900,000 hingga 1,100,000 SHU

6) Nagabon dan Habanaga

800,000 SHU

7) Red Savina Habanero

577,000 SHU

8) Habaneros: Coklat, Caribbean, Oren

250,000 hingga 450,000 SHU

9) Habaneros lain dan Scotch Bonnets

100,000 hingga 250,000 SHU

10) Lada Burung, Tabascos, Tepins

<100,000 SHU

Cara Mengurangkan Rasa Pedas di Mulut

Kebiasannya, apabila seseorang itu makan makanan yang pedas, perkara yang pertama dilakukannya ialah meminum air sejuk. Ada juga petua orang-orang tua dahulu ialah dengan cara membasuh kaki dari paras lutut ke bawah.

Walau bagaimanapun, sebenarnya kapsaisin ini bersifat hidrofobik iaitu tidak dapat menjerap atau menyerap air tetapi larut dalam lemak dan minyak. Oleh itu,secara saintifiknya susu penuh krim atau yogurt antara pilihan yang baik untuk meredakan kepedasan dari cili.

Kesan Sampingan Makan Cili Pedas

Sesetengah orang mungkin akan mengalami kesan sampingan atau kesan negatif akibat makan terlalu banyak makanan pedas atau cili.

Terdapat beberapa kesan sampingan yang mungkin boleh membawa masalah kesihatan yang lain. Antaranya ialah:

  • Rasa pedas atau terbakar: Rasa pedas dan terbakar ini adalah disebabkan kapsaisin yang mengikat pada reseptor kesakitan. Jumlah yang banyak boleh menyebabkan masalah seperti sakit yang teruk, keradangan, bengkak dan kemerahan.
  • Sakit perut dan cirit-birit: Sesetengah orang terutamanya yang jarang-jarang makan pedas mungkin akan mengalami sakit perut, rasa pedih dalam perut ataupun cirit-birit. Malah, mereka yang mengalami masalah sindrom usus rengsa lebih mudah untuk mendapat komplikasi ini.
  • Risiko kanser: Terdapat kajian cerapan yang mengaitkan pemakanan cili meningkatkan risiko kanser perut dan kanser pundi hempedu. Manakala di India, serbuk cili merah dikatakan penyumbang kepada peningkatan risiko kanser mulut dan kerongkong.

Rumusan

Artikel kali ini membolehkan kita mengetahui bahawa cili pedas adalah disebabkan oleh kandungan kapsaisin. Manakala cili Trinidad Scorpion Butch Taylor pula adalah cili paling pedas di dunia.

Walaupun, cili mempunyai khasiat harus diingat juga bahawa pemakanan cili pada kadar yang banyak dan kerap boleh mendatangkan masalah kesihatan bagi pemakannya.

Oleh itu, pengambilan secara bersederhana adalah pilihan yang lebih baik.

Kemaskini terakhir pada 12 September 2020.

Rujukan

Write A Comment