Khasiat ciku telah lama dimanfaatkan oleh nenek moyang kita. Bermula daripada buah hinggalah ke daunnya, ciku menyimpan 1001 khasiat dan kebaikan kepada kesihatan manusia.
Ciku adalah panggilan tempatan kepada tumbuhan yang dikenali sebagai Manilkara zapota atau dalam bahasa Inggerisnya, sapodilla.
Ciku adalah tumbuhan malar hijau yang berasal dari Selatan Mexico, Amerika Tengah dan Amerika Selatan. Perubatan tradisional telah menggunakan buah atau daun pokok ciku untuk merawat pelbagai penyakit seperti cirit-birit, batuk, demam, buasir, keradangan usus, menyembuhkan luka dan lain-lain lagi.

Khasiat Buah Ciku untuk Kesihatan
Buah ciku adalah salah satu komoditi bagi negara Malaysia. Walau bagaimanapun, penghasilan tahunan buah ini tidaklah memberangsangkan.
Buah ciku mempunyai rupa luaran yang hampir sama dengan buah kiwi, cuma ia tidak mempunyai bulu halus seperti buah kiwi.
Buah ciku juga mempunyai khasiat tertentu yang bermanfaat untuk kesihatan badan. Antaranya adalah:
1. Kaya dengan Nutrien Penting
Buah ciku boleh membekalkan nutrien atau zat penting untuk kesihatan dan fungsi badan secara keseluruhannya.
Bagi 100 gram buah ciku, terdapat nutrien-nutrien berikut [1]:
- Kalori/Tenaga: 83 kcal
- Protein: 0.4 gram
- Lemak: 1.1 gram
- Karbohidrat: 20 gram
- Serat: 5.3 gram
- Kalsium: 21 miligram
- Zat besi: 0.8 miligram
- Magnesium: 12 miligram
- Fosforus: 12 miligram
- Kalium: 193 miligram
- Vitamin C: 14.7 miligram
- Folat: 14 mikrogram
- Vitamin A: 3 mikrogram
Buah ciku juga turut mengandungi sedikit mineral zink, tembaga dan selenium serta sedikit vitamin B2, B3, B5 dan B6.
2. Mengandungi Antioksidan
Antioksidan adalah sebatian penting yang dapat melindungi badan daripada radikal bebas. Radikal bebas boleh merosakkan sel-sel sihat dalam badan dan seterusnya boleh membawa kepada penyakit-penyakit yang lebih serius.
Buah ciku adalah sumber yang baik untuk mendapatkan antioksidan ini. Antara antioksidan yang terkandung dalam buah ciku adalah [2]:
3. Baik untuk Pesakit Kencing Manis
Buah ciku juga berkhasiat kepada mereka yang menghidap penyakit kencing manis atau diabetes kerana mempunyai ciri-ciri yang boleh membantu merendahkan paras gula dalam darah.
Kajian terhadap haiwan mendapati pengambilan jus isi buah ciku selama 50 hari berjaya menurunkan paras gula darah bagi haiwan tersebut. Selain itu, paras insulin juga turut menurun bagi kumpulan haiwan yang menerima jus buah ciku ini. [3]
Kajian lain turut mendapati bahawa kandungan sebatian proantosianidin dalam buah ciku muda juga boleh menghalang enzim-enzim pencernaan yang bertanggungjawab untuk menguraikan karbohidrat kepada gula. [4]
Keadaan ini dapat mengurangkan penyerapan gula dalam usus dan seterusnya menurunkan paras gula dalam darah.
4. Boleh Membantu Menurunkan Paras Kolesterol
Selain itu, buah ciku juga didapati boleh membantu menurunkan paras kolesterol.
Kajian terhadap haiwan menunjukkan bahawa pengambilan buah ciku boleh membantu menurunkan paras kolesterol total dan trigliserida (lemak dalam darah) dengan ketara berbanding haiwan yang tidak menerima buah ciku ini. [3]
Tambahan lagi, pengambilan buah ciku ini juga turut meningkatkan paras kolesterol HDL iaitu kolesterol baik.
5. Membantu Mengurangkan Berat Badan
Menariknya juga, pengambilan buah ciku mungkin boleh membantu mengurangkan berat badan.
Bukti awal dapat dilihat dalam kajian yang dijalankan terhadap haiwan. Haiwan yang memakan buah ciku menunjukkan penurunan berat badan berbanding haiwan yang tidak memakan buah ini. [3]
Selain itu juga, pemakanan buah ciku boleh menurunkan paras leptin dan insulin dalam darah. Biasanya mereka yang mengalami obesiti mempunyai paras leptin dan insulin yang tinggi.
6. Boleh Melindungi daripada Kerosakan Hati
Buah ciku juga berpotensi melindungi hati daripada rosak akibat toksik dan sebagainya.
Khasiat buah ciku ini dapat dilihat dalam satu kajian terhadap haiwan yang mengalami kerosakan hati. Hasil kajian ini mendapati ekstrak buah ciku boleh mengurangkan enzim-enzim yang menunjukkan kerosakan hati.
Selain itu, ekstrak buah ciku ini juga boleh mengurangkan kerosakan struktur pada hati tersebut. [5]
7. Baik untuk Kesihatan Mata
Kandungan antioksidan yang terkandung dalam buah ciku seperti lutein dan zeaxantin juga baik untuk kesihatan mata.
Lutein dan zeaxantin boleh melindungi mata daripada sinaran UV yang berbahaya. Lutein dan zeaxantin ini banyak terkumpul di retina mata.
