Khasiat Chia Seed sememangnya tidak dapat dinafikan lagi. Penggunaan chia seed semakin meluas setelah parlimen Eropah melabelkan chia seed ini sebagai “Novel Food“. Chia seed adalah sumber kepada asid lemak omega-3, serat, zat besi dan kalsium.
Chia seed atau biji chia ini berasal dari pokok Salvia hispanica L., yang berasal dari Mexico, Colombia dan Guatemala. Biji ini telah digunakan sejak 5,500 tahun dahulu oleh kaum Mayan dan orang asli Aztec. Perkataan ‘chia’ itu sendiri datangnya daripada perkataan Mayan kuno iaitu bermaksud “kekuatan”.
1) Kaya dengan Nutrien Penting Untuk Badan
Biji chia sangat tinggi dengan khasiatnya. Sebagai contoh, tenaga yang dibekalkan oleh 28g biji ini (kira-kira 2 sudu besar) ialah 138 kcal. Berikut adalah nutrien yang terdapat bagi 1 aun biji chia:
Nutrien | Unit | Nilai bagi 28g |
Proksimat | ||
Air | g | 1.64 |
Tenaga | kcal | 138 |
Protein | g | 4.69 |
Jumlah Lipid (lemak) | g | 8.71 |
Karbohidrat | g | 11.94 |
Serat | g | 9.8 |
Mineral | ||
Kalsium, Ca | mg | 179 |
Zat Besi, Fe | mg | 2.19 |
Magnesium, Mg | mg | 95 |
Fosforus, P | mg | 244 |
Kalium, K | mg | 115 |
Natrium, Na | mg | 5 |
Zink, Zn | mg | 1.3 |
Vitamin | ||
Vitamin C, jumlah asid askorbik | mg | 0.5 |
Thiamin | mg | 0.176 |
Riboflavin | mg | 0.048 |
Niacin | mg | 2.503 |
Vitamin B-12 | µg | 0 |
Vitamin A, IU | IU | 15 |
Vitamin E (alfa-tokoferol) | mg | 0.14 |
Lipid | ||
Asid Lemak, jumlah tepu | g | 0.944 |
Asid Lemak, jumlah mono tak tepu | g | 0.655 |
Asid Lemak, jumlah poli tak tepu | g | 6.709 |
Asid Lemak, jumlah trans | g | 0.04 |
Kolesterol | mg | 0 |
2) Chia Seed Kaya dengan Antioksidan
Antioksidan penting bagi meneutralkan radikal bebes dalam badan kita. Tanpa pengawalan, radikal bebas ini boleh menyebabkan kerosakan pengoksidaan dan menjadi penyebab kepada penyakit seperti kanser, serangat jantung, kegagalan jantung, penyakit Alzheimer dan penyakit mata.
Dalam satu eksperimen yang dijalankan oleh University of Campinas, Brazil terhadap tikus mendapati, biji dan minyak chia dapat mengurangkan tekanan pengoksidaan, meningkatkan aktiviti enzim antioksidan dan mengurangkan pengoksidaan lemak dalam tikus tersebut (1).
3) Chia Seed Dapat Membantu Mengurangkan Berat Badan
Biji chia (chia seed) mengandungi hampir 5g serat bagi satu sudu besar.
Oleh kerana kandungan serat larutnya yang tinggi, biji chia boleh menyerap air 10-12 kali beratnya dan menjadi seperti gel (2).
Apabila biji ini dimakan ia akan mengembang dan secara teorinya akan membuatkan kita rasa kenyang.
Dalam satu kajian oleh pengkaji di Turki mendapati,biji chia yang ditambah ke dalam yogurt dapat mengurangkan rasa lapar dan meningkatkan rasa kepuasan (kenyang) berbanding dengan memakan yogurt sahaja (3).
Kajian lain yang dijalankan terhadap pesakit yang berlebihan berat badan dan obes mendapati, pengambilan biji chia bersama-sama dalam diet rendah kalori dapat menurunkan berat badan (4).
4) Baik untuk Kulit
Satu kajian yang memanfaatkan asid lemak omega-3 dalam penyediaan ubat sapu yang mengandungi minyak chia telah dijalankan. Ubat sapu yang diformulasikan itu menggunakan 4% minyak chia dan digunakan selama 8 minggu terhadap 10 orang pesakit kulit.
Hasil kajian mendapati, ubat sapu yang diformulasikan ini menambah baik kelembapan kulit, kulit kering akibat digaru atau gatal-gatal dan biji-biji gatal (5).
5) Membantu Mengawal Kencing Manis
Satu kajian yang dijalankan di Kanada melaporkan bahawa biji chia mempunyai keupayaan untuk menukarkan glukosa menjadi karbohidrat pelepasan lambat. Ini boleh membawa kesan positif kepada pesakit kencing manis (diabetes) (6).
Diet yang tinggi serat dapat mengurangkan risiko terjadinya penyakit kencing manis dan makan makanan yang kaya dengan serat juga menstabilkan gula darah.
6) Merendahkan Kolesterol dan Risiko Penyakit Kardiovaskular
Pengambilan serat yang tinggi diketahui dapat menurunkan tekanan darah dan tahap kolesterol.
Satu kajian yang dijalankan terhadap haiwan mendapati makan biji chia dapat mengurangkan trigliserida dan meningkatkan kolesterol-HDL (kolesterol baik)(7).
Selain itu, biji chia juga bermanfaat mengurangkan omega-6 dalam plasma darah. Kesannya, nisbah omega-6:omega-3 lebih rendah yang membawa kepada perlindungan-kardio (8).
7) Mencegah Penyakit Divertikulosis
Kandungan serat yang tinggi dalam biji chia mungkin dapat memberi manfaat kesihatan kerana serat boleh meningkatkan isipadu najis dan mencegah penyakit divertikulosis dan kanser (9).
Dapatkan biji chia secara online
Kesimpulan
Biji chia atau chia seed ini mempunyai banyak khasiat.
Biji ini sangat popular dalam kalangan mereka yang berdiet kerana boleh membantu dalam mengurangkan berat badan pemakannya. Produk sampingan daripada biji chia seperti minyak dan tepung juga kaya dengan khasiatnya.