Kajian menunjukkan lutein dan zeaxantin boleh melindungi mata daripada penyakit mata seperti degenerasi makular berkaitan usia (AMD) dan katarak. [6, 7]
Khasiat Daun Ciku untuk Kesihatan
Selain buahnya, daun ciku juga telah digunakan sejak dahulu lagi dalam perubatan alternatif untuk merawat pelbagai penyakit seperti batuk, bronkitis, meningkatkan selera, tonik kepada otak, jantung dan hati atau menghilangkan bau mulut.
Menyedari ciri-ciri perubatan daun ciku ini, kajian-kajian moden turut dijalankan untuk merungkai akan khasiat daun ini. Antara khasiat-khasiat daun ciku tersebut adalah:
1. Berpotensi Mencegah Kanser
Daun ciku mempunyai nilai perubatan dalam membantu mencegah kanser.
Khasiat daun ciku ini dapat dilihat dalam beberapa kajian. Satu kajian oleh pengkaji dari Universiti Putra Malaysia melaporkan bahawa ekstrak daun ciku boleh mencegah kanser usus. [8]
Di samping itu juga, terdapat kajian-kajian yang menunjukkan ekstrak daun ciku boleh membunuh sel-sel kanser hati dan kanser serviks. [9, 10]
2. Boleh Merawat Cirit-birit
Daun ciku juga didapati boleh membantu merawat cirit-birit atau diarea.
Khasiat ini disokong oleh kajian yang dijalankan terhadap haiwan yang mendapati ekstrak daun ciku menunjukkan aktiviti antidiarea dengan mengurangkan peninjaan (pembuangan air besar). [11]
3. Bersifat Antiradang
Daun ciku juga turut bersifat antiradang. Ini bermakna daun ciku boleh membantu mengurangkan atau mencegah keradangan.
Ciri-ciri antiradang daun ciku dapat dilihat dalam kajian yang dijalankan terhadap haiwan. Ekstrak daun ciku didapati boleh mengurangkan keradangan (sembab) pada tapak kaki tikus yang diuji. [12]
Satu kajian makmal juga turut melaporkan bahawa ekstrak daun ciku turut menunjukkan ciri-ciri antiradang dengan mengurangkan keradangan yang mengakibatkan sakit sendi. [13]
4. Boleh Merawat Demam
Seperti penggunaannya dalam perubatan tradisional, kajian sains juga turut mendapati daun ciku boleh membantu merawat demam.
Kajian mendapati ekstrak daun ciku boleh membantu menurunkan suhu badan. [13]
Rumusan
Tidak dapat dinafikan lagi bahawa ciku mempunyai banyak khasiat kepada kesihatan. Bukan sahaja buahnya, daun ciku juga turut mempunyai banyak khasiat dan nilai perubatan.
Selain mengandungi vitamin dan mineral penting. buah ciku turut mengandungi antioksidan, boleh membantu menurunkan paras kolesterol, menurunkan paras gula darah, membantu mengurangkan berat badan serta melindungi hati dan mata.
Bagi daun ciku pula, daun tumbuhan ini berpotensi mencegah kanser, mengurangkan keradangan dan membantu merawat demam.
Meskipun begitu, kajian-kajian lanjut masih banyak diperlukan terutamanya kajian klinikal untuk menguatkan lagi hasil kajian yang sedia ada.
Rujukan
- U.S. Department of Agriculture, Agricultural Research Service. FoodData Central, 2019. fdc.nal.usda.gov.
- Mia Isabelle. et al. (2010). Antioxidant activity and profiles of common fruits in Singapore. Food Chemistry.
- Barbalho, S. M. et al. (2015). Antidiabetic and antilipidemic effects of Manilkara zapota. Journal of medicinal food.
- Wang, H. et al. (2012). Profiles and α-amylase inhibition activity of proanthocyanidins in unripe Manilkara zapota (chiku). Journal of agricultural and food chemistry.
- Alrashood, S. T. et al. (2020). Protective effect of lyophilized sapodilla (Manilkara zapota) fruit extract against CCl4-induced liver damage in rats. Saudi journal of biological sciences.
- Ma, L. et al. (2012). Lutein and zeaxanthin intake and the risk of age-related macular degeneration: a systematic review and meta-analysis. The British journal of nutrition.
- Vu, H. T. et al. (2006). Lutein and zeaxanthin and the risk of cataract: the Melbourne visual impairment project. Investigative ophthalmology & visual science.
- Tan, B. L., & Norhaizan, M. E. (2019). Manilkara zapota (L.) P. Royen leaf water extract triggered apoptosis and activated caspase-dependent pathway in HT-29 human colorectal cancer cell line. Biomedicine & pharmacotherapy.
- Tan, B. L. et al. (2018). Manilkara zapota (L.) P. Royen Leaf Water Extract Induces Apoptosis in Human Hepatocellular Carcinoma (HepG2) Cells via ERK1/2/Akt1/JNK1 Signaling Pathways. Evidence-based complementary and alternative medicine.
- Tan, B. L. et al. (2018). ROS-Mediated Mitochondrial Pathway is Required for Manilkara Zapota (L.) P. Royen Leaf Methanol Extract Inducing Apoptosis in the Modulation of Caspase Activation and EGFR/NF-κB Activities of HeLa Human Cervical Cancer Cells. Evidence-based complementary and alternative medicine.
- Ganguly, A. et al. (2016). Evaluation of antinociceptive and antidiarrhoeal properties of Manilkara zapota leaves in Swiss albino mice. Pharmaceutical biology.
- Amlan Ganguly et al. (2013). In-vivo anti-inflammatory and anti-pyretic activities of Manilkara zapota leaves in albino Wistar rats. Asian Pacific Journal of Tropical Disease.
- Madan Singh, P. et al.(2011). In-vitro Anti-arthritic Activity of Manilkara zapota Linn. Asian J. Pharm. Tech.